
Sebagai seorang ibu, hargailah masa di dapur. Mungkin letih kerana sepanjang tempoh PKP ni, ada saja permintaan dari suami dan anak-anak. Baru sudah makan, minta lagi yang lain. Mengenangkan rasa sayang, buat sajalah walaupun letih.
Melalui perkongsian Najibah Mustaffa, dia berkongsi tentang pengisian ceramah dari seorang ustazah yang menceritakan tentang dapur sebagai medan mujahadah, iaitu ruang bakti dan kasih sayang seorang ibu.

Walaupun Kecil, Itulah Medan Bakti Seorang Ibu
Lepas Subuh tadi dengar ceramah Ustazah Asma Harun tentang adab makan yang dipetik daripada Kitab Riyadussolihin. Selain tazkirah, Ustazah buat demo masakan Laksa Lemak Terengganu Style. Ya Allah terliurnya saya. Dan kagum dengan Ustazah. Katanya sebelum ni Ustazah biasa masak banyak banyak laksa ni. Ambil tempahan, buat jamuan jemput jiran makan. Masyaallah.
Saya teringat beberapa perkara yang Ustazah sebut. Dapur dalam rumah kita, biar pun ruangnya kecil sahaja. Ia adalah medan mujahadah, ruang bakti dan kasih sayang seorang ibu. Bila kita niatkan kerana Allah, ia akan menjadi sumber pahala. Begitu juga bila kita mengemas rumah semua tu.
Artikel Menarik: [Resipi Telur Mata Sambal Hijau, Menu Jimat Paling Terangkat, Sedap!]
Anak Asyik Lapar, Sampai Teruji Letih
Subhanallah. Tiba tiba saya rasa ringan sangat perasaan. Iya, ini kita ibu ibu fahamkan. Waktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, anak anak asyik lapar. Kita pun masak dan masak. Kadang kadang tu teruji letih, hilang idea nak masak apa. Lepas tu nak mengemas pula.
Mulakan Dengan Bismillah
Bila kita memasak ni, mulakan dengan Bismillah. Semua itu membawa banyaknya keberkatan pada hidangan. Yang menjadi darah daging keluarga. Mudah-mudahan asbab makan apa yang kita masak. Kasih sayang keluarga bertambah erat, anak anak elok hatinya.
Begitulah. Terasa sebuah indah dalam hati bila dengar bicara Ustazah. Lalu saya gigih menyiapkan Wanpaku versi Makcik Kiah, eh Makcik Jibah untuk sarapan pagi ini. Guna apa yang ada sahaja di rumah. Biarpun rupa tak berapa cantik, syukur ia rezeki pagi ini.
Najibah Mustaffa
Cari yang indah indah.
Artikel Menarik: [Belanja Anak Kek Sedap, Buatkan Kek Marble Nestum, Sedap Lembut & Terlajak Gebu!]
Sepanjang waktu PKP ni, memang dapur tak pernah kosong. Selalu saja kita memasak dan sediakan makanan untuk keluarga tersayang. Semoga hati kita terus bahagia dan ikhlas melakukannya dan mendapat ganjaran terbesar dari Allah SWT kelak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keliru Puasa Enam & Puasa Ganti Buat Serentak, Ini Jawapannya

Dalam kemeriahan kita meraikan Hari Raya Aidilfitri janganlah umat Islam lupa untuk melaksanakan puasa 6. Bagi umat Islam yang ingin mendulang pahala lebih, melaksanakan ibadah puasa sunah di bulan Syawal boleh menjadi pilihan.
Puasa 6 adalah puasa sunnah yang dapat ditunaikan selama enam hari di bulan Syawal setelah Hari Raya Aidilfitri. Orang yang berpuasa selama enam hari di bulan Syawal setara dengan berpuasa selama setahun penuh.
BOLEH KE GABUNG PUASA 6 & PUASA GANTI?
Soalan:
Assalamualaikum , Saya ingin bertanya , bolehkah saya berniat puasa qada (ganti) dan puasa enam dibulan syawal secara serentak (dua dalam satu (puasa ganti dan puasa enam). Terima Kasih
Jawapan:
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih kepada saudara yang bertanya.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah:183)
Berbuka Puasa Di Bulan Ramadhan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadhan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
- Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub. Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil. Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.
- Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada Bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadhan dan niat puasa 6 pada bulan syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Gabung Niat Puasa Qadha Ramadhan Dan Puasa 6 Syawal
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadhan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadhan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak. Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A^syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna
Kesimpulan
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal.Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tragedi FRU: Sembilan Jenazah, Pergi Kerana Tugas, Tak Sempat Ucap Selamat Tinggal

Pagi itu mereka keluar seperti biasa. Berseragam, bersemangat, berjuang demi tugas. Tak pernah terlintas, itu akan jadi pagi terakhir dalam hidup mereka. Berita duka yang amat pedih buat seluruh rakyat Malaysia.
Sekurang-kurangnya 9 anggota polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) maut dalam nahas jalan raya melibatkan trak yang mereka naiki dengan sebuah lori muatan batu kerikil, pagi ini.
Memetik laporan Astro Awani, Ketua Cawangan dan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah, lapan daripada mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian .

Sementara itu, lapan anggota FRU lain disahkan cedera dalam kejadian itu, yang berlaku di simpang tiga Jalan Chikus – Sungai Lampam, di sini.
Pada masa sama, pemandu lori terbabit telah ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Shazlean berkata, anggota FRU yang meninggal dunia di lokasi kejadian telah dikenal pasti. Berikut senarai nama mereka:
1. Sjn Perumal Sugunanathan
2. Kpl Nurit Pandak
3. Kpl Amiruddin Zabri
4. Kpl Mohd Pozli Jaudin
5. Kpl Akmal Muhamad
6. Kpl Mohamad Hilmi Mohd Azlan
7. L/Kpl Damarrulan Abdul Latif
8. Konst Akmal Wafi Annuar
Sementara itu, 10 anggota yang cedera dan dibawa ke Hospital Teluk Intan ialah:
1. Kpl Haslizal Mohd Ali
2. Kpl Syed Isfan Syed Mohd
3. Sjn Mazlan Mat
4. Sjn Mohd Parih Ali
5. Kpl Mohd Harrisul ikhsan Mohd Mahabudin
6. Kpl Nizam Tarmizi
7. Kpl Mohammad Zulnaidi Muhammad Zullkifli
8. Kpl Mohd Izwan ishak
9. Sjn Mohd Roslan Abd Rahim
10. L/Kpl Muhammad Aniq Taufiq Roz

Ada tiga orang mangsa yang tersepit di hadapan lori_ – Sayani Saidon
Terdahulu, Pengarah JBPM Perak Sayani Saidon memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 8.54 pagi. Menurutnya, terdapat 18 penumpang dan pemandu berada di dalam trak FRU tersebut
Menurutnya, sebahagian mangsa yang dikeluarkan telah dihantar ke Hospital Teluk Intan.
Difahamkan kesemua mereka dalam perjalanan balik ke Ipoh selepas tugasan kawalan perarakan sempena sambutan Hari Wesak semalam.
Sumber: Astro Awani
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
HARAM Sebar Cerita Dalam Kain Di Socmed. Orang Buruk Sangka, Tambah Dosa!

Sedangkan lidah lagi tergigit, apa lagi suami isteri. Berselisih faham dalam rumah tangga itu adalah perkara normal. Setiap pasangan pasti akan melaluinya. Cara terbaik untuk menyelesaikan konflik dengan pasangan adalah dengan berbincang. Sesetengah wanita atau lelaki, cenderung untuk memberitahu tentang masalah perkahwinan di media sosial. Bukankah ia umpama membuka aib sendiri?
Artikel Menarik: [Kalau Rambut Isteri Kerap Gugur, Hiburkanlah Hatinya! Wanita Makhluk Paling Penat]
Meluahkan rasa tidak puas hati dengan pasangan secara terbuka di media sosial adalah HARAM kerana ia boleh menyebabkan salah faham serta fitnah tersebar. Bahkan keadaan juga semakin bermasalah dan menjadi keruh. Menurut pendakwah bebas, Noraini Mat Din atau lebih dikenali sebagai Ustazah Nony berkata tindakan meluahkan perasaan dengan niat memohon pendapat berkenaan rumah tangga di media sosial bukanlah jalan terbaik buat suami mahpun si isteri.

Memetik sebuah artikel di Sinar Harian, Ustazah Nony mengatakan kemudaratan yang lebih besar bakal berlaku daripada tindakan itu. Misalnya keaiban pasangan dan ahli keluarga mereka akan menjadi bualan ramai. Salah faham begitu akan mengakibatkan salah faham serta prasangka buruk yang menyebabkan orang ramai menghukum tanpa mengetahui kisah sebenar.
Bimbang juga jika ada pihak yang mengambil kesempatan dalam situasi ini sekali gus menjadi punca kepada keretakan yang lebih besar, termasuklah boleh menyebabkan kecaman netizen dan menjadi sebab kepada mengumpat serta mencela beramai-ramai
MENGURUS KONFLIK
Menurut Ustazah Nony lagi, kesan daripada perbuatan itu, ia bukan sahaja memberi persepsi buruk kepada pasangan bahkan ia juga mengundang kepada reaksi negatif pelbagai pihak dan boleh membarah dalam masyarakat.
Justeru katanya, tindakan berkongsi masalah di media sosial berkenaan hal rumah tangga amatlah ditegah.
“Oleh itu, carilah jalan penyelesaian dan perdamaian dengan cara bersemuka antara satu sama lain dan bukannya melalui atas talian,” katanya.
Artikel Menarik: [Sentuh Hati Anak-Anak Dengan NAsihat Dalam 3 Waktu Ini. Sangat Berkesan!]
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat pelbagai kaedah yang digariskan Islam kepada suami isteri sebagai persediaan menempuhi gerbang perkahwinan, antaranya ialah kematangan dalam kerangka berfikir pasangan berkenaan.
Menurutnya, ia merangkumi cara berfikir, membuat keputusan, perbuatan dan tindakan, komunikasi serta pergaulan.
“Suami dan isteri mestilah matang dalam berbincang, membuat keputusan, menjalankan tanggungjawab dan hak, menguruskan konflik dan menguruskan rumah tangga.
“Kematangan suami dan isteri ternilai daripada cara mereka menguruskan konflik,” katanya. Kekalkan keharmonian rumah tangga.
Menurutnya, Islam mengajar umatnya beberapa cara untuk kekal harmoni dan mengatasi masalah dalam rumah tangga.
“Pertamanya, berkomunikasilah. Suami dan isteri mesti memahami pasangan masing-masing.

“Contohnya, apabila suami tidak gemar tindakan isteri maka ajaklah berbincang dan mohon isteri membuat semakan dan tegurlah secara berhemah,” katanya.
Menurutnya, suami dan isteri juga perlu meningkatkan amal ibadat dan sentiasa saling menasihati berkenaan agama.
Artikel Menarik: [Isteri Yang Tengah Stres, Cepat-Cepat Duduk Bawah Ketiak Suami. Terus Lega!]
“Ibadah sempurna akan memandu rumah tangga sekali gus menjadikan hubungan sentiasa terjaga,” katanya.
TIP BAGI MEREKA YANG BERHADAPAN KONFLIK RUMAH TANGGA
* Suami dan isteri yang mempunyai masalah ataupun tidak, mesti saling berkomunikasi secara berhadapan.
* Komunikasi melalui atas talian tidak mempunyai nada, mimik muka dan sukar untuk dibuat penjelasan maka elakkan meregangkan kekusutan antara pasangan melalui atas talian.

* Suami dan isteri mestilah duduk berbincang terutamanya apabila berhadapan konflik rumah tangga.Melarikan diri, atau mewakilkan orang untuk berbincang dan menyelesaikan masalah sebenarnya tidak membantu meregangkan konflik bahkan boleh menyebabkan ia lebih buruk.
* Sekiranya perlukan orang tengah untuk membantu komunikasi dan perbincangan antara suami isteri maka ajaklah saudara. Sama ada daripada sebelah suami atau sebelah isteri atau kedua-duanya untuk memurnikan dan memberi pendapat, atau suami isteri boleh membawa hal ini berjumpa bahagian kaunseling rumah tangga.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


