Betullah orang cakap bila ada anak, apa-apa mesti dahulukan anak. Samalah situasinya bagi Fizo Omar dan Mawar yang kini menjadikan puteri sulungnya, Wan Maryam keutamaan mereka.
Melalui entri instagramnya, Fizo memberitahu hampir 10 helai baju sehari Maryam akan tukar semata-mata untuk memastikan si comel Maryam dapat pakai semua baju yang dibeli mereka sejak lima tahun lalu.
“Lima tahun lepas masa Daddy dan Mummy honeymoon di Italy excited sangat nak beli baju baby, setiap tempat kami pergi benda yang wajib beli adalah baju baby. Biasalah pasangan yang baru kahwin semuanya excited nak dapat baby dan selalunya tak tunggu lama nak dapat zuriat.
Pasangan ini mendirikan rumahtangga pada 10 November 2013 dan mendapat cahaya mata pada 29 Disember 2017 menerusi rawatan kesuburan.
Sementara itu, Fizo berkata, dia dan isteri tetap yakin membeli baju-baju bayi biarpun ketika itu perkahwinan mereka sudah memasuki tahun keempat.
Kemenangan Bersabar
Ads
Fizo berkata, pelbagai rawatan dan ikhtiar diusahakan dalam tempoh itu tanpa rasa putus asa.
“Hari demi hari menunggu sehinggalah masuk tahun ke empat perkahwinan, tak dapat juga zuriat. Macam-macam cara cuba dan ikhtiar.
“Perasaan saya sangat yakin yang satu hari Allah akan izinkan kami untuk berzuriat. Baju bayi tak payah cakap. Yakin je beli dah macam ada anak ramai kat rumah tu.
Ads
“Saya tak pernah putus asa atau tertekan dengan soalan “bila nak dapat anak?… doa dan terus berdoa, akhirnya Allah izinkan bila dia tahu kami sudah bersedia untuk jadi ibu bapa,” ujarnya.
Jadi tak hairanlah kalau mummy dia tukar baju Cik Yam ni 1 hari sampai lebih 10 kali, sebab stok baju ni dah kumpul hampir 5 tahun.
Daddy pula, bila tengok Cik Yam pakai baju yang kami ‘confident’ je beli dulu, buatkan saya rasa bersyukur dan meraikan kemenangan bersabar yang susah untuk saya explain erti kepuasannya.
Bayi suka masukkan jari kaki ke dalam mulut sebagai salah satu perkembangannya yang baik. Tapi bukan sebab nak minta adik!
Memasukkan kaki ke dalam mulut adalah salah satu perkembangan bayi yang normal. Ia adalah perkembangan yang penting. Walau pun pergerakan tangannya masih belum dikoordinasi dengan baik, bayi semakin berminat dengan objek di sekelilingnya. Kaki dan tangan juga tidak terkecuali!
PERINGKAT ‘MOUTHING’
Bayi belajar menerusi apa yang ada di sekelilingnya termasuklah deria rasa. Sebab itu dia selalu memasukkan tangan dan kakinya ke dalam mulut. Nampak cute pula bila bayi berbuat begitu. Ia adalah satu perkembangan yang normal bagi bayi pada usia 4 hingga 8 bulan.
Ini kerana pada mulut bayi terdapat banyak saraf dan bayi apabila dia ingin mengetahui tentang sesuatu benda akan memasukkannya ke dalam mulut terlebih dahulu. Iadisebut sebagai mouthing dan merupakan sebahagian daripada perkembangan bayi yang normal.
Oleh sebab itu, anda perlu sentiasa memantau bayi untuk mengelakkan mereka memasukkan objek asing yang berbahaya ke dalam mulut yang boleh mengelakkan tercekik atau risiko tertelan.
KENAPA BAYI MEMASUKKAN KAKI KE DALAM MULUT?
Bayi akan mula ‘mengetahui’ tentang bahagian kakinya pada anggaran usia empat hingga lapan bulan. Kebanyakan bayi berusia empat bulan masih belum mampu merangkak, jadi sukar untuk mendapatkan mainan sendiri tanpa bantuan. Maka kakinya memang ada tubuh dan tidak seperti mainan lain. Malah kaki juga mudah dicapai dan tidak hairanlah jika dia mula memasukkan kakinya ke dalam mulut. Bila dia dah mula mengetahui tentang kakinya, maka dia akan kaki akan selalu menjadi ‘mainan’ nya.
PENTING UNTUK MEMUDAHKAN BAYI MENERIMA MAKANAN PEJAL
Mungkin mama dan papa rasa pelik kenapa bayi memasukkan jari kaki ke dalam mulut. Malah ada mitos karut mengatakan ia petanda bayi mahukan adik! Ia tidak benar sama sekali! Memasukkan jari kaki ke dalam mulut memberikan manfaat seperti berikut;
1-Mama dan papa perlu tahu yang ia adalah perkembangan normal bagi bayi yang meningkatkan kesedarannya kepada tubuh dan objek.
2-Memasukkan objek ke dalam mulut juga membantu bayi untuk mempelajari tentang tekstur dan rasa yang sangat mustahak untuk membantunya melalui fasa memakan makanan pejal apabila mencecah usia 6 bulan nanti.
3-Selain merasa dan merangsang deria, aama seperti jari tangan, menghisap jari kaki juga boleh bertindak menenangkan bayi dan memberikan keselesaan kepadanya.
APA PAPA DAN MAMA PERLU LAKUKAN?
Apabila mendapati bayi suka memasukkan jari kaki ke dalam mulut, ambil langkah proaktif dengan memastikan kedua-dua belah kakinya itu sentiasa bersih. Apabila dia sudah berjalan, perbuatan ini akan hilang dengan sendirinya. Berhati-hatilah dengan objek kecil di rumah, jauhi daripada capaian si kecil kerana mereka akan terus cuba memasukkan objek asing ke dalam mulut sebagai satu cara untuk mencuba dan merasa sehingga berusia tiga tahun.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Fasa keresahan pemisahan (separation anxiety) adalah perkembangan normal dan mesti di lalui semua bayi. Ia berlaku seawal usia 6 bulan hingga sekitar 20 bulan dan menyaksikan bayi menjadi lebih 3C: Crying (menangis), Cranky (merengek) & Clingy (nak melekat/berdukung).
Berikut adalah tip yang boleh mengurangkan stres ibu bapa melalui tempoh sukar yang tidak boleh dielakkan ini;
Bayi boleh, perlu & suka meluangkan masa sendirian. Contohnya bila anda melihat bayi telah terjaga dari tidurnya namun leka termenung, memandang sekeliling,bermain-main dengan jarinya sambil ‘membebel’ sendirian. Usah ganggu moment ini!. Perhatikan dari jauh dan biar bayi menikmati saat ini selama yang dia perlukan. Ruang meneroka dan mengamati suasana sekeliling secara sendirian akan memberi rasa ‘dunia ini ok’, ‘saya ok walau sendirian’ kepada bayi.
Bayi sangat awas dan cepat menangkap ekspresi wajah serta gaya tubuh manusia. Contohnya dalam situasi bayi yang sedang belajar untuk meniarap. Anda boleh memilih untuk menjadi salah satu dari ibu berikut: ibu yang membantu bayi membalikkan diri pada setiap cubaannya. Atau menjadi ibu yang meniarap sama aras dengan bayi sambil menyorak kata-kata semangat seperti, ‘sikit lagi..sikit lagi sayang! You can do it! ‘, menunggu reaksi bayi dan hanya bila bayi sudah menangis atau nampak seperti sudah mahu mengalah, ibu bertanya penuh optimis, ‘ adik dah penat?. Nak ibu dukung sekarang?’. Kedua -dua ibu memang berjaya menyampaikan mesej kasih sayang pada bayi mereka. Bezanya, bayi dengan ibu ‘ si tukang penyelamat setiap masa’ akan membuat bayi rasa bahawa ibunya saja yang mempunyai kuasa magik bagi setiap perkara. Manakala ibu ‘si tukang sorak yang optimis’ akan membuat bayi merasa selamat dan yakin diri bahawa dia hanya perlu terus mencuba.
Bayi adalah cerminan ibunya. Ibu yang penuh risau akan berbisik kata-kata ,’ tak ada apa la. Orang tu takkan kacau atau makan adik’ setiap kali berhadapan dengan orang baru/asing. Niat ibu mungkin murni,tapi ketahuilah kata-kata tersebut hanya mengukuhkan lagi apa yang ditakuti atau difikirkan bayi. Ia serupa dengan cuba untuk membuat anak-anak berani melalui kata-kata, ‘ mana ada hantu kat sana’. Memang tak pernah berjaya kan?. Ibu hanya perlu rilekskan gengaman tangan anak dan berbual bersahaja setiap kali berjumpa orang asing seperti ia bukan hal yang besar pun.
Di taman permainan, rumah orang atau mana-mana tempat baru, lepaskan anak untuk pergi dan buat apa yang dia mahu. Ibu hanya perlu duduk setempat dan kekal lah disitu memerhati keselamatan anak dari jauh. Perbuatan sibuk mengekori anak ke setiap ceruk akan membuat anak yakin bahawa dia belum layak untuk berpisah dari ibu. Ibu yang kekal duduk juga akan menyampaikan mesej bahawa adalah ok untuk anak pergi, dan dia hanya perlu kembali jika mahukan ibu.
Sepanjang proses untuk menjadi individu bebas, adalah biasa untuk bayi keliru. Dia tidak tahu cara yang tepat dan dia juga tak pasti jika dia telah sedia. Maka amat biasa bayi nampak gembira pada 1 minit, dan mula nak berdukung pada minit yang lain. Bagi ruang untuk bayi menguji dirinya sendiri; dukunglah bila dia perlukan dan lepaskan bila dia mahu bebas.
Perasaan anak itu sah dan wujud. Kita hanya perlu mengakuinya dan bukan meremehkan apa lagi menghukum dengan kata-kata seperti,
‘Tak habis-habis merengek. Kan mama dah main dengan adik tadi?’, ‘shhhh!’, atau ‘ tak ada apa la. Nak nangis kenapanya?’.
Sokong dan hormati perasaan itu sebagai tanda anda faham seperti, ‘ Mama tahu adik sedih. Adik tak nak mama pergi. Mama datang 5 minit lagi ok’. Ramai tidak sedar tetapi menambah pertanyaan ‘ok?’ di belakang memberi bayi rasa ‘hebat’ dan tidak diketepikan kerana anda seperti meminta izinnya. Mengesahkan perasaan anak dengan jelas akan selalu berjaya memperlahan /menghentikan esakan anak kerana anak tahu anda telah faham dan tak perlu dia terus menerus mempromosi perasaan sedihnya.
Selalu berani untuk beritahu anak setiap kali anda perlu pergi. Jangan amalkan mencuri-curi keluar/lari dari anak. Ia hanya mencalarkan rasa percaya anak. Peluk dan cium anak dengan erat tapi pantas, ucapkan kata perpisahan yang singkat seperti, ‘ Mama pergi work dulu. Petang nanti mama ambil adik. Be good ‘ dan terus pergi. Usah teragak-agak, menoleh-noleh lagi atau kembali pada anak yang mula menangis. Keresahan anak mencetus keresahan ibu, yang mana ia mengukuhkan kecerewetan bayi dan seterusnya membentuk pasangan ibu-anak yang selalu resah. Lebih buruk jika ibu mula berjanji bermacam perkara untuk mengawal situasi. Ia hanya memberitahu anak bahawa perbuatan ibu keluar berkerja itu memang salah maka ibu harus menggantinya dengan janji-janji seronok yang lain. Tak mengapa jika anak terpaksa bersedih. Ini realiti hidup. Seronok bukan untuk sepanjang masa. Anak yang gembira bukan bermaksud anak yang tidak menangis langsung. Anak yang gembira ialah anak yang ada kestabilan dan kawalan kendiri terhadap pelbagai emosi.
Sebahagian bayi lebih sensitif terhadap pemisahan berbanding yang lain. Ini soal personaliti bayi dan tiada kaitannya dengan anda. Jadi janganlah cepat terasa dan membandingkan bayi anda dengan bayi lain pada setiap sekecil- kecil perkara. Contohnya jika hari ini anda berharap dan menjangkakan anak anda akan menyertai kawan- kawan yang lain di taman permainan, namun perkara sebaliknya pula berlaku, usah bengang. Lepaskan saja jangkaan awal anda itu dan alu-alukan anak anda yang hanya mahu duduk bersama anda. Biar anak duduk dan memerhati. Usah mempromosi hal bagaimana anak orang lain ok saja bermain dan tak ada apa yang perlu dia takutkan. Bila kita percaya yang anak kita perlu duduk dengan kita pada ketika itu, kita telah bagi keyakinan padanya bahawa kita tidak menafikan rasa resahnya. Maka proses keresahan pemisahan akan menjadi mudah kerana bebas drama , bebas jangkaan. Yang ada hanya realiti.
Tempat atau orang baru sentiasa merisaukan bayi. Maka amalkan mencipta rasa selesa pada setiap tempat atau orang baru. Misalnya luangkan masa untuk duduk, berbual-bual dan keluar masuk rumah bakal pengasuh. Lama kelamaan ia membuat bayi sedar bahawa orang atau sesuatu tempat itu telah di ‘luluskan ok’ oleh orang yang paling anak percayai iaitu ibunya.
Memang ada bayi yang suka menyusu pada sebelah payudara sahaja. Cuma mama tentulah rasa pelik, kenapa satu payudara sahaja yang jadi favourite dia? Bila diberi payudara yang bukan favourite, mula menangis tanda protes.
Kebanyakan ibu tentu tertanya-tanya normalkah bayi yang suka menghisap sebelah sahaja payudarah hinggakan kuantiti susu bila diperah juga tidak seimbang di mana payudara bukan favourite tidak semeriah yang sebelah.
Menurut Rita Rahayu Omar, Pakar Laktasi & IBCLC, memang ada sesetengah bayi yang akan menggemari sebelah payu dara sahaja apabila menyusu. Ia adalah situasi penyusuan yang agak normal.
Amalan penyusuan sebegini berkemungkinan akan menyebabkan payu dara ibu akan besar sebelah (lopsided).
Namun, ia dapat diatasi setelah bayi bercerai susu kelak. Gemar pada sebelah payu dara merupakan masalah penyusuan yang biasa terutamanya di kalangan bayi baru lahir. Lazimnya, bayi akan menolak, meragam atau menyusu sekejap sahaja apabila disusukan di payu dara yang tidak digemarinya.
7 SEBAB BAYI SUKA PADA SEBELAH PAYUDARA
Menurut Rita, keadaan bayi yang suka menyusu pada sebelah payudara ini kebanyakannya adalah disebabkan oleh 7 sebab ini.
1.Kadang kala trauma kelahiran akan menyebabkan bayi mengalami kesukaran untuk menyusu di sebelah payu dara akibat ketidakselesaan atau kesakitan pada kawasan tertentu di kepalanya(biasanya melibatkan alat bantuan kelahiran – vakum dan forsep).
2.Payu dara ibu bengkak sebelah. Payu dara yang bengkak menyebabkan bayi perlu berusaha keras untuk cuba melekap dengan baik. Kesan kepayahan yang dialami, dia cenderung untuk menggemari payu dara yang mudah melekap.
3.Jika ibu mengalami mastitis di sebelah payu dara, bayi mungkin tidak mahu menyusu menerusinya kerana rasa yang berbeza (lebih masin disebabkan peningkatan kandungan sodium). Malah, rasa susu di sebelah payu dara yang jarang dikosongkan juga boleh menjadi lebih masin.
4.Keadaan fizikal payudara itu sendiri boleh menyebabkan bayi suka menyusu pada sebelah payudara. Perbezaan areola/puting agak biasa berlaku iaitu sama ada puting tenggelam atau leper. Keadaan ini menyebabkan bayi lebih mudah dan gemar melekap pada payu dara yang berkeadaan normal.
5.Perbezaan aliran susu juga menjadi faktor bayi lebih gemar menyusu pada sebelah sahaja. Bayi lebih suka menyusu daripada payu dara yang mempunyai aliran susu yang lebih baik. Ada kalanya refleks pancutan susu terlalu perlahan atau terlalu laju atau bekalan susu berkurangan juga boleh menjadi masalah.
6.Antara sedar atau tidak, ibu mungkin lebih kerap menawarkan sebelah payu dara. Biasanya perkara ini berlaku pada waktu malam apabila ibu tanpa sedar kerana terlalu letih atau mengantuk. Keadaan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan bekalan susu di kedua-dua belah payu dara. Bekalan susu di payu dara yang jarang diberikan akan berkurangan!
7.Pembedahan atau kecederaan. Jika salah satu payu dara pernah cedera atau dibedah, ia mungkin mempengaruhi bekalan atau aliran susu pada payu dara tersebut.
Walau pun begitu, bayi masih boleh mendapat semua zat pemakanan yang diperlukannya selagi dia disusukan secara eksklusif (bagi bayi enam bulan ke bawah) tanpa had biar pun dia hanya menyusu pada sebelah payu dara sahaja. Lebih banyak bayi minum daripada sebelah payu dara, lebih banyak payu dara berkenaan akan menghasilkan susu penuh khasiat yang diperlukannya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!