Anak kencing malam bukanlah satu masalah yang asing dalam kalangan ibu bapa. Malah ada yang sehingga usia sudah bersekolah masih lagi memakai lampin pakai buang pada waktu malam.
Memang penat tiap hari nak kena jemur tilam yang diguna. Tapi jangan dimarah anak-anak kerana itu semua diluar kawalan mereka. menurut laman Facebook Public Health Malaysia, kencing malam dikalangan kanak-kanak adalah normal. Pundi kencing anak belum bersedia untuk menyimpan kencing sepanjang malam. Apa yang mereka perlukan adalah masa dan pendekatan yang betul untuk atasi masalah ini.
Dalam perkongsian itu juga, kajian menunjukkan kebanyakkan kanak-kanak akan berhenti kencing malam sewaktu umur 5-6 tahun tetapi ada juga yang tidak. Ketahui punca mengapa anak-anak kencing malam dan juga tip bagi ibu bapa yang mempunyai masalah sebegini.
Penat saya doktor. Tiap-tiap pagi saya jemur tilam. Saya dah marah anak saya berkali- kali. Dia masih kencing malam. Umur sudah 7 tahun pun masih basahkan tilam. Sekarang pakai pampers adik dia setiap malam. Kalau tidak mesti basah.
Bertenang. Jangan marah anak, ibu ayah.
Kencing sewaktu malam kebanyakannya adalah normal. Pundi kencing anak anda belum bersedia untuk menyimpan kencing sepanjang malam. Mereka cuma perlu masa dan pendekatan yang betul untuk menangani isu ini.
Kajian menunjukkan, kebanyakan kanak-kanak akan berhenti kencing malam sewaktu umur 5-6 tahun. Tapi ada juga yang tidak.
Ads
– 40% berumur 3 tahun masih kencing malam – 15% berumur 5-6 tahun – 5% untuk 10-11 tahun – 2% berumur 12 tahun
Puncanya?
Ada pelbagai punca kepada kencing malam.
– stress, – kencing manis jenis 1, – struktur Pundi kencing yang tidak normal – jangkitan kuman saluran kencing
Ads
Namun, 99% kebanyakannya tiada punca. Hanya pundi kencing yang tak cukup besar untuk menampung sewaktu malam.
Tapi tiada masalah pun jika anda ingin berjumpa dengan doktor untuk bertanya. Doktor biasanya akan tanya beberapa soalan ini. Anda perlu bersedia untuk jadi detektif Konan. Ada sejarah keluarga kencing malam? Suami? Isteri? Ibu ayah? Adik beradik? Datuk? Sedara?
Adakah terdapat pemakanan yang buat/trigger anak anda kencing malam lebih kerap? Kuat tak anak anda minum sebelum tidur? Pernah alami kencing berdarah? Anak (lelaki)dah sunat ke belum? jika belum, ada tanda merah di hujung kemaluan?
Ads
Dengan beberapa perkara di atas mungkin dapat mencari puncanya dan seterusnya merawat anak anda.
Kami share juga tips yang boleh anda lakukan dalam bentuk infografik.
Yang penting, kita kena bersabar tau.
Anak kalau selalu dimarah atau dimalukan, boleh jadi tertekan dan akan melambatkan proses untuk tidak lagi kencing malam.
Tip anak kencing malam: 1. Beri ganjaran untuk tidak kencing malam 2. kurangkan minum pada waktu petang/malam 3. Set loceng bangun untuk kencing waktu malam 4. Jangan memarahu anak, ini bukan salah mereka. 5. Gunakan lapik tilam kalis air 6. Gunakan pewangi bilik
Bila bayi anda sudah mula belajar berjalan dan jatuh, dia memang berisiko untuk kerap terjatuh. Terjatuh tanpa kesan luka atau kecederaan adalah perkara normal sepanjang tempoh tumbesaran seorang anak tetapi jika terlalu kerap terjatuh sehingga ada benjol dan hentakan kuat di kepala, apakah kesannya terhadap si kecil?
Siapa yang tidak risau apabila anak terjatuh dan menangis kesakitan. Lagi bimbang bila kesan terjatuh meninggalkan benjol atau mengakibatkan kecederaan sampai berdarah.
Tetapi sebelum itu ibu ayah perlu faham mengenai kesan-kesan hentakan kepala supaya dapat membuat perbezaan antara hentakan yang serius dan hentakan yang tidak serius supaya langkah-langkah rawatan yang betul dapat diambil.
1. Lapisan kepala terbahagi kepada kulit, tengkorak dan otak. Apabila ada hentakan atau trauma ke kepala ia boleh menyebabkan kecederaan kepada kulit, tengkorak atau/dan otak.
2. Apabila hentakan berlaku, kulit mungkin terkoyak dan menyebabkan pendarahan tetapi jika luka tersebut besar dan melibatkan salur darah yang besar ia boleh menyebabkan pendarahan yang serius.
3. Selain luka ada juga kecederaan kulit kepala yang disusuli dengan benjol sahaja. Benjol boleh disebabkan oleh bengkak pada kulit atau pun pendarahan di bawah kulit di mana darah berkumpul antara kulit kepala dan tengkorak. Ia bermakna pendarahan itu berada di luar otak dan tidak akan menghimpit otak kerana dihalang oleh tengkorak.
4. Benjol di kepala yang disebabkan oleh pendarahan di bawah kulit biasanya akan hilang dengan sendirinya dan boleh memakan masa hingga 1-2 minggu.
5. Kecederaan kepada tengkorak dan otak mempunyai kesan yang lebih serius berbanding kecederaan kepada kulit sahaja dan kedua-duanya boleh berlaku tanpa apa-apa kesan kepada kulit.
6. Jika ada hentakan kepala dan dari segi luarannya mangsa tidak ada luka atau benjol atau apa-apa tanda kecederaan, bukan bermaksud tidak ada pendarahan atau kesan kepada otak.
7. Apabila ada keretakan kepada tengkorak ia bermaksud hentakan yang berlaku sangat kuat dan ada risiko jangkitan kerana kuman boleh masuk melalui retak di tengkorak ke otak.
8. Kecederaan ke otak boleh berlaku dengan pendarahan dalaman otak bergantung kepada di mana hentakan berlaku, pendarahan dalaman otak boleh berlaku di mana-mana bahagian dalam otak.
Antara simptom-simptom pendarahan dalaman otak atau kecederaan kepada otak:
– Pengsan selepas trauma.
– Otot menjadi lemah atau sebahagian/semua anggota badan tidak boleh bergerak.
– Amnesia/hilang ingatan.
– Keliru.
– Sakit kepala dan sakit mata apabila terdedah kepada cahaya.
– Sawan.
– Muntah lebih dari sekali.
– Tidak dapat bercakap dengan betul atau muka menjadi senget sebelah.
– Darah atau cecair keluar dari hidung atau telinga.
– Mata hitam tidak sama saiz.
– Penglihatan kabur atau nampak objek lebih dari satu.
Jika ada simptom-simptom ini janganlah berlengah lagi untuk membawa anak ke hospital yang berdekatan. Jika doktor sudah memeriksa anak dan membenarkan anak di bawa pulang, kebiasaanya doktor akan memberi nasihat untuk memerhatikan anak sekurang-kurangnya dalam 24 jam yang pertama untuk tanda-tanda seperti di atas.
Sekiranya anak anda tidak ada tanda simptom tersebut, kemungkinan berlaku pendarahan dalam otak sangat tipis tetapi proses pemulihan daripada hentakan tersebut mengambil masa yang lama sehingga berminggu bahkan ada yang berbulan.
Bagaimanapun mangsa tidak akan mengalami sebarang kesan jangka panjang walaupun proses pemulihan mengambil masa yang lama.
Rawatan segera
a. Jika berlaku pendarahan akibat luka anak terjatuh, anda perlu segera menghentikan pendarahan kerana kesan serius boleh berlaku kepada mangsa jika hilang darah dengan banyak. Apa yang perlu dilakukan sekiranya terdapat luka pada kulit selepas hentakan ialah dengan mengenakan tekanan pada luka dengan menggunakan kain yang bersih. Jika pendarahan tidak berhenti atau luka agak besar, terus bawa mangsa ke klinik atau pusat kesihatan yang paling dekat sambil meneruskan tekanan terhadap luka tersebut.
b. Benjolan yang berlaku selepas terjatuh akan meninggalkan rasa sakit dan mungkin lebih sakit jika benjol tersebut ditekan. ‘Cold compress’ atau tuaman sejuk boleh mempercepatkan benjolan tersebut reda/kurang.‘Hot compress’ atau tuaman panas boleh mengurangkan sakit tetapi harus disusuli dengan tuaman sejuk kerana panas akan menyebabkan cecair tisu bertambah dan bengkak. Darah beku tersebut akan perlahan-lahan diserap balik ke tisu sekeliling dah benjolan/bengkak akan surut dan hilang.
c. Memberi Paracetamol sahaja jika perlu ubat untuk mengurangkan sakit. Tidak disarankan untuk memberi ubat dari kategori NSAID (‘Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs’) seperti Ibuprofen (Brufen, Bifen, Buprol-B, Ibufac, Nurofen) atau Diclofenac (Cataflam, Voren).
Sumber: doktorbudak.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahniah diucapkan buat pelakon, Tasha Shilla yang telah selamat melahirkan cahaya mata pertamanya pada Sabtu lalu.
Putera sulung pasangan itu selamat dilahirkan pada Ramadan ke-12, Sabtu 24 April di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur.
Melalui Instagramnya, Tasha menyampaikan perkhabaran gembira itu kepada umum. Malah Tasha juga amat berterima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatannya dan bayi.
“Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah inayahNya dan keizinanNya dapat saya melahirkan anak sulung lelaki kami pada hari Ramadhan ke-12, 1442 AH / hari Sabtu April 24, 2021.
“Terima kasih pada semua yang telah mendoakan kesihatan saya dan keluarga sepanjang masa,” tulisnya berkongsi.
Dalam pada itu, Tasha juga meluahkan penghargaan buat suaminya serta orang-orang terdekat yang sentiasa menjadi penguatnya sepanjang kehamilan dan detik kelahiran bayi sulung mereka.
“Saya sangat hargai pada semua pihak yang telah membantu menyempurnakan proses bersalin ini terutamanya pihak keluarga, sahabat-sahabat, team medical di hospital dan yang paling special dalam hidup saya, Suami Atiq Idris, thank you so much berikan saya semangat, sentiasa membahagiakan saya dan menjadi suami yang soleh. I love you so much.
“Allahumma-la’ quluba aulaadinaa nuuron wa hik-matan wa ahlihim liqobuuli ni’matin wa ashlih-hum wa ashlih bihimul ummah.”
Arti lafaz di atas:
“Ya Allah, penuhilah hati anak-anak kami dengan cahaya serta hikmah, dan jadikan mereka hamba-hamba-Mu yang layak menerima nikmat, dan perbaikilah diri mereka dan umat ini melalui mereka,” kongsinya lagi.
Pada Disember tahun lalu, Tasha mengumumkan kehamilannya yang ketika itu sudah pun berusia lima bulan.
Terdahulu, Tasha mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Muhammad Atiq Idris pada 28 Februari 2020 di Masjid Wilayah Kuala Lumpur. Dan kini cahaya mata sulung ini sudah pastinya menambahkan kebahagiaan buatnya dan suami. Tahniah Tasha dan suami!
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Kredit: @tashashilla
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Makanan merupakan topik yang kompleks tidak kiralah bagi bayi, remaja ataupun orang dewasa. Jika dibuka pada mana-mana laman sesawang jualan yang menawarkan buku khidmat nasihat pemakanan, terdapat lebih daripada 50,000 panduan yang dijual. Banyak kan? Bagaimana pula dengan makanan bagi wanita selepas bersalin? Adakah ia sama seperti pemakanan yang diambil oleh masyarakat setempat setiap hari? Betul ke ada makanan yang tidak boleh diambil oleh wanita selepas bersalin? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut mengenai makanan berpantang.
Kenapa perlu berpantang?
Dalam adat orang Melayu, amalan berpantang seringkali dikatakan menyusahkan dan sebahagian daripadanya melibatkan penggunaan wang yang banyak. Mana tidaknya, terdapat pelbagai jenis peraturan yang mesti diikuti seperti berurut, bertungku, bengkung, mandian herba dan pilis di dahi. Gaya pemakanan juga tidak terlepas daripada senarai perkara yang perlu dipantangkan.
Perkara yang perlu anda lakukan bagi memastikan amalan berpantang tersebut tidak bercanggah dengan sistem fisiologi badan adalah bertanyakannya kepada golongan profesional. Jika tidak, sukar untuk anda bezakan sama ada perkara tersebut selaras dengan konsep asas fisiologi atau mitos semata-mata. Banyak je maklumat berkenaan dengan makanan berpantang namun tidak diketahui akan kebaikan sebenarnya atau adakah ia boleh memberikan kemudaratan.
Sebagai contoh, dakwaan bahawa kononnya pengambilan air yang banyak boleh menyebabkan urat di kaki bengkak. Itu merupakan tanggapan pihak yang tidak bertanggungjawab berdasarkan logik dan tidak bersandarkan kepada ilmu sains. Selepas bersalin, wanita perlu mengambil minuman sekurang-kurangnya 3 liter air bagi memenuhi kehendak badan dalam menyediakan susu untuk si manja.
Namun, salah ke jika anda ingin berpantang? Tidak sama sekali. Jika perkara tersebut tidak memudaratkan, anda boleh mengamalkannya bagi memenuhi tuntutan tradisional yang mungkin menjadi pegangan individu dalam keluarga anda. Makanan berpantang juga baik untuk kesihatan secara umum, namun perlu dilihat juga pada makanan tersebut. Jika ragu-ragu, tanyalah kepada doktor, bukan kepada mereka yang hanya beranggapan semata-mata.
Makanan berpantang bagi wanita
Dalam artikel ini, ada 3 contoh menu makanan berpantang yang boleh diambil bagi mengekalkan nutrisi pada tahap yang optimum.
Nasi putih, ayam bakar, selar singgang, ulam pegaga, serunding ikan bilis halia dan bawang putih rangup
Menu ini nampak ringkas namun ia mengandungi nutrisi makro dan mikro yang lengkap bagi memastikan anda sihat sepanjang tempoh berpantang. Ayam bakar dan ikan selar singgang dapat memberikan sumber protein sementara nasi putih pula diambil bagi mendapatkan sumber karbohidrat.
Ulam pegaga yang kaya dengan khasiatnya yang tersendiri dapat memberikan vitamin dan mineral yang mencukupi. Ia juga merupakan sumber serat yang dapat merawat atau mengelakkan masalah sembelit yang lazim dialami oleh wanita selepas bersalin.
Jika anda mempunyai masalah berkaitan kewangan, anda boleh pilih di antara ikan selar singgang atau ayam bakar sebagai sumber protein utama. Pastikan jumlah nasi diambil pada kuantiti yang sederhana. Jangan penuh satu pinggan pula.
Nasi putih, sawi stim, siakap stim dan oren sunkist
Menu ini juga mempunyai kandungan nutrisi makro dan mikro yang seimbang sebagai makanan berpantang. Nasi putih merupakan sumber tenaga utama diikuti dengan sawi stim dan oren sunkist yang menjadi sumber serat kepada wanita selepas bersalin. Pengambilan serat bersama dengan karbohidrat berpotensi untuk menyeimbangkan perembesan hormon insulin. Ini dapat membantu wanita mengurangkan berat badan selepas bersalin.
Ikan siakap stim merupakan sumber pemakanan yang dapat memberikan nutrisi utama yang penting buat perkembangan otak si manja. Ini terutamanya penting bagi ibu yang memberi susu badan kepada anak mereka. Ikan mengandungi sumber Docosahexanoic Acid (DHA), Eicosapentanoic Acid (EPA) dan minyak Omega 3 yang sukar didapati dalam makanan lain.
Namun pengambilan ikan sebagai makanan berpantang perlu dikawal bagi mengelakkan merkuri yang berpotensi untuk membantutkan perkembangan otak si manja. The Food and Drug Administration (FDA), Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) dan The American College of Obstetricians and Gynecologists menyarankan pengambilan makanan laut tidak melebihi 12 auns seminggu.
Sukar untuk kita ukur 12 auns itu banyak mana, jadi bagi mengambil langkah berjaga-jaga, rujuk doktor atau pakar pemakanan anda.
Lamb chop dengan kuah lada hitam dan sayur brokoli serta lobak merah
Bagi yang tidak suka makan nasi, terdapat alternatif lain yang lebih western. Lamb chop dapat memberikan sumber protein yang baik. Sayur-sayuran seperti brokoli dan lobak merah pula dapat memberikan serat dan sumber karbohidrat. Campurkan juga dengan jus oren asli bagi mendapatkan vitamin dan mineral lain. Yang penting, kurangkan pengambilan gula.
Diet yang tinggi protein dan serat boleh membantu mengurangkan berat badan selepas bersalin.
Persamaan ketiga-tiga menu tersebut
Jika anda sedar, menu makanan yang tersenarai terdiri daripada sumber nutrisi makro dan mikro yang seimbang. Ia juga kurang minyak dan kaya dengan serat yang dapat memberikan kebaikan kepada wanita khususnya dalam usaha untuk mengembalikan berat badan kepada jisim berat badan normal. Jika anda ingin mencuba hidangan lain, pastikan ia terdiri daripada sumber karbohidrat, protein dan lemak yang berkhasiat.
Ikan haruan baik untuk sembuhkan luka bersalin?
Perkara yang sering menjadi punca obsesi doktor terhadap pesakit adalah pemulihan luka bersalin. Tidak kiralah jika anda melahirkan anak melalui czer atau secara normal. Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa pengambilan ikan haruan dalam makanan berpantang boleh mempercepatkan proses pemulihan luka selepas pembedahan namun tiada kajian saintifik yang jelas menunjukkan ia berbuat sedemikian.
Betul ke tiada kajian saintifik? Pada tahun 2016, Dr Ahmad Faroukh Musa, seorang pakar bedah kardiotorasik, telah membentangkan kajian beliau berkenaan dengan potensi kesan pemulihan dengan pengambilan ekstrak ikan haruan setelah pembedahan pada Konferens Reka Bentuk dan Inovasi Antarabangsa bertempat di Kuala Lumpur.
Seramai 183 orang subjek terlibat di dalam kajian beliau sepanjang tempoh 2012 hingga 2014 di Institut Jantung Negara (IJN). Beliau mendapati bahawa mereka yang mengambil ekstrak ikan haruan mempunyai kadar jangkitan luka yang lebih rendah berbanding dengan mereka yang mengambil plasebo. Subjek juga mengalami tahap kesakitan yang rendah berikutan peranan haruan dalam memberikan kesan terhadap reseptor kesakitan.
Penggunaan soalan kaji selidik profil kesihatan Nottingham telah mendapati bahawa mereka yang mengambil ekstrak haruan mempunyai perubahan positif daripada sudut tenaga, kesakitan, emosi dan kesan fizikal. Jadi secara keseluruhannya, pengambilan ekstrak haruan dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit selepas menjalani pembedahan.
Konklusi
Apakah makanan yang digemari oleh anda? Perkara penting yang perlu anda ambil kira dalam menetapkan jenis menu berpantang adalah makanan yang digemari oleh anda. Tiada gunanya jika anda benci makan ikan namun keluarga anda menyajikan masakan ikan kepada anda. Itu sedikit sebanyak akan menurunkan selera anda untuk makan seterusnya mempengaruhi aspek penjagaan diri dan anak anda. Jika anda khuatir akan kesan makanan terhadap tahap kesihatan anda, berjumpalah dengan doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat perubatan.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!