
Anak nampak berisi, pipi tembam dan semakin berselera makan, pasti ramai ibu ayah yang gembira melihatnya. Malah, ada yang menganggap anak berbadan berisi sebagai tanda si kecil membesar dengan sihat dan mendapat makanan yang mencukupi.
Namun, tahukah ibu ayah bahawa berat badan berlebihan sejak usia kanak-kanak sebenarnya boleh memberikan kesan kepada kesihatan mereka dalam jangka masa panjang?
Lebih membimbangkan, masalah obesiti kanak-kanak di Malaysia menunjukkan peningkatan dan tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara biasa.
Obesiti bukan sekadar berkaitan dengan bentuk tubuh anak, sebaliknya boleh meningkatkan risiko pelbagai penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, masalah jantung dan gangguan pernafasan.
Sebab itulah ibu ayah perlu lebih peka terhadap corak pemakanan, aktiviti fizikal dan gaya hidup anak-anak sejak kecil. Perkongsian daripada Puan Nur Hidayah Baharudin, Pegawai Dietetik U9, Pusat Pengajian Dietetik, UiTM ini boleh dijadikan panduan untuk memahami risiko obesiti serta langkah pencegahan yang boleh dilakukan di rumah.
Apa Itu Obesiti Kanak-Kanak?
Obesiti di kalangan kanak-kanak merujuk kepada satu keadaan apabila berat badan seseorang kanak-kanak melebihi kadar yang sihat akibat pengumpulan lemak badan yang berlebihan.
Status obesiti ditentukan menggunakan nilai Indeks Jisim Badan (BMI)-untuk-Umur mengikut jantina berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO):
- Kanak-kanak berumur 0 hingga 5 tahun: Dikategorikan sebagai obes apabila nilai BMI-untuk-Umur melebihi +3 Sisihan Piawai (SD) daripada nilai median standard pertumbuhan WHO.
- Kanak-kanak berumur 5 hingga 19 tahun: Dikategorikan sebagai obes apabila nilai BMI-untuk-Umur melebihi +2 Sisihan Piawai (SD) berdasarkan rujukan pertumbuhan WHO.
Formula BMI:
BMI = Berat (kg) / [Tinggi (m) x Tinggi (m)]
Walau bagaimanapun, bacaan BMI kanak-kanak perlu ditafsirkan mengikut umur dan jantina. Ibu ayah tidak sepatutnya menggunakan kategori BMI orang dewasa untuk menentukan status berat badan anak.
Lebih 2.85 Juta Kanak-Kanak Dan Remaja Berdepan Masalah Berat Badan
Mengikut laporan World Obesity Atlas 2026, lebih 2.85 juta kanak-kanak dan remaja di Malaysia yang berusia 5 hingga 19 tahun mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti pada tahun 2025.
Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) turut menunjukkan trend peningkatan berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Prevalen obesiti menunjukkan peningkatan di kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun iaitu daripada 4.0% (2015) kepada 5.6% (2019) dan terus naik kepada 6.0% pada tahun 2022.
Ini patut menjadi kebimbangan di kalangan ibu bapa kerana akan meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.
Dijangkakan lebih 3.1 juta kanak-kanak sekolah akan menghadapi masalah berat badan berlebihan menjelang tahun 2040 jika tiada langkah agresif diambil.
Angka ini menunjukkan betapa pentingnya usaha pencegahan obesiti kanak-kanak dilaksanakan sejak awal, bukan hanya apabila berat badan anak sudah meningkat secara ketara.
Siapakah Yang Berisiko Mengalami Obesiti?
Kanak-kanak yang mengamalkan gaya hidup sedentari, pemakanan tidak sihat dan kurangnya pendidikan kesihatan di kalangan ibu bapa akan meningkatkan risiko masalah obesiti.
1. Gaya Hidup Sedentari
Peningkatan teknologi masa kini telah menyebabkan kanak-kanak cenderung menghabiskan banyak masa di hadapan skrin sama ada televisyen, komputer, atau telefon pintar.
Ini mendorong kepada kurangnya aktiviti fizikal yang menyumbang kepada peningkatan berat badan yang tidak sihat.
2. Pemakanan Tidak Sihat
Kanak-kanak lebih cenderung memilih minuman manis dan makanan terproses dan tidak berminat dengan sayur-sayuran dan juga buah-buahan.
Makanan terproses ini tinggi dengan gula dan lemak dan menjadi penyumbang utama kepada obesiti.
3. Kurangnya Pendidikan Kesihatan
Ibu bapa dan penjaga mungkin kurang mendapat pendidikan mengenai pemakanan yang betul dan gaya hidup sihat khususnya bagi kanak-kanak yang menyebabkan mereka tidak dapat membimbing anak-anak mereka dengan baik.
Oleh itu, pendidikan pemakanan bukan sahaja penting untuk anak-anak, malah ibu bapa dan penjaga juga perlu memahami keperluan makanan mengikut peringkat umur serta kepentingan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian.
Artikel Trending: STR 2027: Bantuan Hingga RM150 Sebulan, Keluarga Anda Layak Terima Berapa? Ini Syarat & Tarikh Penting Permohonan
Artikel Trending: KKM Dedah Penyakit Berkaitan Jerebu Meningkat, Amaran Bahaya Untuk Kanak-Kanak & Warga Emas
Artikel Trending: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Apakah Kesan Obesiti Kanak-Kanak Terhadap Kesihatan?

Obesiti di kalangan kanak-kanak boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, termasuk:
1. Meningkatkan Rintangan Insulin Dan Risiko Penyakit Kencing Manis
Pengumpulan lemak berlebihan secara kronik menyebabkan rintangan insulin. Ini memaksa pankreas merembeskan lebih banyak insulin dan akhirnya menjejaskan toleransi glukosa dan mengakibatkan penyakit kencing manis.
2. Meningkatkan Risiko Penyakit ‘Young Hypertension’ Dan Masalah Jantung
Pengumpulan tisu lemak merangsang sistem saraf simpatetik dan sistem renin-angiotensin-aldosterone, menjadikan tekanan darah meningkat.
Isipadu darah yang meningkat menambah beban kerja jantung, membawa kepada ‘Hipertrofi Ventrikel Kiri (LVH)’ iaitu masalah berkaitan jantung.
3. Masalah Pernafasan (Obstructive Sleep Apnea, OSA)
Pengumpulan lemak di bahagian saluran pernafasan atas menyebabkan halangan fizikal semasa tidur (dengkur kuat, terhenti nafas semasa tidur, dan mengantuk waktu siang).
4. Kesan Psikososial & Kesihatan Mental
Kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti sering menjadi sasaran ejekan dan buli di sekolah.
Ini akan meningkatkan kadar kemurungan, gangguan keresahan (anxiety), dan mengakibatkan keyakinan diri yang rendah.
Selain kesihatan fizikal, kesan emosi juga perlu diberikan perhatian. Sokongan daripada keluarga amat penting supaya anak tidak berasa dipersalahkan atau dipinggirkan akibat keadaan berat badan mereka.
7 Langkah Pencegahan Obesiti Kanak-Kanak Yang Ibu Ayah Boleh Amalkan
Antara langkah-langkah pencegahan yang perlu dilakukan oleh ibubapa adalah memastikan anak-anak:
- Makan mengikut keperluan dan saiz sajian yang betul.
- Amalkan makan pada waktu yang tetap bersama-sama keluarga.
- Pastikan hidangan utama lengkap mengikut saranan pinggan suku-suku separuh.
- Elakkan snek yang tidak sihat seperti makanan ringan, segera dan terproses kerana mengandungi tinggi lemak, gula dan garam.
- Hadkan minuman manis dan gantikan dengan air kosong, atau jus buah tanpa gula.
- Kurangkan kekerapan makan di restoran makanan segera.
- Lakukan aktiviti fizikal bersama rakan atau keluarga (berbasikal, main di taman) sekurang-kurangnya 30 minit sehari.
Selain tujuh langkah ini, ibu ayah juga boleh memastikan anak mendapat tidur yang mencukupi dan mengurangkan masa skrin yang tidak diperlukan.
Bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 17 tahun, WHO menyarankan purata sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana hingga tinggi setiap hari sepanjang minggu. Aktiviti boleh dilakukan secara berperingkat mengikut umur, kemampuan dan keadaan kesihatan anak.
Untuk pilihan minuman pula, air kosong lebih digalakkan berbanding minuman bergula. Buah-buahan segar juga lebih baik dijadikan pilihan harian berbanding jus kerana mengandungi serat dan membantu membentuk tabiat pemakanan yang lebih sihat.
Ibu Ayah Main Peranan Penting, Mulakan Gaya Hidup Sihat Sejak Kecil
Sebagai ibu ayah, sudah tentu kita mahu melihat anak-anak membesar dengan sihat, aktif dan ceria. Namun, kesihatan anak bukan hanya dinilai melalui selera makan atau penampilan fizikal semata-mata.
Apa yang lebih penting adalah memastikan mereka mendapat pemakanan seimbang, tidur yang mencukupi dan peluang untuk bergerak aktif setiap hari.
Tidak perlu melakukan perubahan secara mendadak. Ibu ayah boleh mulakan dengan langkah kecil seperti mengurangkan minuman manis, menyediakan makanan berkhasiat dan meluangkan masa bermain bersama anak di luar rumah.
Artikel Trending: Jerebu Sangat Berbahaya Kepada Bayi, KKM Beri Amaran Ibu Ayah Jangan Ambil Mudah!
Artikel Trending: Wanita Wajah Cantik Lebih Ramai Anak, Ini Fakta Kajian Saintis Yang Ramai Tak Tahu
Arttikel Trending: Bella & Syed Saddiq Kahwin, Ramai Nak Tahu Status Mahram & Aurat Anak Tiri, No. 7 Paling Ramai Tak Tahu!
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Paling penting, elakkan mengejek atau memalukan anak kerana berat badan mereka. Sebaliknya, jadikan amalan gaya hidup sihat sebagai rutin seluruh keluarga supaya anak berasa disokong, bukannya dihukum.
Jika ibu ayah bimbang dengan pertumbuhan atau berat badan anak, dapatkan penilaian daripada petugas kesihatan agar langkah yang diambil sesuai dengan usia serta keperluan mereka.
Ingat, mencegah obesiti sejak kecil bukan semata-mata untuk mendapatkan berat badan ideal, tetapi demi memastikan anak-anak membesar dengan lebih sihat dan mengurangkan risiko penyakit pada masa hadapan.

sekarang!
