Nak sediakan susu anak memang tak susah, tapi kalau ambil ringan soal kebersihan mungkin boleh menyebabkan keracunan. Kasihan anak kena cirit-birit dan muntah.
Menjaga kebersihan botol serta peralatan susu yang lain amat penting supaya tidak menjejaskan kesihatan anak. Jadi, botol susu perlu dibersihkan sebelum susu baru dibancuh. Ia juga perlu disteril dengan kerap untuk membunuh kuman.
Sebuah video di Tiktok yang dikongsikan oleh angahazie888 menjadi viral gara-gara seorang barista kafe di sebuah kafe ternama dilihat sedang membersihkan botol susu.
Difahamkan, pemilik akaun Tiktok itu meminta pemuda tersebut untuk mengisi sedikit air panas ke dalam botol tersebut untuk membancuh susu anaknya.
Apa yang mendapat perhatian ramai adalah apabila pemuda tersebut bukan hanya sekadar meletakkan air panas tetapi dia turut membersihkan botol susu tersebut. Selepas itu, dia dengan teliti menuang air panas mengikut garis pada botol.
Ads
Menurut pemilik akaun, pemuda tersebut mencuci botol susu anaknya menggunakan air panas supaya lebih bersih. Ramai yang memuji tindakan barista tersebut yang dianggap sangat bertimbang rasa dan menjaga hubungan baik dengan pelanggan di kafe dia bekerja.
Mungkin apa yang dilakukan nampak mudah tetapi besar maknanya kepada orang yang dibantu. Jelas kelihatan rasa ikhlas ketika pemuda tersebut menyantuni pelanggan yang meminta pertolongan kecil.
Biarpun tidak diminta, dia telah membersihkan botol susu tersebut dan menyukat air panas dengan betul. Semoga kebaikan akan berbalik kepada dirinya pula. Sama-sama kita doakan!
Dalam dunia keibubapaan, tiada yang lebih melukakan hati seorang ibu selain melihat anaknya dipinggirkan. Inilah yang sedang ditanggung oleh Elinoisna Abu, 47, seorang ibu tunggal yang berjuang memastikan anak sulungnya, Solehah Azzahra Nazri, 12, yang juga seorang kanak-kanak autisme, mendapat hak asas yang wajar diterima setiap murid hak untuk bersekolah.
Menurut laporan Harian Metro, Solehah bukan sekadar murid biasa. Dia merupakan murid cemerlang, pernah dinobatkan sebagai Olahragawati dan Atlit Terbaik Sekolah 2025, selain dua tahun berturut-turut mewakili sekolah ke Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD). Namun, semua pencapaian itu seakan hilang selepas satu insiden yang meruntuhkan semangatnya.
Segalanya tercetus pada 20 November lalu. Ketika sesi latihan tarian konvokesyen, Solehah ditegur dengan suara keras oleh seorang guru. Bagi kanak-kanak autisme, perubahan nada suara serta situasi tekanan boleh mencetuskan emotional overload. Solehah menangis, keluar dari dewan dan berlari masuk ke kelas Tahun Lima untuk mencari ruang menenangkan diri.
Menurut ibunya, sepanjang kejadian, tiada murid cedera. Malah, beberapa rakan baik Solehah cuba menenangkannya dengan memegang tangan ketika dia berada dalam keadaan tidak stabil.
Namun, pihak sekolah mendakwa seorang murid cedera dakwaan yang menurut Elinoisna tidak disertakan sebarang bukti. “Saya diberitahu baju murid itu terkoyak, tetapi tiada gambar, tiada luka, tiada laporan jelas,” katanya.
Pada 21 November, Solehah diberi arahan “cuti” oleh pihak sekolah — tindakan yang tidak pernah dibincangkan dengan ibu. Lebih mengejutkan, Solehah dituduh membahayakan murid lain dan tidak dibenarkan hadir ke sekolah tanpa kebenaran semula.
“Tiga tahun dia bersekolah di situ, Solehah tak pernah agresif. Dia anak baik, disukai ramai. Mengapa selepas satu kejadian ini terus dihukum begini?” luah ibu tunggal itu dalam sebak.
Hatinya semakin luluh apabila ada ibu bapa mengugut untuk membuat laporan polis beramai-ramai terhadap anaknya. Ada juga yang mengemukakan syarat bahawa ibu perlu menemani Solehah sepanjang waktu persekolahan.
“Dengan keadaan saya sebagai pesakit kanser tahap tiga, mana saya mampu berlari ke sana sini? Saya hanya mahu anak saya habiskan Tahun Enam dengan tenang,” katanya.
Sebagai ibu tunggal yang bekerja sebagai pelukis pelan, Elinoisna merasakan dirinya dipinggirkan kerana tidak mampu melawan suara pihak tertentu. Situasi sebegini bukan asing bagi ramai ibu bapa kanak-kanak autisme yang berdepan salah faham masyarakat.
Enggan terus berdiam diri, beliau membuat laporan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Jawapan yang diterima jelas: anaknya tidak boleh dihalang hadir ke sekolah.
Namun apabila Solehah hadir pada 4 Disember lalu, ibu ini diminta menandatangani surat akujanji bahawa pihak sekolah tidak bertanggungjawab atas sebarang risiko. Beliau menolak kerana syarat itu tidak pernah dinyatakan oleh PPD.
“Saya terpaksa buat laporan polis untuk lindungi hak anak saya. Saya tak minta lebih, cuma mahu dia bersekolah seperti biasa sehingga hari terakhir Tahun Enam.”
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyemak kes ini bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Kisah Solehah Azzahra adalah cerminan realiti ramai ibu bapa kanak-kanak autisme — berjuang bukan sahaja untuk pembelajaran anak, tetapi juga penerimaan masyarakat.
Kanak-kanak autisme bukan ancaman. Mereka belajar pada ritma berbeza dan memerlukan sokongan, bukan penghakiman.
Dan seorang ibu, walau sedang bertarung nyawa sebagai pesakit kanser, tetap berdiri menjadi benteng terakhir buat anaknya. Kerana begitulah hati seorang ibu sentiasa kuat demi anak yang dicintainya.
Ayden Mikael penghias kulit majalah Pa&Ma edisi Mac 2019 bayi yang ceria. Si kecil berkulit putih, halus dan gebu ini menjadi pujaan ramai.
Kemunculan Ayden memegang watak Iqy dalam drama Pujaan Hati Kanda menjadikan si kecil ini mula dikenali. Lakonannya sebagai sebagai anak angkat kepada Danny lakonan Remy Ishak dan Tiara lakonan Mira Filzah dalam drama tersebut adalah titik tolak populariti anak kecil ini.
Ayden berlakon dalam lebih 300 scene dalam drama itu. Penggambaran drama 28 episod yang bermula daripada awal Oktober hingga akhir Disember 2018. Dari Ayden belum ada gigi hinggalah giginya tumbuh!
PERSONALITI EASY GOING
Mempunyai personaliti easy going, anak sulung pasangan Kim Anna Abdullah & Mohd Zainuddin Azhar yang mempunyai darah campuran Cina, Vietnam, Cambodia, Indonesia & Portugal ini amat mudah dijaga.
“Ayden tidak pernah meragam sejak lahir. Semasa proses berpantang, dia tidak pernah berjaga malam. Selepas ditukar lampin & menyusu, terus tidur semula,” ujar ibunya.
RAHSIA KULIT PUTIH GEBU
Selain itu, Anna juga turut berkongsi semasa hamilkan Ayden, dia turut mengalami morning sickness. Selain itu, dia turut berkongsi amalan meminum air kelapa tanpa gula dari usia kandungan 7 bulan. Rupa-rupanya inilah rahsia kulit nampak bersih, ibu Ayden Mikael beri petua minum air kelapa!
Ayden dilahirkan ketika usia kehamilan ibunya 39 minggu 6 hari. Dilahirkan melalui pembedahan caesarean, sewaktu lahir si cilik ini seberat 3.18kg.
Semasa temu ramah dilakukan, Ayden sudah pun boleh menggunakan penyedut minuman. Selain itu, dia juga sudah boleh berpegang dan berpaut kepada perabot. Walau pun skip merangkak, Ayden sudah boleh mengengsot untuk bergerak.
Tidak seperti kebanyakan bayi yang mempunyai objek/ mainan kegemaran, Ayden lebih suka diagah dan berkomunikasi dengan orang sekeliling.
AYDEN SELALU DIPANGGIL IQY
Selepas drama ditayangkan, ramai yang memanggil Ayden dengan panggilan Iqy. Ibunya mengakui selepas Ayden berlakon, ke mana-mana mesti sentiasa proper sebab ramai yang mula mengenali Ayden. Populariti yang tidak dijangka ini menyebabkan ada yang membuka akaun palsu menggunakan nama & gambar Ayden Mikael. Hal ini menyebabkan Anna lebih berhati-hati.
Anda nak tahu lanjut mengenai Ayden Mikail, boleh dapatkan naskhah majalah Pa&Ma Mac 2019 yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. Lebih banyak cerita yang dikongsikan dalam ruangan Penghias Kulit, Pa&Ma Edisi Mac 2019!
Amyra Rosli Pernah ‘Hilang’ Berat Mendadak, Sibuk Urus Anak, Rumah Tangga & Kerjaya Jadi Punca
Amyra Rosli pernah mengalami penurunan berat badan yang cukup ketara selepas bersalinkan anak sulungnya, Aqeef Anaqi. Mungkin agak jarang kedengaran kerana biasanya mama-mama akan naik berat badan selepas bersalin.
Menurut aktres cantik, Amyra Rosli ia terjadi tanpa disedari. Tapi bila sedar berat turun, dia terus mendapatkan pemeriksaan kesihatan di klinik kerana bimbang masalah kesihatan. Tapi ternyata keputusan pemeriksaan tidak menunjukkan sesuatu yang buruk kecuali tekanan darah yang agak rendah yang telah dihadapinya sebelum ini.
Amyra sempat memberitahu, yang ajaibnya, semasa mengandungkan Anaqi, tekanan darahnya menunjukkan bacaan yang baik, tidak rendah seperti sebelumnya. Beratnya sebelum bersalin pula ialah 58 kg.
Aqeef Anaqi yang ketika itu berusia 10 bulan, sangat aktif juga salah satu ‘pembakar kalori’ buat Amyra. Walau pun ketika itu dia tinggal dengan ibu bapanya, Amyra tidak pernah menyerahkan tugas menguruskan anak dan suami kepada orang lain. Semuanya dilakukan sendiri.
Malah setiap hari dia memastikan untuk memasak sendiri sajian makan tengah hari dan malam untuk Aqeef Anaqi dan menguruskan makan pakai suami Amar Baharin. Katanya ia adalah kepuasan bila boleh melakukannya sendiri.
Amyra juga mengakui faktor pemakanan juga salah satu sebab berat tidak naik mencanak. Dia yang gemar makanan berkuah, sup dan dimasak secara kukus. Amyra juga kurang gemar makanan yang bergoreng dan minuman manis.
Aktres berusia 32 tahun ini juga mengamalkan makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap. Ia juga salah satu sebab kenapa dia sentiasa tampak langsing walau pun sudah bergelar ibu. Senaman ringan di rumah juga dilakukan untuk menjaga kecergasan diri.
Sebenarnya selepas melahirkan bayi, tubuh ibu perlu pulih sepenuhnya dan bersedia untuk menghasilkan susu ibu. Berat badan yang meningkat semasa kehamilan membantu membina bekalan untuk proses pemulihan dan penyusuan. Dalam masa yang sama, ibu-ibu perlu mengekalkan pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat agar mereka sentiasa cergas dan sihat selepas bersalin.
Terdapat sesetengah ibu yang terlalu sibuk menjaga bayi dan ahli keluarga yang lain sehingga tidak mengendahkan pengambilan makanan mereka sendiri. Oleh itu, adalah penting untuk ibu-ibu merancang hidangan yang ringkas tetapi berkhasiat untuk dirinya dengan memilih pelbagai makanan daripada kesemua kumpulan makanan di dalam Piramid Makanan Malaysia.
Apa yang patut saya makan selepas bersalin?
Teruskan pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat sebagaimana yang diamalkan semasa anda hamil. Beri tumpuan kepada pengambilan bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta makanan yang kaya dengan protein, kalsium dan zat besi.
Berikut adalah kumpulan makanan utama yang anda harus makan setiap hari:
*Pelbagai jenis bijirin seperti beras, gandum, jagung, barli terutama bijirin penuh. Produk bijirin seperti roti, pelbagai jenis mi dan pasta juga boleh diambil.
*Sumber protein haiwan seperti telur, daging dan ikan dan/atau sumber protein tumbuhan seperti kacang dal dan kacang soya.
*Susu dan produk tenusu seperti susu rendah lemak, yogurt dan keju.
*Semua jenis buah-buahan dan sayur-sayuran segar, sama ada dimakan mentah atau dimasak.
Diet yang seimbang boleh diperolehi dengan mengambil pelbagai jenis makanan daripada setiap kumpulan makanan yang dinyatakan di atas. Pengambilan pelbagai jenis makanan dapat memastikan ibu mendapat kesemua nutrien yang diperlukan olehnya. Kepelbagaian makanan juga dapat memastikan nutrien yang terdapat di dalam makanan diserap dengan baik.
Contohnya, zat besi daripada sayur-sayuran berdaun hijau akan lebih mudah diserap dengan kehadiran vitamin C daripada buah-buahan. Dalam masa yang sama, pengambilan makanan secara berlebihan pula akan mendatangkan kemudaratan. Contohnya, pengambilan protein secara berlebihan boleh mengakibatkan badan kehilangan beberapa vitamin dan mineral.
Beri perhatian kepada zat besi dan kalsium
Zat besi
Semasa menyusukan bayi, kebiasaannya ibu tidak kedatangan haid selama beberapa bulan. Oleh itu, kehilangan zat besi setiap bulan tidak berlaku. Walau bagaimanapun, ibu memerlukan bekalan zat besi yang mencukupi bagi menggantikan kehilangan zat besi semasa bersalin dan sebagai persediaan kedatangan haid yang akan datang.
Bekalan zat besi boleh dikekalkan dengan pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi seperti daging, hati, kekacang, sayur-sayuran berdaun hijau, bijirin penuh dan buah-buahan kering seperti kismis. Ibu yang mengalami anemia perlu mengambil suplemen zat besi.
Kalsium
Keperluan bagi kalsium semasa menyusukan bayi adalah tinggi kerana susu ibu mengandungi kalsium. Apabila paras kalsium di dalam darah ibu tidak mencukupi untuk ibu dan bayinya, kalsium yang tersimpan di dalam tulang ibu akan dikeluarkan untuk menghasilkan susu dan mengakibatkan jisim tulang ibu berkurangan.
Kehilangan tersebut boleh dicegah dengan pengambilan makanan yang tinggi kalsium. Sumber utama kalsium adalah susu dan hasil tenusu seperti keju dan yogurt.
Bagaimanapun, jika ibu tidak menggemari atau alah kepada susu, terdapat banyak sumber kalsium lain yang boleh diambil, termasuklah:
*Ikan dalam tin seperti sardin, ikan tongkol dan tuna yang dimakan bersama tulangnya.
*Ikan bilis juga merupakan sumber kalsium yang baik terutama sekiranya dimakan bersama tulangnya.
*Bijirin penuh dan tepung bijirin penuh.
*Tauhu dan susu soya.
*Sayur-sayuran berdaun hijau.
*Kekacang dan buah-buahan kering seperti kacang walnut, badam, kismis, kurma dan buah ara yang dikeringkan.
Berapa banyak saya harus minum semasa menyusukan bayi?
Secara amnya, anda perlu minum apabila merasa dahaga. Walau bagaimanapun, urin yang berwarna cerah boleh dijadikan petanda yang anda telah mengambil air dengan secukupnya.
Kebanyakan ibu akan berasa dahaga apabila menyusukan bayi, terutama bayi yang baru dilahirkan. Oleh itu, sentiasa sediakan bekalan air berhampiran dengan anda semasa menyusukan bayi.
Walau bagaimanapun, anda tidak perlu minum secara berlebihan kerana ia tidak membantu untuk meningkatkan penghasilan susu anda namun ia mungkin membuatkan anda berasa tidak selesa.
Apakah makanan yang harus dan tidak harus dimakan semasa menyusukan bayi?
Seseorang ibu yang menyusukan bayi tidak memerlukan makanan khas untuk menghasilkan atau meningkatkan penghasilan susu. Hisapan bayilah yang menentukan jumlah susu yang dihasilkan. Tubuh ibu akan menggunakan kombinasi makanan yang dimakan dengan nutrien yang tersimpan di dalam badannya untuk menghasilkan susu.
Jika makanan yang ibu ambil tidak mencukupi, nutrien yang tersimpan di dalam badan akan digunakan. Lazimnya, tiada satu makanan khas yang ibu perlukan untuk menghasilkan susu ibu.
Kepelbagaian makanan yang diambil dapat memastikan ibu mendapat kesemua nutrien yang diperlukan, tanpa menjejaskan kesihatan mereka. Sekiranya ibu tidak menggemari sesuatu jenis makanan, nutrien yang terkandung dalam makanan tersebut akan dibekalkan oleh pelbagai jenis makanan lain yang ibu ambil.
Pengambilan beberapa jenis makanan perlu dihadkan semasa ibu menyusukan bayi seperti kopi dan alkohol. Bahan seperti kafein yang terdapat di dalam kopi dan alkohol serta toksin lain boleh melepasi darah ibu dan masuk ke dalam susu ibu. Oleh yang demikian, bahan-bahan tersebut perlu dielakkan. Nikotin daripada rokok dan dadah juga boleh masuk ke dalam susu ibu dan mesti dielakkan.
Bolehkah saya mengamalkan diet vegetarian semasa saya menyusukan bayi?
Diet vegetarian yang mengandungi beberapa sumber haiwan seperti susu, hasil tenusu atau telur adalah diet yang sempurna. Wanita yang tidak makan daging tetapi mengambil susu dan hasil tenusu atau telur, lazimnya tidak mengalami masalah untuk menyusukan bayi.
Bagi ibu yang mengamalkan diet yang langsung tidak mengandungi bahan-bahan tersebut (seperti diet vegan atau makrobiotik), ibu perlu menambah sumber vitamin B12 di dalam dietnya melalui cara-cara lain. Kebanyakan pengamal diet vegetarian mengambil suplemen untuk menambah pengambilan vitamin B12 mereka.
Bolehkah saya mengurangkan berat badan semasa menyusukan bayi?
Menyusukan bayi membantu membakar lemak yang tersimpan semasa hamil untuk menghasilkan susu ibu. Ibu yang menyusukan bayi boleh kehilangan berat badan sebanyak lebih kurang 0.5 kg sebulan hanya melalui penggunaan tenaga untuk penghasilan susu ibu.
Jika anda membuat keputusan untuk mengurangkan sedikit pengambilan makanan, tunggu sehingga enam atau lapan minggu selepas melahirkan bayi. Anda memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi untuk kekal sihat, aktif dan berkemampuan untuk menjaga bayi.
Anda dinasihatkan untuk mengurangkan berat badan secara perlahan-lahan dengan menggabungkan amalan pengambilan makanan yang seimbang dan kurang lemak serta melakukan senaman secara sederhana. Pengurangan berat badan yang mendadak boleh membahayakan bayi memandangkan toksin yang tersimpan di dalam lemak ibu boleh terbebas, masuk ke dalam darah dan seterusnya masuk ke dalam susu ibu.
Perlukah saya mengambil pil suplemen?
Seorang wanita yang sihat dan mengambil diet yang seimbang iaitu yang mengandungi bijirin dan produk bijirin, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan lazimnya tidak memerlukan pil suplemen semasa menyusukan bayi.
Suplemen vitamin dan mineral tidak boleh menggantikan diet yang seimbang. Walau bagaimanapun, anda harus pastikan yang anda mengambil cukup kalsium, vitamin D dan zat besi. Bincang dengan pakar kesihatan anda sebelum mengambil sebarang suplemen vitamin dan mineral.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.