Kehamilan

Urutan Perineum: Tip Penting Ibu Hamil Untuk Kurangkan Risiko Koyak Ketika Bersalin!

Share

Siapa yang tak mahu proses bersalin berjalan lancar tanpa koyakan atau perlu dijahit? Bagi kebanyakan ibu, perkara ini memang menjadi antara harapan terbesar apabila semakin menghampiri tarikh bersalin.

Namun hakikatnya, koyakan pada bahagian perineum ketika melahirkan boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor dan bukan semuanya berada dalam kawalan ibu. Jadi jangan terlalu menyalahkan diri jika ia berlaku.

Dalam masa sama, ibu hamil boleh melakukan beberapa persediaan bagi membantu meningkatkan keanjalan kawasan perineum, sekali gus berpotensi mengurangkan risiko koyakan yang lebih serius ketika proses kelahiran.

Salah satu kaedah yang boleh dipertimbangkan ialah urutan perineum.

Perineum merupakan kawasan kulit dan otot di antara bukaan faraj dan dubur. Ketika bayi dilahirkan, bahagian ini akan meregang bagi memberi ruang kepada kepala dan tubuh bayi untuk keluar.

Menurut Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, urutan perineum boleh mula dilakukan apabila kandungan memasuki minggu ke-35.

“Bermula dari minggu ke-35 kehamilan, anda atau pasangan boleh melakukan urutan perineum setiap hari sehingga bayi anda dilahirkan. Ini mungkin dapat mengurangkan risiko koyakan semasa bersalin.

“Kaedah ini sangat bermanfaat untuk ibu yang pertama kali hamil. Anda juga boleh meminta bantuan pasangan untuk melakukannya bersama.”

Bagi ibu yang pertama kali mahu mencubanya, mungkin terasa sedikit kekok atau tidak selesa pada awalnya. Apa yang penting, lakukan secara perlahan-lahan, pastikan tubuh berada dalam keadaan relaks dan jangan memaksa jika terasa sakit.

Tip Melakukan Urutan Perineum

1. Mulakan dengan air suam

Sebelum melakukan urutan, ibu boleh duduk atau berendam seketika dalam air suam. Cara ini dapat membantu tubuh menjadi lebih relaks serta mengendurkan otot di sekitar kawasan perineum.

2. Pastikan kuku pendek dan tangan bersih

Tisu pada bahagian faraj dan perineum sangat sensitif. Pastikan kuku dipotong pendek bagi mengelakkan calar, luka kecil atau rasa tidak selesa ketika melakukan urutan.

3. Cari posisi paling selesa

Ibu boleh melakukannya di atas katil dengan menyandarkan badan menggunakan bantal. Bengkokkan kedua-dua lutut supaya lebih mudah mencapai kawasan perineum.

Gunakan pelincir yang sesuai bagi mengurangkan geseran dan memastikan urutan lebih selesa.

4. Tekan perlahan ke arah bawah dan sisi

Masukkan ibu jari secara perlahan, kemudian tekan ke bawah ke arah dubur serta ke sisi dinding faraj.

Tahan kedudukan tersebut selama kira-kira satu minit sehingga terasa sedikit regangan. Tarik nafas dalam-dalam dan cuba relakskan otot. Elakkan menekan terlalu kuat sehingga menyebabkan kesakitan.

5. Urut dalam gerakan berbentuk ‘U’

Urut perlahan-lahan bahagian bawah faraj dengan gerakan berbentuk huruf ‘U’ selama kira-kira dua hingga tiga minit.

Ulangi sebanyak dua hingga tiga kali mengikut tahap keselesaan.

Urutan Perineum Bukan Jaminan Ibu Tidak Koyak

Urutan perineum bukanlah jaminan bahawa ibu pasti akan bersalin tanpa sebarang koyakan. Namun, ia boleh menjadi salah satu bentuk persediaan menjelang kelahiran bagi membantu perineum menyesuaikan diri dengan regangan ketika bayi dilahirkan.

Kesan juga mungkin tidak dirasai selepas sekali atau dua kali mencuba. Ia boleh mengambil masa beberapa minggu sebelum ibu merasakan kawasan tersebut menjadi lebih mudah diregangkan.

Apa paling penting, lakukan dengan lembut dan berhenti jika mengalami sakit yang kuat, pendarahan atau rasa tidak selesa yang luar biasa.

Sekiranya ibu mempunyai komplikasi kehamilan, masalah uri, risiko kelahiran pramatang atau tidak pasti sama ada urutan ini sesuai dilakukan, dapatkan nasihat doktor atau jururawat yang merawat terlebih dahulu.

Menjelang hari bersalin, bukan sahaja mental perlu dipersiapkan tetapi tubuh juga boleh dibantu dengan beberapa persediaan yang sesuai. Tak perlu terlalu takut tentang kemungkinan koyakan. Fokus pada teknik yang betul, kekal tenang dan berbincang dengan pasukan perubatan tentang pilihan terbaik untuk proses kelahiran nanti.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!

Sumber: IG Dr Muhammad Izzat Abdul Razak 

Published by
SRM