
Musim hujan dan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini menuntut ibu ayah supaya lebih berhati-hati apabila merancang aktiviti riadah bersama anak-anak, terutama di kawasan sungai dan air terjun. Keseronokan mandi-manda bersama keluarga boleh bertukar menjadi tragedi sekiranya aspek keselamatan dipandang ringan.
Terbaharu, semua kawasan rekreasi air terjun Selangor yang terletak dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) diarahkan tutup sepenuhnya berkuat kuasa serta-merta sehingga dimaklumkan kelak.

Penutupan Air Terjun Selangor Demi Keselamatan Pengunjung
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan cuaca yang tidak menentu dan berpotensi mendatangkan bahaya kepada pengunjung.
Arahan penutupan ini melibatkan semua kawasan rekreasi air terjun yang terletak dalam Hutan Simpanan Kekal di negeri Selangor.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook rasminya, JPNS menjelaskan bahawa langkah berkenaan bertujuan mengurangkan risiko kejadian tidak diingini, sekali gus memastikan keselamatan orang ramai sentiasa terpelihara.

“Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ingin memaklumkan bahawa semua aktiviti rekreasi di kawasan air terjun dalam Hutan Simpanan Kekal Negeri Selangor adalah DITUTUP SEPENUHNYA berkuat kuasa serta-merta sehingga pemberitahuan kelak.
“Penutupan ini dilaksanakan demi keselamatan dan pencegahan risiko kepada orang awam susulan keadaan cuaca yang tidak menentu serta mengambil kira faktor keselamatan di kawasan rekreasi air terjun,” tulisnya di laman Facebook.
Sehubungan itu, orang ramai yang merancang untuk mengunjungi kawasan air terjun Selangor dalam Hutan Simpanan Kekal dinasihatkan supaya menangguhkan aktiviti rekreasi sehingga arahan penutupan ditarik balik oleh pihak berkuasa.
Pengunjung Dilarang Masuk, Boleh Dikenakan Tindakan Undang-Undang
Susulan pengumuman tersebut, orang ramai diingatkan supaya tidak memasuki mana-mana kawasan air terjun yang terlibat atau menjalankan sebarang aktiviti rekreasi sepanjang tempoh penutupan.
JPNS turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap individu yang ingkar arahan berkenaan.
“Orang awam adalah DILARANG memasuki atau menjalankan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan yang telah ditutup. Amaran keras: Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar arahan penutupan ini.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai. Utamakan keselamatan diri dan keluarga. Jangan ambil risiko,” tambahnya.
Justeru, pengunjung dinasihatkan supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dan tidak mengambil mudah arahan yang telah dikeluarkan demi keselamatan bersama.
Larangan ini juga perlu diberikan perhatian oleh ibu ayah yang mungkin sudah merancang percutian hujung minggu bersama anak-anak. Walaupun perjalanan telah dirancang lebih awal, keselamatan keluarga perlu menjadi keutamaan berbanding keseronokan melakukan aktiviti luar.

Ibu Ayah, Jangan Pandang Ringan Risiko Kepala Air
Bagi ibu ayah yang merancang membawa anak-anak menikmati aktiviti mandi-manda atau berkelah di kawasan air terjun, sebaiknya tangguhkan dahulu perancangan tersebut sehingga keadaan kembali selamat.
Ini kerana kawasan sungai dan air terjun mempunyai risiko tersendiri, terutama ketika musim hujan.
Antara bahaya yang perlu diberikan perhatian termasuklah kejadian kepala air, arus deras, batu licin dan peningkatan paras air secara mendadak.
Keadaan ini amat membahayakan kanak-kanak kerana mereka mungkin tidak mampu bertindak pantas sekiranya berlaku kecemasan.
Oleh itu, ibu ayah perlu sentiasa mengutamakan keselamatan anak-anak dan memilih lokasi riadah yang lebih sesuai, terutama dalam keadaan cuaca yang sukar dijangka.
Semak Status Lokasi Sebelum Bawa Anak Bercuti
Dalam pada itu, orang ramai disarankan supaya menyemak status kawasan rekreasi terlebih dahulu sebelum merancang sebarang aktiviti luar bersama keluarga.
Ingat, aktiviti riadah bersama anak-anak boleh dirancang semula, tetapi keselamatan dan nyawa ahli keluarga tidak boleh dipertaruhkan.
Sebarang perkembangan terkini mengenai penutupan kawasan rekreasi air terjun dalam Hutan Simpanan Kekal Selangor boleh dirujuk menerusi laman web rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out

sekarang!
