Sebaik sahaja bayi mencecah usia enam bulan, dia sudah mula diperkenalkan dengan makanan. Selain susu ibu atau susu formula, ibu sudah boleh memperkenalkan puri buah atau sayur mahupun bubur kosong untuk melatih deria rasanya.
Ketika bayi sudah melepasi usia setahun, biasanya dia sudah banyak makan tetapi masih bergantung kepada susu. Ada sesetengah anak, badannya kecil dan tidak terlalu berat.
Kadang-kadang jika ini berlaku, mungkin akan ada yang mencadangkan agar anak tersebut diberikan susu formula (jika selama ini hanya minum susu ibu) supaya beratnya dapat ditambah. Sebenarnya itu bukan penyelesaian yang sebenar.
Ibu seharusnya tidak perlu terlalu risau jika bayi bertubuh kecil kerana setiap perkembangan dan tumbesaran bayi adalah berbeza. Pada kebiasaan, bayi akan mengalami penurunan berat badan pada minggu pertama kelahiran.
Bayi akan mula mendapat semula berat ketika lahir pada kira-kira hari ke-10 selepas kelahiran. Pada 3 bulan pertama, berat baik sepatutnya naik secara normal iaitu kira-kira 140-210 gram seminggu. Jika berat bayi tidak naik secara normal, teknik pelekapan bayi harus diperiksa semula.
Sumber foto: www.freepik.com
Kemungkinan bayi tidak melekap dengan betul dan susu tidak dapat dikeluarkan secara efisien. Bayi 6-12 bulan sepatutnya mengalami pertambahan berat badan sebanyak 70-91 gram seminggu.
Kesimpulannya, bayi akan mengalami pertambahan berat badan 2 kali ganda dari berat ketika kelahiran pada usia 5 bulan dan 3 kali ganda setelah mencecah 1 tahun. Tidak perlu terlalu risau dengan berat anak, pastikan teknik pelekapan adalah betul dan bayi menyusu dengan kerap.
Ini adalah kerana bayi menyusu mengikut keperluan. Jika bayi aktif dan sihat, berat badan bukanlah satu masalah yang perlu dirisaukan.
Adalah penting untuk ibu mengenal pasti jika bayi melekap di payudara dengan betul atau hanya menghisap di bahagian puting ketika menyusu. Pelekapan yang betul boleh membantu bayi mendapatkan susu yang secukupnya. Ketika bayi menyusu, ibu juga boleh melakukan urutan di bahagian payudara untuk merangsang pengeluran susu yang lebih lancar.
Ads
Sumber foto: www.freepik.com
Bagi bayi yang kurang berat badan, ibu boleh pam payudara selama 5-10minit sebelum bayi menyusu bagi mengeluarkan ‘fore-milk’ yang lebih cair dan kaya dengan laktosa. Apabila bayi menyusu selepas pump, bayi akan mendapat lebih ‘hind-milk’ yang lebih pekat dan kaya dengan lemak untuk membantu dalam penambahan berat badan.
Untuk bayi yang telah memulakan makanan pelengkap, ibu boleh tingkatkan pengambilan kalori seharian bayi dengan menyediakan makanan yang mengandungi kandungan kalori yang tinggi seperti keju, yogurt, kentang, telur, roti dan sebagainya.
Pengambilan makanan utama iaitu sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam harus diambil setiap hari di samping penyusuan susu ibu. Penyusuan akan berkurangan dari masa ke semasa mengikut usia bayi.
Sumber foto: www.freepik.com
TIDAK PERLU perkenalkan bayi dengan susu formula. Lebihkan makanan yang berkalori tinggi. Setelah bayi mencapai usia 2 tahun serta tidak menyusu dengan susu ibu lagi pada ketika itu, susu segar boleh diberikan sebagai pengganti susu ibu.
Depresi bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Lebih-lebih lagi jika dialami tanpa kita sedari. Penyakit depresi atau kemurungan ini makin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat atas beberapa faktor.
Mungkin ramai juga yang mengganggap bahawa depresi itu sememangnya sama sahaja dengan stress. Tidak sama sekali.
Penyakit ini merupakan penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang hingga menganggu rutin harian.
Perkongsian dari seorang suami, Najmi Nawawi mengenai masalah depresi yang dialami isterinya sehingga sanggup mencederakan diri dan orang serta caranya untuk bantu isteri benar-benar boleh dijadikan panduan bersama.
Aku nak cerita tentang isteri aku. Artikel ini panjang sedikit tetapi demi Allah aku yakin kau tidak akan rugi baca. Aku nak cerita tentang penyakit DEPRESI yang dihidap isteri aku.
Ya isteri aku, bidadari aku sendiri cik Husna mempunyai depresi. Ini telah disahkan oleh pakar psikiatri 4 tahun yang lepas. Aku masih ingat pada waktu itu kami ke Hospital Sungai Buloh setelah mendapat refer letter dari klinik. Punca dapat surat refer itu pula ialah apabila doktor di klinik tanya soalan ini pada Husna.
‘Husna ada rasa sampai macam nak bunuh diri ke?’
Dan isteri aku cakap – ‘Ya, rasa dah tak mahu hidup’.
Bagi aku ini ialah satu detik bersejarah dalam hidup kami. Kerana di sinilah bermulanya perjuangan aku dan isteri berhadapan dengan penyakit yang dipanggil depresi atau kemurungan.
Bila aku tahu isteri aku sudah ada perasaan untuk membunuh diri sendiri. Jadi kau fikir aku ada masa untuk main-main lagi? Kau fikir aku ada masa untuk buat benda lain? Aku kena hadapi masalah ini, sebab yang kena ialah isteri aku. Dia amanah untuk aku, aku perlu bantu.
Rentetan itu banyaklah keputusan-keputusan besar yang aku terpaksa buat dan mengubah hidup aku, hidup kami sekeluarga. Pandangan orang luar? Apa yang mereka tahu? Aku korbankan itu semua. Kerana apa yang penting aku sebagai suami kena bertanggungjawab untuk memulihkan isteri aku.
Maka seperti yang diminta oleh pihak klinik untuk refer department psikiatri Hospital Sungai Buloh maka aku menemani bidadariku untuk berjumpa pakar. Harapnya pada waktu itu, tiada apa-apa yang serius.
Kau tahu-tahu sahajalah ini ialah untuk pertama kalinya kami pergi masuk ke bahagian psikatari. Terdengar ada makcik menjerit-jerit bergaduh dengan nurse, ditambah lagi dengan ruang menunggu yang agak sempit memang buat kami tidak selesa. Ada juga yang bergaduh minta ubat lebih dan ada juga yang mengetuk-ngetuk meja. Macam bercampur dengan tempat orang gila.
Waktu itu, ada juga terfikir. Betulkah tindakan kami ini. Rasa macam masuk ke tempat yang tidak sepatutnya. Pegang tangan isteri dan redah sahaja. Kami mahu juga tahu apa yang berlaku dan semestinya ingin mendapatkan rawatan terbaik.
Aku cerita ini peristiwa yang berlaku 4 tahun lepas, masa ini dalam kepala kami tidak mempunyai kesedaran dan ilmu yang luas tentang penyakit depresi ini. Rasa takut, rasa tidak selamat, rasa risau dan sebagainya semuanya mula menghantui lubuk perasaan.
Kau bayangkanlah. Kau masuk tempat psikiatri kot. Dengan keadaan yang macam itu persekitarannya. Itu perasaan aku, bagaimana pula perasaan bidadari aku ketika itu. Jadi aku kena kuatkan semangat.
Maka berjumpalah kami dengan pakar psikiatri dan isteri aku didiagnos dengan penyakit depresi secara rasmi. Ya pada waktu itu ianya hanya permulaan, dan hanya ada depresi. Tetapi selepas beberapa pertemuan susulan, ia menjadi semakin teruk kerana turut didiagnos juga dengan anxiety dan panic attack.
Mula fasa ujian
Inilah realiti yang perlu kami telan. Kini bermulanya bahagian yang susah iaitu fasa ujian.
Kenapa aku sebut fasa ujian, sebab fasa inilah hubungan kami diuji. Fasa yang susah dan penat.
Husna selalu rasa macam diri dia tidak berguna dan malang.
Rasa macam semua orang benci. Rasa macam semua orang ambil kesempatan. Rasa macam tiada ada orang beri perhatian. Rasa macam tidak disayangi. Rasa baik diri mati sahaja.
Ini semua ialah luahan yang diceritakan pada aku. Dan dari pemerhatian aku sendiri, diri dia umpama ‘not being present’. Macam dia masih hidup dalam kisah lama, atau terlalu memikirkan tentang masa hadapan. Hingga the real world – the present yang ada depan dia ini macam kosong.
Ubat yang doktor bagi ialah setraline. Kami rasa ubat ini umpama nyawa, kerana kalau tiada ubat ini pasti jiran-jiran akan dengar jeritan husna marah dan menjerit-jerit atau menangis. Kerana pernah juga cuba stop makan ubat ini kerana rasa dah boleh baik. Namun ternyata ianya ialah pilihan yang silap.
Maka apa lagi, kami dimarahi oleh pakar psikiatri dekat Hospital PPUM kerana tinggalkan ubat. Kami tidak buat rawatan susulan di Sungai Buloh kerana agak jauh maka PPUM dirasakan lebih sesuai kerana berdekatan. Doktor juga bagi amaran jangan tinggalkan ubat ini lagi.
Ubat ini akan buat kau rasa letih dan penat seterusnya mengurangkan rasa marah atau sedih melampau. Kau akan rasa mengantuk dan lebih suka untuk berehat.
Isteri meraung, menjerit, pecah pintu bilik dan cuba tikam
Kalau aku cerita tentang apa yang berlaku pada kami kalau isteri aku tiba-tiba kena panic attack. Pasti kau tidak percaya. Menjerit dan meraung? Itu perkara biasa. Pintu bilik pecah ditumbuk sekuat hati. Meronta macam hilang pertimbangan bahkan pernah juga cuba menikam aku dengan kunci.
Tidak lawak. Aku boleh menangis fikirkan apa yang berlaku.
Anak-anak? Pastinya terkesan. Macam aku ada dua orang anak, alhamdulillah dua-dua perempuan yang comel. Seorang Maryam Deen dan adiknya ialah Aisyah Deen. Mereka ini ialah penguat perjuangan daddy dan mommy untuk menghadapi perjuangan ini.
Zaman Maryam Deen ialah zaman kami struggle untuk mencari jalan untuk penyelesaian masalah depresi ini. Zaman baru nak kenal penyakit depresi dan mencuba rawatan yang ada.
Zaman Aisyah Deen pula ialah zaman masih struggle tetapi ‘getting better’. Harapnya dose ubat makin turun. Tipulah kalau kami tidak belajar dari apa yang berlaku. Aku sudah makin pandai menjaga husna. Paling penting ialah jaga emosi husna, tahu bahagian mana yang ok dan yang tak ok.
Pengalaman yang ajar aku. Pengalaman yang ‘real’ dan perit. Tetapi inilah kisah pengorbanan dan cinta. Aku harap Maryam Deen dan Aisyah Deen dapat berbangga satu hari nanti bahawa daddy and mommy berjaya jadi survivor penyakit depresi. Aminn.
Sekarang Maryam Deen dan Aisyah Deen ialah penguat untuk kami sekeluarga. Daddy and mommy sayang sangat kamu berdua.
Depresi bukan gila tetapi ianya ialah penyakit. Sepertimana organ lain pada anggota badan kita boleh sakit. Begitu juga dengan otak.
Orang lain memang tidak akan faham dengan apa yang kami lalui. Mungkin ada yang mengganggap ini masalah orang tidak ada iman, solat tak khusyuk. Jarang baca al-Quran. Berfikiran negatif dan suka fikir yang negatif sahaja. Acah-acah stress, orang lain pun ada masalah juga dan sebagainya.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi untuk melihat the ‘bright side’. Ia umpama kau meminta orang buta untuk melihat matahari!
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi bersabar sebab orang beriman kan kuat sabar. Kau biar betul? Kalau orang ada cancer kau suruh dia bersabar juga ke? Atau kau minta dia dapatkan rawatan? Bahkan dalam masa yang sama kau sedar tak yang kau tengah ‘judge’ orang depresi kurang iman.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi baca doa itu, baca ayat itu dan ini supaya depresi hilang. Aku tidak cakap doa itu tiada kesan, kerana Allah sudah nyatakan dalam al-Quran dengan mengingati Allah hati akan tenang. Tetapi kita sedang bercakap depresi dari sudut clinically! Doa ialah sebahagian dari solusi. Sama seperti kalau kau demam, doa untuk pulih memang boleh. Tetapi kau kena makan ubat dan jumpa doktor juga. Jadi janganlah cakap dekat orang yang depressed, baca je doa, nanti depresi tu hilang.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk melupakan sahaja semua perkara yang bermain di fikiran. Atau ayat seperti ‘move on’ seolah-olah ada red button yang kau perlu tekan sahaja untuk ‘exit’. Tanpa disedari ayat seperti ini sebenarnya satu penghinaan kepada pejuang depresi, lebih-lebih lagi orang yang bercakap ‘knows nothing about depression’.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain. Atau memintanya untuk lihat kesusahan atau dugaan orang lain yang lebih susah. Siap bagi contoh orang itu dan ini kononnya. Lagi sekali, ini ialah penghinaan. Tanpa sedar kau sedang ‘judge’ orang yang depresi ini tidak bersyukur atau lebih sesuai lagi ‘spiritually weak’.
Cukup-cukuplah dengan ayat-ayat seperti ini. Belajar dan kenali depresi itu apa terlebih dahulu. Kau kena sedar mengikut kajian tahun 2020 penyakit mental akan menjadi penyakit no 2 paling tinggi di dunia. Kajian ini ialah kajian rasmi. Maka ini bukan isu untuk segelintir dari kita sahaja, ini ialah isu manusia sejagat.
Depresi BUKAN PENYAKIT ATTENTION SEEKER
Ini satu lagi. Aku pun tidak faham kenapa boleh dapat label sebegini dan ianya berlaku di negara kita. Sedangkan di negara-negara maju, depresi dipandang serius sehingga banyak tempat-tempat kaunselling ditubuhkan. Mereka ‘open’ dan sangat membantu dan memahami keperluan pesakit depresi. Berlaku adil kepada pesakit depresi kerana mereka tahu dan mereka kenal apa itu ‘mental illness’.
Depresi bukan bahan untuk kau ketawa dan perlekehkan. Kau kena belajar untuk kenali tanda-tanda, matang dan bantu yang mana boleh. Kerana depresi ini boleh bersembunyi disebalik senyuman. Kau jangan tertipu. Jaga ahli keluarga masing-masing.
Jangan pula berlaku sebaliknya dengan memburukkan lagi keadaan dengan perangai sombong dan rasa diri lebih baik dari orang lain.
Aku impikan satu hari nanti wujud ‘social awareness’ dan seterusnya membentuk ‘social support’ yang mantap dari netizen secara keseluruhan terhadap mereka yang menghadapi depresi.
Bagi kami, perjuangan aku dan bidadariku Husna masih perlu diteruskan. Kami belum lagi menjadi survivor dalam hal ini. Demi Allah, please doakan.
Aku sayang isteri aku. Aku sayang anak-anak aku. Yang pasti, depresi tidak akan sesekali berjaya merobohkan keluarga kami, bahkan akan membuatkan kami lebih kuat dan kuat lagi.
Pemakaian tudung atau selendang memerlukan kita untuk menggunakan pin atau jarum peniti supaya lebih kemas. Bukanlah situasi yang pelik apabila seseorang wanita mengepit jarum peniti atau pin tudung di bibir semasa mengenakan hijab. Tahukah anda, tabiat ini sangat berbahaya?
Malang tidak berbau, bukan sedikit kes wanita tertelan jarum peniti atau pin tudung. Ia berlaku di luar kawalan ketika mereka terbatuk, terbersin, menarik nafas atau ia terlucut dari bibir.
Dr Ahmad Samhan menerangkan tentang bahaya sekiranya berlaku situasi wanita tertelan jarum atau pin tudung ini.
Tabiat kepit pin tudung di bibir boleh bawa maut.
Pin tudung ni dah macam sahabat baik wanita. Kes tertelan pin tudung dah banyak kali terjadi.
Bagaimana boleh tertelan? Ia terjadi diluar kawalan. Kebiasaannya berlaku akibat terbatuk, terbersin, tarik nafas atau terlucut dari bibir.
Pin tudung ini samada akan masuk ke salur makanan(esophagus) seterusnya ke perut atau masuk ke salur pernafasan dan seterusnya ke paru-paru.
Jika masuk di salur makanan, ada kemungkinan akan keluar bersama najis jika tidak tersekat.
Jika masuk ke salur pernafasan, ia akan tersekat di paru-paru dan boleh mengakibatkan pendarahan yang serius atau pneumomediastinum seterusnya boleh membawa maut.
Kes sebegini akan dirawat menggunakan kaedah rigid bronchoscopy iaitu memasukkan kamera ke dalam saluran pernafasan sebelum menarik keluar objek berkenaan.
Jika tidak berjaya, maka pesakit tiada pilihan selain menjalani pembedahan di mana dada terpaksa dibelah untuk keluarkan objek berkenaan.
Simptom yang biasa berlaku apabila sesuatu objek asing ditelan adalah: 1. Tercekik 2. Kesukaran untuk bernafas 3. Batuk 4. Berdehit (wheezing)
Antara simptom yang berkemungkinan akan muncul apabila objek tersebut tersekat pada esofagus atau usus, termasuk: *Muntah *Air liur meleleh *Kesakitan pada bahagian dada atau tekak *Keengganan untuk makan *Sakit perut *Demam
Pemeriksaan sinar-X lebih terperinci dengan barium mungkin digunakan untuk membantu mencari objek yang tersekat yang tidak dapat dilihat sinar-X biasa.
Pemeriksaan sinar-X pada bahagian leher, dada dan perut mungkin dilakukan untuk membantu mencari sebarang objek yang mungkin dapat dilihat menerusi pemeriksaan ini
#Share info ini sebab kejadian ini boleh berlaku pada sesiapa saja.Sama-sama kita berpesan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pernahkah anda mengetahui berkenaan tandem breastfeeding? Bagi mereka yang tidak biasa dengan terma tersebut, tandem breastfeeding bermaksud penyusuan dua kanak-kanak atau bayi pada masa yang sama. Ini boleh terjadi melalui dua situasi, sama ada seseorang ibu itu menyusukan dua anak yang terdiri daripada anak yang lebih dewasa dan bayi yang baru lahir atau menyusukan dua bayi kembar.
Adakah saya perlu menggantikan susu dengan makanan lain bagi anak yang lebih berusia?
Semua pasti tahu, bahawa susu ibu adalah makanan yang terbaik bagi bayi dan anak yang sedang membesar. Kebanyakan ibu akan mula menggantikan susu dengan makanan gantian lain bagi anak yang lebih berusia sekiranya mereka telah mendapat kelahiran baharu.
Sebenarnya, kelahiran baharu bukanlah alasan untuk anda menghentikan penyusuan terhadap anak yang lebih berusia.
Anda boleh melakukan tandem breastfeeding dan ia ternyata memberikan kebaikan kepada anda dan juga anak anda. Perlu diingat, bahawa sistem imun kanak-kanak tidak dibangunkan secara sepenuhnya sehinggalah dia berusia dua tahun.
Oleh itu, susu ibu perlu terus diberikan kepada anak anda yang lebih berusia kerana ia akan memberikan antibodi yang menyokong imuniti yang sihat. Ini juga bertepatan dengan saranan WHO yang menyarankan agar anak diberikan susu ibu sekurang-kurangnya sehingga berumur dua tahun.
Adakah terdapat sebarang kebaikan atau keburukan kaedah menyusukan dua anak ini?
Setiap apa yang anda lakukan pasti terdapat pro dan kontranya yang tersendiri. Begitu juga dengan menyusukan dua orang anak, ia mempunyai kesan sama ada berbentuk positif atau negatif kepada kedua-dua pihak, iaitu ibu dan bayi yang disusukan.
Berikut merupakan kebaikan dan kelemahan kaedah menyusukan dua anak ini.
Kebaikan menyusukan dua anak
-Menyusukan dua anak boleh mengurangkan sifat cemburu dan meningkatkan ikatan antara adik-beradik
-Kanak-kanak belajar untuk berkongsi ketika usia mereka masih muda
-Menyusukan dua anak juga boleh mengeratkan hubungan antara ibu dan anak-anaknya
-Kanak-kanak yang lebih berusia akan terus mendapat manfaat daripada penyusuan susu ibu. Ini kerana penyusuan susu ibu akan memberikannya nutrisi, perlindungan imun, perlindungan usus selain manfaat terhadap emosi
-Tandem breastfeeding juga dapat melegakan pembengkakan payudara akibat pengumpulan susu
-Terdapat risiko yang rendah untuk mendapat kanser payudara pra-menopaus bagi ibu yang melakukan tandem breastfeeding
-Menggalakkan pengeluaran susu yang lebih banyak. Semakin banyak susu yang dikeluarkan, maka semakin banyak susu yang akan dihasilkan
Kelemahan menyusukan dua anak
-Tandem breastfeeding akan menyebabkan sesetengah daripada ibu yang menyusukan kanak-kanak mengalami penurunan berat badan berlebihan
-Perlu berhadapan dengan kritikan individu lain. Ini mungkin terjadi apabila mereka mengatakan bahawa bayi anda yang baru lahir akan mengalami kekurangan susu ibu apabila berkongsi penyusuan dengan adik-beradiknya yang lain
-Sesetengah ibu mungkin akan menyusukan anak atau bayi mereka pada waktu yang berasingan
-Sesetengah ibu juga mungkin akan mengalami rangsangan seksual yang lebih kuat apabila melakukan tandem breastfeeding, disebabkan oleh peningkatan tahap hormon tertentu.
-Sesetengah ibu juga akan berasa loya atau mual semasa menyusukan anak, dan hamil pada waktu yang sama
Bagi ibu yang tidak pernah menyusukan dua orang bayi mereka dalam waktu yang sama, anda boleh melakukannya tanpa perlu khuatir dengan risiko yang tidak berasas.
Ini kerana terdapat cakap-cakap orang yang mengatakan, menyusukan dua anak atau tandem breastfeeding akan menyebabkan bayi yang baru lahir mendapat susu yang lebih sedikit.
Dakwaan ini ternyata salah, kerana semakin banyak susu yang dikeluarkan, maka tubuh ibu akan menghasilkan susu lain dengan jumlah yang lebih banyak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...