Anak bila semakin lasak demam, batuk dan selesema mesti bergilir-gilir. Disebabkan hal ini, ada sesetengah anak akan merengek tak selesa.
Selain makan ubat untuk meredakan selesema anak, ada lagi alternatif lain yang boleh dilakukan seperti menyedut hingus dan urutan refleksologi.
Perkongsian dari Puan Yatie Eimra mengenai urutan meredakan selesema, hingus meleleh atau hidung tersumbat mungkin boleh dipraktikkan.
Urut setiap point 3-5 minit
Kali ni saya nak share cara urutan refleksologi untuk meredakan selesema, masalah hingus meleleh & hidung tersumbat lak. Saya bukan profesional ye, saya hanya tunjukkan point yang saya selalu gunakan & setakat ni alhamdulillah memang berkesan pada saya sekeluarga.
Saya nak terangkan sikit supaya jelas, urutan refleksologi/acupressure ni bukannya macam ubat, urut sekali jer boleh terus sembuh. Keberkesanan urutan refleksologi ni dapat dilihat kalau urut secara konsisten (walaupun bagi sesetengah kes, kesan urutan refleksologi dah nampak lepas pertama kali urut).
Picit setiap point kemudian urut sepanjang meridian paru-paru (A, B, C) menghala ke bawah
Urutan refleksologi berfungsi lancarkan peredaran darah, buang toksin, mengekalkan keseimbangan sistem badan & merangsang mekanisma pemulihan tubuh badan secara semulajadi. Tubuh perlukan rangsangan secara konsisten & perlukan masa gak untuk bertindakbalas.
Mungkin ada yang tak baca posting saya sebelum ni tentang urutan melegakan batuk. Jadi saya tuliskan sekali lagi tip mengurut terutamanya untuk urut anak kecil
Rangsang refleks point D untuk meningkatkan sistem imun tubuh badan
Tip Mengurut
?Kalau boleh, mak² cari setiap point yang saya tunjukkan ni pada diri sendiri dahulu supaya lebih mudah faham. Bila dah tahu kedudukan setiap point, lebih mudah nak urut/picit anak nanti.
?Sebelum urut, sebaik²nya sapukan minyak pada kawasan nak diurut untuk memudahkan proses urutan. Biasanya saya sapukan minyak bawang putih atau boleh juga gunakan vicks (boleh gunakan vicks baby balsam jika anak bawah 2 tahun).
?Jika anak baring, kedudukan kepala perlu ditinggikan sikit supaya saluran pernafasan tak terganggu/tersekat.
?Bayi setahun ke bawah, memadailah urut pada tapak kaki & tapak tangan je.
?Jika urut anak kecil/warga emas, JANGAN TEKAN/PICIT DENGAN TERLALU KUAT. Urut point gunakan hujung jari dimulai dengan perlahan & tambahkan sikit tekanan (sederhana kuat).
?Urut membulat selama 2-3 minit, kemudian tekan/picit je (tekan kuat sikit) dalam 3-5 saat lagi untuk rangsang refleks dalam tubuh badan.
Ads
?Perlu urut kedua² belah tapak tangan/kaki untuk organ yang mempunyai dua bahagian (contohnya paru² kanan & kiri)
?Buat urutan dengan kerap sekurang²nya 2-3x sehari untuk dapatkan kesan terbaik.
?Sebaik²nya lepas urut galakkan anak minum air untuk singkirkan toksin yang terhasil dalam badan
Point Untuk Redakan Selesema
Kalau anak dijangkiti selesema (terutamanya jika selesema berpanjangan), selalunya saya picit refleks point pada tapak tangan je. Tapi kalau selesema disertai hingus meleleh atau hidung tersumbat, saya memang wajib urut point² pada muka.
Point di Tapak Tangan
? Picit refleks point “pituitari” pada ibu jari untuk merangsang penghasilan endorfin yang berfungsi sebagai pain killer semulajadi dalam badan.
Ads
*point ni wajib picit kalau anak nampak lemah/selesema teruk sangat
? Picit refleks point “sinus” pada setiap jari
? Urut secara membulat pada refleks point “paru-paru” bagi melegakan kesukaran bernafas akibat selesema
? Picit “meridian paru-paru” sepanjang ibu jari hingga pergelangan tangan. Boleh juga diurut secara memanjang ke bawah
? Urut point D untuk meredakan selesema & tingkatkan sistem imun. Kedudukan point D – selepas bonggolan tulang pada pergelangan tangan & sedikit ke dalam.
Point Untuk Hentikan Hingus Meleleh
Baru 2 minggu Fydh sembuh dari demam selesema, Khamis lepas dia dijangkiti selesema lagi. Masuk je pasaraya, Fydh tiba² terbersin & hingus mula meleleh². Dah habis 2 paket tisu baru teringat nak buat urutan pada point kat muka. Tak lama lepas urut, hingus dah kurang mengalir. Lepas 2-3x urut (selang 10-15 minit) hingus dah berhenti mengalir walaupun Fydh masih selesema lagi. Untuk hentikan hingus meleleh, biasanya saya urut 2 point ni je
? Point A
• Hujung mata (sebelah dalam) berdekatan pangkal hidung.
• Melegakan selesema & juga sakit kepala akibat selesema
? Point B
• Tulang pipi pada sisi hidung (alae)
Point Untuk Redakan Hidung Tersumbat
Bulan lepas, saya kena serangan resdung yang teruk akibat alahan makanan. Mata jadi gatal, bersin nonstop & hidung lak jadi tersumbat sebelah. Kebetulan anak pun tak sihat masa tu, jadinya saya terlupa nak buat urutan untuk diri sendiri nak² asyik busy jer. Alhamdulillah kelmarin saya sempat buat urutan ni, hidung yang dah tersumbat lebih sebulan pun dah clear.. Tapi sebabkan lama sangat hidung tersumbat sebelum ni, lepas clear tu akan jadi sakit kepala beberapa jam. (sebab tu jangan biarkan hidung tersumbat lama²)
Fydh ni, bila hingus dah berhenti meleleh, dia jadi hidung tersumbat lak. Untuk tau hidung anak tersumbat atau tak, boleh gunakan teknik gunakan sudu besi (tengok post saya yang lama). Kalau sikit je wap keluar dari lubang hidung, mungkin saluran pernafasan separa jer tersumbat, tapi kalau langsung takde wap bermakna saluran pernafasan tersumbat sepenuhnya & bahaya untuk anak kecil.
Urutan ni bukan setakat elok untuk hidung tersumbat tapi elok juga untuk clearkan rongga sinus/masalah resdung. Jika buat urutan ni pada anak, PASTIKAN ANAK MINUM AIR SECUKUPNYA SEMASA & SELEPAS BUAT URUTAN sebab masa urut tu, selalunya akan rasa mukus turun dalam saluran tekak & boleh menyebabkan gatal² tekak. Kalau mukus terlalu pekat, boleh juga menyebabkan rasa tak selesa & rasa nak muntah akibat lendiran melekat pada kerongkong (terutamanya anak kecil).
?Point A
• Pada bahagian lengkungan mata, diantara tulang soket mata & tulang kening.
• Urut bahagian ni menghala ke luar & lurutkan sepanjang kening untuk clearkan sumbatan pada frontal sinus (salah satu punca hidung tersumbat)
?Point B
• Tulang pipi pada pada sisi hidung (alae)
?Point C
• Tulang pipi, selari dengan kedudukan anak mata.
• Urut bahagian ni untuk clearkan mukus pada bahagian maxillary sinus. (sumbatan pada rongga ini juga boleh menyebabkan hidung tersumbat)
Extra : Urutan Limfatik Pada Bahagian Muka
Boleh buat urutan limfatik ni untuk clearkan mukus pada rongga² sinus. Kalau anak ada masalah resdung tu, memang elok sangatlah buat urutan ni. Yang takde masalah resdung pun, saya galakkan gak buat urutan ni untuk lancarkan sistem limfatik pada bahagian muka.
Perlu diingatkan ye, urutan refleksologi/acupressure ni BUKAN MENYEMBUHKAN PENYAKIT tapi sekadar kaedah alternatif untuk MENGURANGKAN SIMPTOM. Pastikan dapatkan rawatan doktor sekiranya perlu.
Ibu-ibu yang bersalin secara C-zer sememangnya sudah terbiasa dengan suntikan Heparin ini. Setiap hari ibu-ibu ini terpaksa menyucuk diri sendiri dengan ubat ini untuk elak daripada darah beku yang sangat bahaya buat ibu.
SUNTIKAN HEPARIN PENCAIR DARAH SELEPAS BERSALIN
KENAPA KENA SUNTIK HEPARIN?
Ramai yang tidak tahu / tahu setelah di ajar tapi tak yakin nak cucuk sendiri SUNTIKAN HEPARIN setelah bersalin.
Kenapa perlu di suntik dengan Heparin lepas bersalin?
💉Suntikan heparin ni ubat cairkan darah, bertujuan untuk elakkan darah beku yang amat bahaya untuk ibu-ibu lepas bersalin. Biasanya orang yang bersalin C-zer kena amik suntikan ni tapi sekarang ni yang bersalin normal pun dah kena ambil atas penilaian risiko oleh doktor yang merawat anda.
Antara faktor risiko yang dipertimbangkan;
– Umur 35 tahun.
– Dah pernah mengandung / bersalin 3 kali ke atas.
– Pernah ada sejarah darah beku sebelum ini.
– Sejarah keluarga terdekat ( mak, ayah, adik beradik ).
– Ada masalah kesihatan tertentu, seperti penyakit jantung, penyakit arthritis, penyakit berkaitan paru paru.
– Obesiti , BMI & 30.
– Merokok.
– Multiple pregnancy (kembar).
– Tumpah darah masa bersalin.
– Perlu terima darah gantian lepas bersalin ( blood transfusion).
– Kelahiran yang lama (prolonged labour, more than 24 hour)
– Kelahiran secara pembedahan,Caesarean.
Suntikan Heparin ialah SELAMAT semasa breastfeeding baby.
Di Malaysia, selalunya suntikan akan di bekalkan oleh KKM. Siap dengan jarum & alcohol swab lagi.
Kredit gambar: Aien Fidzman
Jika ada kemusykilan lepas bersalin, TOLONG LAH TANYA doktor anda. Jangan mengelak ambil ubat yang doktor berikan (jika ada) semata mata risau kesan pada baby yang di susukan. Kalau tiada sebab (no indication), doktor tak akan suka suka bagi ubat ya.
Sekarang dah paham kan?? so bagi ibu-ibu yang bakal kena suntikan Heparin ni, bertabahlah demi kesihatan anda. Ingat! jangan skip cucuk ok!
Semoga dengan perkongsian ni dapat membantu ibu ibu di luar sana tentang suntikan heparin ni.
Semoga bermanfaat ya 😊
Untuk ibu yang beranak Caesar, biasanya suntikan 2 kali sehari selama 10 hari. Suka atau tidak, demi kesihatan ibu, kenalah BAWA UBAT YANG DIBEKALKAN DARI HOSPITAL KE KLINIK untuk menerima suntikan pagi dan malam.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amalan beri makan dan air kosong kepada bayi 6 bulan ke bawah mungkin masih banyak berlaku di dalam masyarakat. Mama dan papa kalau betul sayangkan anak, hapuskan segera amalan ini!
Ibu bapa dan penjaga bayi termasuk pengasuh dan ahli keluarga perlu memahami kepentingan penyusuan susu ibu dan memainkan peranan penting untuk menghapuskan amalan salah memberikan makan dan minum air kepada bayi enam bulan ke bawah.
Perlu diketahui bahawa bayi 6 bulan ke bawah sepatutnya hanya diberikan susu ibu tanpa makanan dan minuman. Penyusuan susu ibu secara eksklusif kepada bayi daripada lahir hingga enam bulan amat mustahak bagi menjamin kesihatan bayi pada tahap optimum.
4 KEPENTINGAN PENYUSUAN EKSKLUSIF KEPADA BAYI
Penyusuan susu ibu secara eksklusif kepada bayi dari lahir hingga enam bulan bermaksud tidak memberikan makanan atau minuman selain susu ibu. Penyusuan susu ibu secara eksklusif kepada bayi enam bulan ke bawah perlu dilakukan kerana;
Kandungan khasiat dan nutrien dalam susu ibu mencukupi untuk pertumbuhan bayi sejak lahir sehingga usia enam bulan. Penyusuan susu ibu selama enam bulan tanpa makanan dan minuman lain tidak menjejaskan kadar pertumbuhan bayi.
Penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan dapat memastikan penyerapan zat besi yang optimum daripada susu ibu. Pengambilan bahan lain boleh mengurangkan penyerapan nutrien di dalam susu ibu seperti zat besi.
Sistem pencernaan dan penghadaman bayi kurang daripada enam bulan masih belum matang untuk memproses makanan daripada pelengkap.
Enzim-enzim penghadaman yang terlibat belum tersedia sepenuhnya. Oleh itu bayi mudah mendapat cirit-birit sekiranya makanan pelengkap diberikan lebih awal.
4 RISIKO PEMBERIAN AIR KOSONG KEPADA BAYI 0-6 BULANBayi 0-6 bulan tidak perlukan air kosong. Amalan pemberian air kosong kepada bayi boleh mengakibatkan kesan negatif kepada kesihatan bayi. Berikut ialah empat impak buruk tabiat beri air kosong kepada bayi bawah enam bulan.
RISIKO KEKURANGAN ZAT
Pemberikan air kosong atau cecair lain (jus buah/ teh dan sebagainya) boleh mengakibatkan risiko kekurangan zat kepada bayi.
RISIKO PENYAKIT DAN JANGKITAN
Meningkatkan risiko penyakit dan jangkitan di mana air bertindak menghakis salutan pelindung penyakit yang dihasillkan oleh susu ibu. Air juga boleh menjadi pembawa kuman sekiranya ia tidak bersih.
RISIKO KERACUNAN AIR
Pemberian air kosong kepada bayi bawah enam bulan boleh meningkatkan risiko keracunan air. Air yang terlalu banyak akan mencairkan garam dalam darah dan menyebabkan suhu badan turun. Bayi menjadi kembung dan menyebabkan sawan tarik.
RISIKO KEGAGALAN PENYUSUAN SUSU IBU
Pemberian air kosong dapat meningkatkan risiko kegagalan penyusuan disebabkan oleh kurangnya rangsangan daripada bayi.
KEBURUKAN BERI MAKANAN & MINUMAN LAIN KEPADA BAYI 6 BULAN KE BAWAH
Bayi yang menyusu susu ibu tidak perlu diberikan makanan atau minuman lain kerana ia boleh menyebabkan beberapa keburukan lain. Antaranya ialah;
Mengurangkan kesan perlindungan daripada penyusuan susu ibu.
Meningkatkan risiko jangkitan.
Mengurangkan keinginan bayi untuk menyusu daripada payudara ibu yang seterusnya akan menyebabkan pengurangan penghasilan susu ibu.
Demam atau kenaikan suhu badan melebihi 37.5 darjah celsius, adalah salah satu simptom penyakit yang lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak mahupun orang dewasa. Tapi anda tahu tak cara menghilangkan sawan demam pada anak?
Ia boleh berlaku dalam pelbagai jenis keadaan kesihatan, baik yang serius ataupun sebaliknya.
Ini kerana demam bukanlah simptom yang khusus untuk mana-mana penyakit tertentu.
Dalam kebanyakan keadaan, demam berlaku akibat daripada jangkitan ringan yang tidak serius. Oleh yang demikian, majoriti individu tidak terlalu risau akan kewujudan simptom ini.
Namun yang demikian, terdapat satu komplikasi khusus yang boleh berlaku dalam golongan kanak-kanak jika demam mereka tidak diatasi dengan baik. Komplikasi yang dimaksudkan adalah sawan demam. Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut berkaitannya.
Apa itu sawan demam?
Seperti yang tertera pada namanya, sawan demam merujuk kepada serangan sawan yang berlaku ketika seseorang itu demam, khususnya dalam demam gred tinggi. Keadaan ini dilihat berlaku dalam golongan kanak-kanak berusia 6 bulan sehingga 6 tahun.
Tanda-tanda
Penting untuk ibu bapa ambil cakna tentang tanda-tanda sawan agar mereka dapat mengenal pasti keadaan ini dengan cepat jika ia berlaku. Ini kerana, ketika diserang sawan, seseorang itu tidak akan sedarkan diri.
Selain itu, berikut merupakan simptom lain yang boleh berlaku ketika sawan:
Kedua-dua kaki dan tangan menjadi kejang atau tersentak-sentak (Kekejangan dan sentakan ini boleh juga berlaku hanya pada sebahagian anggota badan sahaja)
Mata terbeliak ke atas
Air liur mengalir keluar dari mulut
Terbuang air kecil atau air besar
Diagnosis
Secara amnya, terdapat pelbagai perkara yang boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak itu diserang sawan. Antaranya adalah:
Meningitis (Keradangan selaput otak)
Pendarahan dalam otak
Paras gula yang rendah (Hipoglisemia)
Gangguan paras elektrolit dalam darah
Sindrom epilepsi sedia ada
Gangguan neuro-perkembangan
Untuk itu, diagnosis sawan demam hanya boleh dibuat setelah punca-punca sawan lain telah diketepikan dan hanya suhu yang tinggi sahaja menjadi kaitan yang tinggal.
Punca
Demam dalam kalangan kanak-kanak boleh disebabkan oleh pelbagai perkara. Antara jangkitan yang lazim berlaku dalam golongan ini adalah:
Jangkitan saluran pernafasan atas (URTI)
Jangkitan telinga (Otitis media)
Gastroenteritis akut
Tindakan oleh ibu bapa – cara menghilangkan sawan demam anak
Berikut merupakan perkara penting tentang cara menghilangkan sawan yang perlu ibu bapa lakukan sekiranya anak berisiko untuk diserang atau bakal diserang sawan demam.
Sebelum sawan:
Apabila anda telah mengenal pasti bahawa anak sedang demam, berikan ubat demam mengikut sukatan yang telah ditetapkan. Jika anda tidak mempunyai ubat demam, letakkan tuala basah/sejuk pada bahagian dahi mereka terlebih dahulu sebelum anda bergerak ke klinik kesihatan bagi mendapatkan ubat.
Apabila mereka sedang demam, pastikan kanak-kanak tersebut berada dalam pemerhatian anda. Ini kerana jika mereka diserang sawan, anda dapat mengambil tindakan segera dan menentukan durasi sawan tersebut. Sawan biasanya akan terhenti sendiri dalam durasi kurang daripada 2 atau tiga minit. Sawan yang melebihi 5 minit adalah satu kecemasan dan anak tersebut perlu segera dibawa ke hospital.
Ketika sawan:
Ketika diserang sawan, kanak-kanak tersebut akan tidak sedarkan diri dan hilang kawalan badan mereka. Oleh itu, mereka berisiko untuk jatuh (jika mereka sedang berdiri) dan terhentak kepala. Trauma kepala boleh merumitkan lagi keadaan kerana ia boleh mengakibatkan pendarahan dalam otak. Oleh itu, pastikan mereka berada berdekatan dengan anda atau berada di persekitaran yang selamat.
Kosongkan kawasan persekitaran mereka daripada sebarang objek tajam dan berbahaya.
Letakkan mereka dalam posisi mengiring untuk mengelakkan lidah mereka terjatuh kebelakang dan menutup saluran pernafasan mereka.
Elakkan daripada meletakkan apa-apa objek dalam mulut mereka.
Perhatikan pergerakan tangan dan mata anak. Bukan semua jenis serangan sawan akan mempunyai simptom yang sama.
Kira durasi masa sawan. Sekiranya sawan tersebut tidak terhenti sendiri dalam beberapa minit, bawa anak anda ke hospital kerana terdapat risiko sawan tersebut akan berlanjutan lebih lama.
Selepas sawan:
Perhatikan sama ada anak telah kembali sedar selepas sawan tersebut atau terus tidur. Jika sedarkan diri, kenal pasti jika mereka mengalami lemah pada mana-mana anggota badan.
Bawa mereka ke hospital berdekatan agar doktor dapat mengesahkan sama ada sawan tersebut disebabkan oleh demam atau berpunca dari perkara lain.
Sekitar 1 dalam setiap 25 orang kanak-kanak akan mengalami sawan demam sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka.
Terdapat sekitar 30% daripada mereka yang mengalami serangan sawan demam ini akan mengalaminya lagi jika mereka demam.
Walaupun tampak serius, sawan demam bukanlah sesuatu yang mengancam nyawa dan tidak ada sebarang kesan jangka panjang yang berkaitan dengannya.
Pastikan anda mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih tentang cara menghilangkan sawan demam untuk maklumat kesihatan berkaitan dengan keadaan ini.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.