
Air ketuban merupakan salah satu elemen paling penting sepanjang kehamilan kerana ia membantu tumbesaran dan perkembangan bayi dalam kandungan. Namun begitu, ada kalanya ibu tidak sedar jumlah air ketuban kurang dan keadaan ini boleh mendatangkan risiko serius kepada janin.
Sebab itulah apabila usia kandungan semakin meningkat, doktor akan sentiasa memantau isipadu air ketuban ketika pemeriksaan antenatal. Pemeriksaan biasanya dilakukan menggunakan imbasan ultra bunyi bagi mendapatkan bacaan yang lebih tepat.

Jika jumlah air ketuban terlalu sedikit atau terlalu banyak, ia mungkin menjadi petanda kepada masalah kesihatan ibu atau bayi yang sedang dikandung.
Ramai ibu hamil sebenarnya kurang mengetahui kepentingan air ketuban terhadap perkembangan bayi dalam kandungan. Sedangkan air ketuban memainkan peranan besar dalam memastikan bayi membesar dengan sihat dan selamat.
Fungsi Penting Air Ketuban Kepada Bayi
Antara fungsi penting air ketuban ialah:
- Membolehkan bayi bergerak bebas di dalam rahim
- Mengawal suhu badan janin supaya sentiasa stabil
- Melindungi bayi daripada jangkitan
- Membantu perkembangan organ seperti sistem gastrousus dan paru-paru
- Bertindak sebagai pelindung daripada hentakan luar
- Mengelakkan tali pusat tersepit antara bayi dan dinding rahim
Malangnya, masih ramai ibu yang tidak bertanya mengenai keadaan air ketuban ketika pemeriksaan kehamilan. Ada juga yang tidak mengetahui bahawa jumlah air ketuban boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan bayi.

Bagaimana Air Ketuban Terbentuk?
Dari sudut fisiologi kehamilan, air ketuban mula terbentuk sekitar hari ke-12 selepas persenyawaan berlaku. Pada peringkat awal, cecair ini berasal daripada tubuh ibu.
Namun apabila sistem perkumuhan bayi mula berfungsi, air ketuban akan bercampur dengan air kencing janin.
Melalui air ketuban juga bayi belajar untuk bernafas, menelan dan membuang air kecil. Sebab itu air ketuban sangat penting bagi perkembangan bayi sepanjang kehamilan.
Risiko Air Ketuban Kurang Kepada Janin
Air ketuban kurang atau dikenali sebagai oligohydramnios boleh memberi kesan serius kepada bayi jika tidak dirawat segera.
Keadaan ini boleh menjejaskan perkembangan:
- Tangan dan kaki bayi
- Paru-paru
- Anggota badan lain
- Tumbesaran keseluruhan janin
Dalam kes tertentu, kekurangan air ketuban juga boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi.
Selain itu, ibu hamil juga berisiko mengalami komplikasi ketika proses kelahiran sekiranya keadaan air ketuban kurang menjadi semakin serius. Oleh sebab itu, pemantauan berkala sangat penting dilakukan sepanjang tempoh kehamilan.

Cara Membantu Menambah Air Ketuban
Jika doktor mengesan jumlah air ketuban kurang, ibu perlu segera mengambil langkah yang disarankan.
Antaranya:
- Suntikan cecair amniotik mengikut nasihat doktor
- Banyakkan minum air kosong setiap hari
- Elakkan pengambilan alkohol
- Lakukan senaman ringan yang sesuai untuk ibu hamil
- Dapatkan rehat yang mencukupi
- Hadir ke pemeriksaan antenatal mengikut jadual
Air ketuban yang semakin berkurang bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Jika anda mengalami kebocoran air ketuban, pergerakan bayi berkurang atau mengalami simptom pelik ketika hamil, segera dapatkan pemeriksaan doktor.
Kesihatan bayi dalam kandungan bergantung kepada tindakan cepat dan pemantauan awal ibu hamil. Mengenali tanda air ketuban kurang lebih awal dapat membantu mengurangkan risiko komplikasi terhadap ibu dan bayi.
Baca lagi: Lisa Surihani Berangkat Tunai Haji, Momen Perpisahan Dengan Anak-Anak Undang Sebak
Mykad Baharu Bermula Jun 2026, Ini Ciri Keselamatan & Siapa Wajib Tukar
Sumber: Youtube Pa&Ma
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





