Setiap anak mempunyai potensi menjadi individu cemerlang. Potensi anak sebenarnya boleh berkembang baik sekiranya mereka mendapat sokongan, perhatian dan bantuan ibu bapa.

Usah Bentuk Anak Ikut Kemahuan Kita, Ia Hanya Akan Mematikan Suis Kehebatan Anak!

Memberi sorakan sokongan untuk si kecil anda apabila dia mengelecek bola dalam perlawanan bola sepak atau melihat bakal bintang Akademi Fantasia anda di atas pentas merupakan saat-saat gembira bagi ibu bapa. Jelaslah, setiap anak mempunyai kebolehan istimewa masing-masing, dan sudah tentu ia menggamit perasaan ibu bapa jika hobi atau minat mereka dikongsi bersama. Memupuk minat anak anda boleh membantunya berkembang dan membesar menjadi seorang yang sihat dan serba boleh. Siapa tahu, anda mungkin sedang melatih seorang bakal atlet antarabangsa atau seorang profesor yang bijak?

Namun demikian, berapa ramai ibu bapa hari ini dapat duduk, menghabiskan masa berkualiti bersama anak? Pastinya alasan kerja, tidak sempat, sibuk, penat dan tidak mempunyai waktu bersesuaian, kerap digunakan setiap kali persoalan sebegini dilontar kepada mereka.

Peluang dan pendedahan kepada pelbagai jenis pengalaman dan aktiviti adalah penting kerana kita tidak mengetahui bakat yang terdapat pada anak kita. Jika dibiarkan, kebanyakan kanak-kanak lebih suka duduk di hadapan televisyen atau bermain Minecraft sepanjang hari. Kanak-kanak sering dipengaruhi oleh minat ibu bapa mereka terhadap sesuatu aktiviti. Penglibatan anak anda dalam hobi anda merupakan salah satu cara semula jadi yang terbaik untuk memperkenalkan sesuatu aktiviti. Penglibatan aktif ibu bapa terbukti menyumbang kepada kejayaan anak dalam kegiatan akademik dan kokurikulum.

Apabila mengaitkan soal sokongan dan bimbingan, tidak bermakna ibu bapa perlu menghabiskan sejumlah besar wang dengan menghantar anak ke kelas tarian, muzik, lakonan dan sebagainya. Boleh jadi ia menyentuh pembabitan ibu bapa dalam membantu mengenal persekitaran dan meneroka kehidupan semula jadi.

Setiap anak mempunyai pelbagai kecerdasan. Ada yang lebih kepada pergerakan badan dan mereka suka menari; ada yang cenderung kepada muzik dan suka menyanyi; ada juga yang memiliki kecerdasan kinestetik, bercakap dan berkomunikasi.

Melihat senario hari ini, ramai ibu bapa menghantar anak mengikuti kelas tarian, nyanyian, lukisan, muzik dan sebagainya. Tindakan ini kita sebut sebagai usaha mengasah bakat anak dari kecil. Mereka cuba memberi persekitaran yang sesuai untuk anak melihat potensi diri dan mengenal minat terhadap sesuatu. Bagaimanapun, ia tidak menentukan bakat dan potensi sebenar anak apabila meningkat dewasa kelak.

Sebab itu ibu bapa digalakkan membiarkan anak mereka melalui enam tahun pertamanya dengan meneroka pelbagai persekitaran. Umpamanya, jika ada saudara yang sakit, kita bawa mereka ke hospital untuk melihat dan mengenal persekitaran. Pada hujung minggu dan cuti sekolah, kita bawa mereka keluar melakukan aktiviti luar rumah, menonton teater, mengunjungi banyak tempat serta memenuhi jemputan atau sebarang keraian.Dengan pendedahan yang diberi, barulah kita pantau sama ada anak menyukai muzik, lakonan, lukisan atau apa saja bidang yang boleh membina potensi mereka pada masa akan datang.

IKLAN

Usah Bentuk Anak Ikut Kemahuan Kita, Ia Hanya Akan Mematikan Suis Kehebatan Anak!

Kesilapan Ibu Bapa

keghairahan ibu bapa mempersiapkan anak dengan cabang pendidikan pada usia muda kerap memberi tekanan dalam kehidupan si kecil. Sikap ego, suka membanding-bandingkan kebolehan anak dan ‘bimbang’ dengan perubahan zaman menyebabkan ramai ibu bapa bertindak secara berlebihan.

Tidak dinafikan, memang ramai ibu bapa hari ini cenderung menyediakan persekitaran pembelajaran yang baik untuk anak. Mereka berpegang kepada pendapat yang mengatakan anak kecil umpama span.Namun sedar atau tidak, kebanyakan ibu bapa sekarang sebenarnya cenderung menyediakan persekitaran yang mereka sendiri suka untuk anak. Mereka seolah-olah memilih jalan untuk anak membesar mengikut acuan yang dimahukan. Ini salah. Usah melihat potensi anak sejak usia mereka kecil.

Kalau anak sukakan alat muzik, tidak semestinya mereka akan menjadi penyanyi atau pemuzik apabila besar nanti. Begitu juga dengan anak yang suka bermain dengan peralatan kedoktoran seperti stetoskop, tidak semestinya mereka akan menjadi doktor. Itu semua sekadar permainan anak kecil untuk mereka berseronok. Sepatutnya, pada usia satu hingga enam tahun, ibu bapa menyediakan persekitaran sesuai untuk mereka mempelajari dan memahami asas kehidupan. Dedahkan kepada aspek pekerjaan, rutin dan tanggungjawab. Ini penting kerana penglihatan dan pemerhatian yang baik membantu anak mengenali minat serta kehendak mereka sendiri.

Seelok-eloknya, bawa melakukan aktiviti di dalam dan luar rumah. Rangsang pemikiran mereka dengan idea baru untuk anak melihat potensi dan dan minat sendiri. Cuba imbas kembali zaman dahulu. Kita tidak ada kelas mengasah bakat, tetapi ramai yang berjaya mengukir kejayaan cemerlang. Kenapa? Sebab dulu, kita bebas meneroka benda sekeliling. Hanya sekarang saja ada kelas piano, menari, muzik dan sebagainya. Itu semua bertujuan menggilap potensi.

IKLAN

Ada kemungkinan kecenderungan anak di peringkat awal ke arah muzik, tapi apabila besar, dia mungkin menjadi doktor. Secara peribadinya, saya berpendapat dunia bermain ialah fitrah anak. Biarkan mereka aktif supaya pandai bertolak ansur, berkongsi, berdisiplin dan berkomunikasi. Kita perlu sediakan persekitaran yang mendedahkan anak dengan dunia luar supaya mereka ada kemahiran insaniah yang tidak diajar di dalam kelas di sekolah. Apabila semua kemahiran ini dikuasai secara semula jadi, anak akan lebih fokus dan yakin dalam menyerlahkan potensi serta bakat diri.

Satu tinjauan dalam kalangan atlet berbakat menunjukkan bahawa ibu bapa mereka banyak memberi galakan dan sokongan. Terlalu mengkritik dan mengawal secara keterlaluan tidak menggalakkan motivasi semula jadi dan pembelajaran secara berdikari. Biarkan anak anda mencuba sesuatu tugasan dan belajar daripada kesilapan mereka. Berikan cadangan yang membina dan elakkan dari berkata “itu salah, buat begini”. Ini akan menggalakkan kefahaman dan minat dalam proses pembelajaran dan penyelesaian masalah.

Tetapkan Sasaran Realistik

Tetapkan sasaran yang realistik berdasarkan pencapaian anak anda. Kegagalan boleh berlaku, anak anda mungkin tawar hati dan terus putus asa dengan pengalaman baharu dan mereka mungkin enggan mencuba perkara baharu pada masa akan datang. Maka, jangan terlalu menekan anak anda dan pastikan anda sentiasa berada di sisi mereka untuk membantu sekiranya mereka gagal.

Ada sebahagian kes ibu bapa boleh melihat bagaimana minat anak berkembang pada awal usia, sehingga ke peringkat remaja. Namun dalam kebanyakan situasi, anak mungkin nampak menyerlah dalam sesuatu subjek, namun berkemungkinan tidak berminat untuk menyerlah dalam bidang berkaitan.

Ada juga anak yang nampak bagus dalam bidang muzik. Namun, ibu bapa tidak boleh mengabaikan kecemerlangan mereka dalam subjek di sekolah. Sebab itulah pentingnya dorongan, nasihat, pendapat dan motivasi kepada anak-anak untuk mereka cemerlang dalam hidup.

IKLAN

Bimbingan dan motivasi yang baik berupaya menggilap potensi yang sesuai dengan minat anak. Usah bentuk diri anak mengikut kemahuan kita sebagai ibu bapa. Jika ini berlaku, tidak mustahil anak akan malas belajar, tidak memberi tumpuan atau menipu ke sekolah

Sebagai ibu bapa, kita harus realistik dalam menetapkan sasaran kita. Kurang daripada 0.01% kanak-kanak akan membesar menjadi Lee Chong Wei atau Siti Nurhaliza. Dengan peluang dan pendedahan, anak-anak kita akan menjumpai bakat yang akhirnya membantu mereka dalam kerjaya mereka. Akhirnya kita berharap anak-anak kita akan membesar menjadi orang dewasa yang gembira, sihat dan produktif; dengan minat yang memberi mereka keseronokan sepanjang hayat.

Usah Bentuk Anak Ikut Kemahuan Kita, Ia Hanya Akan Mematikan Suis Kehebatan Anak!

Peranan ibubapa mendidik anak-anak dan menerapkan keberanian dan semangan kesukarelaan adalah suatu tugas yang penting. Seorang juara adalah diasuh dengan pemikiran dan minda juara.

Saksikan kisah “Hero Cilik” dalam Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, Rabu ini, 29 Julai, jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124.

#PaMaJourneyBersamaSchAwaLara
#AstroRia

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI