
Bila anak lambat cakap, kita selalu buat tak kisah atau tidak sedar anak terlewat perkembangannya. Ramai mak ayah terlepas pandang perkara ini walaupun tanda-tandanya sudah mula kelihatan sejak awal.
Lebih membimbangkan, ada yang menganggap anak baik-baik sahaja sedangkan anak perlu dibantu. Hakikatnya, setiap anak memang berbeza, tetapi ada garis panduan perkembangan yang boleh dijadikan rujukan untuk mengenal pasti isu anak lambat cakap lebih awal.
Menurut Patalogis Pertuturan Bahasa, Pn Aisyah Kassim, terdapat beberapa tanda awal yang boleh membantu mak ayah mengenal pasti sama ada anak mengalami kelewatan bercakap atau tidak berada pada tahap perkembangan yang sepatutnya.
Jangan tunggu sehingga terlalu lewat. Lagi awal dikesan, lagi baik peluang untuk anak dibantu.
Meniru adalah asas penting dalam perkembangan bahasa. Anak belajar bercakap melalui pemerhatian dan peniruan.
Seawal usia 10 bulan, anak biasanya sudah mula meniru bunyi-bunyi mudah seperti “wow”, “meow”, “mama”, “baba” atau bunyi haiwan dan bunyi persekitaran. Mereka juga mula meniru aksi seperti tepuk tangan, melambai “bye-bye”, ketuk meja atau buat gaya comel bila diminta.
Apabila masuk usia satu tahun ke atas, anak sepatutnya mula cuba meniru perkataan yang disebut oleh orang dewasa walaupun belum jelas.
Jika anak langsung tidak menunjukkan minat untuk meniru bunyi, perkataan atau perbuatan, ini mungkin tanda awal anak lambat cakap yang perlu diberi perhatian serius.
Sebelum anak pandai bercakap, mereka akan menggunakan bahasa tubuh untuk berkomunikasi.
Pada usia sekitar 10 bulan ke atas, anak biasanya sudah mula menggunakan gesture seperti menunjuk dengan jari untuk meminta sesuatu, mengangkat tangan untuk didukung, melambai bila disuruh “bye-bye”, serta mengangguk atau menggeleng kepala.
Gesture ini menunjukkan anak faham konsep komunikasi dua hala. Jika anak tidak menggunakan sebarang isyarat tubuh untuk berkomunikasi, mak ayah perlu lebih peka kerana ia boleh menjadi salah satu tanda anak lambat cakap.
Bahasa bukan hanya tentang bercakap, tetapi juga kefahaman.
Seawal usia satu tahun, kebanyakan anak sudah boleh memahami arahan mudah seperti “ambil bola”, “bagi mama botol” atau “mari sini”.
Jika anak tidak memberi respon langsung atau kelihatan tidak memahami arahan yang sangat ringkas dan biasa digunakan setiap hari, ini juga boleh menjadi tanda kelewatan perkembangan bahasa.
Mak ayah boleh cuba uji dengan arahan harian dalam suasana santai dan lihat sama ada anak memahami tanpa perlu tunjuk berulang kali.
Perkataan pertama yang bermakna biasanya muncul sekitar usia satu tahun hingga satu tahun enam bulan.
Contohnya seperti “ibu”, “ayah”, “nak”, “makan”, atau nama objek kegemaran mereka. Walaupun sebutannya mungkin tidak jelas, tetapi ada makna dan digunakan secara konsisten.
Jika anak sudah melepasi usia satu tahun enam bulan tetapi masih belum menyebut sebarang perkataan bermakna, mak ayah disarankan untuk mendapatkan penilaian awal kerana ini adalah petunjuk jelas anak lambat cakap.
Menjelang usia dua tahun, kebanyakan kanak-kanak sudah boleh menggabungkan dua perkataan mudah seperti “mama nak”, “nak susu” atau “abah pergi”.
Ayat mungkin ringkas dan tatabahasa belum sempurna, tetapi sudah menunjukkan perkembangan komunikasi yang baik.
Jika pada usia dua tahun anak masih belum boleh menyebut gabungan dua perkataan, ini mungkin petanda anak memerlukan bantuan profesional.
Perkembangan setiap kanak-kanak memang berbeza. Ada yang cepat bercakap, ada yang ambil masa lebih lama. Namun, lambat bercakap boleh jadi petanda beberapa perkara lain juga, contohnya:
Autisme (ASD) pula biasanya melibatkan lebih daripada sekadar lambat bercakap. Antara tanda lain yang perlu diperhatikan:
Pertama sekali, jangan panik. Tetapi jangan juga ambil mudah. Jika mak ayah mula nampak tanda-tanda ini, langkah terbaik adalah dapatkan nasihat daripada pakar seperti Patalogis Pertuturan Bahasa atau terapis perkembangan kanak-kanak.
Lagi awal intervensi dimulakan, lagi tinggi peluang untuk anak mengejar semula perkembangan mereka.
Selain itu, mak ayah juga boleh bantu anak di rumah dengan cara:
Ingat, setiap anak unik. Tetapi perkembangan bahasa ada garis panduan yang boleh dijadikan rujukan. Keprihatinan mak ayah adalah langkah pertama untuk membantu anak membesar dengan lebih yakin dan bersedia.
Jangan malu untuk bertanya dan jangan tunggu sehingga terlambat. Kadang-kadang satu tindakan kecil hari ini boleh mengubah masa depan anak kita.
Baca: Anak Kidal Unik & Istimewa, Jangan Paksa Anak Tukar Tangan!
Sumber: Youtube Pa&Ma