Keibubapaan

Ubat Cacing Kanak-Kanak: 7 Petanda Amaran Anak Dijangkiti Cacing Yang Ramai Ibu Bapa Terlepas Pandang

Share

Jangkitan cacing dalam kalangan kanak-kanak bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan. Walaupun kelihatan seperti masalah biasa, ia boleh memberi kesan kepada tumbesaran, pemakanan dan tahap kesihatan anak jika tidak dirawat dengan segera. Oleh sebab itu, pemberian ubat cacing kanak-kanak secara berkala sangat penting sebagai langkah pencegahan dan rawatan.

Ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa simptom jangkitan cacing sering menyerupai penyakit biasa. Ketahui tanda-tandanya supaya tindakan awal dapat diambil.

Kenapa Ubat Cacing Kanak-Kanak Sangat Penting?

Ubat cacing kanak-kanak ialah ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan cacing dalam tubuh. Cacing merupakan parasit yang hidup di dalam sistem pencernaan manusia dan boleh menyebabkan pelbagai komplikasi jika tidak dirawat.

Antara jenis cacing yang sering menjangkiti kanak-kanak ialah:

  • Cacing kremi (pinworm)
  • Cacing gelang (roundworm)
  • Cacing pita (tapeworm)
  • Cacing kerawit atau cacing kait (hookworm)

Kebanyakan ubat cacing mengandungi bahan aktif seperti mebendazole, albendazole atau pyrantel pamoate yang berfungsi membunuh atau menghalang pembiakan cacing di dalam usus.

Mengapa Kanak-Kanak Mudah Dijangkiti Cacing?

Kanak-kanak lebih mudah dijangkiti kerana mereka gemar bermain di luar rumah, menyentuh tanah, berkongsi permainan dan kadangkala memasukkan tangan ke dalam mulut tanpa mencuci tangan terlebih dahulu.

Selain itu, jangkitan juga boleh berlaku melalui makanan atau minuman yang tercemar serta sentuhan dengan individu yang telah dijangkiti.

Jika dibiarkan, jangkitan cacing boleh menyebabkan:

  • Gangguan sistem pencernaan.
  • Kekurangan zat makanan.
  • Anemia akibat kehilangan darah.
  • Pertumbuhan fizikal dan perkembangan mental terbantut.
  • Sistem imun menjadi lemah.

Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya

7 Petanda Anak Dijangkiti Cacing

1. Gatal Pada Bahagian Dubur

Antara simptom paling biasa ialah kegatalan pada bahagian dubur, terutama pada waktu malam apabila cacing keluar untuk bertelur. Anak mungkin sukar tidur, sering menggaru atau mengalami kemerahan pada kawasan tersebut.

2. Najis Tidak Normal atau Cirit-Birit

Perhatikan perubahan pada najis anak. Ada sesetengah jenis cacing hanya boleh dikesan melalui pemeriksaan makmal, namun najis yang berbau terlalu busuk, cirit-birit berulang atau kelihatan seperti terdapat cacing memerlukan pemeriksaan doktor dengan segera.

3. Cepat Letih dan Kurang Bertenaga

Anak menjadi kurang aktif, mudah mengantuk, lesu dan tidak lagi berminat bermain seperti biasa. Dalam sesetengah kes, lingkaran hitam di bawah mata juga boleh kelihatan.

4. Mudah Jatuh Sakit

Jangkitan cacing boleh melemahkan sistem imun. Anak mungkin kerap mengalami demam, batuk berpanjangan, alahan, gatal pada kulit, kaki bengkak atau masalah anemia.

Bagi sesetengah jenis cacing, larvanya boleh berhijrah ke paru-paru dan menyebabkan batuk atau simptom seperti lelah.

5. Berat Badan Tidak Bertambah

Ada kanak-kanak yang masih mempunyai selera makan yang baik tetapi berat badan tidak meningkat. Ini berlaku kerana cacing menyerap nutrien daripada makanan yang dimakan.

6. Sakit Perut dan Muntah

Jangkitan yang lebih serius boleh menyebabkan sakit perut, loya, muntah, cirit-birit, kembung dan dalam keadaan tertentu boleh mengakibatkan usus tersumbat.

7. Mengetap Gigi Ketika Tidur

Walaupun bukan simptom utama, sesetengah kanak-kanak yang dijangkiti cacing akan mengetap gigi ketika tidur akibat rasa tidak selesa seperti kegatalan, sakit perut atau gangguan tidur.

Tanda-Tanda Lain Yang Perlu Diberi Perhatian

  • Hiperaktif.
  • Sakit kepala.
  • Sensitif terhadap cahaya.
  • Gusi atau hidung berdarah.
  • Wajah kelihatan pucat.
  • Sembelit.

Bila Anak Perlu Mengambil Ubat Cacing?

Secara amnya, ubat cacing diberikan setiap enam bulan sekali bergantung kepada keadaan anak dan penilaian doktor. Dos yang digunakan lazimnya ialah:

  • 200 mg untuk kanak-kanak bawah dua tahun (mengikut nasihat doktor).
  • 400 mg untuk kanak-kanak berusia dua tahun ke atas.

Jangan memberikan ubat tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi, terutama bagi bayi, kanak-kanak yang mempunyai penyakit tertentu atau sedang mengambil ubat lain.

Kebaikan Ubat Cacing Kanak-Kanak

Pemberian ubat cacing kanak-kanak secara berkala membantu memastikan anak membesar dengan sihat serta mengurangkan risiko komplikasi akibat jangkitan parasit.

  • Meningkatkan penyerapan vitamin dan mineral.
  • Membantu mencegah anemia.
  • Meningkatkan selera makan.
  • Menyokong pertambahan berat badan yang sihat.
  • Mengurangkan sakit perut dan gangguan pencernaan.
  • Meningkatkan tenaga, kecergasan dan tumpuan.
  • Menyokong tumbesaran fizikal serta perkembangan minda.

Cara Mencegah Jangkitan Cacing

  • Basuh tangan dengan sabun sebelum makan dan selepas ke tandas.
  • Pastikan kuku anak sentiasa pendek dan bersih.
  • Elakkan anak berjalan tanpa kasut di kawasan tanah.
  • Pastikan makanan dimasak dengan sempurna.
  • Minum air yang bersih dan selamat.
  • Cuci cadar, pakaian dan tuala secara berkala jika terdapat jangkitan cacing kremi.
  • Berikan ubat cacing mengikut jadual yang disarankan oleh doktor.

Kesimpulan

Jangkitan cacing boleh berlaku tanpa disedari dan simptomnya sering dianggap sebagai masalah biasa. Oleh itu, ibu bapa perlu peka terhadap perubahan pada anak serta mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya terdapat tanda-tanda yang mencurigakan.

Pemberian ubat cacing kanak-kanak secara berkala, bersama amalan kebersihan yang baik dan pemakanan seimbang, merupakan langkah penting untuk memastikan anak membesar dengan sihat, aktif dan bebas daripada jangkitan parasit.

Penafian: Artikel ini bertujuan sebagai maklumat umum dan tidak menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan daripada doktor. Sentiasa dapatkan nasihat profesional kesihatan sebelum memberikan sebarang ubat kepada kanak-kanak.

Sumber: Hellodoktor  & mamz.com.

 

Published by
Nor Yusoff