Keibubapaan

Anak Hidap Kanser, Ayah Kerap Ambil EL Undang Sebak

Share

Anak hidap kanser merupakan ujian yang cukup berat buat mana-mana ibu dan ayah. Hati ibu ayah mana yang tidak sedih apabila melihat anak yang ditatang bagai minyak yang penuh disahkan menghidap penyakit yang meragut nyawa. Namun jauh di sudut hati, pastinya ingin memberikan yang terbaik buat anak tersayang.

Tular perkongsian seorang lelaki mengenai rakan sekerjanya yang sering mengambil cuti kecemasan sehingga membuatkan dirinya dan rakan sekerja meluahkan rasa tidak puas hati. Sehinggalah akhirnya terbongkar apabila dia diberitahu bahawa anak rakannya sebenarnya menghidap penyakit kanser.

Menerusi perkongsian luqman_abdltf, dia mengakui dirinya dan beberapa rakan sekerja pernah berasa kurang senang apabila lelaki berkenaan kerap mengambil Emergency Leave (EL) secara tiba-tiba.

“Aku ingat lagi betapa jahatnya kami sebagai officemate dia masa tu. Tiap kali dia EL, kami akan kira dah berapa kali bulan tu.

“Kadang sindir depan-depan, ‘Best juga ada anak, boleh cuti last minute.’

“Aku pernah pesan dekat dia, ‘Kalau boleh jangan selalu inform last minute bro. Susah orang nak cover.’”

Namun, apa yang mereka tidak tahu, anak rakannya yang baru berusia empat tahun sedang berjuang melawan Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL)

dan sudah lama berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Keadaan anak kecil itu juga tidak menentu. Ada hari kelihatan baik, namun ada masanya doktor meminta keluarga berkenaan segera membawanya ke hospital.

“Sebab tu EL dia memang banyak yang last minute. Bukan sebab dia tak reti plan. Cuma sakit cancer anak dia, tak boleh ikut jadual office kami.”

Anak Hidap Kanser, Ayah Takut Minta Balik

Lebih meruntun hati, pada minggu terakhir kehidupan anaknya, si ayah tetap hadir bekerja walaupun anak sedang berada di hospital.

Pada tengah hari, isterinya menghubungi dan memaklumkan keadaan anak mereka semakin lemah. Malah, anak kecil itu berkali-kali bertanyakan ayahnya.

“Anak dia makin lemah dan dari tadi asyik tanya, ‘Ayah mana?’

“Tapi dia masih duduk dekat meja hampir sejam. Sebab dia takut nak minta balik. Takut kami marah kena cover dia lagi.”

Akhirnya, lelaki tersebut memberanikan diri meminta rakannya mengambil alih tugas supaya dia dapat pergi ke hospital.

“‘Bro… aku kena pergi hospital. Tolong cover aku sekali lagi boleh?’

“Sebelum keluar dia sempat cakap, ‘Sorry. Aku tahu aku banyak susahkan korang.’”

Malam itu, anaknya meninggal dunia pada usia empat tahun. Bagaimanapun, si ayah sempat bertemu dan memeluk anak tersayang buat kali terakhir.

Baca lagi: Ubat Cacing Kanak-Kanak: 7 Petanda Amaran Anak Dijangkiti Cacing Yang Ramai Ibu Bapa Terlepas Pandang

Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah

Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya

Rakan Sekerja Terkedu Selepas Mengetahui Perkara Sebenar

Seminggu selepas kejadian, lelaki tersebut kembali bekerja. Seorang rakan sekerja kemudian bertanyakan keadaan anaknya.

“‘Anak dah okay?’

“Dia jawab, ‘Dah tak sakit dah.’

“Kami ingatkan dah discharge. Tapi lepas tu dia sambung, ‘Anak aku dah meninggal.’

“Satu office terus senyap.”

Apa yang lebih menyentuh hati, lelaki itu bukan sahaja tidak memarahi rakan-rakannya, malah dia sendiri meminta maaf kerana sering meninggalkan kerja untuk diuruskan oleh mereka.

“‘Sorry eh selama ni selalu tinggal kerja dekat korang.’

“Waktu tu, aku rasa diri aku nilah orang paling tak guna. Rasa macam nak telan balik semua ayat yang pernah aku cakap pasal dia.”

Kejadian itu membuatkan lelaki berkenaan sedar bahawa mereka terlalu cepat menilai tanpa mengetahui kesusahan yang sedang dilalui seseorang.

“Aku pernah mengeluh sebab kena cover kerja dia beberapa jam. Aku pernah gelak bila orang sindir EL dia. Aku pernah fikir dia ambil kesempatan.

“Sedangkan setiap kali dia tulis, ‘Anak sakit, saya EL hari ni,’ dia sebenarnya tengah hidup dengan ketakutan yang satu hari nanti mesej itu akan jadi kali terakhir.”

Menurutnya, kerja boleh diselesaikan kemudian, mesyuarat boleh dijadualkan semula dan tarikh akhir juga boleh dijelaskan. Namun, masa bersama keluarga tidak boleh diputar kembali.

“Jangan sampai kita buat orang rasa bersalah kerana memilih keluarga, sampai satu hari nanti dia dah tak ada sesiapa lagi untuk dipilih.”

Pengajaran Buat Ibu Bapa Apabila Anak Hidap Kanser

Sebagai ibu bapa, tiada apa yang lebih utama daripada berada di sisi anak ketika mereka benar-benar memerlukan kita, lebih-lebih lagi ketika sedang sakit. Jangan terlalu rasa bersalah apabila terpaksa memilih keluarga dalam situasi kecemasan kerana bagi seorang anak, kehadiran ibu dan ayah boleh menjadi sumber kekuatan paling besar.

Kisah anak hidap kanser ini juga mengajar kita supaya tidak terlalu cepat menilai ibu atau ayah lain yang kerap mengambil cuti kerana anak sakit. Kita tidak tahu apa yang sedang mereka lalui. Mungkin mereka sedang berulang-alik ke hospital, berjaga sepanjang malam atau cuba menguatkan hati ketika melihat anak bertarung dengan kesakitan.

Buat ibu dan ayah, hargailah setiap peluang untuk memeluk, menemani dan meluangkan masa bersama anak. Kerja boleh dicari ganti dan tugasan boleh disambung kemudian, tetapi masa bersama anak tidak pernah boleh dikembalikan apabila ia sudah berlalu.

Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri

Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!

Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah

Sumber: luqman_abdltf

Published by
Nor Yusoff