Sesuai dengan tuntutan agama, setiap individu yang beragama Islam perlu berpuasa pada siang hari apabila tiba bulan Ramadan. Namun begitu, anak anda yang masih belum mencapai akil baligh tidak lagi diwajibkan untuk berpuasa oleh agama.
Pun begitu, apa salahnya jika anda mahu mengajar anak anda berpuasa sejak awal usia mereka, bukan? Ikuti artikel ini untuk mengetahui beberapa tip berkesan mengajar anak berpuasa.
Adakah ia selamat?
Sebelum itu, anda perlu tahu sama ada selamat atau tidak anak anda yang masih kecil untuk berpuasa. Jawapannya, ya, ia adalah selamat. Usia yang paling sesuai untuk mengajar anak anda berpuasa pula adalah sekitar usia 7 tahun ke atas bergantung kepada kondisi kesihatan mereka secara umumnya. Pun begitu, ia tidak disarankan dilakukan untuk jangka masa yang terlalu lama.
Ads
Bagaimanakah mengajar anak berpuasa?
#1. Ajar mereka berpuasa setengah hari
Pasti anda pernah terdengar ibu bapa berkata kepada anaknya bahawa berpuasa setengah hari sudah memadai, bukan? Ya, ini adalah cara yang bagus kerana kanak-kanak berusia 7 tahun ke bawah tidak disarankan berpuasa penuh. Dengan cara ini, kanak-kanak akan terdedah dengan aktiviti berpuasa lebih awal dan tidak akan kekok apabila pertama kali melakukannya apabila sudah mencapai akil baligh kelak.
Ads
#2. Ajar mereka berpuasa menu yang spesifik
Setiap kanak-kanak pasti akan mempunyai makanan kegemarannya tersendiri. Oleh itu, apa kata anda cuba ajar anak anda untuk berpuasa daripada makanan itu sahaja. Sebagai contoh, minta mereka berpuasa daripada coklat kegemarannya selama waktu puasa yang penuh. Ketika iftar, anda boleh berikan mereka makanan kegemaran mereka itu sebagai satu bentuk ganjaran.
Ads
#3. Ajar mereka untuk bangun sahur, iftar dan tarawih bersama
Setiap pagi, kejutkan anak anda untuk bersahur bersama anda. Walaupun anda sendiri sudah tahu bahawa mereka tidak akan larat atau mahu untuk berpuasa, lakukan sahaja. Begitu juga dengan waktu iftar. Setiap aktiviti bersama-sama semasa ketika Ramadan termasuklah solat tarawih, libatkan anak anda. Ini akan membiasakan mereka dengan suasananya dan membuat mereka berasa lebih seronok lalu mendatangkan keinginan untuk berpuasa.
#4. Berikan ganjaran
Akhir sekali, berikan ganjaran kepada mereka jika mereka berjaya berpuasa tidak kira setengah hari ataupun tidak. Sekurang-kurangnya mereka sudah berusaha, bukan? Anda boleh tangguh ganjaran ini untuk diberikan apabila tiba hari raya kelak. Anda juga boleh jadikan ganjaran ini berbentuk wang ringgit sebagai ‘duit raya’. Untuk lebih menarik perhatian anak anda, jadikan jumlah ganjaran ini setimpal dengan hari mereka berjaya berpuasa.
“Along, adik duduk diam-diam!!” penat sungguh mama tengok anak-anak berlari ke sana-sini. Mama yang lemah lembut pun boleh bertukar menjadi harimau. Sabar dulu mama!
Usah marah bila anak lasak, sabar!
Patut bersyukur sebab anak lasak itu la tanda bahawa tumbesaran minda, sensori dan emosi anak sihat dan sedang pesat di naiktaraf.
Makin lasak, makin bijak la anak.
Jika anak tak lasak, hah! masa tu kita patut marah.
1 – Bila anak anak tak aktif, tak melompat, tak berguling, asyik duduk je mengadap gadget itu bahaya. 5 sensori penting seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa boleh tumpul dan terbantut perkembangannya.
2 – Anak cuma ada masa 6 tahun sahaja dari 0 – 6 tahun untuk membentuk 90 peratus dari keseluruhan otak mereka. Tak aktif masa ni maka makin kecil dan makin lemah prestasi otak mereka berbanding anak anak yang lasak dan gasak selama 6 tahun pertama ni.
3 – Otak emosi ( amygdala ) adalah otak pertama yang anak anak ada. Mereka belum boleh berfikir secara rasional lagi, sebab itu mereka tidak boleh di marah dan di hukum bila buat salah. Sebaliknya kita yang dah matang fikiran ni yang kena banyak bersabar dan tunggu sehingga otak fikir ( cortex ) mereka mula aktif pada umur 7 tahun ke atas baru boleh marah dan hukum.
4 – Lasak dan gasak tu fitrah kanak kanak. Mereka tak belajar dari dengar nasihat dan arahan, mereka belajar dengan teroka dan alami sendiri rangsangan dari tubuh mereka. Tubuh adalah alat belajar utama mereka.
5 – Kita patut marah pada diri sendiri jika kita letak mindset bahawa anak yang “baik” akan selalu dengar kata dan senang duduk diam. Sebaliknya itu tanda ada gejala 3F ( Fight, Flight, Freeze ) yang sedang berlaku dalam otak mereka.
Kelasakan dan keganasan anak anak tu bukan malapetaka tapi itu adalah mukjizat besar dalam kehidupan mereka.
Ini kerana kelasakan dan keganasan itu la yang akan bantu anak kita menguatkan otot, mendewasakan tubuh dan mematangkan fikiran mereka menjadi anak yang lebih sihat fizikal dan mental.
Masalahnya ialah kita mampu ke tidak nak melayan kelasakan anak anak ni. Tenaga mereka ni, bukan kaleng kaleng, banyak ya amat tenaga, tak geti penat, gunung pun boleh terbalik kalau dapat kat diorang.
Nak tak nak, kita kena la bersenam, mula jaga pemakanan dan tambah stamina dari sekarang. Bila kita tak cepat letih, maka tak ada la kita cepat nak marah marah nanti.
Sabar perlukan kekuatan!
Wallahu A’lam,
Followers Pa&Ma yang nak dapatkan barangan bayi dengan harga murah, dapatkan di SINI.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Apakah hukum ibu bapa yang menggunakan duit simpanan anak-anak tetapi menggantikan semula duit tersebut? Boleh S.S Dato Mufti terangkan sedikit mengenai perkara ini. Terima kasih
JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.
Dalam kehidupan harian yang kian mencabar, sering kali terjadi perbelanjaan keperluan harian melebihi daripada pendapatan isi rumah. Ini mendorong kepada masyarakat untuk mencari alternatif dan menjadi lebih kreatif demi kehidupan yang lebih baik. Di antara soalan yang sering diajukan kepada kami adalah berkenaan dengan penggunaan harta anak-anak seperti wang simpanan mereka oleh ibu bapa untuk memenuhi keperluan harian. Di sini kami kongsikan pandangan dan perbahasan ringkas para ulama’ bagi menjawab persoalan ini.
Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)
Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini”
Riwayat at-Tirmizi (2159)
Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya
Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
Lihat al-Mughni (6/62)
Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu”
Riwayat Ibn Majah (2291)
Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti ad-Daruqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya” Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)
Al-Hafiz as-Suyuti Rahimahullah telah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid[1] daripada hadith riwayat ‘Aisyah RA” Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah (3/37)
Ulama’ juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ” ataupun tidak.
Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut. Telah berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: “Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadith yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أنت ومالك لأبيك), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil” Lihat al-Mughni (5/397).
Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadith tersebut. Mereka bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir RA:
Maksudnya: “Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua” Lihat al-Muhalla (6/385)
Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atho’ bin Abi Rabah dan az-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. Lihat al-Mudawwanah (2/264)
Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa pendapat jumhur (majoriti) ulama’, iaitu ayah tidak boleh mengambil harta anaknya dengan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan jika dalam keadaan yang memerlukannya sahaja adalah lebih tepat dari segi penghujahan dan objektif syara’. Hukum ini juga terpakai untuk ibu kepada anak tersebut. Mengenai hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), para ulama’ menjawabnya dengan dua jawapan:
Huruf lam pada perkataaan (لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan penuh, tetapi ia membawa makna keharusan mengggunakannya.
Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: “Huruf lam pada hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan mutlak, sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut” Lihat I’lam al-Muwaqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (1/116)
Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. Bukan hanya ayahnya sahaja yang mewarisi harta tersebut. Jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh seorang ayah, maka waris lain tidak memiliki hak untuk mewarisi hartanya.
Imam asy-Syafie Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain” Lihat ar-Risalah (hlm. 468)
Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka wajib ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
Bukan sekadar bersembang kosong, berinteraksi dengan anak adalah salah satu cara paling efisyen dan membuatkan anak lagi cepat bercakap.
Disebabkan itulah pentingnya penglibatan ibubapa dan orang dewasa dalam merangsang bahasa dan komunikasi kanak-kanak. Puan Aisyah Kassim, yang merupakan Patologis Pertuturan-Bahasa berkongsi tip untuk ibu bapa membantu anak-anak yang lambat bercakap.
Berikut beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibubapa untuk merangsang perkembangan bahasa dan komunikasi mereka.
Bertentang mata dan main bersama
Kanak-kanak belajar melalui aktiviti bermain. Akan tetapi mereka memerlukan teman bermain untuk mereka mempelajari bahasa dan komunikasi. Siapa lagi orang yang paling sesuai untuk menjadi teman mereka selain ibubapa dan adik beradik yang lain. Kedudukan yang terbaik untuk berkomunikasi bertentang mata. Ini memudahkan kanak-kanak melihat dan memahami maksud perkataan yang cuba disampaikan oleh orang dewasa. Tambah pula, ianya lebih menarik minat anak untuk memberi perhatian pada apa yang anda cakapkan dan sekaligus akan lebih mudah untuk kanak-kanak belajar.
Galakkan giliran
Samada sedar ataupun tidak, kita bercakap dan berkomunikasi dalam bentuk giliran, iaitu seorang bercakap, seorang mendengar, seorang bertanya, seorang menjawab, seorang memberi arahan, seorang lagi melakukan arahan. Oleh itu, untuk kanak-kanak bercakap dan berkomunikasi dengan baik, mereka perlu mempelajari kemahiran giliran. Pada awalnya kanak-kanak mempelajari giliran dalam bermain dan seterusnya mereka menggunakan kemahiran tersebut untuk berbual pula.
Contoh permainan yang menggalakkan giliran adalah seperti bermain “peek a boo”, bergilir memasang lego, bergilir-gilir mengetuk gendang dan banyak lagi. Asasnya di sini adalah kanak-kanak perlu faham bahawa mereka perlu menunggu, melihat dan memberi respon yang bersesuaian dengan reaksi orang lain.
Gunakan isyarat tangan (gesture)
Bagi kanak-kanak, kesemua bahasa adalah asing bagi mereka. Sebarang isyarat akan membantu mereka memahami bahasa dengan lebih baik. Bayangkan sekiranya seseorang menyebut “besar” tanpa isyarat tangan dan sebutan “besar” dengan isyarat tangan. Sudah semestinya dengan isyarat akan membolehkan kita faham perkataan tersebut dengan lebih baik.
Samalah juga apabila kanak-kanak ingin mempelajari bahasa. Kita boleh membantu mereka untuk memahami perkataan dengan menambahkan isyarat tangan kepada perkataan-perkataan untuk menggambarkan maksud perkataan tersebut dengan lebih baik.
Haluan dan minat anak
Cara yang efektif untuk kanak-kanak mempelajari bahasa dengan baik adalah kita mengikut haluan dan minat mereka. Caranya adalah dengan memerhatikan minat anak, mendengar apa yang disebut atau dihasilkannya sambil menunggu apa yang ingin disampaikan oleh anak. Kemudian barulah kita cuba memberikan respon bagi menarik minat mereka untuk berinteraksi dengan kita.
Ceritakan perasaan & pengalaman
Persekitaran, perasaan dan pengalaman yang dilalui oleh anak boleh ditukarkan ke dalam bentuk perkataan untuk mereka sebut dan gunakan dalam kehidupan harian. Ibubapa boleh menceritakan apa yang dilihat, dipegang atau dirasai oleh kanak-kanak untuk memberikan input bahasa yang bersesuaian. Sebagai contoh kanak-kanak bermain bola dan terjatuh.
Anda boleh menceritakan aksi yang dilakukan oleh kanak-kanak seperti ‘baling bola’ ‘tangkap bola’, ‘bola jatuh’, ‘sakit’ dan lain-lain perkataan yang bersesuaian pada situasi tersebut. Pembelajaran secara langsung dari pengalaman adalah lebih berkesan berbanding pembelajaran dengan hanya melihat gambar atau mendengar perkataan sahaja.
Pelbagaikan perkataan & ayat
Mengikut kajian yang dilakukan oleh Rowe (2012), kanak-kanak 1-2 tahun perlu didedahkan dengan kuantiti perkataan yang banyak untuk membolehkan mereka mempelajari perkataan yang lebih kompleks apabila mencecah usia 3 tahun. Terdapat pelbagai jenis perkataan yang kita gunakan seperti kata nama (nama orang, objek dan tempat), kata kerja (perbuatan), kata sifat (saiz, warna, suhu, bentuk), kedudukan, perasaan dan macam-macam lagi. Ini penting bagi membolehkan kanak-kanak menyambungkan ayat mereka sendiri.
Panjangkan ujaran anak
Kanak-kanak pada usia 1 tahun biasanya bercakap menggunakan perkataan tunggal. Apabila mereka mencecah usia 2 tahun, mereka akan mula menyambungkan ayat 2 perkataan dan seterusnya 3 perkataan pada usia 2 tahun 6 bulan. Apabila berusia 3 tahun, kanak-kanak sudah boleh menggabungkan 4 dan lebih perkataan dalam ayat.
Bagi kanak-kanak yang lambat bercakap, mereka biasanya sukar untuk menyambungkan ayat. Oleh itu adalah penting untuk kita membantu mereka dengan memberi contoh dan model bagaimana untuk menyambung ayat. Cara yang mudah adalah dengan memanjangkan bunyi atau perkataan yang disebutkan oleh anak. Sebagai contoh:
Anak : Miau.. Ibu : Miauu .. kucing
Anak : kucing Ibu : Aah, kucing comel
Kuncinya di sini adalah ibubapa menambahkan perkataan pada apa yang disebutkan oleh anak untuk menjadikannya lebih panjang. Tapi ingat, ibubapa tidak perlu memaksa anak untuk menyebutkan semula ayat anda sebutkan. Cukuplah dengan anda menyebut dan mengulang untuk mereka dengar dan faham.
Sentiasalah mengulangi satu-satu perkataan itu bagi membantu kanak-kanak mengingati perkataan yang mereka pelajari. Gunakan perkataan yang diajar secara berulang-ulang dalam situasi yang berbeza untuk membolehkan kanak-kanak membuat generalisasi dan menggunakan perkataan tersebut dengan betul dan bermakna.
Kanak-kanak bercakap dan berkomunikasi adalah dengan niat, kehendak dan keperluan yang pelbagai. Dalam mengajar kanak-kanak bercakap dan berkomunikasi, ketersediaan peluang bagi mereka untuk belajar dan mempraktikkan apa yang mereka pelajari adalah penting kerana pembelajaran tanpa praktikal yang berulang-ulang akan membuatkan maklumat tersebut hilang fungsinya dan lama-kelamaan akan hilang dan dilupakan oleh kanak-kanak.
Kegembiraan sebuah keluarga yang meluangkan masa di taman tema air bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kejadian pada Ahad lalu.