“Khalish anak yang kuat semangat. Walaupun sebelum ini doktor dah siap beritahu minta ahli keluarga bersedia namun kuasa Allah sampai hari ini kamu terus bertahan.”
Menurut Nur Hanabilla, ibu kepada adik Muhammad Khalish Affan yang kini berusia 4 tahun, sejak di diagnosis menghidap kanser darah masa umurnya 11 bulan pada tahun 2018, hidupnya terus berubah.
Khalish dah lalui 6 cycle kimo yang dos tinggi-tinggi dulu sebelum masuk fasa maintenance. Fasa maintenance ni dos rendah sikit. Macam-macam komplikasi masa kimo dos tinggi dulu. Kalau nak diceritakan panjang sangat perjalanannya.
Macam-macam komplikasi masa rawatan kimo terapi. Paling saya tak boleh lupa dia kena jangkitan kuman dekat paru-paru, kuman dalam darah dan kuman dekat alat kimo dia (chemoport) masa tu dia nafas laju dan doktor sepakat suruh intubate (bantuan pernafasan) dan masa proses tu jantung dia berhenti selama 30minit.
Doktor dah CPR semua tapi tak ada respons. Doktor panggil kami, katanya kami dah boleh panggil semua ahli keluarga kerana kuman di paru-paru pun teruk sangat. Jantung pun dah berhenti 30 minit.
Ads
Masa itu Allahu luruh jantung kami semua. Tapi kuasa Allah, dapat keajaiban. Khalish bagi respons semula selepas 30 minit tu. Dia intubate selama sebulan di ICU. Lepas dari tu jadi lumpuh sebelah kanan.
Sebelum ni dia dah boleh jalan, boleh cakap semua dah. Lepas tu jadi baby newborn balik. Semua kena ajar balik. Mula meniarap, merangkak dan sekarang baru boleh jalan balik tapi tak kuat lagi berjalan, mudah jatuh.
Ads
Dia juga bergantung dengan rules tube selama 10 bulan. Jadi tak pandai makan dan minum. Sekarang alhamdulillah dah boleh balik rumah cuma tangan kanan tu masih lemah lagi. Kena fisioterapi secara berkala. Sekarang ni dah masuk fasa maintenance cycle 5 dah. Ada lagi 6 cycle, tempoh lebih kurang 2 tahun lagi. Dari result air tulang belakang, baru je ambil 2 minggu lepas, peratusan sel kanser kurang memuaskan. Dari 1.6 naik ke 3.4 dan sekarang naik lagi ke 3.6. Tapi tidak lebih 5% lagi.
Doa saya sebagai seorang ibu, harap sangat sel kanser dia dah tak aktif dan sihat sepenuhnya nanti.
Walaupun dia baru boleh cakap beberapa patah perkataan, saya yakin akan ada sinar untuk Khalish sihat dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Semua ini dia akan lalui fasa pemulihan dengan fisioterapi pemulihan kerja nanti.
Ads
Saya tak akan paksa untuk Khalish cepat, dapat lihat dia depan mata sekarang ni syukur sangat. Bayangkan selama setahun dia terlantar dan tak boleh berjalan, tapi kini perlahan-lahan tunjuk perubahan positif.
Doktor, profesor semua tak sangka dia bertahan sampai hari ini. Mohon doakan Khalish sihat dan dipanjangkan umurnya agar kami dapat terus memberi kasih sayang pada anak sulung kami ni Ya Allah!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparent)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri akhirnya selamat menimang cahaya mata sulungnya pada minggu lepas.
Berita gembira tersebut diumumkan sendiri olehnya menerusi perkongsi di laman instagramnya beberapa minit yang lepas.
Menurutnya, dia sangat berbesar hati untuk berkongsi berita gembira bersama semua tentang kelahiran puteri sulungnya itu.
Dia turut mendedahkan wajah serta nama bayinya kepada semua. Puteri sulungnya selamat dilahirkan di salah sebuah hospital di United Kingdom.
“Kami berbesar hati untuk memperkenalkan puteri comel kami, Arabella Mia, dilahirkan minggu lepas di St. Thomas’ Hospital”
“Kami sangat menghargai setiap saat dengan kegembiraan kecil kami. Kami teruja untuk melihat apa yang akan datang, Alhamdulillah. Lots of love”
Rata-rata warga maya mengucapkan tahniah kepada pasangan ini dan turut mendoakan kesejahteraan buat keluarga kecil ini.
nhsenglandldn Congratulations Dr Amalina & Alex on the birth of Arabella Mia 💙
thesmartmum Congratulation Amalina and Alex. 💐
aidafarizan Congratulations doctor, Assalamualaikum arabella mia ❤️❤️
Dr Amalina mendirikan rumah tangga dengan jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Central London pada April 2021.
Ada sesetengah ibu yang mahu melahirkan anak mungkin merasa was-was untuk menunaikan solat apabila sudah keluar ‘tanda’. Ketika mahu bersalin, ada dua ‘tanda’ yang mungkin berlaku pada si ibu sama ada keluar lendir bercampur darah mahupun lelehan air ketuban.
Jika ada tanda-tanda ini, adakah sah solat si ibu? Dipetik dari laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada jawapan untuk persoalan ini.
Soalan:
Assalamualaikum SS Dr. Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Waalaikumussalam WRM W.B.T. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang.
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin:
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran servik atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
#Membasuh faraj.
#Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar.
#Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar.
#Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi. Rujuk: https://en.wikipedia.org/wiki/Amniotic_fluid
Antara fungsi cecair amniotik ialah :
ia melindungi bayi anda daripada tercedera sekiranya sesuatu menghentak perutanda atau jika perut anda dihempap sesuatu;
ia membantu sistem paru-paru dan sistem pencernaan bayi untuk matang;
ia melindungi bayi anda daripada jangkitan.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Kesimpulan
Tuntasnya setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Bila nak solat, ibu perlu merasa selesa. Klik SINI untuk rahsia solat lebih khusyuk dan menenangkan.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu/isteri juga boleh mengalami stress yang melampau kerana tugasan seharian yang menekan minda. Ibu/isteri terpaksa melakukan tugasan seharian tanpa adanya rehat. Jadi para ibu perlu tahu bagaimana cara yang sesuai untuk mengawal emosi sendiri jika tidak 11 kesan buruk ini akan berlaku dalam kehidupan anda.
11 KESAN BURUK JIKA ANDA GAGAL KAWAL EMOSI SENDIRI ( BAGI SEORANG IBU )
1 – MUDAH STRESS/TERTEKAN
Sesungguhnya hidup kita memang penuh dengan tekanan, terutamanya bagi seorang isteri/ibu pasti banyak punca tekanan seperti kerja yang bertimbun, penat mengurus rumahtangga, melayan kerenah anak serta tekanan dari adik-beradik ipar, mertua bahkan suami sendiri kadang-kadang boleh buat anda tertekan.
Sesungguhnya tiada lagi isteri/ibu yang tidak stress, tapi itu bukan alasan untuk tunduk pada emosi dan terbawa-bawa stress itu sehingga buat tindakan terburu-buru.
2 – TAK LENA TIDUR
Akibat tidak dapat mengawal emosi negatif ia memberi kesan pada tubuh badan. Sistem tubuh badan turut terpengaruh dengan aura negatif sehingga boleh membuatkan tidur malam kurang berkualiti.
Walaupun tidur lebih 8 jam tapi badan masih rasa penat seperti tak cukup tidur. Selagi anda tidak boleh “move on”dengan kejadian negatif itu selagi itu ia akan membayangi hidup hingga ke dalam mimpi.
3 – SELALU BURUK SANGKA
Susah untuk bersangka baik bila dalam fikiran kita penuh dengan anasir jahat ( emosi jahat ) yang pengaruhi minda anda untuk sentiasa berfikir buruk pada semua orang walaupun orang itu buat kebaikan.
Kesannya anda susah untuk mempercayai orang lain termasuk suami sendiri. Orang lain pun susah nak mempercayai anda selepas itu.
4 – MUDAH MENGHUKUM ANAK
Tugas seorang ibu adalah menjaga dan melayan kerenah anak-anak. Anak kecil bukan ada akal seperti orang dewasa yang boleh bezakan mana baik mana buruk, jadi tanggungjawab ibu untuk mendidik anak ini.
Oleh itu ibu mestilah pandai mengemudi emosi sendiri semasa mendidik anak-anak supaya tidak terlalu mengikut emosi dan mudah-mudah jatuh hukum pada anak.
5 – ANAK JADI MANGSA KEADAAN
Anak kecil masih kosong dalam menilai keadaan ibu, mereka tidak tahu bezakan ibu sedang penat atau relax. Dalam fikiran mereka hanya tahu mahu bermanja dan berpeluk dengan ibu mereka.
Anaklah yang selalu jadi mangsa keadaan si ibu melempiaskan haba kemarahan dan tengkingan yang akan buat si ibu menyesal kemudiannya.
6 – MENJADI IKUTAN ANAK-ANAK
Sebagai ibu bukan akademik sahaja yang perlu di didik pada anak, banyak lagi kemahiran hidup ( Life Skill ) yang patut mereka belajar. Antaranya ialah bagaimana mengendalikan emosi diri supaya mereka tidak terbawa-bawa dengan emosi negatif dan lakukan kesilapan yang beri penyesalan tak sudah akhirnya.
7 – HUBUNGAN SOSIAL TIDAK MESRA
Bukan sahaja dengan suami malah dengan orang sekeliling juga hubungan sosial ( Social Relationships ) tidak mesra dan kurang bergaul.
Ironiknya mereka yang selalu marah-marah walaupun hal kecil memang akan suka menyendiri kerana sebernarnya mereka tak suka marah-marah
Tapi menyendiri tidak akan menyelesaikan masalah, sepatutnya perlu belajar kawal emosi marah. Tak semestinya bila kita marah kita kena lepaskan.
8 – TIDAK NAMPAK HIKMAH DALAM MUSIBAH
Sentiasa mengeluh dan menyalahkan takdir bila di timpa musibah. Apabila minda di penuhi dengan pemikiran separa sedar ( Subconscious Mind ) yang negatif membuat anda tak dapat melihat gambaran sebenar dan hanya tertumpu pada musibah di depan mata sahaja.
Sesungguhnya setiap musibah itu adalah ujian dan ada hikmah besar di sebaliknya yang di luar jangkaan manusia.
9 – RASA PENAT TAK PERNAH HILANG
Susah nak hilang rasa penat. Walaupun kerja dah siap tapi minda masih tak berehat. Masih lagi berlegar-legar pemikiran negatif di dalam fikiran.
Kerana mereka yang gagal kawal emosi pada awalnya akan sentiasa di bayangi dengan penyesalan, kemarahan, kebencian dan sentiasa rasa bimbang ( anxiety disorder )
10 – TIDAK BOLEH BERFIKIR SECARA RASIONAL
Selalu membuat keputusan terburu-buru sebelum buat pertimbangan. Terlalu ikut emosi ketika itu sehingga melakukan tindakan yang tidak rasional seperti tengking, terkam, memukul, rotan dan mencubit anak sendiri.
Memang ada ketika emosi sedang meluap-meluap, secara spontan tangan bergerak sendiri tetapi bagi anak yang jadi mangsa, mereka nampak ia sebagai ancaman. Parah bila anak sentiasa rasa terancam bila nampak anda, anda nak panggil makan pun mereka dah takut.
11 – TIADA EMPATI ( MEMAHAMI EMOSI ORANG LAIN )
Bila kita gagal kawal emosi sendiri bagaimana kita nak memahami emosi orang lain? Memang mustahil kita boleh rasa apa yang orang lain rasa sedangkan kita sendiri tidak faham apa yang kita rasa.
Oleh itu untuk lahirkan sifat empati yang kuat dalam diri terutama bagi seorang ibu yang perlu memahami emosi anak-anak, anda perlu belajar kenal dan kawal emosi sendiri dahulu.
Anda adalah kapten kepada emosi anda sendiri, kemudilah emosi anda sebaik mungkin jangan biarkan ia karam.
Belajar cara kemudi yang betul, jangan terikut-ikut dengan cara orang lain tanpa kita sesuaikan dengan kelemahan diri.
Nak jadi “Mak Singa” tak salah tapi pastikan anak tak tercedera emosinya dan jadi “Singa Kelaparan” yang menerkam orang lain bila marah. Tolong share pesanan ini ya.
Imun ibu hamil mengalami perubahan semula jadi sepanjang kehamilan. Ketahui punca sistem imun menjadi lemah, risiko jangkitan serta cara berkesan untuk menguatkan daya tahan badan ibu dan melindungi kandungan.