
Seorang lelaki menerusi perkongsiannya di Threads mencetuskan perhatian ramai apabila berkongsi pengalaman cemas melibatkan keadaan kesihatan anaknya yang sering mengadu sakit perut.
Apa yang pada awalnya disangka hanya sakit perut biasa, rupanya berkaitan najis terkumpul dalam usus sehingga boleh memberi kesan kepada kesihatan anak jika tidak dirawat lebih awal.
Menurut lelaki tersebut, dia menerima panggilan daripada pihak sekolah selepas anaknya dilihat tidak sihat dan mengadu sakit perut ketika berada di sekolah.
“Actually dah beberapa hari juga dia complain sakit perut tapi boleh je buang air besar macam biasa,” tulisnya.
Disebabkan bimbang dengan keadaan anak, dia bersama isteri mengambil keputusan membawa anak mereka mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital.
Doktor Dedah Najis Terkumpul Dalam Usus Anak

Selepas menjalani ultrasound dan X-ray, doktor memaklumkan terdapat banyak najis yang masih belum keluar dan terkumpul di bahagian usus besar serta usus kecil.
Lebih mengejutkan, walaupun anaknya masih membuang air besar setiap hari, rupa-rupanya hanya sebahagian kecil sahaja yang keluar.
“Yang dia buang air besar hari-hari tu doktor cakap daripada bahagian bawah sahaja, tapi dekat usus besar dan usus kecil ada banyak lagi belum keluar,” katanya lagi.
Doktor kemudian memberikan ubat bagi membantu mengeluarkan najis yang tersimpan. Jika keadaan tidak bertambah baik, anaknya mungkin perlu dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Punca Anak Sering Tahan Buang Air Besar

Dalam perkongsian sama, lelaki itu turut berkongsi kemungkinan punca keadaan tersebut berlaku. Dia percaya anaknya mungkin kerap menahan buang air besar ketika berada di sekolah kerana lebih selesa melakukannya di rumah.
“Besar kemungkinan sebab tahan berak juga,” tulisnya.
Perkongsiannya itu mendapat perhatian ramai ibu bapa yang turut berkongsi pengalaman hampir sama melibatkan anak-anak mereka.
Ramai mengakui kanak-kanak sememangnya ada yang tidak selesa menggunakan tandas di sekolah sehingga sanggup menahan untuk tempoh lama tanpa disedari ibu bapa.
Tanda Najis Terkumpul Dalam Usus Yang Ibu Bapa Perlu Awasi
Dalam masa sama, perkongsian tersebut menjadi peringatan penting buat ibu bapa agar tidak mengambil mudah apabila anak kerap mengadu sakit perut, hilang selera makan, perut keras atau sukar membuang air besar.
Menurut pakar kesihatan, masalah najis terkumpul dalam usus boleh menyebabkan tekanan kepada organ lain dan meningkatkan risiko sembelit kronik jika tidak dirawat lebih awal.
Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk:
- Anak kerap sakit perut
- Kurang selera makan
- Perut nampak buncit atau keras
- Sukar membuang air besar
- Anak kelihatan tidak selesa atau cepat meragam
Langkah Kurangkan Risiko Najis Terkumpul Dalam Usus
Ibu bapa juga disarankan memastikan anak:
- Minum air secukupnya setiap hari
- Mengambil makanan tinggi serat
- Tidak menahan ke tandas terlalu lama
- Berani memberitahu guru jika perlu ke tandas di sekolah
- Mempunyai rutin membuang air besar yang konsisten
“Kalau najis tak keluar sangat-sangat bahaya sebab toksin dalam badan,” pesan lelaki tersebut menerusi perkongsiannya.
Perkongsian ringkas namun penuh kesedaran itu nyata membuka mata ramai bahawa masalah yang kelihatan kecil sebenarnya boleh menjadi serius jika diabaikan.
Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih peka terhadap perubahan kesihatan anak, terutama jika mereka kerap mengadu sakit perut atau menunjukkan tanda tidak selesa dalam tempoh berpanjangan.
Sumber: Threads khaiqmal
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





