
Tun Dr Siti Hasmah meninggalkan bukan sahaja legasi besar kepada negara, malah banyak teladan mengenai kehidupan berkeluarga dan cara mendidik anak. Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi, Isnin.
Allahyarham kemudian disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada petang hari yang sama dengan kehadiran suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad, anak-anak serta ahli keluarga. Pemergian beliau mengakhiri satu perjalanan kehidupan yang cukup panjang dan penuh jasa.
Pemergian Allahyarham pada 28 September 2026 menutup sebuah perjalanan hidup yang cukup panjang sebagai doktor, isteri, ibu, nenek dan tokoh kebajikan masyarakat.
Namun di sebalik nama besar beliau sebagai antara wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan dan seorang tokoh yang begitu dekat dengan isu kesihatan ibu serta kanak-kanak, ada satu sisi dirinya yang cukup dekat dengan hati ibu bapa caranya membesarkan tujuh orang anak dalam kesibukan kerjaya dan kehidupan berkeluarga.
Artikel Trending: “Furqan Mukmin Pergi Tanpa Signal, Post-Mortem Tak Detect Apa-Apa” Ibu Reda Pemergian Anak, Doktor Tak Jumpa Punca
Artikel trending:Tragedi FDS Rentap Bahagia Keluarga, Juruterbang Jelas 5 Persoalan, No. 4 Kenapa Mangsa Tak Guna Payung Terjun
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Kisah cinta Allahyarham dan Tun Dr Mahathir sentiasa menjadi perhatian ramai. Mereka berkenalan ketika sama-sama menuntut di King Edward VII College of Medicine di Singapura. Pada 23 April 1949, ketika kedua-duanya masih bergelar pelajar perubatan, Tun Dr Mahathir menyatakan perasaannya kepada Allahyarham.
Hubungan itu akhirnya membawa mereka ke alam perkahwinan pada 4 Ogos 1956. Mereka kekal bersama selama kira-kira tujuh dekad sehingga pemergian Allahyarham. Inilah yang dikatakan cinta ke hujung nyawa.
Perkahwinan mereka dikurniakan sebuah keluarga besar. Pasangan ini membesarkan tujuh orang anak, terdiri daripada empat anak kandung dan tiga anak angkat. Mereka ialah:
Sebagaimana laporan media sebelum ini menjelaskan bahawa empat anak kandung pasangan berkenaan ialah Marina, Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz, manakala Melinda, Mazhar dan Maizura ialah anak angkat mereka. Beliau juga mempunyai 18 orang cucu dan sudah mempunyai empat orang cicit.
Menariknya, walaupun Tun Dr Siti Hasmah sendiri dibesarkan pada zaman ketika hukuman fizikal dianggap perkara biasa, beliau mengambil pendekatan yang berbeza apabila membesarkan anak-anaknya.
Allahyarham sebelum ini pernah berkongsi bahawa dirinya masih percaya kepada disiplin dan ketegasan, tetapi pendekatannya sendiri sebagai ibu tidak bergantung kepada hukuman fizikal.
Sebaliknya, beliau percaya ibu bapa boleh menarik sementara keistimewaan tertentu yang dinikmati anak apabila mereka melakukan kesalahan. Lebih penting, ibu bapa perlu menerangkan mengapa sesuatu tindakan itu salah dan sebab anak dikenakan akibat tertentu.
Bagi beliau, mendidik bukan sekadar menghukum. Anak juga perlu diberi peluang bercakap. Allahyarham berpandangan ibu bapa perlu bertanya kepada anak mengapa sesuatu perbuatan dilakukan sebelum memberikan hukuman atau akibat. Pada masa sama, ibu dan ayah perlu konsisten serta tidak mudah mengubah keputusan hanya kerana anak menangis.
Pendekatan ini mungkin kedengaran ringkas, tetapi mesejnya masih relevan untuk ibu bapa hari ini tegas tidak bermaksud kasar dan disiplin tidak semestinya bermaksud memukul.
Satu lagi prinsip yang kuat dalam cara Allahyarham melihat keibubapaan ialah komunikasi. Allahyarham menekankan bahawa ibu bapa perlu mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan anak sehingga anak yakin mereka mempunyai tempat untuk kembali apabila berdepan masalah.
Menurutnya, komunikasi antara ibu bapa dan anak perlu sentiasa ada, malah hubungan itu sepatutnya diteruskan walaupun anak sudah dewasa, berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Prinsip itu dapat dilihat dalam perkongsiannya mengenai tujuh anak mereka.
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah menggambarkan setiap anak mempunyai personaliti dan kecenderungan masing-masing. Marina disifatkan sebagai seorang yang berdikari serta tegas dengan pendirian, Mirzan mempunyai minat dalam bidang kewangan, manakala Mokhzani pula mempunyai kebolehan dalam pengurusan.
Mukhriz pula menurutnya mempunyai sifat yang lebih hampir dengannya lembut tetapi tetap tegas. Ia memperlihatkan bagaimana seorang ibu boleh mengenali anak-anak sebagai individu yang berbeza, bukan mengharapkan semuanya membesar dengan karakter yang sama.
Mempunyai seorang ayah yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan tidak bermakna anak-anak diberikan segala-galanya dengan mudah. Allahyarham pernah menjelaskan bahawa pangkat dan kedudukan keluarga bukan tiket untuk anak-anak hidup bermewah-mewah.
Antara nilai yang Allahyarham dan suami tekankan ialah usaha sendiri, menghormati orang lain, berterima kasih, bekerja keras, amanah serta mengurus wang dengan baik.
Allahyarham turut mahu anak-anak membudayakan amalan kebajikan supaya mereka belajar bersyukur dan mempunyai kesedaran terhadap kehidupan orang lain.
Malah, apabila anak-anak mencapai kejayaan dalam pelajaran, Allahyarham dan Tun Dr Mahathir bersepakat untuk hadir ke majlis konvokesyen anak-anak apabila anak berjaya menamatkan pengajian. Bagi pasangan itu, kejayaan anak bukan hanya untuk diraikan dari jauh tetapi perlu disokong dengan kehadiran ibu dan ayah.
Sebagai doktor dan ibu bekerjaya, AllahyarhamTun Dr Siti Hasmah memahami cabaran membahagikan masa antara pekerjaan dan keluarga.
Allahyarham pernah mengakui mendapat bantuan daripada ibu bapa, keluarga mentua, adik-beradik serta penjaga yang dipercayai ketika anak-anak masih kecil. Namun bantuan orang lain tidak bermakna tanggungjawab ibu dan ayah diserahkan sepenuhnya kepada penjaga.
Ketika Allahyarham dan Tun Dr Mahathir sama-sama bekerja sebagai doktor, Allahyarham biasanya berada di rumah lebih awal bersama anak-anak. Tun Dr Mahathir pula sering pulang lewat kerana bertugas sebagai doktor am.
Namun Allahyarham pernah memberi tahu apabila suaminya pulang, antara perkara pertama yang dilakukan ialah meluangkan masa bersama anak-anak, mendukung mereka dan menghantar mereka tidur apabila tiba waktu malam.
Mereka juga cuba membawa anak-anak bersama apabila keluar. Selain mengeratkan hubungan keluarga, beliau melihat pengalaman itu sebagai salah satu bentuk pembelajaran kepada anak-anak.
Dalam satu lagi wawancara, beliau mengingatkan bahawa kesibukan bekerja tidak seharusnya menjadi alasan untuk ibu bapa mengabaikan anak.
Bagi Allahyarham, walaupun zaman berubah dan cabaran ibu bapa hari ini tidak sama seperti dahulu, anak tetap memerlukan perhatian daripada ibu dan ayah.
Malah seawal 2018,Allahyarham sudah menyuarakan kebimbangannya mengenai penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak.
Allahyarham tidak menolak manfaat teknologi sebagai sumber maklumat tetapi berpendapat ibu bapa perlu memantau kandungan yang dilihat anak dan menetapkan masa tertentu untuk penggunaan peranti.
Antara pendiriannya ialah tidak membenarkan gajet digunakan ketika waktu makan atau ketika keluarga sedang berkumpul. Bagi Allahyarham, hubungan langsung antara ibu bapa dan anak jauh lebih penting.
Pesanannya mudah ibu bapa perlu menyediakan masa untuk anak.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Sebagai seorang yang meletakkan pendidikan pada kedudukan penting, Allahyarham tetap mengingatkan bahawa pencapaian akademik sahaja tidak mencukupi.
Allahyarham menggalakkan ibu bapa supaya tidak mengabaikan pendidikan agama dan nilai moral. Anak perlu belajar menghormati orang lain, berlaku jujur, rajin dan mampu hidup bersama masyarakat daripada latar belakang berbeza. Pendekatan itu selari dengan kerjayanya sendiri yang banyak memberi tumpuan kepada keluarga.
Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah melanjutkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine di Singapura dan menamatkan pengajian pada 1955. Beliau kemudiannya mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak pada 1965 sebelum menjadi wanita pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak Negeri pada 1974,
Pengalamannya membawa beliau dekat dengan kehidupan ibu dan anak, terutama keluarga di kawasan luar bandar. Beliau terlibat dalam usaha imunisasi, kesihatan kehamilan, penjagaan bayi serta latihan kepada bidan kampung.
Selepas seabad kehidupan, Tun Dr Siti Hasmah meninggalkan jauh lebih daripada gelaran dan pencapaian.
Dalam konteks keluarga, mungkin antara legasi paling dekat dengan mak ayah ialah prinsip yang dibawanya sendiri ketika membesarkan anak-anak: tegas tetapi mendengar, memberi disiplin tanpa kekerasan, tidak memanjakan anak kerana kedudukan keluarga, menghargai pendidikan, mengajar mereka bekerja keras dan memastikan ibu bapa sentiasa menjadi tempat anak kembali.
Malah pesanan Allahyarham mengenai anak cukup jelas anak merupakan amanah yang perlu disayangi, dilindungi dan dijaga sebaik mungkin.
Daripada seorang doktor yang memperjuangkan kesihatan ibu dan kanak-kanak, kepada seorang ibu kepada tujuh anak, “Tok” kepada 18 cucu dan kemudiannya seorang moyang, kehidupan beliau meninggalkan banyak teladan tentang keluarga.
Al-Fatihah buat Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. Semoga segala jasa dan kebaikan beliau terus dikenang generasi akan datang.