Hari ini genap setahun pemergian allahyarhamah Siti Sarah, isteri tersayang usahawan dan pelawak, Shuib yang dijemput Ilahi selepas tewas dengan serangan Covid-19.
Mengenang memori indah bersama, Shuib turut memuat naik video terakhir ketika arwah isteri tersayangnya itu hamil lima bulan di Instagramnya.
Kongsi Shuib menerusi video itu, arwah Sarah ketika itu mengidam untuk makan di restoran kesukaannya dan ketika itulah Shuib menjemput Sarah untuk ke restoran berkenaan.
Menurut kata Shuib lagi, video inilah yang sering membuatkan dirinya bersedih bila begitu merindui isterinya.
“9.8.2022. Genap setahun sayang pemergian You. Inilah video yang selalu buat i sedih yang teramat.
“Masa ni pregnant 5 bulan, You nak sangat makan dekat tempat favourite You. Berkali kali call sebab nak ajak pergi makan,” kongsi Shuib.
Ads
Malah menurut Shuib lagi, paling dirindukan pastinya riak wajah comel dan manja arwah Sarah yang merajuk kerana Shuib tidak menunaikan permintaannya untuk makan di restoran kegemarannya.
Pun begitu kata Shuib, dia berasa lega kerana dapat menunaikan permintaan arwah isterinya itu.
Tak lupa, bapa kepada empat cahaya mata ini juga turut meninggalkan pesan buat para suami agar sedaya upaya menunaikan apa jua permintaan isteri selagi masih ada.
Malah Shuib turut berterima kasih kepada semua yang sentiasa terus mendoakan arwah isterinya itu biarpun pun kini genap setahun pemergiannya.
Ads
“Bila i pegi amik, buat pulak muka comel dengan manjanya sekali. Alhamdulillah dapat you makan kat tempat yang You nak.
“Pada suami semua, selagi mana kita boleh tunaikan permintaan orang yang kita sayang, cuba lah sehabis baik untuk memenuhi segala permintaan yang tersayang kerana mungkin itu adalah permintaan yang terakhir.
“Terima kasih yang terus mendoakan Siti Sarah, semoga kita semua diberkati dan di rahmati dunia dan akhirat. Amin, Al Fatihah buat SITI SARAH BT RAISSUDDIN,” tulisnya lagi.
Dilahirkan dengan autisme ringan membuatkan Muhammad Ammar Qayyim yang berusia 11 tahun masih berperangai keanak-anakan seperti kanak-kanak tadika.
Tidak seperti rakan sebayanya, kanak-kanak yang mesra dipanggil Ammar Qayyim itu masih memakai lampin pakai buang untuk membuang air besar dan menyusu botol ketika tidur malam.
Malah, apabila berborak dengannya dapat dikesan pemikiran dan tutur katanya juga tidak seperti rakan sebaya sebaliknya berperwatakan kanak-kanak berusia lima atau enam tahun.
Namun, apa yang membanggakan anak bongsu daripada dua beradik ini memiliki kelebihan istimewa apabila mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran seawal usia lapan tahun.
Masih Berbotol Susu & Tak Mampu Uruskan Diri
Menurut ibunya, Saadiah Saad, 50, meskipun berusia 11 tahun anaknya masih tidak mampu menguruskan diri sendiri termasuk masih berbotol susu.
“Kalau perasan tingkah lakunya tidak sama macam umurnya. Sepatutnya umur 11 tahun rancak bercerita dan bercakap, tetapi dia macam kanak-kanak sekolah tadika.
“Dia masih tidak boleh uruskan diri, segalanya masih perlukan bantuan, contohnya kita masih kena arahkan ambil buku, ambil beg itu ini.
“Sampai sekarang pun, balik sekolah dan waktu malam hendak tidur dia mahu menyusu botol,”
Pakar Sahkan Anak Mereka Lewat Empat Tahun Dari Usia Sebenar
Katanya, dia dan suaminya, Nazeri Arshad, 47, menghantar anak mereka bertemu pakar sebelum disahkan perkembangan kanak-kanak itu lewat empat tahun dari usia sebenar.
“Dari segi fizikalnya dia nampak normal, tetapi pada umurnya 11 tahun dia berperangai macam kanak-kanak empat tahun ke belakang termasuk komunikasinya kurang, kosa kata tidak banyak selain tidak boleh proses atau memahami apa orang tanya.
“Pada peringkat permulaan doktor tidak boleh diagnosis masalahnya melainkan menganggap masalah dialaminya sebagai perkembangan lewat, tetapi makin meningkat umurnya barulah doktor sahkan dia ada autisme ringan.
“Secara peribadi, pada mulanya sukar untuk saya terima, ibu bapa mana yang tidak terasa apatah lagi ini kali pertama terjadi dalam keluarga kami, tetapi hidup perlu diteruskan.
SAADIAH dan Nazeri tidak pernah berputus asa dalam membesarkan Ammar.
“Kami positif mungkin Allah sudah pilih ada anak syurga macam ini. Saya selalu berdoa bila al-Quran sentiasa berdamping dengannya, semoga Allah sentiasa menjaga dirinya,” katanya.
Kelebihanya Mula Dikesan
Sementara itu, Nazeri berkata, kelebihan Ammar Qayyim menghafaz mula dikesan selepas pakar sebuah pusat rehabilitasi mengesan kecenderungan dan mengesyorkan belajar di Akademi Darul Huffaz (ADH) International Tahfiz & Science Academy Malaysia.
“Seminggu dia belajar di ADH, ramai ustaz kagum dengannya kerana boleh menghafaz al-Quran pada usia baru mencecah tujuh tahun ketika itu.
“Mereka menguji hafazannya, Ammar Qayyim mampu sambung ayat seterusnya dan boleh meneka surah apa dan ayat ke berapa dengan tepat,” katanya.
Ibu Bapa Yang Ada Anak Istimewa, Jangan Cepat Putus Asa
Katanya, ibu bapa yang memiliki anak istimewa jangan cepat putus asa sebaliknya kenali dan sokonglah kecenderungan anak hingga berjaya.
“Memang ada perancangan untuknya melanjutkan pelajaran dalam bidang tafsir dan ilmu hadis di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) yang ada menawarkan bidang pengajian untuk pelajar tahfiz tahap syahadah.
“Ada pelbagai cadangan daripada ustaznya termasuk hantar ke Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Arab Saudi, tetapi sebagai ibu bapa kami belum sampai sejauh itu kerana tahu kemampuan anak kami lebih-lebih lagi belum pandai berdikari,” katanya.
‘Ammar Qayyim pelajar yang hebat’
Kelebihanya Anugerah Luar Biasa Dari Allah
Kelebihan dimiliki Muhammad Ammar Qayyim, 11, anugerah luar biasa kurniaan Allah, namun faktor kejayaan kanak-kanak istimewa itu mampu menghafaz 30 juzuk didorong oleh kesabaran dan komitmen tinggi keluarganya.
Pengasas Akademi Darul Huffaz (ADH) International Tahfiz & Science Academy Malaysia Sheikh Lokman Shazly Azlanii Zaharin berkata, Ammar Qayyim muncul huffaz termuda pernah dilahirkan ADH sejak penubuhannya pada 2007 kerana melepasi ujian peringkat tertinggi tahfiz, syahadah tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya mengesan kelebihan Ammar Qayyim ketika kanak-kanak itu berusia lapan tahun sebelum meminta guru sekolah terbabit membimbingnya dengan betul.
“Apabila mengetahui kelebihannya itu, saya minta gurunya membimbingnya, malah semua guru tahfiz diberikan tugasan menyemak keseluruhan 30 juzuk hafazannya berjumlah 6,236 ayat daripada 604 muka surat dengan teliti.
“Alhamdulillah, walaupun perangainya masih kebudak-budakan, anak ini berjaya buktikan kemampuannya membaca dari juzuk satu hingga 30 selama enam hari dengan kesalahan 14 saja pada ujian program syahadah yang kita lakukan tahun lalu.
“Untuk makluman, kita sasarkan seseorang boleh ke program syahadah paling kurang 15 kesalahan saja, maknanya Ammar Qayyim hebat kerana sudah melepasi tahap itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di ADH Taman Putra Kajang di sini.
Menurutnya, faktor terbesar kejayaan Ammar Qayyim kerana dorongan dan sokongan keluarganya selain berkat istiqamah tenaga pengajar ADH.
Faktor Kejayaan Ammar Adalah Usaha Ibu Bapanya
“Antara faktor penting dalam kejayaan Ammar Qayyim ini adalah usaha, saya tengok usaha ini dilakukan ibu bapanya sangat hebat termasuk komitmen mereka.
“Saya tahu, mungkin kanak-kanak autisme seperti Ammar Qayyim ada kerenahnya termasuk sukar ke sekolah, tetapi ibu bapanya mempunyai kesabaran tinggi menghantar anak mereka menuntut ilmu.
“Ternyata Allah tidak sia-siakan pengorbanan mereka itu dengan terhasilnya sesuatu sangat hebat ini yang bagi saya juga satu kebanggaan kami di ADH,” katanya.
Sementara itu, guru penyelaras akademik sekolah rendah ADH, Nor Atiqah Abd Aziz berkata, mereka tidak mengukur pencapaian akademik Ammar Qayyim dengan pelajar lain.
“Kita tidak boleh bandingkan pencapaian akademik Ammar Qayyim dengan pelajar sebayanya kerana dia istimewa, namun tahun demi tahun memang ada kemajuan.
“Dia boleh membaca, menulis bahasa Melayu, Inggeris dan Arab dan Jawi cuma dia tidak boleh proses apa yang dibaca kena penjelasan lanjut dari guru.
“Dulu, dia tidak boleh membezakan kelas akademik dan tahfiz, tetapi kini dia sudah boleh bezakan keduanya.
“Paling penting, kemahiran sosial dan komunikasi bersama rakan dan guru semakin bertambah baik malah dia kini tidak lagi makan bersuap seperti saat pertama memasuki sekolah ini dulu,” katanya.
Rata-rata netizen berbangga dan kagum dengan ibu bapa dan anak ini.
Bayi lelaki berusia setahun lima bulan yang dihempap pokok ru bersama ibunya dilaporkan meninggal dunia setelah lebih enam jam bertarung nyawa di Hospital Melaka di sini, pada Ahad.
Perkara itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Puteri, Tuminah Kadi bahawa Muhammad Zahfran Ilman Mohd Syazawan telah meninggal dunia.
Menurutnya, beliau dihubungi pihak hospital pada jam 1.30 pagi yang memaklumkan berita sedih tersebut dan berharap ibu bapa serta keluarga mangsa tabah dengan dugaan itu.
“Adik Muhammad Zafran Ilman Mohd Syazwan, mangsa dihempap pokok telah kembali kepada sang penciptanya sebentar tadi.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaan ini,” katanya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan kegembiraan lima beranak berkelah di pantai bertukar duka selepas dua daripada mereka termasuk bayi berusia setahun lima bulan cedera dihempap sebatang pokok ru di Pantai Puteri, Tanjung Kling.
Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu mengakibatkan seorang bayi lelaki dan ibunya dihempap pokok yang tumbang
Tak disangka-sangka aktiviti bermain basikal bagi seorang kanak-kanak berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila mangsa ditemui lemas bersama basikal selepas terjatuh dalam tali air.
Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dikenali sebagai Muhammad Firash Darwisy Azlan ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di Jalan Permatang Sungai Dua, Kampung Pokok Simpor, Kepala Batas.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kepala Batas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.20 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi kejadian didapati terdapat seorang mangsa kanak-kanak lelaki Melayu berumur 6 tahun telah terjatuh di dalam tali air.
“Mangsa telah berjaya dinaikan ke darat oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Hospital Kepala Batas yang berada di lokasi berkenaan.
Temui sepasang selipar terapung
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kehilangan Muhammad Firash disedari kakak mangsa yang keluar mencari selepas mangsa tidak pulang ke rumah.
Kakak mangsa kemudian keluar mencari adiknya dan telah terlihat sepasang kasut kanak-kanak terapung di dalam tali air berkenaan.
Dia kemudian meminta bantuan penduduk kampung yang kemudian turun ke dalam tali air itu untuk mencari mangsa sebelum menemui basikal milik mangsa dan seterusnya jasad kanak-kanak malang itu.
Terjatuh bersama basikal
Siasatan mendapati, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam tali air yang mempunyai kedalaman dua meter bersama basikalnya.
Mayat mangsa ditemui di dasar tali air bersama basikalnya pada jam 6.30 petang.
Menurut Noorzainy, penduduk turut memberi bantuan pernafasan sebelum pegawai perubatan tiba.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk tindakan lanjut.