
Bila ada anak kecil, anak bermain rumah bersepah tu biasa. Selain itu, yang boleh buat ibu ayah kena tarik nafas lebih adalah bila nak mencari remote televisyen atau aircond yang tiba-tiba tak dapat dikesan.
Kadang tu habis satu tempat cari, alih-alih terjumpa dalam timbunan kain yang belum berlipat, dalam raga mainan anak-anak dan paling tak sangka buka peti sejuk remote tersebut ada terletak elok dalam tu.

Tak tahu apa yang best sangat dengan remote ni, tapi ia antara paling disukai anak-anak kecil kan. Lagi satu yang lucunya jika remote tu bukan disorokkan oleh anak tapi suami sendiri masa nak tengok bola. Ada tak yang ada pengalaman macam ni? Hehehe..Kadang momen macam ni, isteri pun ada juga sesekali buat taktik ni jika nak layan drama kesukaan.
Bagaimanapun, idea yang dikongsikan oleh Asrul Achoi ni berguna jika remote dalam rumah selalu hilang.

Tiga benda nie selalu hilang..kadang lepas ke dapur pun ada. Tersorok bawah bantal selalu dah. Paling boring jatuh bawah katil belah bucu dinding, jenuh la nak meraba.

Kadang benda kecik nie hilang pun boleh mendatangkan peperangan kecil. Nah hambik..ikat terus 3 ketul nie dengan tali…tambat kat meja..harap lepas nie tak hilang lagi lah yer.

Posting asal nie pernah dikongsikan oleh tuan Wan Mohd Khairy tak silap saya. Bagi yang selalu hilang tu, boleh la ikut cara nie. Moga tak hilang dah dan tak tidur skali dengan remote nie.

Menarik juga kan idea ni. Jadi tak adalah ibu ayah nak ‘menyinga’ tiap kali cari remote tak jumpa.
**Tali tu tak semestinya guna tali yang tu je. Boleh guna ikut kreativiti anda. Matlamat utama asalkan remote dapat kekal pada satu tempat.
Kredit: Asrul Achoi via Kelab Kaki Deko
Mama jom rileks jap, klik link ni!
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini. Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza.
Selain mendapat ilmu penyusuan, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ atau terus scan QR Code pada poster.

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Balik Kampung Tapi Tidur Hotel/Homestay, Ini Pesanan Ustazah

Apabila tiba musim raya, isu tidur di homestay atau hotel akan jadi ‘trending’. Penuh berita mengenai isu ini dan kebanyakannya menjurus kepada tanggapan negatif, sama ada daripada ibu ayah, adik-beradik atau saudara-mara. Maka ada yang mencemuh, pandang atas bawah atau cakap belakang.

Cerita disebalik beraya di kampung memang seronok tapi sebenarnya mudah terpalit dosa jika tidak diteliti sebaiknya. Jika banyak keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur berjemaah di ruang tamu sebab tak cukup bilik, maka akan berlaku pendedahan aurat ipar, sepupu atau biras semasa tidur. Bukan itu sahaja, bagi yang menyusu badan lagi sukar kerana mungkin tak sedar auratnya terdedah ketika sedang tidur selepas menyusukan anak. Allahu Akbar.
WAHAI IBU BAPA, SELIDIK DAHULU. WAHAI ANAK, JANGAN MELULU.
Semasa menjadi perunding cara rumah tangga dulu, memang ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka terjebak dengan pornografi atau ketagih melihat benda lucah bermula dengan situasi begini di kampung. Pada awalnya hanya ternampak sikit, kemudian datang keinginan untuk melihat dengan lebih banyak.
Tuan Puan,
Keadaan ini harus difahami oleh semua pihak dengan berlapang dada. Sudah menjadi tanggungjawab buat seorang suami untuk memelihara maruah anak isteri. Firman Allah SWT:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.”
(Surah at-Tahrim 66: 6)
Sebelum ibu ayah berkata sesuatu yang mungkin akan timbulkan salah faham, walaupun dah 2 tahun tak beraya dengan anak-anak, lama tak balik, maka fahami dulu situasinya kenapa.
Bukanlah sebab rumah itu tidak selesa, tiada aircond, suasana kampung, dll tetapi bagi menjaga maruah, aurat dan pergaulan anak dan isteri.
Seorang anak pula harus jujur jika bermalam di hotel/homestay. Terangkan kepada ibu ayah dengan baik dan jelas, kadang mungkin mereka terlalu rindukan anak yang sudah lama tak pulang, jadi tugas kita ialah cuba jelaskan dengan baik. Mudah-mudahan ibu ayah memahami dengan lapang dada.
Anak-anak yang memilih untuk tidak bermalam dirumah ibu bapa, perlulah sebab yang berkaitan syara’, bukan kerana tidak selesa dll, dibimbangi akan membuatkan orang tua dan keluarga berjauh hati. Dan pada waktu selain rehat malam maka sepatutnya perlu berada di rumah supaya boleh berbakti dan menggembirakan hati orang tua dan keluarga.
PENTING SANGAT, janganlah jadi seperti tetamu pula, datang pada waktu makan atau waktu tertentu sahaja, sikap ini memanglah akan menyakitkan hati banyak pihak. Tidur hotel atau homestay asalnya tiada masalah, tapi sikap kita yang bermasalah.
Firman Allah SWT:
وَاِنْ جَاهَدٰكَ عَلٰٓى اَنْ تُشْرِكَ بِيْ مَا لَيْسَ لَكَ بِهٖ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِى الدُّنْيَا مَعْرُوْفًا ۖ وَّاتَّبِعْ سَبِيْلَ مَنْ اَنَابَ اِلَيَّۚ ثُمَّ اِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَاُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَ
Maksudnya: “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau menaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku.
Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”
(Surah Luqman 31: 15)
BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI AJNABI
Kita maklum bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya (ajnabi) ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Daripada Ibnu Abbas r.a., beliau mengatakan:
مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَجْهُهَا وَكَفَّاهَا وَإِنَّمَا لَمْ يَكُونَا عَوْرَةً؛ لِأَنَّ الْحَاجَةَ تَدْعُو إلَى إبْرَازِهِمَا وَإِنَّمَا حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِمَا: لِأَنَّهُمَا مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ
Maksudnya: “Apa yang zahir daripadanya (perempuan) ialah muka dan telapak tangannya.
Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.”
(Kitab Asna al-Matalib, 1/176)
Walaupun batasan auratnya masih boleh dijaga, namun sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi saudara-mara yang ramai dan tiada privasi, sebaiknya bermalam di tempat berasingan kerana waktu tidur kita tak sedar apa yang terdedah. Kecuali jika di kampung memang tak ramai atau setiap keluarga mendapat privasi yang diperlukan. Maka ketika itu tidur di rumah ibu bapa lebih baik bagi meraikan dan menggembirakan mereka.
Jika kita miliki anggota keluarga yang ramai, maka semakin ramailah orang yang perlu dijaga batas auratnya, terutama sekali wanita. Mereka perlu menjaga aurat daripada sepupu, ipar, bapa tiri, adik-beradik angkat, biras, dll.
Firman Allah SWT:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya. Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak suruhan (hamba) yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.”
(Surah an-Nur 24: 31)
Semoga para suami, ibu ayah, abang, adik lelaki, ibu ayah mertua memahami akan kepentingan dalam penjagaan aurat ini dan tidak semudahnya berkecil hati dan bersangka buruk terhadap anak-anak yang memilih untuk bermalam selain di rumah.
Ulama terdahulu pernah mengingatkan:
مَنْ حَفِظَ بَصَرَهُ نَوَّرَ اللّٰهُ بَصِيْرَتَهُ وَقَلْبَهُ
Maksudnya : “Sesiapa yang memelihara penglihatannya, maka Allah SWT akan menyinari (memberi petunjuk) pandangannya dan juga hatinya.”
(Kitab Tafsir Ibnu Kathir: Tahzib wa Tartib, Dr. Solah al-Khalidi, 4/2343)
DOA MENJAGA MARUAH DIRI
Mari kita amalkan doa ini, mudah-mudahan maruah diri dan keluarga kita sentiasa dipelihara oleh Allah SWT:
اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي
Maksudnya: “Ya Allah lindungilah auratku, amankanlah apa-apa yang menjadi pemeliharaanku.”
(HR Ibnu Majah, hadis sahih)
Semoga penerangan ini bermanfaat, Allah merahmati dan melindungi seluruh ahli keluarga kita daripada perkara mungkar serta salah faham di dalam rumah tangga. Ameen Ya Rabbal Alamin.
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA. 😊🤲🏻🌹
Kredit: Asma’ binti Harun

Jangan abaikan keselamatan si manja ketika berada dalam kereta. Belajar tentang fungsi car seat serta ketahui kecederaan yang akan berlaku kerana impak kemalangan. Ketahui lebih lanjut tentang car seat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up!
Daftar secara PERCUMA di https://toko.ideaktiv.com/product/sayang-nyawa-anak-dalam-kereta/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Elak Bagi Anak Main Air Banjir, Risiko Penyakit Berjangkit Tinggi!

Fenomena kejadian banjir kerap berlaku di negara ini. Saban tahun bermula September sehingga Februari hujan yang dialami oleh negeri-negeri di Malaysia akan meningkat dan menyebabkan banjir.
Banjir memberikan beberapa kesan yang tidak baik terhadap semua hidupan sehingga boleh membawa kematian. Antara yang disebabkan oleh banjir adalah:
Kemusnahan Harta Benda: Banjir yang besar boleh menenggelamkan rumah kediaman serta menghayutkan serta merosakkan barang-barang lain seperti barang-barang elektrik, kereta ,dokumen dan sijil penting dan sebagainya. Ini membawa kerugian besar kepada penduduk.

Penyakit Berjangkit: Kesan yang paling buruk dibawa oleh banjir adalah kesihatan manusia di mana kejadian penyakit berjangkit mudah dijangkiti semasa dan selepas banjir.
Kematian: Banjir juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa terutamanya di kawasan yang rendah dan berhampiran dengan sungai.
Kerugian Kerajaan: Banjir sering merosakkan harta awam seperti jalan raya, bangunan, telefon, elektrik dan mengakibatkan pelbagai jenis penyakit. Semua ini akan ditanggung oleh kerajaan dengan memperbaiki kerosakan dan membiayai kelengkapan perubatan.
Kesemua ini memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi. Selain itu kerajaan juga terpaksa menyediakan pelbagai keperluan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan di samping menyediakan penempatan sementara mangsa banjir.
Banjir dan Risiko Penyakit
Banjir yang berlaku akan menyebabkan sampah sarap dan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air. Sampah sarap dan sisa najis ini bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit.
Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak semasa dan selepas banjir adalah seperti jangkitan pernafasan akut, Konjunktivitis (Sakit Mata), Leptospirosis, Cirit-Birit, Disentri, Hepatitis A, Taun/Kolera, Demam Kepialu (Typhoid), Keracunan Makanan, Demam Denggi, Jangkitan Kulit, Demam Campak (Measles), Penyakit Kaki, Tangan Dan Mulut (HFMD), Malaria Dan Cacar Air (Garis Panduan Pengurusan Banjir, 2008).
Penyakit Bawaan Air dan Makanan
Penyakit bawaan air dan makanan kerap berlaku semasa dan selepas kejadian banjir adalah seperti Demam Kepialu (Typhoid), Taun/Kolera, Hepatitis A, Disentri dan keracunan makanan. Gejala penyakit ini seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut, dan sakit kepala. Cara jangkitan penyakit ini adalah melalui meminum air atau memakan makanan yang telah dicemari oleh kuman-kuman penyakit tersebut. Penyakit ini sangat mudah berjangkit dan merbahaya. Kejadian penyakit ini sentiasa dipantau dan dikawal oleh pihak Kesihatan.
Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan ialah pastikan sumber air yang akan digunakan dari punca yang bersih dan selamat, sentiasa mencuci tangan menggunakan air yang bersih, minum air yang telah dimasak sempurna, makan makanan yang baru dimasak dan masih panas, kupas kulit buah-buahan sebelum makan, elakkan dari memakan sayur mentah, gunakan air yang bersih semasa membasuh sayur-sayuran, buah-buahan, bahan mentah dan semua peralatan semasa penyediaan makan dan minum, dan pilihlah kedai makanan dan pengendali makanan yang bersih dan telah mendapat suntikan anti tifoid apabila makan di luar.
Penyakit Leptospirosis
Penyakit Leptospirosis adalah disebabkan oleh bakteria Leptospira yang terdapat di dalam air kencing haiwan mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing, lembu dan sebagainya. Penyakit ini boleh berjangkit kepada manusia yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air atau air banjir yang telah tercemar dengan air kencing haiwan yang telah terjangkiti dengan bakteria ini. Antara tanda-tanda penyakit Leptospirosis ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, kemerahan pada mata, ruam, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman (Manual Maklumat Kesihatan Banjir, n.d.).
Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan adalah memastikan kebersihan persekitaran rumah, tutup dan tudung makanan supaya dihindari tikus, sentiasa mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri, jangan bermain air banjir dan lopak air terutamanya selepas banjir dan cuci serta balut sebarang luka yang terdapat pada anggota badan dengan sempurna supaya tidak terdedah dengan air banjir ini.
Penyakit Konjunktivitis (Sakit Mata)
Konjunktivitis atau Sakit Mata juga merupakan penyakit yang kerap terjadi semasa banjir. Penyakit ini mudah merebak dengan cepat dari seorang pesakit kepada orang lain melalui perkongsian alat-alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan serta bergaul rapat dengan orang yang sakit mata. Penyakit yang disebabkan oleh kuman (bakteria atau virus) atau alahan ini merupakan radang pada bahagian putih mata. Antara gejala sakit mata ialah mata merah, berair dan pedih; discaj tahi mata yang berlebihan, mata terasa gatal dan mata sensitif terhadap cahaya.
Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan adalah sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air yang bersih selepas menyentuh mata dan sebarang permukaan, elakkan bergaul dengan orang yang sakit mata dan jangan berkongsi barang peribadi.
Demam Denggi
Selepas banjir surut, banyak kawasan-kawasan yang berpotensi sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan tiada tempat yang boleh menakung air seperti plastik, tin-tin minuman dan bekas makanan polisterin yang digunakan atau hanyut semasa banjir. Bekas-bekas ini perlulah dibuang dengan betul. Setiap penghuni rumah juga perlu memastikan persekitaran rumah mereka bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes ini.
Demam Denggi adalah berpunca dari nyamuk Aedes. Antara tanda-tandanya ialah bermula dengan demam mengejut, dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot (myalgias dan arthralgias, sakit pinggang yang teruk menyebabkan ia juga digelar demam tulang-pecah atau break-bone fever) dan gatal-gatal. Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bintik-bintik merah terang, dan biasanya muncul di anggota bahagian bawah – pada sesetengah pesakit, ia merebak hampir kepada keseluruhan tubuh.
Tanda pada kulit yang klasik ialah seluruh kulit tubuh bertukar kemerahan diselangi dengan tompok-tompok kulit warna yang normal (island of white in a sea of red). Kemungkinannya terdapat gastritis dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-cirit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luar biasa radang otot jantung (cardiomyopathy).
Demam denggi klasik berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam (dikenali sebagai pola biphasic). Secara klinikal bilangan sel darah pembeku (platelet) akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ke tiga (third space loss) di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya), kerana kapilari darah menjadi rapuh (capillary fragillity). Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan.
Langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil
Semasa banjir, sentiasa patuhi arahan daripada Pihak Berkuasa:
- Pindah segera ke pusat pemindahan apabila diarahkan.
- Jangan biarkan kanak-kanak bermain air banjir.
- Tutup semua suis utama elektrik, injap utama bekalan air dan gas sebelum meninggalkan rumah.
- Sentiasa menjaga keselamatan warga tua, kanak-kanak dan ibu hamil.
Jagalah kesihatan:
- Pastikan air yang diminum bersih dan dimasak sempurna atau mimum air yang dibotolkan.
- Sentiasa makan makanan yang dimasak dan masih panas. Jika makan buah, kupas kulit dan elakkan makan makanan mentah.
- Jaga kebersihan diri dan persekitaran; sentiasa basuh tangan dengan sabun dan air yang bersih, gunakan tandas yang sempurna dan buang sampah di tempat yang betul.
- Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami demam, cirit-birit, muntah dan sebagainya.
- Patuhi nasihat yang diberikan oleh Anggota Kesihatan.
Sumber:
Manual Maklumat Kesihatan Banjir. n.d. Bahagian Kawalan Penyakit dan Bahagian Pendidikan Kesihatan. Kementerian Kesihatan Malaysia. Putrajaya.
Garispanduan Pengurusan Banjir (Kesihatan). 2008. Kementerian Kesihatan Malaysia. Diambil dari http://www.infosihat.gov.my/infosihat/isusemasa/pdf/Jlid 1 – FWBD UMU GP 001.pdf
Kredit: MyHealthportal
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rahsia Anak Dengar Cakap & Sentiasa Sayang, Amalkan Surah Al-Kausar Ketika Memasak

Anak dengar kata, baik akhlak impian setiap ibu bapa. Namun dengan pelbagai cabaran hari ini ia agak sukar melainkan kita sebagai ibu bapa benar-benar laksanakan setiap tanggungjawab dengan sempurna.
Seperti perkongsian seorang ibu ini, Puan Timah Maanin, tip yang dilakukannya untuk anak sentiasa dengar cakap, lembut hati dan rajin boleh sama-sama diamalkan.
Ramai yang minta tip bagaimana saya mendidik anak-anak saya untuk dengar cakap saya dan rajin menolong saya.
Saya macam sahabat-sahabat semua juga. Saya didik anak-anak saya dari kecil lagi. Dari anak-anak berumur 5 tahun saya dah mula ajar dia buat kerja-kerja yang mudah-mudah. Contoh lepas main kemas mainan. Lepas makan bawa ke sinki tak basuh tak apa. Janji letak dalam sinki..

Seiring dengan usia dia makin meningkat saya ajar kerja-kerja rumah yang mudah-mudah. Dalam pada itu saya banyak berdoa untuk anak-anak.
Amalkan surah an-Naml dan al-Kausar
Nak lembutkan hati anak-anak bacalah selalu surah an-Naml ayat 30-31, semoga dengan berkat usaha ibu bapa & dengan izin Allah, anak-anak akan mudah mendengar kata, lembut hati, penuh keinsafan, rajin solat dan menjadi anak yang soleh.
Semasa memasak saya akan baca surah Al-Kausar ketika membuka api dapur. Dah siap masak nak tutup api saya akan baca lagi sekali surah Al Kausar.
Ustaz kata dengan kita amalkan membaca surah ini ketika hendak memasak, ini akan membuatkan satu ikatan kasih sayang yang kuat antara anak-anak dan suami dengan kita.
Semasa memasak saya juga amalkan ayat 200 surah Al-Imran. Kata ustazah itu ayat pengasih. Pada malam Jumaat saya akan baca surah Yassin, berzikir dan surah-surah pendek dan saya tiup pada air mineral.
Air tu saya campur dalam botol-botol air kosong yang saya simpan dalam peti sejuk. Bila masak nasi saya akan campurkan dengan air tu. Buat teh ke kopi ke saya akan campurkan juga.
Amalan sebelum anak tidur
Dan 1 lagi amalan saya, anak-anak tidur saya akan pergi ke anak saya. Saya akan duduk di sebelah anak. Saya akan sebut apa saja keinginan saya pada anak.
Contoh kalau saya akan sebut, Syakir semoga jadi anak yang soleh, lembut hati bila mama tegur dan beri nasihat. Mama ingin Syakir menerima nasihat mama dengan hati yang tenang.
Semoga Syakir berjaya di dunia dan juga di akhirat kelak. Saya akan cium ubun-ubun dan usap rambut dia. Selain itu, saya ajar anak-anak jangan pendam apa-apa jika tak puas hati. Bagi tahu je la saya dan saya juga lebih suka anak-anak boleh berkongsi masalah dengan saya.
Saya tunaikan permintaan sahabat-sahabat yang tanya saya dan minta tip. Saya bukanlah bijak pandai dalam mendidik anak-anak. Saya juga seperti sahabat-sahabat yang lain juga.
Ada salah silap dan kelemahan juga. Yang baik itu datang dari Allah SWT. Yang buruk itu datang dari diri saya yang dhaif ini.
Kredit: Timah Maanin
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


