
Tumpah darah selepas bersalin merupakan keadaan serius yang perlu diketahui oleh ibu dan ahli keluarga. Pendarahan selepas bersalin sememangnya boleh berlaku sebagai sebahagian daripada proses pemulihan, tetapi ibu dan ahli keluarga perlu tahu bahawa pendarahan yang terlalu banyak atau berlaku secara luar biasa tidak boleh dipandang ringan.
Keadaan yang dikenali sebagai Postpartum Hemorrhage (PPH) merupakan pendarahan berlebihan yang berlaku selepas kelahiran bayi. Jika tidak mendapatkan rawatan segera, kehilangan darah yang banyak boleh membahayakan nyawa ibu.
Sebab itulah pemantauan terhadap keadaan ibu tidak seharusnya terhenti sebaik sahaja bayi selamat dilahirkan.

Apa Itu Tumpah Darah Selepas Bersalin?
Tumpah darah selepas bersalin berlaku apabila seseorang ibu mengalami pendarahan berlebihan selepas melahirkan anak. Dalam keadaan tertentu, pendarahan juga boleh berlaku beberapa hari selepas ibu pulang ke rumah.
Walaupun terdapat ibu yang mungkin mempunyai risiko lebih tinggi, keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Justeru, ibu serta ahli keluarga perlu peka terhadap perubahan keadaan tubuh selepas bersalin.
Jangan menganggap semua pendarahan sebagai sesuatu yang normal, terutamanya jika jumlah darah bertambah banyak atau disertai simptom lain seperti sakit dan demam.
Kenali Tanda Tumpah Darah Selepas Bersalin
Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah:
- Darah merah terang keluar dengan banyak melalui faraj selepas bersalin
- Sakit pada bahagian bawah perut
- Demam
Sekiranya ibu mengalami mana-mana simptom ini atau berasakan sesuatu yang tidak kena dengan tubuhnya, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
Pendarahan yang banyak selepas bersalin tidak seharusnya ditunggu sehingga keadaan ibu menjadi semakin lemah. Rawatan awal penting bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

Kenapa Pendarahan Selepas Bersalin Boleh Berlaku?
Dalam kebanyakan kes, pendarahan selepas bersalin berlaku apabila rahim tidak mengecut dengan cukup kuat selepas bayi dilahirkan.
Selepas uri keluar, rahim sepatutnya mengecut bagi membantu menutup salur darah pada dinding rahim. Jika proses pengecutan ini tidak berlaku dengan baik, salur darah boleh terus mengeluarkan darah dan menyebabkan pendarahan berlebihan.
Antara keadaan yang boleh menyebabkan rahim sukar mengecut ialah proses kelahiran yang terlalu lama sehingga otot rahim mengalami keletihan.
Rahim juga boleh menjadi terlalu tegang ketika kehamilan, contohnya disebabkan kandungan berganda, jumlah cecair amnion yang terlalu banyak atau bayi bersaiz besar. Keadaan ini boleh menyebabkan rahim menjadi lebih sukar untuk mengecut selepas bersalin.
Selain itu, kewujudan ketumbuhan bukan kanser pada rahim juga boleh mempengaruhi proses pengecutannya.
Uri Tertinggal Juga Boleh Menjadi Punca
Satu lagi faktor yang perlu diberi perhatian ialah keadaan apabila sebahagian atau keseluruhan plasenta atau uri masih tertinggal di dalam rahim selepas kelahiran bayi.
Tisu uri yang tertinggal boleh mengganggu pengecutan rahim dan menyebabkan pendarahan berterusan. Selain masalah berkaitan rahim, luka atau koyakan pada serviks dan faraj semasa proses kelahiran juga boleh menjadi punca kehilangan darah selepas bersalin.
Jangkitan selepas kelahiran turut boleh dikaitkan dengan pendarahan yang berlaku kemudian.

Bagaimana Tumpah Darah Selepas Bersalin Dirawat?
Rawatan bergantung kepada punca dan tahap pendarahan yang dialami oleh ibu. Sekiranya pendarahan berpunca daripada rahim yang tidak mengecut dengan baik, doktor mungkin memberikan suntikan atau ubat tertentu untuk merangsang pengecutan rahim.
Doktor juga mungkin melakukan urutan pada bahagian abdomen bagi membantu rahim mengecut.
Sekiranya terdapat koyakan pada serviks atau faraj, bahagian tersebut mungkin perlu dijahit untuk menghentikan pendarahan. Bagi pendarahan yang berpunca daripada jangkitan, rawatan antibiotik boleh diberikan.
Dalam keadaan tertentu, prosedur atau pembedahan mungkin diperlukan bagi memeriksa rahim dan mengeluarkan bahagian uri yang masih tertinggal.
Sekiranya ibu kehilangan darah dalam jumlah yang banyak, pemindahan atau transfusi darah mungkin diperlukan bagi menggantikan darah yang hilang.
Dalam kes yang sangat serius dan apabila rawatan lain tidak berjaya mengawal pendarahan, pembedahan yang lebih besar termasuk histerektomi mungkin diperlukan untuk menyelamatkan nyawa ibu.
Jangan Tunggu Jika Pendarahan Semakin Banyak
Tumpah darah selepas bersalin merupakan keadaan kecemasan yang boleh membahayakan nyawa ibu. Lebih cepat puncanya dikenal pasti dan dirawat, lebih baik peluang untuk mengelakkan komplikasi serius.
Keselamatan ibu selepas bersalin sama pentingnya dengan keselamatan bayi. Jika terdapat sebarang keraguan tentang keadaan pendarahan selepas melahirkan, jangan bertangguh untuk mendapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

