Bukan sesuatu yang mudah buat ibu bapa bila anak menangis dan tak selesa bila demam. Jika diikutkan demam adalah sebahagian daripada kaedah semula jadi badan bayi melawan jangkitan.
Walau bagaimanapun, demam mungkin jadi lebih serius jika suhu bayi susah turun dan demam berpanjangan.Silap haribulan jika tak pantau betul-betul boleh kena demam sawan.
Berdasarkan perkongsian Dr Halina Mohd Yunos melalui instagramnya, dia ada berkongsi mengenai salah seorang anak kembarnya Noah yang mengalami demam sejak lima hari lalu dengan suhu tinggi. Dalam postnya dia turut memberi beberapa tip kepada ibu yang mengalami situasi sama dengannya apa tindakan yang perlu dibuat jika anak demam panas.
Tip rawat anak demam panas
Jika suhu terlalu tinggi, gunakan PCM
Ads
Ubat yang dimasukkan melalui bontot boleh cepat menurunkan suhu demam yang terlalu tinggi. Dalam kes ini Dr Halina memberikan Noah ubat ini setiap 6 jam sekali. Biasanya ubat ini cepat bertindak berbanding ubat makan.
Buat sponging
Teknik ini membantu anak yang demam panas untuk rasa lebih selesa. Kerap basahkan kain dan letak dibahagian kepala dan badan anak.
Ads
Jumpa doktor
Sekiranya demam anak masih berpanjangan, segera berjumpa doktor untuk pastikan tiada masalah lain. Macam kes Noah demamnya dah lima hari walaupun dah diberi pemantauan di rumah. Nak tak nak Noah kena jumpa pakar pediatrik untuk dapatkan rawatan susulan walaupun Dr Halina sendiri seorang doktor.
Buat ujian darah/ x-ray
Biasanya bila demam tak kebah-kebah, doktor akan buat ujian darah dan x-ray untuk mengetahui apa yang berlaku sebenarnya. Macam kes Noah melalui ujian darah yang dilakukan ada jangkitan kuman. Hasil dari x-ray juga menunjukkan simptom pneumonic changes.
Ads
Jika perlu makan antibiotik
Jika sama macam kes Noah, antibiotik adalah cara terakhir untuk pastikan kesihatan anak kembali sembuh. Tapi perlu pastikan ia mesti dapat nasihat doktor terlebih dahulu.
Jadi pada ibu bapa yang mengalami masalah anak demam berpanjangan, boleh ikut tip macam ni. Nampak mudah tapi kadang-kadang kita tak tahu nak buat apa bila berdepan dengan situasi sedemikian.
Sumber : ig Dr Halina
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rambut bayi yang baru lepas dicukur selepas lahir perlu ‘dirangsang’ agar tumbuh lebat dan sihat. Tidak perlu beli ubat-ubatan, cukup hanya menggunakan cara semula jadi agar rambut bayi tumbuh subur dan sihat.
Tidak semua bayi dilahirkan dengan keadaan rambut hitam dan lebat. Kadar pertumbuhan rambut terutama ketika bayi berada dalam kandungan berbeza. Bagi masyarakat Melayu, kebiasaannya rambut bayi dicukur selepas dilahirkan bagi memastikan rambut baru yang tumbuh itu lebih lebat dan sihat.
Namun, terdapat juga bayi yang masih tidak tumbuh rambut walaupun selepas dicukur berbulan-bulan dan ia mungkin mendatangkan kebimbangan kepada ibu bapa. Setiap ibu bapa akan melakukan pelbagai usaha supaya rambut si kecil tersayang tumbuh dengan lebat dan sihat selepas dicukur.
MADU DAN MINYAK ZAITUN
Madu bukan saja baik diamalkan dalam diet seharian malah dapat membantu menyihatkan kulit, begitu juga dengan minyak zaitun yang membuat kulit lebih sihat kerana mengandung vitamin E. Kedua bahan semula jadi ini boleh dicampurkan dan dioleskan di bahagian kepala dan biarkan beberapa saat sebelum membilasnya. Disebabkan sifatnya yang semula jadi, selamat untuk mengoleskannya pada rambut atau kulit kepala bayi sekali sehari atau dua hari sekali.
LIDAH BUAYA
Lidah buaya memang bukan lagi rahsia untuk membantu melebatkan rambut, bukan hanya bayi malah ramai orang dewasa yang menggunakan tanaman ini untuk menghitamkan dan melebatkan rambut. Untuk bayi anda, boleh gunakan lidah buaya dengan mengambil isi dan lendirnya saja. Hancurkan isi sehingga berbentuk gel dan oleskan secara merata pada rambut dan kulit kepala bayi. Lakukan berulang setiap minggu, kerana lidah buaya bukan hanya melebatkan malah membantu menghitamkan rambut bayi.
AVOKADO DAN MADU
Avakado dan madu antara bahan semula jadi lain yang memiliki kandungan yang baik untuk membantu melebatkan rambut bayi. Ambil isi buah yang sudah masak, kemudian hancurkan hingga halus seperti pupur. Kemudian, campurkan satu sudu madu asli sebelum dioleskan pada rambut serta kulit kepala bayi. Jangan lupa gunakan penutup kepala agar tidak disentuh atau diusik oleh tangan mereka. Biarkan seketika dan bilas hingga bersih.
MINYAK KELAPA
Sebaik-baiknya, hentikan penggunaan bahan tidak jelas dan berbahaya yang sering kali digunakan dalam minyak rambut. Sebenarnya, pada usia seawal itu, ibu bapa tidak digalakkan menggunakan produk rambut untuk melebatkan rambut bayi kerana dikhuatiri bahan yang terkandung di dalamnya membawa mudarat kepada mereka. Sebaliknya, gunakan saja bahan semula jadi seperti minyak kelapa yang sudah jelas tidak akan membawa bahaya atau merosakkan rambut dan kulit kepala mereka.
PISANG DAN MINYAK ZAITUN
Selain menggunakan madu dan minyak zaitun, anda juga boleh menggunakan pisang dan minyak zaitun. Pisang mengandung bahan mineral seperti kalium yang boleh membuat rambut tumbuh lebih cepat. Sementara campuran dengan minyak zaitun akan membuat folikel rambut lebih kuat dan tumbuh dengan baik. Pisang juga termasuk makanan yang mengandung asid folik dan penting untuk ibu hamil dan bayi.
BUAH KERAS
Buah keras adalah tumbuhan yang bijinya boleh dimanfaatkan sebagai sumber minyak dan rempah. Minyak buah keras memiliki banyak khasiat untuk rambut, menyihatkan, menyuburkan, menguatkan, mencegah rambut rosak serta menghitamkannya secara semula jadi. Sapukan secara rutin minyak buah keras ke kepala anak anda hingga ke hujung rambut.
AIR KELAPA MUDA
Rutin melakukan urutan lembut kepala bayi dengan menggunakan air kelapa muda juga boleh melebatkan rambut mereka. Anda hanya perlu menyediakan air kelapa muda secukupnya, siramkan ke kulit kepala bayi sambil diurut lembut. Untuk hasil yang maksimum lakukan petua ini secara rutin setiap pagi dan petang selepas mandi.
“Harap sangat Ramadan kali ini memberi keajaiban buat anak kami yang sedang bertarung nyawa,” kata Haffiszattul Nur Akmar Samsudin.
Haffiszattul, 30, berkata tahun ini dia dan suaminya, Sheikh Muhammad Bukhary Sheikh Basir, 33, menyambut Ramadan di hospital, menemani puteri kesayangan mereka, Sheikha Zulaikha yang menderita Hemophagocytic Lymphohistiocytosis (HLH).
“Kami sudah berkampung di hospital sejak 19 April lalu selepas keadaan Zulaikha tidak stabil dan kerap demam panas.
“Jadi Ramadan ini juga kami akan berpuasa di sini kerana keutamaan kami hanya kepada Zulaikha,” katanya.
Dia yang sedang hamil lapan bulan berkata, pemindahan sum sum tulang yang sepatutnya dijadualkan Khamis lalu, terpaksa ditunda kerana keadaan Zulaikha yang tidak stabil dan kritikal.
“Jika pemindahan sum sum tulang dibuat sekarang ibarat mencabut nyawanya saja jadi ia terpaksa ditangguhkan,” katanya.
Katanya, Zulaikha yang berusia 16 bulan kini sedang dipantau di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) selepas sesak nafas dan mengalami gangguan sistem pembekuan darah.
“Najisnya berwarna hitam dan ada tanda pendarahan pada perutnya dan apabila ambil darah pada tangannya darah keluar lambat berhenti.
“Semua ini berlaku disebabkan penyakit HLH yang dialaminya itu semakin mengganas dan kini paras Ferritin Zulaikha mencapai 120,000 berbanding bayi normal sebayanya cuma 500 Ferritin.
“Jadi, buat masa ini doktor hanya boleh memberikan ubat khas untuk mengawal pendarahan dalam badannya terlebih dulu,” katanya.
Sempena mengambil keberkatan Ramadan ini, mereka sekeluarga memohon rakyat Malaysia mendoakan kestabilan kesihatan Zulaikha supaya nyawanya dapat diselamatkan menerusi pemindahan sum sum tulang.
“Tiada apa yang kami harapkan, cuma mohon rakyat Malaysia semua mendoakan anak kami kuat melawan penyakitnya yang sedang merebak dalam tubuh badannya sekarang,” katanya.
Balik bercuti kesihatan Zulaikha merosot
Sementara itu, Haffiszattul berkata kini Zulaikha juga dipaksa berpuasa dan hanya boleh minum air putih sahaja bagi mengelakkan masalah lain.
“Saya tahu Zulaikha sedang menahan sakit tapi dari raut wajahnya dia tetap memberi senyuman dan mengenyit mata pada kami seolah-olah dia tak mahu kami risau keadaannya.
“Kami suami isteri langsung tak menyangka hanya dengan demam, keluar ruam merah dan benjolan dileher terus menyebabkan keadaan Zulaikha berubah 100 peratus. Dari anak yang aktif, ceria kini pergerakannya terhad.
“Sebelum Zulaikha demam, kami ada bawanya pergi bercuti ke Pulau Pinang sempena cuti Tahun Baru Cina dan singgah ke beberapa tempat. Balik dari situlah dia demam hinggalah dia disahkan sakit.
“Mungkin ini hanyalah penyebab sahaja tapi kami reda. Berdasarkan apa yang diberitahu doktor, punca Zulaikha sakit disebabkan EBV virus yang banyak di sekeliling kita seperti orang pegang, peluk, cium, dan orang yang batuk,” jelasnya.
Sebagai ibu, sekali lagi saya harapkan sama-samalah berdoa untuk Zulaikha dan biarlah dia dapat mengembalikan keceriaan buat kami suami isteri.
Sumber: Haffiszattul Nur Akmar Samsudin & Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak dahulu lagi, ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan untuk memberikan puting bayi atau pacifier kepada anak sebagai salah satu cara untuk menenangkan anak. Keputusan untuk memberikan anak puting bayi atau lebih dikenali sebagai puting kosong ini, adalah terpulang kepada ibu bapa.
Cuma, anda mungkin ingin tahu kesan pemberiannya kepada anak anda. Jadi, ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenai kesan yang mungkin akan berlaku.
Apa itu puting kosong?
Puting kosong adalah puting bayi yang digunakan sebagai alat penenang yang diperkenalkan oleh Joaquin Martinez bagi menangani masalah wanita tidak dapat tidur kerana bayi meragam.
Alat penenang dianggap sebagai alat selamat yang diberikan kepada bayi untuk dihisap, bentuknya seperti gegelang gigit bagi gigi yang sedang tumbuh atau kelentong bulat di hujung. Tetapi kini, puting kosong diperbuat dari silikon atau getah yang standard, dengan pengadang mulut yang diperbuat dari plastik atau silikon bersama pemegangnya. Puting lateks adalah lebih lembut dan fleksibel dari silikon, tetapi ianya tak tahan lama. Pacifier moden adalah selamat untuk digunakan, senang untuk disteril dan pengadang mulut puting mencegah bayi daripada tercekik atau menelan puting itu.
Adakah baik jika bayi gemar menghisap puting?
Ramai ibu bapa mendapati bayi mereka akan lebih tenang jika diberikan puting bayi. Ini kerana, kebanyakan bayi rasa gembira apabila dapat menghisapnya tidak kiralah puting ibunya ataupun puting tiruan. Bagi penggunaan harian, ibu bapa akan menawarkan puting bayi yang banyak dijual di pasaran. Apabila dapat menghisapnya, anda akan lihat tumpuan bayi teralih dan bayi juga mudah untuk terlena selepas letih menghisap pacifier.
Selain itu, aktiviti menghisap pacifier semasa tidur siang dan malam juga dikatakan boleh membantu mengurangkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS). Walau bagaimanapun, bagi bayi yang menyusu badan, ibu bapa adalah disarankan untuk menawarkan puting bayi selepas usia bayi 3 hingga 4 minggu.
Kesan negatif jika perkenalkan bayi kepada puting
Pemberian puting bayi ada juga kontranya. Sebelum ibu bapa menawarkan anak kepada puting bayi, ketahui dahulu apa kesannya kepada anak anda:
Pengenalan awal puting bayi kepada si manja yang masih kecil boleh mengganggu rutin penyusuannya. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan pacifier boleh mengurangkan kekerapan sesi penyusuan bayi, malahan, sesetengah bayi akan berhenti menyusu selepas beberapa bulan diperkenalkan kepada puting bayi. Namun, kajian yang dilakukan kepada bayi yang sihat, dan cukup bulan mendapati tiada impak pada penyusuan bayi.
Bayi yang mendapat pacifier juga akan terlalu bergantung kepada puting bayi dan akan menangis jika tidak mendapatnya, tidak kiralah jika hendak tidur, semasa tidur atau selepas bangun tidur.
Infeksi telinga meningkat. Terdapat hubung kait yang membuktikan mengenai penggunaan puting bayi untuk jangka masa panjang dan infeksi telinga tengah. Dipercayai bahawa menghisap puting bayi menambah kemungkinan infeksi berpindah dari mulut ke tiub Eustachia (saluran berisi udara yang menyambungkan telinga tengah dengan bahagian belakang tekak). Jika anda memberikannya kepada bayi anda, pastikan anda mengehadkan penggunaannya untuk tidur sahaja, untuk mengelakkan masalah seperti ini.
Penggunaan puting bayi untuk jangka masa yang panjang cenderung menyebabkan masalah gigi. Ramai doktor gigi tidak menggalakkan penggunaan puting kosong atau menghisap jari sebab kedua-duanya boleh menyebabkan beberapa masalah apabila gigi tumbuh dan keluar, terutama sekali jika bayi masih menggunakan puting sebagai penenang semasa gigi kekal mereka sedang menembus keluar.
Masalah pertuturan. Penggunaan pacifier tidak membolehkan bayi membebel atau babbling, iaitu satu langkah penting untuk bayi anda belajar bertutur dan berkomunikasi.
Adakah saya perlu bagi bayi hisap puting?
Sudah tentu keutamaan ibu bapa adalah menenangkan bayi. Jadi, puting bayi adalah salah satu cara untuk bayi lebih tenang, tenteram dan tidak meragam. Pemberian pacifier tiada salahnya asalkan ibu bapa tidak terlalu menjadikannya sebagai alat utama untuk memudahkan tugas ibu bapa dalam menenteramkan anak. Dapatkan nasihat daripada doktor jika anak anda susah untuk berhenti hisap puting.
Memberikan puting kepada bayi
Terdapat segelintir ibu bapa yang memberikan puting kepada bayi untuk menenangkan bayi mereka, dan terdapat juga ibu bapa yang tidak gemar untuk menggunakannya. Wujud juga ibu bapa yang berpendapat untuk tidak menggunakannya pada ketika bayi masih belum dilahirkan dan akhirnya bertukar fikiran apabila sukar untuk membuat bayi yang menangis untuk bertenang.
Jika anda ingin memberikan bayi anda puting, berikut adalah beberapa perkara yang harus anda pertimbangkan, antaranya:
Tunggu dulu sampai bayi biasa dengan rutin penyusuan. Jangan terlalu kerap bagi bayi pacifier. Tawarkannya hanya selepas atau di antara waktu makan. Cuba hadkan pemberian puting bayi untuk masa-masa utama sahaja, seperti semasa serangan kolik atau hanya untuk menenangkan. Ini sekali gus dapat mengurangkan risiko infeksi telinga tengah dan masalah lain.
Tip memberhentikan pemberian puting bayi
Sekiranya anda berdepan masalah untuk memberhentikan tabiat ini dan anak anda gemar menghisapnya setiap masa, berikut adalah langkah-langkah yang boleh membantu:
Kurangkan masa anak anda dibenarkan menggunakannya secara perlahan-lahan. Jangan terus memberhentikan pemberian puting, kerana ini mungkin boleh menyebabkannya lebih sukar untuk ditenangkan.
Beri ganjaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, stiker atau carta bintang – jangan berikan gula-gula untuk menggantikannya.
Tunjukkan kepadanya budak perempuan dan lelaki yang lebih tua, yang tidak menggunakan puting – kanak-kanak prasekolah suka dianggap lebih tua.
Bertegas dalam mengehadkan masa penggunaannya kepada masa-masa utama sahaja dalam masa sehari, seperti waktu tidur atau ketika dia tidak sihat.
Kes bayi dibuang sumbang mahram yang terbongkar di Besut menjadi amaran tragis buat ibu bapa tentang keselamatan anak di rumah sendiri serta kegagalan perlindungan keluarga.