Banyak petua bagi memudahkan proses bersalin boleh diamalkan. Kebanyakannya memang berkesan. Semoga proses kelahiran anda berjalan lancar dan dipermudahkanNya.
1. Dua minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin, amalkan makan telur separuh masak untuk memberi tenaga.
2. Bila sudah mula rasa sakit bersalin, disarankan untuk makan sebiji telur mentah.
3. Minum minuman bercoklat yang dibancuh bersama dengan dua hingga tiga sudu kecil marjerin. Dikatakan ia dapat membantu laluan peranakan cepat terbuka.
4. Sebelum ke hospital, rebus beberapa biji epal hijau. Selepas rasa sakit kontraksi, anda boleh makan epal ini.
5. Makan kurma dalam bilangan ganjil. Kurma bagus dimakan ketika sakit bersalin kerana ia membantu tubuh secara semula jadi menghasilkan hormon oksitosin.
6. Amalkan makan sayur bendi. Kata orang tua-tua, bendi berlendir. Jadi, ia memudahkan proses kelahiran.
7. Amalkan membaca surah Maryam untuk memudahkan bersalin.
8. Banyakkan membaca surah al-Fatihah dan doa nabi Yunus serta kerap menyebut Ya Fattah berulang kali untuk mengurangkan rasa sakit bersalin.
9. Amalkan bacaan Ya Khaliq, Ya Barri, Ya Musawwir sebanyak 21 kali dan hembuskan dalam segelas air sebelum diminum.
10. Banyakkan aktiviti berjalan mahupun naik dan turun anak tangga.
11. Bagi yang rajin bersenam, duduk bersila dan temukan kedua tapak kaki, pegang jari-jari kaki dan tolakkan kedua tapak kaki ke arah faraj.
12. Amalkan menyapu minyak kelapa dara di sekeliling faraj bagi melembutkan bahagian tersebut.
13. Kerapkan bersama suami supaya laluan senang terbuka bermula usia kandungan 37 minggu.
14. Minum air selusuh. Minyak kelapa dara pun boleh digunakan sebagai selusuh. Lebih baik jika selusuh ini dibuat sendiri oleh suami sendiri.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita yang sedang mengandung akan melalui pemeriksaan pranatal dan pelbagai ujian saringan dari awal kehamilan sehinggalah bersalin. Suami-suami jangan penat bantu isteri.
Jadi sudah pasti banyak masa dihabiskan di klinik sepanjang tempoh kehamilan 40 minggu. Sekiranya tahap kesihatan baik, pemeriksaan tidaklah sekerap mana. Namun jika ibu ada masalah kesihatan, maka lebih keraplah ujian, temujanji dan pemeriksaan antenatal perlu dilakukan di klinik. Dengan ini memang lebih keraplah si ibu perlu ke klinik walau pun kandungan semakin hari semakin sarat. Emosinya juga jadi sensitif, tambah-tambah lagi dengan orang yang tersayang.
Suami adalah orang yang tepat untuk menemani isteri ke klinik. Adakalanya terpaksa berkampung di klinik demi si isteri yang sedang hamil. Encik Akhtar Syamir atau Bro Ohsem, telah berkongsi mengenai kisah isterinya yang mempersoalkan perkara ini.
Orang mengandung ni memang menyusahkan ke?
Soal isteri kepada saya semalam dengan memegang erat tangan saya. Matanya merah menahan air mata dari berlinangan kerana menganggap dirinya menyusahkan saya dengan kandungannya yang sudah menghampiri 31 minggu.
Ini kerana kelmarin, beliau untuk kali ketiganya menjalani ujian BSP (Blood Sugar Profile). Jadi boleh dikatakan berkampunglah kami di klinik kesihatan untuk mengambil bacaan darah sebanyak 4 kali dalam sehari. Setelah 2 kali BSP sebelum ini mencatatkan bacaan yang baik, namun kelmarin bacaan pertama pada pukul 8 pagi menunjukkan bacaan 5.3 tahap gula dalam darah. Jika mengikut kadar biasa, bacaan itu adalah baik. Masih di bawah 6.1. Tetapi mungkin orang mengandung ini standardnya berlainan kerana 5.3 pada bacaan pertama hari ujian BSP dianggap sebagai tinggi.
Hasilnya, selepas berjumpa Doktor semalam, isteri diarahkan untuk membuat BSP sekali lagi pada hari ini. Agak mengecewakan juga kerana ujian BSP ini 4 kali. Bermakna 3 kali perlu dibuat di klinik kesihatan dan yang terakhir di klinik biasa atau farmasi. Jadi, saya perlu menemaninya lagi dua hari iaitu hari ini (BSP) dan besok untuk berjumpa Doktor sekali lagi. Bayangkan 4 hari berturut – t urut ke Klinik Kesihatan yang sememangnya penuh setiap hari.
SILAP TERTUNJUK MUKA STRES
Mungkin ternampak sedikit kekesalan di air muka saya semalam yang membuatkan isteri terfikir yang dia menyusahkan saya. Saya akui memang silap saya tertunjuk muka. Selalunya saya memang akan sorok apa jugak kepenatan dalam membantu dia. Saya tidak kesalkan bacaan gula isteri pun sebenarnya.
Cuma agak stress dengan keterpaksaan berkunjung ke Klinik Kesihatan 4 hari berturut – turut. Mungkin memang tidak boleh ditangguh lagi ujian BSP itu. Kalau boleh ditunda ke minggu hadapan alangkah baiknya. Kerana 4 hari berturut – turut memang memenatkan. Tapi demi keselamatan baby, saya harus terus positif.
TIDAK MENYUSAHKAN PUN
Sehingga hari ini saya cuba menenangkan perasaan dia. Sesungguhnya saya sedar perkara ini harus dilalui oleh kebanyakan orang yang mengandung. Tidak ada istilah menyusahkan sebenarnya. Malah saya yang patut bersyukur kerana isteri sudi bersusah payah dengan sakitnya, loyanya, muntahnya untuk kami menambah zuriat. Tidak ada apa lagi yang sepatutnya saya harapkan dari dia melainkan sentiasa cuba meringankan bebannya.
Kadang – kala saya terlihat ada ibu – ibu yang datang ke klinik kesihatan bersendirian ataupun bersama anak yang masih kecil. Terdetik juga rasa kasihan tetapi saya lebih berasa kagum dengan kekentalan mereka. Semoga semua ibu yang menjalani saat – saat ini dipermudahkan segala urusan.
Doakan juga urusan kami dipermudahkan dan semoga isteri saya Nora Azni dan kandungan sentiasa sihat walafiat. Due adalah pada 20hb Oktober ni. Boleh juga bagi kata – kata semangat kat dia. Nampak sedikit down dari semalam lagi.
Korang pernah kena buat BSP? Serik tak? Pengalaman korang macam mana?
Ibu mengandung yang ingin berpuasa di bulan Ramadan bukanlah suatu perkara baru. Malah isu ini sering diperkatakan. Hampir setiap tahun pasti ada saja golongan ibu hamil yang bimbang dengan keadaan diri juga bayi setiap kali Ramadan menjelang.
Hampir kebanyakan ibu mengandung mahu berpuasa namun terdapat beberapa kebimbangan yang sentiasa difikirkan. Tahap kekuatan diri dan kesihatan bayi dalam kandungan mungkin antara penyebab kebimbangan ini. Ramai juga yang tertanya-tanya mengenai risiko berpuasa kepada bayi dalam kandungan.
WANITA HAMIL BOLEH BERPUASA JIKA MAMPU
Ramai juga wanita yang hamil tidak berpuasa kerana bimbangkan keselamatan bayi mereka yang masih di dalam rahim. Ketahuilah bahawa selagi wanita yang hamil itu masih mampu berdiri dan menjalankan rutin kerja sehariannya, Insya Allah, Allah akan menyelamatkan bayi mereka. Ibadah puasa tidak sesekali menyebabkan bayi mereka berada dalam bahaya.
Tidak dapat dinafikan apabila tidak mengambil makanan atau minuman untuk jangka masa yang agak lama ketika berpuasa menyebabkan seorang wanita yang hamil itu menjadi lebih letih.
Bagaimanapun bukankah tujuan berpuasa untuk merasakan diri kita letih supaya kita lebih mensyukuri nikmat kesihatan dan limpahan rezeki yang banyak sebelum ini. Adalah digalakkan wanita yang hamil meneruskan puasa kerana bayi yang berada dalam rahim tidak pernah mengalami kekurangan nutrisi.
Mereka akan tetap mendapat nutrisi pemakanan walaupun ibu mereka berpuasa kerana nutrisi-nutrisi itu bukan dibekalkan dari makanan yang diambil tetapi dari simpanan yang banyak di dalam organ hati. Apatah lagi dalam ibadah puasa hanya berlangsung kira-kira 14 jam dan kemudian kita dibenarkan makan dan minum ketika berbuka puasa.
Cuma jika wanita yang hamil itu merasakan diri mereka tidak sihat, pening, rasa seperti hendak pitam, kabur penglihatan atau mengalami tanda-tanda lain yang membimbangkan, maka berbukalah dan dapatkan pemeriksaan doktor.
Selalunya hal-hal ini berlaku apabila tubuh badan mereka sedang berusaha untuk menyesuaikan dengan rutin pemakanan yang berbeza di bulan Ramadan.
“Wanita hamil dan menyusui, jika takut terhadap anak-anaknya, maka mereka berbuka dan memberi makan seorang miskin.” (HR. Abu Dawud, dishahihkan oleh Syaikh Al Bani dalam Irwa’ul Ghalil).
Wanita yang hamil dinasihatkan oleh doktor untuk tidak berpuasa, boleh meninggalkan puasanya, contohnya wanita hamil mengalami komplikasi kehamilan atau mengalami penyakit yang sedia ada sebelum hamil lagi.
Wanita yang risau tentang pergerakan anaknya dalam rahem yang sedikit juga boleh meninggalkan puasa.
Antara sebab lain ialah tidak minum air yang mencukupi. Salah satu cara untuk mengetahui bahawa seseorang itu tidak minum air secukupnya apabila air kencingnya menjadi sedikit, pekat, berbau dan berwarna keruh.
Selepas detik duka kehilangan anak sulung tahun lalu, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh dan isterinya, Fatin Athira Mustapa, akhirnya berkongsi berita gembira bakal menimang cahaya mata perempuan tidak lama lagi. Khabar manis ini pastinya memberi sinar baru buat pasangan ini setelah melalui ujian berat sebelum ini.
Berita tersebut dikongsikan Noh menerusi Instagram Story apabila dia memuat naik semula hantaran rakan-rakan yang hadir dalam majlis pendedahan jantina bayi. Majlis yang berlangsung meriah itu menjadi detik indah buat pasangan ini yang kini sedang menanti kehadiran puteri kecil mereka.
Dalam video yang tular, Noh jelas melompat kegirangan sebaik sahaja asap dan kertas merah jambu dilepaskan ke ruang acara. Fatin pula yang tampil anggun dalam gaun putih, tersenyum manis di sisi suaminya, menyaksikan saat penuh bermakna itu bersama-sama.
Tahun lalu, pada September, Noh pernah berkongsi kisah sedih di Instagram apabila kehilangan anak sulung mereka yang diberi nama Julian. Dalam perkongsian penuh emosi itu, Noh menulis tentang perjuangan mereka menjaga kandungan sambil dalam masa sama membesarkan anak angkat mereka, Musa. Walaupun kehilangan tersebut cukup perit, mereka terus tabah dan percaya bahawa setiap ujian ada hikmahnya.
Kini, doa mereka akhirnya terjawab. Kehadiran bakal cahaya mata perempuan ini bukan sekadar anugerah, tetapi juga pengubat rindu dan pengikat kasih sayang yang lebih utuh antara Noh dan Fatin.
Untuk rekod, Noh mendirikan rumah tangga bersama Fatin pada September 2023. Sebelum itu, beliau pernah berkahwin dengan penyanyi Mizz Nina pada 2011 sebelum berpisah pada Ogos 2022. Hasil perkahwinan terdahulu, Noh dan Mizz Nina memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Musa, yang kini menjadi penyeri keluarga kecil mereka.
Semoga proses kehamilan Fatin dipermudahkan, dan pasangan ini dikurniakan pengalaman indah menyambut kehadiran puteri kecil yang bakal hadir dalam hidup mereka tidak lama lagi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!