
Ubun-ubun bayi yang kelihatan lembut dan kadangkala berdenyut sering membuatkan ibu ayah berasa risau. Ada yang takut untuk menyentuhnya, manakala sesetengah individu pula percaya ubun-ubun perlu ditekan atau diurut supaya bentuk kepala bayi menjadi lebih cantik.
Namun, perbuatan menekan ubun-ubun bayi sebenarnya tidak memberikan sebarang manfaat. Menerusi perkongsian Public Health Malaysia, ibu ayah dinasihatkan supaya tidak menekan atau menghentak kepala bayi, terutama pada bahagian ubun-ubun.
Sentuhan lembut ketika memandikan, mencuci rambut atau menjalani pemeriksaan doktor adalah selamat. Apa yang perlu dielakkan ialah tekanan, urutan kasar atau hentakan kuat pada kepala bayi kerana ia boleh meningkatkan risiko kecederaan.
Ubun-ubun bayi atau fontanelle ialah kawasan lembut pada kepala bayi yang terbentuk kerana tulang tengkoraknya belum bercantum sepenuhnya.
Ubun-ubun hadapan atau fontanelle anterior terletak di bahagian atas kepala dan lazimnya berbentuk seperti berlian. Kawasan ini mempunyai fungsi penting kerana memberi ruang kepada otak bayi untuk membesar serta membantu kepala melalui saluran kelahiran ketika bayi dilahirkan.
Walaupun kelihatan lembut, bahagian tersebut sebenarnya dilindungi oleh lapisan membran yang kuat. Oleh itu, ibu ayah tidak perlu terlalu takut untuk menyentuhnya secara lembut ketika menguruskan kebersihan bayi.
Ubun-ubun hadapan biasanya akan tertutup secara beransur-ansur sekitar usia sembilan hingga 18 bulan. Tempoh ini boleh berbeza antara seorang bayi dengan bayi yang lain dan masih dianggap normal.
Ada yang mungkin menekan ubun-ubun bayi untuk memeriksa keadaannya atau mengurutnya kerana percaya perbuatan tersebut boleh mempercepatkan penutupan ubun-ubun atau membentuk kepala yang lebih cantik.
Hakikatnya, menurut Public Health Malaysia, menekan ubun-ubun tidak memberikan sebarang manfaat kepada bayi. Malah, tekanan yang kuat boleh meningkatkan risiko kecederaan kerana kepala dan leher bayi masih dalam proses perkembangan.
Ibu ayah juga tidak perlu menekan kawasan tersebut untuk mengetahui sama ada ubun-ubun normal atau tidak. Pemeriksaan sepatutnya dilakukan oleh doktor atau petugas kesihatan yang terlatih.
Elakkan juga mengetuk, menghentak atau mengurut kepala bayi dengan kasar. Bayi mempunyai struktur kepala yang masih berkembang dan memerlukan perlindungan daripada sebarang tekanan yang tidak perlu.
Walaupun ubun-ubun bayi perlu dilindungi, ini tidak bermakna ibu ayah langsung tidak boleh menyentuhnya.
Sentuhan lembut adalah selamat ketika:
Gunakan hujung jari dengan perlahan tanpa memberi tekanan. Jika terdapat kerak kepala atau cradle cap, jangan mengopek atau menggosoknya dengan kasar. Dapatkan nasihat petugas kesihatan mengenai cara membersihkannya dengan selamat.
Ramai ibu ayah bimbang apabila melihat ubun-ubun bayi berdenyut mengikut degupan jantung. Sebenarnya keadaan ini biasanya normal kerana terdapat saluran darah di bawah kawasan tersebut.
Ubun-ubun juga boleh kelihatan sedikit timbul ketika bayi menangis, batuk atau meneran. Ia sepatutnya kembali kepada keadaan biasa apabila bayi sudah tenang dan berada dalam posisi tegak.
Apa yang lebih penting ialah keadaan ubun-ubun ketika bayi sedang berehat dan tenang, bukan ketika sedang menangis.
Perubahan ketara pada ubun-ubun bayi kadangkala boleh menjadi petunjuk bahawa bayi memerlukan pemeriksaan perubatan dengan segera.
Dapatkan rawatan jika:
Ubun-ubun yang cengkung boleh dikaitkan dengan kekurangan cecair, terutama jika bayi turut mengalami mulut kering, kurang air mata ketika menangis atau kurang membuang air kecil.
Sementara itu, ubun-ubun yang membonjol secara berterusan ketika bayi tenang perlu dinilai segera oleh doktor. Jangan cuba menekan kawasan tersebut untuk mengembalikannya kepada bentuk asal.
Ubun-ubun bayi merupakan bahagian normal dalam proses tumbesaran bayi. Ibu ayah boleh menyentuh serta membersihkannya dengan lembut, tetapi jangan menekan, mengetuk atau mengurutnya dengan kuat kerana perbuatan tersebut tidak memberikan sebarang manfaat dan boleh meningkatkan risiko kecederaan.
Jika terdapat perubahan luar biasa pada ubun-ubun atau keadaan kesihatan bayi, segera dapatkan pemeriksaan daripada doktor bagi memastikan bayi menerima rawatan yang sewajarnya.
Sumber: Public Health Malaysia