
Aktivis kemanusiaan dan pelakon terkenal, Ardell Aryana, berkongsi pengalaman ngeri yang dialaminya ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza, apabila beliau menjadi mangsa buli fizikal askar Israel. Momen hitam itu bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal, tetapi juga trauma mendalam terhadap dirinya sebagai seorang ibu.
Menurut laporan Sinar Harian, dalam kejadian yang berlaku ketika proses penahanan, Ardell mendedahkan tudungnya telah direntap hingga rambut tercabut, disertai dengan sorakan dan ejekan askar Israel. Lebih memilukan, beliau turut diugut bahawa anak-anaknya akan dibunuh sekiranya enggan memberi kerjasama.

“Saya pun tak faham kenapa saya jadi sasaran, mungkin sebab saya paling rajin buat live dan live SOS saya diikuti ramai,” jelas Ardell yang masih dalam keadaan lemah selepas insiden tersebut.
Menurut Ardell, hasil pemeriksaan doktor mengesahkan beliau mengalami koyakan tisu lembut (soft tissue) pada bahu, lebam di muka serta rambut yang direntap kuat hingga menyebabkan kecederaan kulit kepala. Laporan kesihatan itu akan dibawa pulang ke Malaysia untuk diserahkan kepada peguam dan Sumud Nusantara Operation Center bagi tindakan lanjut.

“Dalam pertemuan dengan doktor tadi, doktor sahkan soft tissue bahu koyak, muka lebam dan rambut direntap,” katanya lagi.
Walau diuji dengan kekasaran dan penghinaan, Ardell kekal tabah meneruskan misi bantuan untuk rakyat Gaza. Beliau kini berada di Istanbul bersama 22 aktivis lain selepas diselamatkan melalui usaha bersama Kerajaan Turkiye dan Kerajaan Malaysia. Setakat ini, tiada tarikh rasmi diumumkan bagi kepulangan mereka ke tanah air.
Bagi seorang ibu seperti Ardell, ugutan terhadap anak-anaknya menjadi detik paling menakutkan dalam hidup. Namun dalam ketakutan itu, terserlah ketabahan seorang ibu dan kekuatan wanita Muslim yang sanggup berjuang demi kemanusiaan.

Kisah Ardell menyentuh hati ramai, terutamanya para ibu yang dapat merasai debaran dan ketakutan seorang ibu apabila nyawa anak disebut sebagai taruhan. Di ruang komen media sosial, ribuan warganet meluahkan rasa simpati dan kagum terhadap keberanian Ardell yang tetap teguh mempertahankan maruah diri serta agamanya.
💔 Kisah ini bukan sekadar tentang penderitaan, tetapi tentang kasih, kekuatan dan keberanian seorang ibu yang tidak pernah gentar walau diancam nyawa. Semoga Ardell terus dilindungi dan menjadi inspirasi buat semua wanita dan ibu di Malaysia.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!







2. Tidak lokek berkongsi harta

8.Beri Ganjaran Kepada Isteri




