
Pemilihan nama Muhammad Jarir Umar buat cahaya mata pertama pasangan selebriti Fattah Amin dan Amira Othman terus menjadi perhatian ramai selepas ia diumumkan kepada umum.
Nama yang unik dan sarat dengan nilai sejarah Islam itu bukan sahaja menerima pujian, malah mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan peminat mengenai maksud serta asal-usulnya.
Ramai yang berpendapat nama tersebut bukan sekadar indah didengar, malah mempunyai nilai ilmiah dan keagamaan yang tinggi, sekali gus menjadikannya pilihan yang cukup bermakna buat zuriat sulung pasangan berkenaan.
Menerusi perkongsian di media sosial, adik kepada Amira Othman iaitu Irfan Haris meluahkan rasa syukur atas kelahiran anak buah pertamanya.
“Masya-Allah, handsome betul anak buah saya ni Muhammad Jarir Umar,” tulisnya.
Dalam masa sama, Irfan turut memaklumkan bahawa kakaknya masih berada di hospital dan sedang menjalani proses pemulihan selepas selamat melahirkan bayi lelaki tersebut.
Dalam temu bual bersama Era FM, Irfan Haris mendedahkan bahawa pemilihan nama Muhammad Jarir Umar merupakan hasil perbincangan bersama antara Amira Othman dan suaminya, Fattah Amin.
Menurut Irfan, Amira pernah berkongsi bahawa dia mendapat inspirasi memilih nama Jarir ketika menghadiri kelas agama. Nama tersebut menarik perhatiannya kerana ia merupakan nama salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang mempunyai akhlak serta keperibadian yang mulia.
Perkongsian mengenai Muhammad Jarir Umar turut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang berkongsi fakta menarik mengenai nama Jarir.
Ada yang menjelaskan bahawa nama Jarir bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah Islam. Antara tokoh terkenal yang menggunakan nama tersebut ialah Imam At-Tabari atau nama penuhnya Abu Ja’far Muhammad ibn Jarir al-Tabari, seorang ulama besar yang masyhur dalam bidang tafsir al-Quran, sejarah serta hadis pada kurun ketiga Hijrah.
Selain itu, terdapat juga penjelasan bahawa Jarir ialah nama sahabat Nabi SAW iaitu Jarir bin Abdullah RA yang terkenal dengan keperibadian mulia serta mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah Islam.
Malah, sebahagian netizen turut mengaitkan nama itu dengan Jarir ibn Atiyah, seorang penyair Arab terkenal pada zaman awal Islam yang karya-karyanya masih dikenali sehingga hari ini.
Pemilihan nama Muhammad Jarir Umar menerima pelbagai pujian daripada orang ramai yang menyifatkan ia sebagai nama yang indah, unik dan mempunyai nilai sejarah Islam yang mendalam.
Ramai turut memuji usaha pasangan itu memilih nama yang mempunyai maksud baik serta dikaitkan dengan tokoh-tokoh Islam yang dihormati. Selain kedengaran moden, nama tersebut juga membawa identiti keilmuan dan warisan Islam yang kuat.
Semoga Muhammad Jarir Umar membesar sebagai anak yang soleh, berakhlak mulia serta menjadi penyejuk hati buat kedua ibu bapanya.
Baca lagi: Fattah Amin, Amira Othman Timang Cahaya Mata Sulung. “Jadi Anak Soleh Penyejuk Mommy Daddy”
Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil
RM100 Sebulan Untuk Rakyat Selangor, Semak Kelayakan Anda Sekarang!
Sumber: Instagram Fattah Amin