Enam jam selepas anak diculik, sepasang suami isteri bersyukur anak sulung mereka yang berusia tujuh tahun ditemui selamat di belakang rumah kedai yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya.
Mangsa, Nur Damia Qaleesya dipercayai diculik di hadapan kediaman mereka di Taman Teratai, Iskandar Puteri.
Setiap petang bermain depan rumah
Menurut bapa mangsa, Mohd Khairul Nizam Shafii, 34, setiap petang anak sulungnya itu akan keluar bermain bersama rakan baiknya yang juga anak jiran mereka di hadapan rumah.
Katanya, sebelum kejadian anaknya itu sempat memaklumkan mahu bermain di rumah rakan baiknya yang terletak hanya 200 meter dari rumah mereka jam 4.30 petang semalam.
“Namun kira-kira jam 5 petang, anak kedua saya, Nur Rania Qaisarah, 5, pulang sambil menangis sebelum memaklumkan kakaknya menaiki kereta dipandu seorang lelaki tidak dikenali.
“Saya dan isteri, Nur Aida R Mohd Tahir, 34, panik sebelum bergegas mencari anak sulung di sekitar kawasan perumahan dan bertanya jiran, namun Damia gagal dikesan dan ditemui.
“Saya dan isteri terus bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bagi membuat laporan. Selepas enam jam saya membuat laporan, polis menghubungi saya memaklumkan anak sulung saya ditemui penduduk dan dihantar ke taman permainan berdekatan rumah saya, kira-kira jam 10.30 malam,” katanya ketika ditemui.
Masih lagi trauma
Ads
Terdahulu kes kehilangan Nur Damia yang dipercayai diculik tular di media sosial sejak tengah malam tadi.
Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan mengenai kes penculikan kanak-kanak itu.
“Bagaimanapun, kes ini masih dalam siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairul Nizam berkata, beliau amat bersyukur kerana anak sulungnya ditemui dalam keadaan selamat selepas mereka sekeluarga berada dalam keadaan trauma selama enam jam berikutan kehilangan Nur Damia.
“Sebaik polis memaklumkan anak sulung sudah ditemui, saya dan isteri bergegas ke taman permainan terbabit untuk bertemu Damia.
“Saya dan isteri menangis sebelum memeluk erat Damia. Tuhan saja tahu perasaan saya dan isteri ketika itu. Tiada kata-kata lain selain ucapan syukur kerana Damia selamat walaupun dia dilihat memakai pakaian berbeza berbanding ketika keluar petang semalam.
“Keadaan di taman permainan ketika itu ada beberapa orang penduduk dan polis, mereka turut membaca doa selamat. Selepas itu saya dan Damia di bawa ke Balai Polis Iskandar Puteri untuk diambil keterangan dan kami dibenarkan pulang selepas itu menjelang tengah malam tadi,” katanya.
Ads
“Tunggu pak cik belikan aiskrim..”
Sementara itu, Aliffi Abd Rahim, 28, individu yang menemui Nur Damia di belakang kedai makan di Taman Teratai, tidak menyangka gerak hatinya untuk makan di sebuah restoran yang baru dibuka di kawasan taman perumahan akhirnya dapat menyelamatkan kanak-kanak perempuan terbabit.
Katanya, sebelum pergi ke restoran terbabit bersama abangnya, Affandi 33, dia ada terbaca tular di media sosial mengenai kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dilaporkan diculik di Taman Teratai.
“Sewaktu saya lalu di laluan menuju ke restoran itu, keadaan agak sunyi namun tiba-tiba nampak kelibat seorang kanak-kanak perempuan di sebalik tembok di belakang deretan kedai di situ.
Ads
“Saya turun dari kereta dan melihat lebih dekat wajah kanak-kanak perempuan itu. Kelihatannya sama seperti gambar wajah kanak-kanak yang dilaporkan culik yang kisahnya tular di media sosial, yang juga jiran kami.
“Kanak-kanak perempuan itu dalam keadaan bingung sebelum beritahu nama dia Damia. Saya kemudian cuba pujuk dengan beritahu akan bawa pulang bertemu ibu bapanya apabila dia berkata sedang menunggu seorang pakcik membelikannya aiskrim. Namun, dia akhirnya ikut saya dan abang untuk dihantar pulang ke rumah,” katanya.
Aliffi berkata, beliau menyerahkan Nur Damia kepada anggota polis yang membuat kawalan di sekitar kediaman ibu bapa kanak-kanak berkenaan sebelum keterangannya turut diambil bagi membantu siasatan.
“Saya harap kejadian seumpama ini menjadi pengajaran dan tidak berulang,” katanya.
Virtual Baby Merangkak Race Pa&Ma is back!! Buat mama papa yang ada baby boleh merangkak, inilah masanya untuk anda sertai Virtual Baby Merangkak Race Pa&Ma! Serlahkan kepantasan dan kecomelan si manja merangkak dalam bemtuk video yang kreatif dan menarik.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong p erjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pergi bersama.. Itulah yang berlaku kepada tiga beranak apabila dijemput Allah secara serentak dalam kemalangan selepas kereta yang dinaiki terbabas di kilometer 47 Jalan Ipoh-Lumut dekat Bota.
Tiga yang maut itu termasuk bayi lelaki berusia 25 hari, bapa bayi tersebut dan nenek. Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa yang maut ialah pemandu Proton Wira yang juga kakitangan Pejabat Pertanian Titi Gantong, Zamzainal Ahmad Kusharay, 49; ibu mentuanya, Salmah Abdul Manap, 65 dan bayi lelaki Zamzainal iaitu Mior Muhammad Qalish Zamzainal.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, dua lagi ahli keluarga yang cedera ialah isteri Zamzainal yang berusia 32 tahun dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun.
Kereta hilang kawalan
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu dari arah Lumut menghala ke Ipoh sebelum hilang kawalan lalu terbabas.
“Apabila tiba di lokasi kejadian kereta yang berada di laluan kanan dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar penghadang jalan besi sebelah kanan.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta dan ibu mentuanya mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Bayi lelaki pula disahkan meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang,” katanya.
Menurutnya, isteri mangsa dan seorang lagi anak pasangan itu dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut. Namun dalam perkembangan baru difahamkan anak lelaki pasangan ini telah pun dipindahkan ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan susulan.
“Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terpaksa beritahu keadaan sebenar pada kakak
Menurut Ismawati Ahmad Kusharay, adik kepada Zamzainal, ketika kejadian abang sulungnya itu bersama isteri dalam perjalanan untuk menghantar ibu mentuanya ke rumah di Seri Iskandar.
“Chor (panggilan untuk arwah abang) bawa ibu mentua dan bayi lelakinya ke Hospital Seri Manjung untuk pemeriksaan kesihatan dan ketika itu juga saya bersama keluarga juga baru pulang dari Manjung.
“Saya ada lihat kemalangan kira-kira 3.30 petang dan tak menyangka mangsa itu abang sendiri. Ketika itu hanya Chor dan ibu mentuanya masih dalam kereta manakala isteri serta dua anak lelakinya sudah dibawa ke hospital,” katanya.
Katanya, selepas kejadian itu, kakak iparnya yang masih dalam pantang bertanya mengenai keadaan Zamzainal dan ahli keluarga terpaksa memaklumkan kejadian sebenar.
“Kakak ipar sangat sedih selepas mengetahui Chor sudah tiada namun dia reda dengan takdir ini.
Setiap pasangan yang berkahwin pasti menginginkan cahaya mata sebagai penyeri hidup mereka sekeluarga. Namun tak semua bernasib baik, Puan Haura Esha berkongsi pengalaman apabila cahaya mata yang ditunggu selama ini pergi buat selama-lamanya sejurus selapas dilahirkan.
Catatan UMI RINDU ANAK UMI. AL FATIHAH
6/8/2018 7.50 pagi
Adik, tahu tak. Sehari sebelum umi lewat period umi dengan abi dan kawan kawan yang lain naik gunung jerai. Masa ni umi banyak sangat berjalan. Sampai kan tiap hari umi hitung hari sebab nak tengok bulan tu period lewat tak. Lama dah kami tunggu kehadiran adik. 15/9 ni cukup 2 tahun umi abi bina masjid, bagi mereka yang dah ada anak mungkin masih baru. Tapi tidak bagi umi. Umi rasa lama sangat penantian ni . Masa umi naik gunung jerai tu, umi dah rasa tak sedap badan. Rasa mual. Rasa nyucuk je kadang perut ni. Tapi umi tak berharap pun sebab dah banyak duit umi habiskan untuk beli opk dengan upt sebelum ni. Kadang kadang umi test tanpa pengetahuan abi. Lepas test terus umi buang. Result mengampakan. Kadang abi tanya dah test ke. Umi cakap belum. Sebab umi taknak abi tahu result nya negative. Begitulah bulan demi bulan berlalu.
YaAllah, tiap bulan umi tunggu saat saat ni. 2 hari lewat umi tak test lagi sebab umi anggap Allah nak bagi umi peluang untuk beribadat padaNya. Disaat abi sedang lena dibuai mimpi. Umi bangun mohon taubat dan keampunan dengan Allah. Umi tahajud. Umi nangis sepuas hati sampai tak keluar suara, dengan harapan moga Allah bagi umi merasai nikmat ni. Umi pun teringin juga nak ada anak. 5 hari berlalu, umi pelik kenapa masih takdatang jugak. Malam tu umi dapat mimpi upt double line. YaAllah seronok sangat walaupun tu cuma mimpi.
Pregnant 3+
Esok tu umi terus test, tapi umi tak berharap pun. MasyaAllah clear blue naik pregnant 3+ .Gembiranya umi. Tapi umi tak bagitahu lagi abi. Malam tu umi buat suprise. Sujud syukur abi kamu. Terus dia datang gosok perut umi panggil assalamualaikum baby. baby buat apa tu. Seronok umi tengok dia. Akhirnya umi dapat bagi dia zuriat. Hari demi hari berlalu. Abi ikutkan semua kehendak umi nak makan apa. Banyak abi beli buah. Susu. Umi rindu saat saat ni. Kadang bila takdapat apa yang umi nak, mesti menangis. Kenangan. Makin hari adik makin membesar,dengan alahan nya yang teruk. Sampai kadang muntah keluar darah sikit sebab luka. Tapi takpa, umi okay je. Demi adik anak umi yang umi cinta.
Adik, umi rindu adik. Adik anak yang menyenangkan. Selama umi kandung kan adik 6 bulan 1 hari. Adik takda masalah apa pun. Semua okay. Hb umi pun okay. Kenangan terindah bila umi dapat rasa gerakan adik. Rindunya. Adik yang selalu teman umi kemana mana. Benda yang paling umi abi taksabar adalah bila dapat tarikh nak scan. Kami seronok dapat tengok buah hati kami walaupun melalui scan.
Air ketuban pecah
Umi ingat lagi. 31/7 pukul 8.15 pagi macam tu, umi tengah baring ke kanan. Pastu bila umi nak pusing ke kiri umi rasa adik aktif sangat. Tiba tiba PAPPPPPPP! Ketuban pecah. Umi dengan kuasa veto pergi tandas ingatkan air kencing, makin lama makin banyak, rasa suam panas. Takdapat nak kawal. Sah bukan air kencing. Ketuban pecah. Umi jerit panggil abi. Suruh siap. Habis air ketuban bersepah dekat rumah pondok kita. Rumah pondok. Besar mana lah sangat kan. Umi pakai jubah, tudung. Habis basah jubah umi masa ni. Dengan keadaan kalut ingat dah nak beranak sampai umi lupa nak pakai purdah. Masa nak turun tangga sekali 3 anak tangga umi lompat, masa tu dah tak fikir dah akan jatuh tergolek ke apa. Janji anak umi selamat. Sampai laboor room, pelatih lelaki seluk. Pastu doktor pulak seluk, jalan dah bukak 2cm. Tapak Kaki adik dah keluar. Bacaan ketuban 2 .Bila diingatkan balik, 2minggu sebelum ketuban pecah umi ada kene cirit birit dalam 10 hari macam tu ,umi dah pergi kk, doktor cuma bagi air garam je. Umi takpergi kecemasan terus sebab umi tahu nanti akan kene tahan wad. Kebetulan masa tu umi abi tengah kering. Mana nak bayar bil spital. Tu apa yang umi fikir masa tu. Sedangkan rezeki Allah taala tu luas. Umi lupa.
Masa dalam wad seminggu, umi cakap kat abi. Pujuk lah adik supaya dia keluar. Umi kesian kat adik ,sebab kaki adik dah keluar tapi kuasa Allah umi takrasa pun kaki adik keluar, cuma bila adik bergerak umi rasa ngilu. ,umi taknak adik pergi dalam perut. Umi nak tengok adik keluar masih bernyawa. Abi usap perut, abi cakap
“Dik, keluar la. Umi abi taksabar tunggu adik. Kesian umi. Abi umi redha kalau jadi apa apa .muhammad alwi anak yang baik. Permudahkan lah urusan umi “
Seminggu umi kene tahan wad. Tiap malam umi luangkan masa di bilik solat. Tiap malam umi bacakan yasin untuk adik. Supaya adik dapat bertahan. Disaat mereka yang menunggu masa bersalin lena dibuai mimpi. Umi sorang sorang duk menangis dalam tu. Perit kan dik, menangis tak keluar suara ni. Umi cuma fikirkan macam mana nak selamatkan adik. Nak balik rumah cepat .Malam sebelum umi bersalinkan adik, kuat sangat adik menedang. Seronoknya umi. Hilang semua kesedihan umi waktu tu. Sebab dah seminggu kot umi kene tahan wad. On antibiotik 6 jam sekali. On dexa dua dos. Sebab ketuban pecah awal. Pukul 3 pagi umi tersedar sebab adik duk mengeras je taktahu berapa minit sekali. Umi cakap dekat adik.
” kenapa anak umi mengeras. Adik tak selesa eh kat dalam. Mungkin sebab ruang sempit kot. Yelah ketuban dah takde kan. Sabar eh. Jap lagi umi g tandas. Adik kuat eh. Kalau adik kuat umi pun kuat. “
Pastu adik mengeras lagi, kemudian adik aktif menendang. Umi termenung jap kat katil. Sebelum 3 hari adik nak keluar, umi dah mimpi adik akan pergi tinggalkan umi. pastu umi pujuk adik. Umi cakap lagi kat adik.
” Adik. Kalau adik nak pergi. Adik pergilah dik. Umi dah redha. InsyaAllah umi akan cuba untuk kuat. Umi nak balik rumah. Umi rindu abi. Umi serabut duk hospital. Kene cucuk. Sakit dik. Umi dah redha. Umi sayang adik. InsyaAllah kalau adik keluar, adik hidup. Umi sanggup jaga adik. Ulang alik hospital pun takpe. Umi sanggup datang jaga adik. Okay lah jum kita g tandas. Umi nak solat sunat. Kita solat sama sama eh “
Jam di skrin telefon menunjukkan dah pukul 3.30 pagi. Lagi sekali rasa mengeras. Sakit pinggang halus halus ja. Gagah kan diri pergi tandas. Masa umi g tandas tu, umi tengok darah ketul keluar. Umi gelabah dah. Terus g kat kaunter,bagitahu nurse,nurse suruh duk kat katil dulu . Masa ni umi tak tenang dah. Umi mesej abi suruh siap sedia.
Bersalin
Pukul 5 setengah umi ditolak ke laboor room. Doktor cek jalan dah 5cm. Kaki adik dah keluar sampai lutut dah. Tapi kuasa Allah umi tak rasa apa. Sakit pun takde. Alhamdulillah. Nikmat,buat ctg jantung adik okay. Takde apa masalah. Adik pun aktif je . Kuatnya anak umi ni. Pastu doktor tinggal kan umi sorang sorang dalam bilik pramatang. Doktor cakap kalau ada rasa benda keluar terus panggil nurse. Taklama kemudian pukul 6.30 pagi umi masuk laboor room. Umi mesej abi suruh masuk. Pukul 6.45 cemtu abi masuk. Pukul 7 nurse pasang drip induce. Pastu nurse pergi mana tah. Pastu nurse lain lak datang. Pastu umi bagitahu nurse rasa nak kencing. Nurse pun cakap nak pasang tiub terus tak rasa nak kencing .takut. pastu nurse tanya ada rasa sakit tak. Contraction. Umi cakap takde. Umi tanya macam mana rasa Contraction.
7.30 pagi Pastu masa nurse duk pasang tiub air kencing tu. Tiba tiba umi rasa macam ada benda nak keluar. Tapi umi tak rasa sakit. Masa ni kuat sangat adik bergerak. Umi bagitahu nurse.
” Nurse, saya rasa macam ada benda nak keluar. Saya nak teran eh. Tapi tak rasa sakit. “
“Mana doktor. Mana MO. Takda orang ke ni. Patient bilik pramatang dah nak bersalin. YaAllah mana ni doktor. Kaki badan baby dah keluar ni. Bergerak lagi ni. Adik selawat dik. “
Suami tak henti bisik suruh baca ” Allah hu, zat yang Esa “ Masa ni dah penat sangat meneran. Rasa dah putus asa. Sebab tenaga dah kurang. Tiba tiba ramai gila pelatih laki masuk. Ya tuhan. Terus terbantut nak meneran. Termenung kejap. 7.40 doktor pun datang. Diaorang baik sangat. Walaupun lambat tapi takpe lah. Asbab je semua tu. Doktor suruh push. Doktor pun cakap kalau dah takboleh nak teran. Puan rileks ya. Kalau boleh biar lah dia keluar dengan sendiri. Lagipun saya tengok dia dah tak bergerak ni.
Masa ni dah rasa ada kekuatan. Umi pun sebut Allahuakbar 3 kali. 7.50 keluarlah anak lelaki umi yang hensem, cukup sifat sempurna seberat 770g. YaAllah seronok sangat umi rasa waktu ni. Tapi umi lupa yang anak umi dah takde. Anak umi lemas. Sebab kepala lambat keluar. Abi tak henti bagi semangat. Abi umi redha. Abi letak adik atas badan umi. Masa ni umi berharap yang adik akan bergerak balik. Tapi takda pun. Umi belai jari adik yang tidak bernyawa . Usap kepala adik. Cium adik. Wangi nya. Darah pun takde kat badan adik abi cakap.
Anak saya dah takda
Tak lama lepastu nurse amek adik. Abi suruh nurse mandikan adik. Sebab abi nak uruskan kubur adik. Nak carikan orang. Dia kalut sangat masa tu. Taklama lepastu umi ditolak masuk ke bilik rawatan. Kebetulan dalam bilik rawatan tu ada kawan umi dari wad yang sama. Dia pun bersalin malam sebelum adik lagi. Dalam bilik tu ada tiga orang. Kawan umi duk hujung sekali belah kiri. Umi duk hujung belah kanan dekat ng pintu masuk. Pastu sorang lagi umi tak kenal. Dia duk tengah. Umi ingat umi kuat. Masa umi masuk tu kawan umi tanya.
“Baby mana.? dah bersalin eh? Baby laki ke perempuan? Berat berapa?
Umi cakap dah. Alhamdulillah. Lelaki. 770g. Tengah dimandikan. Taklama kemudian budak yang katil tengah tu tengok luar,ada nurse pegang adik dan dia cakap ehh eh, anak siapa tu. YaAllah kesian nya. Pastu umi pandang luar. Umi tengok kain batik tu. Umi kenal kain batik tu. Taklama lepastu umi nampak abi. Adik dah siap dimandikan. Terus umi meraung. Umi cakap. Kak! Tu anak saya. Anak saya dah MENINGGAL .SAYA RINDU ANAK SAYA.
KUAT SANGAT umi nangis masa tu. Sampaikan diorang pun nangis sekali. Pastu nurse pun tutup tirai. Tak bagi diorang sembang dengan umi. Sebab nurse takut diorang tanya umi soalan macam macam.
Lepas adik dah dimandikan. Dikafankan. Abi bawak adik jumpa umi. Tapi dengan syarat kalau nak tengok adik. Umi takboleh nangis.Masa abi bukak ikatan tu. Umi dapat tengok muka adik.Umi dapat kekuatan yang luarbiasa. Sebelum ni umi taktahu pun adik lelaki ke perempuan. MasyaAllah comelnya anak umi. Sempurna cukup sifat. Dengan hidung mancung .hensemnya. putih sangat. Lembut je pipi adik. Geram umi tengok mulut adik yang tersenyum indah. Adik dah nampak syurga lah tu kan. Seronoknya. Alhamdulillah umi bangga ada anak syurga. Umi peluk cium adik. Belai pipi lembut adik. Wangi nya adik. Orang yang mandikan adik pakaikan adik celak atas permintaan abi. Pastu abi suruh pakaikan buat macam serban. Allahu comel sangat. Geram umi tengok adik. Walaupun adik dah tak bergerak. Umi rasa tenang sangat masa tu. Umi kuat masa tu. Tak nangis pun.
Abi senyum je dik. Dia cakap ank umi hensem.Masa abi dah nak bawak balik adik. Umi bagi ciuman terakhir buat adik. Abi dengan adik dah takda depan umi. Umi termenung.siapa nak isap susu umi ni
Dalam kesedihan umi merasakan ketenangan dan seronok. Doktor bagi umi ubat stop susu. Dik, maaf sebab takdapat nak susu adik. Umi pun teringin jugak macam mereka. Dapat menyusu dan peluk anak mereka. Adik, umi mintak maaf sebab umi takdapat nak temankan adik sampai kubur. Maaf sebab umi takde masa adik balik ke rumah baru adik. Maaf dik. Umi kene duduk wad masa tu. Tapi umi janji lepas habis pantang umi pergi melawat anak umi. Umi rindu adik.
Terima kasih dik sebab hadir dalam hidup dan rahim umi selama 6 bulan 1 hari. Walaupun sekejap umi dapat merasa. Umi seronok. Dapat merasai nikmat ni semua. Terima kasih sebab permudahkan urusan umi. Dik, baju adik tu, barang barang adik tu siapa nak pakai dik.
Mana adik, umi rindu. Baru je umi rasa adik menedang, bergerak. Tiba tiba adik dah takde . Kadang umi lupa yang adik dah takde. Umi usap perut.Patutnya due adik 25/11 ni. Dik, masa umi mula mula solat dalam pantang. Umi berdoa macam biasa umi doakan sebelum adik pergi. Sampai sekarang umi terbawak bawak. Umi doa
” yaAllah. Terima kasih alhamdulillah masih lagi diberi peluang untuk bersama dengan zuriat ku. Terima kasih Allah. Jadikan anak ini anak yang soleh solehah. Anak yang diberkati….. “
Sampai je dekat diberkati umi baru sedar yang anak umi dah takde. Umi menangis kat situ jugak. Pastu umi cakap dekat Allah. YaAllah, kenapa dengan aku ni. Anak aku dah takde la yaAllah.
Kejap je masa berlalu dik. Harini dah 40 hari adik pergi tinggalkan umi. Umi takkan lupakan adik sampai bila bila.
Dekat sini jelah umi meluah apa yang umi rasa. Dengan sokongan dan semangat dari kawan kawan umi kat dalam ni. Umi kuat.
Nanti, jangan lupa tarik umi dengan abi ke syurga tau. Jangan lupa cari umi ya adik. Umi janji lepasni akan jadi ibu dan isteri yang baik untuk abi. Umi akan cuba baiki diri. Dik, nanti kalau abi pergi kelas siapa yang nak temankan umi macam selalu
umi dah puas hati dapat cium adik. Belai adik.Ni je gambar adik yang umi ada. Bila umi rindu umi tengok ni jelah. Bila tengok barang barang adik. Umi sebak. Tapi sekarang umi dah kuat.
Umi sayang anak umi. MUHAMMAD ALWI BIN MUHAMMAD SYAHIRAN
Rezeki Allah siapa nak duga! Tapi itulah yang berlaku pada sebuah keluarga di Melaka apabila menerima kehadiran seorang bayi perempun yang dianggap oleh mereka ‘bayi ajaib’ kerana tersorok disebalik dua ketumbuhan dalam perut ibunya.
Melalui laporan Harian Metro, kehadiran bayi yang dilahirkan pada 19 Jun lalu dengan selamat langsung tidak disangka kerana ibunya tidak pernah menyedari kehamilan tersebut sehinggalah tiba hari untuk membuat pembedahan membuang dua ketumbuhan dalam perut.
Tak sangka mengandung lagi!
Bercerita mengenai kehadiran bayi perempuan yang dinamakan Nur Iman Amani Widodo ini, ibu bayi tersebut Sanisah Abu Bakar, 45, anggap ini semua rahsia Allah dan rezeki untuknya sekeluarga selepas mempunyai lima orang anak sebelum ini.
“Segalanya bermula apabila ahli keluarga ingatkan saya menghidap ketumbuhan dalam perut yang menyebabkan perut sering berasa sakit.
“Namun tak sangka, dalam masa sama mengandungkan seorang anak yang cukup sifatnya,” kongsi Sanisah.
Scan tak nampak bayi, hanya dua ketumbuhan
Suami Sanisah, Widodo Sinasim, 47, berkata, dia tidak menyangka isterinya hamil sehinggalah Sanisah mengadu mengalami kesakitan yang tidak tertanggung minggu lalu.
“Doktor di Hospital Melaka memang ada melakukan ujian imbasan, tetapi tidak dapat mengesan ada bayi dalam perut isteri saya sebelum ini. Apa yang dikesan hanyalah dua ketumbuhan.
“Doktor melakukan pembedahan dan berjaya mengeluarkan ketumbuhan seberat 500 dan 800 gram.
Bagaimanapun dalam masa sama ketika proses membuang ketumbuhan itulah, doktor terkejut apabila mendapati ada bayi dalam perut isteri lalu menyelamatkan anak itu daripada perkara tidak diingini,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin di kediamannya di Kampung Kuala Linggi.
Widodo bagaimanapun berkata, beliau, isteri dan lima anak mereka berusia enam hingga 19 tahun menyambut kehadiran bayi itu dengan penuh kesyukuran dan menganggapnya sebagai keajaiban kerana tiada siapa menjangkakan kehadirannya.