
Menjelang sesi persekolahan baharu, pastinya ramai ibu ayah mula membuat persiapan membeli kelengkapan sekolah anak-anak. Daripada pakaian seragam, beg, alat tulis hinggalah kasut sekolah, semuanya memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit.
Bagi keluarga yang berdepan kekangan kewangan, bantuan kelengkapan persekolahan pastinya cukup bermakna dalam meringankan beban mereka.
Berita baiknya, seramai 5,000 murid daripada keluarga yang memerlukan di Semenanjung Malaysia bakal menerima sumbangan kasut sekolah baharu menerusi Kempen Selangkah Berkat, membabitkan bantuan keseluruhan bernilai RM400,000.

100 Juta Langkah Demi Bantu 5,000 Murid
Kempen Selangkah Berkat merupakan inisiatif komuniti anjuran AIA PUBLIC Takaful Bhd dan Media Prima Berhad dengan kerjasama Harian Metro yang menggabungkan amalan gaya hidup sihat dengan usaha membantu masyarakat.
Menariknya, kempen ini mengajak rakyat Malaysia untuk bergerak aktif menerusi aktiviti berjalan kaki bagi mencapai sasaran pengumpulan sebanyak 100 juta langkah.
Jumlah langkah yang dikumpulkan akan diterjemahkan kepada sumbangan 5,000 pasang kasut sekolah untuk murid daripada keluarga yang memerlukan.
Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan masyarakat menjaga kesihatan, malah memberi peluang kepada orang ramai untuk bersama-sama menyumbang kepada kebajikan kanak-kanak.
Melalui pendekatan ini, Kempen Selangkah Berkat membuktikan bahawa aktiviti harian yang mudah juga boleh menjadi sebahagian daripada usaha membantu golongan memerlukan, khususnya anak-anak yang bakal memulakan sesi persekolahan baharu.
45 Juta Langkah Berjaya Dikumpul Dalam Tempoh Kurang Sebulan
Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Mohd Asri Omar berkata, kempen berkenaan bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat, di samping menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Menurut beliau, sambutan yang diterima amat memberangsangkan apabila sebanyak 45 juta langkah berjaya dikumpulkan dalam tempoh kurang sebulan sejak kempen itu dilancarkan pada Oktober lalu.
Pencapaian tersebut membuktikan bahawa aktiviti mudah seperti berjalan kaki mampu memberikan manfaat besar apabila dilakukan secara bersama.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan menunjukkan sokongan serta semangat kebersamaan rakyat Malaysia dalam menjayakan usaha yang bukan sahaja membawa manfaat kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa setiap langkah kecil mampu mencipta impak yang lebih besar dan bermakna apabila digerakkan secara kolektif demi kebaikan dan keberkatan bersama,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan baucar kasut sekolah fasa pertama di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

500 Murid Di Selangor Terima Baucar Kasut Sekolah RM80
Bagi penyerahan fasa pertama, seramai 500 murid daripada 10 sekolah terpilih di Selangor akan menerima sumbangan kasut sekolah bernilai keseluruhan RM40,000.
Setiap murid yang terpilih menerima baucar bernilai RM80 untuk menebus sepasang kasut sekolah baharu, manakala setiap sekolah diperuntukkan baucar berjumlah RM4,000 bagi membantu 50 murid.
Bantuan ini diharap dapat mengurangkan beban kewangan ibu ayah, terutama mereka yang mempunyai ramai anak bersekolah.
Ringankan Beban Ibu Ayah, Gembirakan Anak-Anak
Walaupun sepasang kasut sekolah mungkin kelihatan seperti keperluan biasa, bagi keluarga yang kurang berkemampuan, ia merupakan perbelanjaan yang perlu dirancang dengan teliti.
Justeru, sumbangan menerusi Kempen Selangkah Berkat ini bukan sekadar membantu menyediakan kelengkapan persekolahan, malah memberi kegembiraan kepada anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersemangat.
Semoga inisiatif ini dapat membantu lebih ramai keluarga yang memerlukan, sekali gus membuktikan bahawa setiap langkah kecil mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan orang lain.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: Harian Metro

sekarang!
