Ads

Agihan BAP Dijangka Selesai Hujung Minggu Ini, Legakan Beban Ibu Bapa Musim Buka Sekolah

Musim persekolahan sememangnya sinonim dengan perbelanjaan yang tinggi. Dari yuran, pakaian seragam, kasut, beg, hinggalah ke buku dan alat tulis, semuanya memerlukan kos yang bukan sedikit. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, ramai ibu bapa terpaksa mengatur semula bajet keluarga demi memastikan anak-anak memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan yang mencukupi.

Sehubungan itu, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diberikan kepada setiap murid di seluruh negara sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada ibu bapa.

Agihan BAP Dijangka Selesai Hujung Minggu Ini, Legakan Beban Ibu Bapa Musim Buka Sekolah

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas memaklumkan bahawa penyaluran bantuan tersebut dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya hujung minggu ini.

Menurut beliau, peruntukan berkenaan sudah pun disalurkan ke akaun sekolah melalui pihak bank dan kini hanya menunggu proses pengagihan kepada ibu bapa atau penjaga.

“Bagi peringkat kementerian, kita telah salurkan kepada pihak bank untuk dimasukkan ke dalam akaun sekolah. Pada hari ini atau esok, pihak sekolah boleh mengedarkan bantuan awal persekolahan.

“Edaran itu bergantung kepada pengaturan pihak sekolah dengan ibu bapa. Paling lewat kita harapkan hujung minggu ini sudah selesai,” katanya ketika ditemui selepas tinjauan hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek.

Ads

Sebelum ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM800 juta bagi pelaksanaan BAP kepada semua pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam.

Bantuan ini melibatkan seramai 5.2 juta murid di seluruh negara dan diberikan secara sekali bayar bagi membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Untuk tahun ini, agihan BAP kembali dibuat secara serahan tunai di sekolah menerusi program pertemuan antara guru dan ibu bapa. Ibu bapa perlu hadir ke sekolah mengikut tarikh yang ditetapkan untuk menerima bantuan tersebut.

Zainal turut memaklumkan bahawa pelajar Tingkatan Enam juga layak menerima bantuan sama, namun agihan akan dibuat selepas mereka menerima tawaran kemasukan berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ads

Bagi kebanyakan ibu bapa, bantuan ini amat bermakna. Seorang suri rumah, Khairul Nisa Ismail, 39, berkata BAP banyak membantu meringankan beban keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah.

“Dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang, bantuan ini memang sangat membantu untuk beli keperluan sekolah anak-anak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zainal berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mengambil langkah bagi menangani isu beg sekolah yang terlalu berat, terutama dalam kalangan murid sekolah rendah.

Ads

Antara usaha yang dilakukan ialah menyusun jadual waktu yang lebih teratur dengan hanya melibatkan tiga atau empat mata pelajaran sehari. Langkah ini bertujuan mengurangkan jumlah buku teks yang perlu dibawa oleh murid.

“Setiap mata pelajaran pula hanya memerlukan satu buku tulis. Jadi, beban beg murid dapat dikawal. Ibu bapa disarankan memantau jadual waktu anak-anak dan memastikan mereka hanya membawa buku yang diperlukan sahaja,” jelasnya.

Selain itu, minggu pertama sesi persekolahan tidak melibatkan pembelajaran akademik sepenuhnya. Fokus diberikan kepada proses penyesuaian, urusan pentadbiran serta pendaftaran murid, khususnya bagi pelajar baharu.

Pembelajaran akademik dijadualkan bermula pada minggu kedua bagi memberi ruang kepada murid menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.

Sumber: Sinar Harian

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Untuk Papa Mama

Kanak-Kanak Lemas Pantai Sauh, Detik Pilu Penantian Berakhir Dengan Tragedi Menyayat...

Tragedi kanak-kanak lemas Pantai Sauh meruntun hati apabila penantian keluarga berakhir dengan penemuan jasad mangsa selepas operasi SAR berterusan.