
Isi Kandungan
ToggleTerdapat beberapa petunjuk waktu subur yang boleh anda guna pakai untuk membolehkan diri hamil lagi. Maklum sahajalah, dalam usaha mendapatkan cahaya mata lagi, anda perlu mengetahui tahap kesuburan diri.
Mari ketahui tanda-tanda yang boleh anda jadikan petunjuk. Berikut adalah beberapa ciri-ciri kesihatan fizikal yang boleh menunjukkan anda mudah untuk hamil lagi.
1. Kitaran haid teratur
Haid yang teratur menunjukkan wanita mengeluarkan telur setiap bulan. Sekiranya haid anda datang setiap 25 hingga 35 hari (haid yang tidak dikawal oleh sebarang jenis alat pencegah kehamilan), ia bererti tubuh anda subur. Kitaran yang lebih panjang juga pun boleh memberi erti anda mempunyai telur yang banyak dan subur.
2. Mengalami simptom haid (PMS)
Simptom haid atau PMS bukan sesuatu yang menyeronokkan kerana individu yang mengalaminya akan mengalami simptom-simptom seperti sakit perut dan/atau sakit belakang. Namun, ini sebenarnya tanda yang baik. Jika anda mempunyai kitaran haid yang lancar dan mengalami simptom haid seperti payu dara sakit, perut kembung dan sakit perut, semua ini menunjukkan anda masih mempunyai kitaran ovulasi.
3. Banyak lelehan faraj jernih
Waktu paling subur ialah di pertengahan kitaran haid. Ketika ini, akan keluar lelehan faraj atau keputihan yang jernih. Namun, ia tidak berbau tetapi banyak. Peranan lelehan ini adalah untuk memudahkan perjalanan sperma melalui serviks sebelum persenyawaan terjadi. Dalam pada itu, keputihan yang banyak menunjukkan pengeluaran estrogen dan fungsi kelenjar pangkal rahim adalah pada tahap yang baik.
4. Aliran darah haid normal
Setiap wanita melalui pengalaman haid yang berbeza antara satu sama lain. Ada yang mengalami aliran darah yang banyak untuk tempoh tertentu. Ada juga yang sedikit sahaja.
Mempunyai aliran yang sedikit tidak bermakna anda tidak subur. Walau bagaimanapun, aliran yang normal dan sederhana banyak adalah petanda baik bahawa diri adalah subur.
5. Hormon normal
Hormon memainkan peranan yang besar dalam kesuburan seseorang individu. Jadi, anda perlu perhatikan tanda-tanda yang mungkin menunjukkan hormon dalam tubuh anda tidak stabil. Kerap rasa panas dan berpeluh pada waktu malam, mungkin menunjukkan hormon dalam sistem tubuh tidak normal. Jika anda tidak mengalami tanda sebegini, ia menunjukkan bahawa anda adalah normal.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Jangan Fikir Hospital Kerajaan Lambat & Leceh, Daftar Je” Lepas 9 Tahun Akhirnya Lahir Zuriat Hasil IVF

Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan zuriat sebagai penyeri hidup. Namun tak semua bernasib baik untuk hamil secara semulajadi. Ada yang berhabis ribuan ringgit demi mendapatkan zuriat tercinta.
Itulah yang dilalui oleh Puan Najhah Yusof II apabila hampir 9 tahun mencuba dan melakukan pelbagai rawatan sehinggalah dia terdetik untuk mendaftar nama di bawah salah sebuah Hospital Kerajaan untuk melakukan rawatan IVF (In vitro fertilisation) dan akhirnya berjaya! Ikuti perkongsian Puan Najhah.
Bismillahirahmanirahim.
Alhamdulillah first ivf saya success setelah 9 tahun penantian. Transfer 2 embrio, berjaya menempel satu sahaja. Alhamdulillah. Berkat doa semua lahirlah zuriat penantian selama 9 tahun lahirlah puteri pertama saya ,Nuryn Najlaa bt Mohd Najmie.
Saya buat IVF ICSI di Hospital Sultanah Nur Zahirah under Doktor Malini. Lahir secara Elective Cesarean 8/8/2021 (berat 3.88kg) di usia kandungan 39w 3d. Juga Doktor Malini sendiri yang lakukan pembedahan dan sambut kelahiran.
Tempoh treatment dari 2019. Pickup ovum Sept 2020. Sepatutnya march 2020, tapi terpaksa hold akibat pandemik. Akhirnya semua berjalan lancar. Kos saya tak berapa ingat. Tapi bawah RM5000. Bayar berperingkat by prosedur. Tak perlu bayar lumpsum. So sempat kumpul duit. Jangan stress sebab masa daftar saya sendiri tak ada simpanan khas untuk ivf. Just follow the flow, doa pada Allah biar sentiasa permudahkan.
Masa pickup dapat 6 telur (doktor expect lebih lagi tapi bius tak jalan, saya tersangat sakit dan bergerak semasa opu😔) Selepas disenyawakan hanya 5 survive. Transfer 2 embrio day 3, alhamdulillah berjaya menempel satu. Tiga lagi masih dalam simpanan.
Saya tak ada tips sangat, saya banyak follow tips group ni jugak. Sebelum opu dan sebelum transfer, sepanjang 2w saya sangat menjaga emosi. Sebelum opu, saya relaks, tenangkan diri pergi pantai, air terjun rendam-rendam kaki, selalu ketawa supaya tak pikir stress, jaga pemakanan dan makan apa-apa yang disuggestkan untuk cantikkan saiz telur.
Sebelum transfer saya pergi spa, saya mengurut relaxing, pergi bercuti santai-santai. Selepas transfer sepanjang 2w tunggu result, saya jaga pemakanan, bedrest, gerak slow-slow dalam bilik, mandi, solat saya lakukan atas kerusi. Petang-petang ada mak, kakak, anak saudara datang hibur-hiburkan.
Saya ni jenis kalau duk sorgan mula la overthinking. Solat hajat ⅓ malam non-stop sepanjang 2 minggu. Saya rasa ni part paling penting sebab masa ni saya mengadu dan minta sungguh-sungguh dengan Allah😔.
Sepanjang 2w waiting, saya tak beli dan cek upt. Just tunggu je, doa serta berdoa. Saya bersangka baik yang embrio menempel dengan baik. Saya usap perut dan sentiasa bercakap supaya baby terus bertahan .
Bacaan beta 491. Alhamdulillah after 2weeks lepas tahu pregnant, scan dah nampak kelip-kelip heartbeat. Sepanjang mengandung tiada GDM dan alhamdulillah dipermudahkan. Saya jaga pemakanan tapi dah masuk 7 bulan tu saya dah start bedal makan macam🤣. Awal-awal trimester pertama alahan. Saya pilih czer sebab atas nasihat doctor kerana precious baby dan juga pilihan saya sendiri.
Nasihat saya kalau yang nak try buat dengan goverment , pergi dan daftar dulu. Jangan terlalu fikir lambat tunggu turn, leceh, prosedur lambat . Dulu saya selalu berfikiran macam ni. Lepas beberapa kali treatment di swasta, dengan kos yang tinggi saya hampir give up dan terus stop buat apa-apa treatment.
Atas sokongan sahabat yang sama-sama ttc, kami pergi sama-sama daftar di hospital kerajaan. Dan dia pon berjaya hamil kaedah IVF cuma tiada rezeki ketika kandungan masuk beberapa minggu. Sebenarnya itu mindset kita. Saya kadang-kadang timbul rasa “kalau lah sy daftar dari awal dulu “… tapi kita merancang Allah menentukan. Allah yang gerakkan hati kita. Kita just follow je appoinment demi appoinment. Saya tak rasa lambat pun, berkat kesabaran akhirnya tiba juga giliran yang ditunggu.
Saya doakan sahabat-sahabat dikurniakan rezeki zuriat, yang mana tengah dalam prosedur, dipermudahkan perjalanan, yang mana berjaya hamil, diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan sehingga selamat bersalin. Jangan sedih, jangan kecewa, bersangka baik pada takdir Allah. Allah sebaik-baik Maha Memberi.
KOS PERUBATAN IVF DI HSNZ
Saya share kos perubatan IVF di HSNZ,Terengganu. Sebelum ni refer Dr Hamid Arshat, Dr Ismail Thambi. Selain kos yang tinggi, jarak yang jauh , sy prefer on treatment di HSNZ. Alhamdulillah sentiasa konsisten datang appoinment. Alhamdulillah doktor-doktor pakar dan nurse O&G very supportive. Walaupun ambik masa tapi, insyaAllah kita follow step by step. Kos around 4-5k. Bayar by step bukan secara lump sum.
Cara pendaftaran untuk rawatan kesuburan di Hospital Kerajaan (Pengalaman Puan Najhah)
Saya daftar 2019, transfer bulan 11 2021. Sepatutnya transfer embrio lebih awal lagi tapi memandangkan PKP, hospital hold dulu untuk sebarang prosedur.
1. Boleh daftar di klinik pesakit luar/mana-mana klinik kesihatan. Untuk prosedur ivf, hospital kerajaan menerima bagi yang tidak pernah mempunyai anak.
2. Lepas daftar akan ada appoinment demi appoinment dengan doctor. Contohnya ujian darah bagi isteri, ujian air mani bagi suami dan bagi lagi pemeriksaan lanjut untuk kenalpasti masalah .
3. Bergantung pada masalah individu tersebut, biasanya akan dimulakan dengan IUI (maksimum 3 kali) . Jika tak berjaya doctor akan teruskan dengan kaedah IVF
4. Tempoh menunggu saya tak ada spesifik masa. Cuma bergantung kepada keadaan masalah, umur (jika masuk 40 tahun mugkin dicepatkan lagi proses), dan juga jumlah patient yang line up. Lagi awal kita mendaftar lagi bagus😀
5. Bagi pasangan yang jauh dari hospital, boleh apply cuti sebab biasanya tarikh appoinment akan diberikan beberapa minggu sebelum. So kita boleh prepare samada kita nak apply cuti atau kita nak adjust tarikh. Tak jadi masalah untuk yang bekerja. Biasanya untuk satu-satu appoinment, ambik masa dalam setengah hari je untuk jumpa doctor.
Jangan pernah jemu berdoa kerana Allah tidak pernah jemu mendengar❤ Doakan anakanda saya membesar sebagai anak yang solehah, taat pada agama ,ibu bapa dan boleh memberi manfaat untuk orang sekeliling. Saya tetap ada di sini kerana saya masih berjuang untuk zuriat yang seterusnya nanti🥰.
Info:
IVF: Persenyawaan In Vitro (IVF) atau bayi tabung uji merupakan satu teknologi bantuan reproduktif bagi membantu pasangan yang mengalami masalah kesuburan. Proses ini melibatkan persenyawaan ovum atau oosit oleh sperma di luar badan manusia selepas teknik bantuan reproduktif yang lain telah menemui kegagalan.
IUI: IUI (Intrauterine Insemination) adalah prosedur di mana air mani lelaki yang mengandungi sperma dimasukkan ke dalam rahim wanita yang mengandungi telur. Ia adalah prosedur yang lebih kurang sama sahaja seperti prosedur satu lagi yang dinamakan sebagai ICI, cuma bezanya ia dilakukan oleh doktor di klinik atau hospital.
Kredit: Najhah Yusof II
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Teruja nak dapat baby, tapi masih banyak persiapan yang perlu dibuat. Mental dan fizikal pun kena mantap sebelum si manja lahir nanti. Mahu belajar segalanya tentang cara-cara menguruskan bayi baharu lahir? Jom sertai E-Workshop Pa&Ma : A-Z Uruskan Newborn Baby! Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/urus-newborn-baby-a-z/
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tahniah Ana Dahlia! Diam-diam Muat Naik Gambar Dengan ‘Baby Bump’. Bakal Timang Cahaya Mata Kedua Tak Lama Lagi

Sudah lama menyepi dari dunia seni lakonan, perkhabaran terbaru daripada pelakon Ana Dahlia menunjukkan dirinya kini sedang hamil anak kedua.
Sekeping gambar terbaru yang dimuat naik di laman Instagram miliknya dengan ‘baby bump’ menarik perhatian ramai.
Rata-rata tertanya-tanya adakah dia kini sedang hamil anak kedua, malah ramai juga yang sudah mengucapkan tahniah.
“Tahniah Ana, patut senyap je.
“Tak tahu pun dah pregnant, Alhamdulilah.
“2nd baby coming soon ke?” komen peminat-peminatnya.
Pun begitu, Ana tidak berdiam diri malah turut mengesahkan berita gembira tersebut.
“Ya saya hamil, tunggu masa sahaja lagi ni,” katanya terbuka.
Ana yang digilap bakatnya dalam program realiti Pilih Kasih itu berkahwin dengan Ashraf, iaitu anak pengarah, Datuk Jurey Latiff pada 31 Ogos 2016. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan.
Sebelum ini, Ana pernah berkahwin dengan anak cef selebiriti tersohor Chef Wan iaitu Chef Riz dan mereka tidak dikurniakan anak.
Sumber: Gempak & IG Ana Dahlia
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Keluar ‘Tanda’ & Air Ketuban Ketika Hampir Bersalin, Boleh Ke Ibu Hamil Teruskan Solat? Ini Jawapan Dari Mufti WP

Isi Kandungan
ToggleSetiap muslim diwajibkan untuk menunaikan kewajipan solat. Begitu juga dengan seorang ibu yang sedang sarat hamil. Tapi bagaimana pula jika ketika menghampiri Tarikh jangkaan bersalin, keluar tanda-tanda yang menyebabkan ibu hamil ragu-ragu sama ada masih boleh mengerjakan solat atau sebagainya.
Dalam satu persoalan yang diutarakan menerusi laman web Mufti Wilayah Persekutuan mengenai keluarnya darah bercampur lendir dan juga air ketuban secara berterusan sebelum bersalin. Apakah dalam keadaan tersebut wanita hamil perlu mandi wajib dan terus bersolat, ini jawapan yang diberi.
Berikut adalah penjelasan terperinci oleh Mufti Wilayah tentang hal ini yang wanita patut tahu.
Soalan:
Assalamualaikum SS Dr. Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Waalaikumussalam WRM W.B.T. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
- Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
- Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai permasalahan darah wanita:
AL-KAFI 740: Keluar Darah Sebanyak Dua Kali Sebulan http://bit.ly/2OxeozY
AL-KAFI # 1476: Tempoh Suci Antara Dua Haid http://bit.ly/2ueYCD0
IRSYAD AL-FATWA SIRI KE – 226: Keluar Darah Dari Faraj Kerana Pembedahan Buang Fibroid http://bit.ly/3bfm9V2
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
- Membasuh faraj.
- Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar.
- Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar.
- Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi. Rujuk: https://en.wikipedia.org/wiki/Amniotic_fluid
Antara fungsi cecair amniotik ialah :
- ia melindungi bayi anda daripada tercedera sekiranya sesuatu menghentak perutanda atau jika perut anda dihempap sesuatu;
- ia membantu sistem paru-paru dan sistem pencernaan bayi untuk matang;
- ia melindungi bayi anda daripada jangkitan. Rujuk: https://www.babycenter.com.my/a25020502/tahap-cecair-amnion-rendah-oligohidramnio
Hal ini sebagaimana Firman Allah S.W.T:
فَجَعَلْنَاهُ فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ
Maksudnya: “Lalu Kami jadikan air (air mani/zigot) itu pada tempat menetap yang kukuh (yakni rahim)”.
(Surah al-Mursalat :21)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Kesimpulan
Tuntasnya setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
- Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
- Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
- Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
- Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Semoga dengan jawapan yang diberi dapat menjelaskan apa yang mungkin bermain di fikiran ibu-ibu hamil dan dapat memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah.
sumber: Muftiwp & Sirap Limau
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI