Bagaimana Ayu Abas tackle Arrian dan Andra hingga dua-duanya bijak dan petah? Tentu ada tekniknya. Bila kena caranya, maka mudahlah proses mendidik dilakukan.
Bila melihat Arrian anak-anak Tomok, Arrianshah Akid, 6 tahun dan Andrashah Iman, 3 lantas terus terfikir tentu banyak yang dilakukan oleh ibunya, Ayu Abas dalam merangsang perkembangan anak-anak ini.
Ibu memberikan pengaruh besar kepada anak-anak. Cara ibu berkomunikasi seperti bercakap, bermain , ekspresi wajah dan suara memberikan impak kepada pembentukan diri si anak.
Ini adalah antara yang dilakukan oleh Ayu kepada Arrian dan Andra.
BELAJAR BAHASA CINA
Untuk membantu Arrian mengulangkaji pelajaran Bahasa Mandarin di rumah, Ayu juga turut sanggup mempelajari tentang asas bahasa ini.
Perbualan yang santai tetapi mempunyai ‘isi’. Ayu memperuntukkan masa untuk berbual sambil melihat anak-anak makan atau bermain. Memang kelihatan santai tapi dalam masa yang sama anak-anak belajar tentang bahasa dan pertuturan. Anak-anak juga bebas memberikan pendapat mereka.
Ayu juga turut tidak mensia-siakan masa untuk main game dengan Andra walau pun di luar rumah. Ini bermakna Ayu sentiada ‘standby’ bahan mainan yang berfaedah untuk anak-anaknya. Mainan seperti kad imbasan ini nampak simple tapi boleh bantu Andra mengenali warna dan sebutan.
Memang betul, membaca jambatan ilmu. Banyak faedah yang diperolehi menerusi pembacaan. Justeru, Ayu menjinakkan anak-anaknya dengan buku dan membaca sejak dari awal. Ayu juga memilih buku yang bersesuaian dengan usia dan perkembangan mereka.
Ayu juga beri peluang kepada anak-anak untuk melakukan ekspresi dirinya. Membuat lukisan sempena hari ibu, persembahan bercerita dalam bahasa Mandarin dan sebagainya. Yang penting, ibu dan anak-anak happy!
Tidak bersikap terlalu serius dan menekan anak-anak dalam melakukan apa sahaja. Kawalan emosi yang baik terhadap anak-anak akan menyebabkan ibu dan bapa akan dihormati.
Pakar terapi pertuturan (speech and language therapist) baik di dalam mahupun luar negara banyak berkongsi tentang masalah kelewatan pertuturan (speech delay) di kalangan kanak-kanak masa kini. Ramai daripada kita yang mengaitkan peningkatan masalah ini dengan penggunaan gajet di kalangan kanak-kanak dari usia yang terlalu awal. Dalam apa jua hal, gajet tidak seharusnya dipersalahkan kerana ibu bapalah yang sepatutnya mengawal gajet bukannya membiarkan gajet mengawal kehidupan seharian anak-anak kita.
Perkembangan pertuturan, bahasa dan komunikasi kanak-kanak berkembang dengan sangat pesat dari usia lahir sehinggalah usia 5 tahun. Perkembangan ini sangat dipengaruhi oleh KUANTITI DAN KUALITI interaksi dan komunikasi di antara IBUBAPA DAN ANAK pada usia awal ini.
“Tapi anak saya belum boleh bercakap, takkan saya nak cakap dengan dia?”
“Kalau saya beri anak saya gajet,beri tengok tv, banyak benda yang dia boleh belajar walaupun dia belum bercakap.”
KENAPA PERLU BERCAKAP DENGAN ANAK YANG BELUM BERTUTUR?
Dari kajian* longitudinal yang dibuat oleh Rowe (2012) ke atas 50 orang kanak-kanak yang berusia 18,30,42 dan 54 bulan didapati bahawa:
1) Kosa kata yang dimiliki oleh kanak-kanak pada USIA 30 BULAN (lebih kurang 2.5 tahun) dipengaruhi oleh jumlah perkataan yang digunakan oleh ibubapa ketika bersama dengan anak SETAHUN SEBELUMNYA.
Ini bermakna jika ibubapa mahukan supaya anak mempunyai banyak kosakata untuk digunakan dalam pertuturan, ibubapa perlulah banyak bercakap dengan anak walaupun anak masih belum bercakap ketika usia 1-2 tahun.
Biar anak MENDENGAR perkataan-perkataan yang anda gunakan untuk diajuk dan digunakan kemudiannya.
Ingatlah, kesan interaksi di antara ibubapa dan anak berbeza dengan kesan interaksi di antara mesin (gajet/tv) dengan anak. Anak memerlukan ‘human touch’ bukannya ‘machine engagement’ supaya anak membesar menjadi manusia bukannya robot.
2) Kosa kata yang dimiliki oleh kanak-kanak pada USIA 42 BULAN (+- 3.5 tahun) dipengaruhi oleh pelbagai penggunaan perkataan yang sofistikated oleh ibubapa SETAHUN SEBELUMNYA.
Ini bermakna, pada usia 2-3 tahun kanak-kanak sudah bersedia untuk mendengar, meniru dan mempelajari perkataan yang lebih sukar atau sofistikated daripada ibubapa. Bertuturlah menggunakan perkataan penuh yang betul. Tanyalah “Adik nak susu?” bukannya “Adik nak shushu?”
Jangan memandang rendah pada keupayaan kanak-kanak untuk mempelajari bahasa. Mereka lebih cepat menguasai bahasa berbanding orang dewasa.
3) Kosa kata yang dimiliki kanak-kanak pada USIA 54 BULAN (+-4.5 tahun) adalah dipengaruhi oleh naratif dan penerangan yang diberikan oleh ibubapa SETAHUN SEBELUMNYA.
Ini bermakna pada usia 3-4 tahun, kanak-kanak banyak memperolehi manfaat apabila ibubapa bersembang dengan anak tentang apa yang dilihat, bercerita tentang pengalaman harian dengan anak, berkongsi cerita tentang aktiviti yang dijalankan bersama dan juga bercerita tentang perancangan dalam waktu terdekat dengan anak.
Jawablah soalan-soalan yang ditanya oleh anak kerana amalan ini juga membantu perkembangan pertuturan, bahasa dan komunikasi anak.
TALK WITH THE CHILD, NOT TO THE CHILD.
Dari kajian ini dapat juga disimpulkan bahawa, kesan amalan dan tingkah laku ibubapa ke atas anak-anak mungkin tidak dapat dilihat serta merta, tetapi kesannya sama ada positif ataupun negatif boleh dilihat atau dirasai kemudiannya. Dalam kajian ini kesannya dilihat setahun kemudiannya.
KENAPA PERKEMBANGAN PERTUTURAN, BAHASA DAN KOMUNIKASI PENTING PADA USIA AWAL?
Kelewatan pertuturan akan mempengaruhi emosi kanak-kanak.
Bayangkan kualiti permainan anak bersama kanak-kanak lain sekiranya anak lewat bertutur. Anak tidak boleh bersosial dengan sebaiknya, anak akan merasa tersisih, anak akan merasa rendah diri, anak tidak seronok bermain dan anak akan mula mengasingkan diri.
Jika situasi ini berlarutan tanpa intervensi, anak sukar untuk belajar apabila mula bersekolah dan akan mula menunjukkan tingkah laku yang negatif kerana tidak tahu bagaimana untuk mengawal kekecawaan yang dihadapi atas ‘kekurangan’ diri.
Jika ada anak yang sebegini di sekolah, fahamilah masalah mereka bukannya menghukum mereka.
SEMUA INI SALAH SIAPA?
Jika ibubapa tidak meluangkan masa dengan anak, tidak bersembang dengan anak, tidak mendengar cerita anak, tidak menggalakkan anak untuk bertutur, tidak mengamalkan interaksi dan komunikasi positif dalam keluarga dan menyerahkan tugas ‘baby sitting’ kepada gajet dan skrin, maka ini semua adalah salah ibubapa.
Bercakaplah dengan anak walaupun anak masih belum bertutur.
Sumber utama:
Rowe, M (2012) A longitudinal investigation of the role of quantity and quality of child-directed speech in vocabulary development. Child Development 2012 Sep-Oct;83(5):1762-74
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bermain adalah perbuatan sukarela dan menyeronokkan bagi kanak-kanak. Bermain adalah sebahagian daripada aktiviti yang penting bagi kanak-kanak untuk mempelajari bahasa dan pertuturan.
Kanak-kanak meluahkan idea, perasaan dan fikiran mereka sewaktu bermain. Kemahiran bermain merupakan sebahagian daripada kemahiran pra-pertuturan kanak-kanak.
Kanak-kanak yang mempunyai masalah bermain:
-Kanak-kanak yang mengalami kecacatan mental
-Kanak-kanak yang mengalami kecacatan fizikal
-Kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan
-Kanak-kanak yang mempunyai masalah persepsi
-Kanak-kanak yang mempunyai masalah emosi dan tingkah laku
-Kanak-kanak yang kurang mendapat peluang untuk bermain
-Kanak-kanak yang mempunyai kelambatan pertuturan dan bahasa
Terdapat 3 jenis permainan:
-Permainan berfungsi
-Permainan membina
-Permainan olok-olok
Permainan Berfungsi
Kanak-kanak bermain permainan berfungsi dengan eksplorasi sesuatu objek. Antara contoh permainan berfungsi adalah seperti menarik, menggoyang atau mengetuk objek, memanjat dan berlari.
Permainan Membina
Kanak-kanak membina sesuatu dengan merancang menggunakan minda. Contoh permainan membina seperti membina istana pasir atau menyusun blok secara bertingkat. Kanak-kanak akan menggunakan minda mereka untuk bermain permainan ini.
Permainan Olok-olok
Bermain menggunakan imaginasi seperti memberikan anak patung makan dan minum atau bermain secara olok-olok seperti menjadi seorang doktor. Keupayaan untuk meniru, penggunaan motor sensori dan kemahiran kognitif adalah penting dalam permainan olok-olok.
Tips bermain bagi meransang pertuturan anak
Sewaktu bermain dengan anak anda, bercakaplah dengan mereka. Komunikasi sewaktu bermain dapat merangsang pertuturan dan bahasa anak anda. Gunakan bahasa yang mudah, intonasi suara yang menarik serta pilih permainan yang bersesuaian dengan umur mereka. Gunakan ruang yang sesuai untuk anda dan anak anda bermain. Anda juga boleh menarik minat mereka dengan mengajak mereka berbual semasa bermain.
Aktiviti bermain mestilah sesuai dengan perkembangan anak anda. Pilih permainan yang bersesuai dengan perkembangan anak. Permainan perlu diubahsuai jika perlu bagi kanak-kanak yang mengalami kelainan upaya.
Mainan atau barang-barang yang digunakan mestilah bersesuaian dengan umur mereka.
Kenal pasti minat anak anda dan gunakan minat tersebut untuk menarik perhatian mereka bermain.
Arahan secara lisan mestilah sesuai dengan tahap pemahaman anak anda. Gunakan bahasa yang mudah difahami.
Proses mengajar dimulakan dengan perkara asas dan kemahiran yang baru perlu diperkenalkan secara berperingkat.
Model perbuatan yang hendak anda ajar. Jika anak anda mempunyai masalah untuk meniru perbuatan tersebut, beri bantuan secara fizikal. Sebagai contoh; pegang tangan mereka dan melambai ‘bye-bye’
Anak anda mungkin berasa kecewa jika waktu bermain terlalu singkat atau tempoh bermain yang terlalu lama juga boleh menyebabkan mereka berasa bosan. Rancang tempoh bermain yang sesuai dengan anak anda.
Kanak-kanak yang tidak mahu bermain akan ikut bermain jika mereka lihat anda seronok dengan aktiviti yang sedang anda lakukan.
Beri ganjaran seperti pujian jika anak anda bermain sehingga habis sesuatu permainan.
Tunjukkan yang anda juga suka apabila anak anda bermain.
Sewaktu bermain, galakkan anak anda bercakap tentang apa yang sedang anda berdua lakukan
Apabila kanak-kanak bosan dengan mainan mereka, anda boleh bermain mainan tersebut dengan cara yang lain seperti menyembunyikan mainan tersebut di dalam kotak untuk mendapatkan semula perhatian mereka.
Ingat, anak anda juga perlukan masa untuk bermain sendiri
Keselamatan sewaktu bermain adalah sangat penting. Pastikan kanak-kanak mendapat pengawasan semasa bermain, ruang bermain yang mencukupi dan peralatan yang selamat
Permainan yang sesuai mengikut umur
Sewaktu bermain dengan anak anda, pastikan mainan tersebut sesuai dengan umur mereka Berikut adalah cadangan permainan yang sesuai mengikut peringkat umur mereka.
UMUR JENIS-JENIS MAINAN
0-3 bulan – Mainan yang lembut, buku yang lembut, rattles lembut 3-6 bulan – Rattles yang ringan, buku kulit keras, mainan untuk menggigit, play mat 6-9 bulan – Buku, anak patung yang lembut, bola, blok berkayu atau blok lembut, mainan perkakas rumah 2-4 tahun – Permainan yang boleh ditarik atau ditolak, permaian yang boleh ditunggang, permainan aksi seperti buaian, terowong and gelongsor (taman permainan mini) 5-8 tahun – Permainan yang boleh dimanipulasi seperti permainan potong (cut game), mainan seni dan kraf tangan
Ibu bapa garang buatkan anak semakin menjauh, rasa tak selesa, takut. Peranan ibu bapa dalam kehidupan anak-anak amat penting. Pendekatan mendidik yang berasaskan kekerasan atau sikap garang boleh memberi kesan yang tidak baik kepada perkembangan fizikal dan mental anak-anak.
Berikut perkongsian daripada Shah Hakimi trauma therapist, aktivis kaunselor
Anak akan menjauh dan tak selesa dengan ibu ayah jika terlalu garang dan menakutkan.
Ini ialah perilaku biasa bagi sesiapa pun. Jika kita dimarahi, pastinya akan datang rasa takut. Jika kita rasa takut, kita akan rasa nak lari atau jauhkan diri daripada orang tersebut.
Perilaku di atas juga tidak terlepas pada anak kita. Malah banyak lagi kesan buruk pada anak jika kita terlalu garang dan buatkan anak terlalu takut dengan kita. Namun yang terjadi dan dirasai oleh anak kita lebih menakutkan. Sebabnya ketakutan mereka dirasai setiap hari dan setiap masa apabila berada bersama kita.
Bukan itu sahaja, anak kita akan selalu bingung dan keliru sebabnya tidak tahu bila dan sebab apa kena marah. Sebab ada sahaja yang tak kena dan bermasalah. Bayangkan ketakutan ini akan diusung oleh anak kita sampailah mereka dah tua.
Sampai ada yang sudah dewasa pun, duduk sebelah ibu ayah pun boleh terdiam, ‘blank’, rasa ada yang tak kena, gelisah, sangat sensitif, ada juga akan sakit secara tiba-tiba dan banyak lagi berbeza-beza ikut orang.
Dan biasanya kita tidak akan faham beberapa atau banyak tindakan anak kita yang di sebalik setiap perilaku mereka adalah untuk elak atau lari daripada kita. Sebabnya mereka sangat takut. Mereka akan kurang bercakap dengan kita, mereka lagi suka berada bersama kawan-kawan, mereka akan kurangkan masa untuk bersama kita dan banyak lagi.
Dan sedihnya, kita tidak akan perasan pun yang mereka dah mula berperilaku begitu sejak kecil lagi. Dan jadi lebih kerap dan lagi ekstrem apabila mereka dah dewasa.
Juga, anak yang sudah dewasa pun tak sedar yang mereka cuba elak atau lari daripada ibu ayah mereka dengan pelbagai helah dan alasan yang nampak rasional dan boleh jadi sukar untuk diperdebatkan.
Bukankah anak itu sudah belajar sejak kecil dengan pelbagai strategi licik dan kreatif untuk sedaya upaya kurangkan rasa ketakutan tersebut. Pastinya apabila dewasa, lagi nampak munasabah segala strateginya.
Stres dan Kecemasan
Anak-anak yang sering dimarahi atau dihukum secara keras mungkin mengalami tekanan dan kecemasan yang tinggi. Mereka mungkin berasa takut untuk membuat kesilapan atau menyuarakan pendapat mereka, yang boleh menyebabkan tekanan emosi yang berterusan.
Harga Diri Rendah
Sikap garang dan kritikan berterusan boleh merendahkan harga diri anak-anak. Mereka mungkin merasakan diri mereka tidak berharga atau tidak mampu memenuhi harapan ibu bapa, yang boleh mengakibatkan perasaan rendah diri.
Masalah Perilaku
Anak-anak mungkin menunjukkan tingkah laku negatif seperti memberontak, berbohong, atau menjadi agresif sebagai reaksi terhadap perlakuan garang ibu bapa. Ini adalah cara mereka untuk mengekspresikan kekecewaan atau kemarahan yang terpendam.
Kehilangan Motivasi
Ketakutan terhadap hukuman atau dimarahi boleh menyebabkan anak-anak kehilangan minat dan motivasi untuk belajar. Mereka mungkin belajar semata-mata untuk mengelakkan hukuman, bukannya kerana minat atau keinginan untuk mencapai kejayaan.
Kesukaran Fokus
Stres dan kecemasan yang disebabkan oleh ibu bapa yang garang boleh mengganggu keupayaan anak-anak untuk fokus dalam pelajaran. Ini boleh mengakibatkan prestasi akademik yang merosot.
Kesukaran Membina Hubungan
Anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran yang garang mungkin mengalami kesukaran untuk membina hubungan yang sihat dengan rakan sebaya dan orang dewasa lain. Mereka mungkin menjadi pemalu, takut untuk berinteraksi, atau sebaliknya, menjadi terlalu agresif dalam perhubungan.
Kurang Kemahiran Sosial
Kekurangan interaksi positif di rumah boleh mengakibatkan anak-anak kurang kemahiran sosial. Mereka mungkin tidak tahu bagaimana untuk berkomunikasi dengan baik atau menguruskan konflik dengan cara yang sihat.
Adalah penting bagi ibu bapa untuk menyedari bahawa pendekatan mendidik yang terlalu garang boleh memberi kesan negatif jangka panjang terhadap anak-anak. Kasih sayang, komunikasi yang baik, dan pendekatan yang lebih lembut tetapi tegas adalah penting dalam mendidik anak-anak.
Ibu bapa harus berusaha untuk memahami perasaan anak-anak dan memberikan sokongan emosi yang mereka perlukan untuk berkembang dengan sihat dan bahagia.
Sumber: Shah Hakimi trauma therapist, aktivis kaunselor
Pagi yang sepatutnya bermula seperti biasa bertukar menjadi detik cemas apabila empat pelajar yang juga mempunyai pertalian keluarga cedera parah dalam satu kemalangan jalan...