Masa kecil, anak-anak memang sentiasa ‘melekat’ dengan kita, kan? Mama jadi pusat dunia diorang semua nak buat sama-sama, nak peluk, nak dekat, sampai kadang mak tak ada ruang nak bergerak.
Tapi bila anak dah mula bersekolah, tiba-tiba perasan hubungan makin renggang. Aktiviti banyak dengan ayah, tugasan sekolah pun ayah yang teman. Rasa seronok juga sebab ada sikit masa untuk diri sendiri, tapi dalam diam, terasa juga hati bila sedar kita bukan lagi pilihan utama diorang.
Sebenarnya, ini semua adalah proses semula jadi dalam perkembangan anak. Ada fasa-fasa tertentu di mana keperluan dan fokus mereka berubah. Dari bonding erat dengan ibu masa kecil, hinggalah ke fasa remaja yang lebih cenderung kepada kawan-kawan. Mari kita faham lebih mendalam tentang peringkat-peringkat ini dan bagaimana peranan kita sebagai ibu bapa berubah mengikut usia mereka.
Ikuti perkongsian puan Wawa Shauqi mengenai fasa rapatnya seorang anak selepas memasuki sekolah rendah.
Lepas anak-anak mula masuk darjah 1, diorang banyak habiskan masa dengan ayahnya. Dah tak rapat dah dengan saya macam dulu.
Padahal, kalau ingat fasa berkepit dengan saya dulu, punyalah takut mak hilang. Tiga-tiga anak macam tu. Sampai mak nak ke bilik air pun jenuh.
Nak buat aktiviti, nak mintak tolong, nak tidur, nak makan, semua nak dengan mama.
Tapi bila mula bersekolah, slowly diorang banyak habis masa dengan ayah. Main bola dengan ayah. Buat kerja sekolah dengan ayah. Repair basikal dengan ayah. Tengok tv pun dengan ayah.
Lama-lama, saya mula rasa bebas sikit. Makin kurang tekanan. Tapi sedih juga. Sebab terasa kedudukan dah jatuh di tempat yang kedua.
Ads
Rupanya, anak-anak ni memang ada stage dia. ——‐—————————-
1.Fasa 0-7 Tahun: Hubungan Akrab dengan Ibu
Dalam tahun-tahun pertama anak, anak-anak memang perlukan ibu. ‘Bonding’ tu dah mula ada sejak anak dalam rahim.
Bila anak lahir, naluri kita sebagai mak bertambah kuat. Sampai anak nangis, kita kalut bangun nak angkat dan susukan.
Jangan matikan naluri tu. Sebab anak perlukan kewujudan kita untuk bina attachment yang sihat. Yang akan bantu perkembangan emosi dia. .
2. Fasa 7-12 Tahun: Ayah Sebagai Role Model
Lepas tu, bila dah masuk sekolah, anak mula pandang ayah sebagai contoh. Ayahlah hero.
Ads
Masa ni, ayah-ayah kena betul-betul main peranan. Kena banyak luang masa dan berkomunikasi dengan anak.
Anak akan belajar banyak tentang tanggungjawab dan disiplin bila buat aktiviti dengan ayah.
Ayah yang banyak terlibat dalam hidup anak pada tempoh ni, akan bantu anak develop keyakinan diri. .
3. Fasa 14 Tahun ke Atas Pengaruh Kawan dan Kehidupan Sosial
Bila dah remaja, anak-anak mula cari identiti diri. Kawan-kawan jadi pengaruh besar dalam hidup diorang.
Kalau mak ayah banyak terlibat dalam hidup anak pada 2 fasa sebelum ni, insya Allah mereka lebih terjaga.
Ads
Waktu inilah, didikan agama mak dan ayah terasa dicabar. Sebab anak dah start nak jadi satu level dengan kawan-kawan dia.
Tapi, kita mak ayah jangan letih menasihat dan membimbing. Belum masanya lagi untuk kita nak putus asa pada diorang.
Walaupun kawan-kawan lebih diorang utamakan, tapi insya Allah semua nilai yang kita tanam sejak kecil akan tetap jadi panduan mereka. .
Sampailah anak akan berhenti ‘menguji’ sabar kita pada umur 25 tahun. (Mudah-mudahan)
Kenapa 25 tahun? Dalam bidang neurosains, sekitar umur 25 tahun inilah peringkat otak dah capai titik usia matang. Otak dah fully develop.
Waktu ni baru anak akan berhenti rebel dan mula nampak pengorbanan mak ayah dia dulu. Dah mula buat keputusan yang baik untuk future.
Apa yang penting, kita parents kena usaha sentiasa hadir dan terlibat dalam hidup anak. Walaupun ada waktu, kita rasa letih dan payah sampai banyak air mata tumpah.
Moga Allah izinkan kita terus kuat berjuang mendidik anak-anak.
Sumber: FB Wawa Shauqi
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hafaz 30 juzuk dalam tempoh 4 bulan, Ahmad Ziyyad mula hafal 42 surah sejak usia 2 tahun. Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Ahmad Ziyyad Mohd Zahir, mengukir pencapaian luar biasa dengan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam hanya empat bulan 10 hari.
Dalam suasana tenang di sebuah kediaman di Bukit Payung, Marang, Terengganu, lantunan ayat-ayat suci al-Quran kedengaran jelas tanpa gangguan televisyen atau gajet.
Ahmad Ziyyad, yang memiliki memori luar biasa serta minat mendalam terhadap al-Quran, menamatkan hafazannya pada 23 Mac lalu melalui program hafazan pantas (fast track) yang ditawarkan oleh Akademi Al-Quran Amalillah, sebuah pusat tahfiz di Terengganu yang menyediakan program intensif khas bagi pelajar berpotensi tinggi.
Ibunya, Nurul Shahida Lukman, 35, berkongsi bahawa anak sulungnya itu telah menunjukkan kecenderungan terhadap al-Quran sejak bayi lagi. Pada usia dua tahun lapan bulan, Ahmad Ziyyad sudah mampu menghafal sebanyak 42 surah, termasuk surah panjang seperti al-Baqarah dan al-A’raf, hanya dengan mendengar bacaan.
Menurut beliau, sejak kecil lagi Ahmad Ziyyad menunjukkan reaksi sensitif terhadap bacaan al-Quran. “Saya selalu mendodoikannya dengan al-Quran. Jika saya berhenti membaca pada ayat tertentu, dia akan menangis dan hanya tenang bila saya mula semula dari awal surah,” katanya kepada Bernama.
Disebabkan minat yang luar biasa itu, Nurul Shahida dan suaminya, Mohd Zahir Mohammad Noor Sabri, 38, mengambil keputusan untuk berpindah dari Kota Bharu ke Marang bagi membolehkan anak mereka menghadiri kelas hafazan di akademi tersebut setiap hari. Sebelum ini, Ahmad Ziyyad bersekolah di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Fateh di Kota Bharu, tetapi masa yang terhad menyukarkan hafazan al-Quran dijalankan secara konsisten.
Keluarga ini kemudiannya menemukan Akademi Al-Quran Amalillah pada tahun 2024. Walaupun akademi itu hanya menerima pelajar berumur antara 10 hingga 15 tahun, Ahmad Ziyyad diterima masuk ketika baru berusia sembilan tahun berkat keupayaannya menghafal beberapa potong ayat dalam masa 10 minit – satu pencapaian luar biasa yang tidak dimiliki kebanyakan pelajar lain.
Nurul Shahida juga menjelaskan bahawa anaknya mempunyai keistimewaan iaitu hyperlexia dan hypernumeric, yang membolehkannya mengenal huruf dan nombor pada usia lebih awal dari biasa – ciri yang sering dikaitkan dengan spektrum autisme. “Dia tahu surah, ayat dan muka surat setiap kali membaca al-Quran. Dia suka mendalami nama-nama Allah dan mampu menjawab jika ditanya. Mungkin kerana semuanya berkait dengan nombor, yang memang menjadi minatnya,” jelas beliau.
Walaupun kadang-kala emosinya tidak stabil dan mudah menangis, Ahmad Ziyyad tetap menunjukkan semangat yang tinggi dalam meneruskan hafazan selepas episod sebegitu. Kini setelah bergelar hafiz, beliau kembali ke SRITI Al-Fateh untuk menyambung persekolahan hingga ke darjah enam sebelum memasuki fasa syahadah – peringkat pengesahan hafazan di hadapan panel.
Apa yang lebih menggembirakan ibunya ialah perubahan positif dalam sikap dan peribadi Ahmad Ziyyad. “Dia kini solat di awal waktu tanpa disuruh, rajin melakukan amalan sunat seperti tahajud, dan semakin matang. Perangai autistiknya juga lebih terkawal dan dia jadi teladan baik buat adik-adiknya,” ujar Nurul Shahida.
Guru hafazannya, Nurfatihar Riduan, turut mengakui kehebatan Ahmad Ziyyad yang mampu menghafal satu muka surat al-Quran dalam masa 15 hingga 30 minit, bergantung pada kesukaran ayat. Beliau menyatakan, “Ada hari dia boleh tasmi’ satu juzuk sehari, dan ulangkaji pula sampai dua hingga empat juzuk. Fokus dan disiplin Ahmad Ziyyad sangat tinggi.”
Guru itu turut memuji komitmen ibu bapa Ahmad Ziyyad yang sanggup berpindah negeri demi menyokong impian anak mereka menjadi hafiz, satu pengorbanan yang akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.
Waktu bayi, anak akan menangis bila ada sesuatu yang dia inginkan. Boleh jadi lampinnya basah dan dia mahu ia ditukar. Mungkin juga bayi menangis kerana perutnya berkeroncong minta diisi susu atau makanan. Menangis kerana rasa insecure juga boleh jadi ketika mereka masih bayi.
Namun, semakin anak membesar mereka sudah tidak menggunakan tangisan untuk menyatakan perasaan. Anak sudah boleh bercakap, jadi biasanya mereka akan beritahu apa yang mereka mahu. Tak perlu menangis lagi dah!
Ada beberapa situasi anak yang dah besar ni akan menangis. Salah satunya untuk memanipulasi ibu ayah ketika mahukan sesuatu yang mungkin kita takkan berikan pada mereka.
Penjelasan dari En. Mohd Fhais Salim ini mungkin dapat memberi sedikit input kepada kita. Menurutnya, jika teknik manipulasi dengan tangisan ini berjaya ia mungkin akan memudaratkan.
Ikuti penjelasan lanjut dari beliau;
Biarkan Dia Menangis!
Pada mulanya bayi menangis sebab itu cara dia komunikasi dengan kita. Dia nangis sebab nak bagitahu kita dia lapar, haus, sakit, ngantuk dan nak dukung. Itu normal.
Ini juga satu benchmark yang kemahiran bercakap seawal usia 2 tahun tu penting. Supaya dia boleh berkomunikasi dengan cara yang lebih sihat selain menangis. Semakin dia membesar, menangis bukan lagi cara untuk komunikasi sebaliknya dia dah jadikan menangis sebagai teknik manipulasi.
Selalunya nak mainan, nak gajet, nak ais krim dan apa sahaja yang dia berkenan, dia akan guna teknik manipulasi ni. Ini bahaya!
Sekali kita turutkan memberi apa anak nak “selepas” dia menangis berkali kali anak akan ingat paten kelemahan kita. Hah, sedialah anak akan buat paten yang sama berulang-ulang kali sampai kita naik jelak. Sebab tu la kalau anak cuba buat teknik manipulasi dengan menangis, biarkan je dia menangis! Serius! Biar dia menangis.
Asalkan tak ada mudarat, bebas dari bahaya, walau mata sembab sekalipun biarkan. Sembab senang hilang tapi sikap besar kepala susah giler nak hilangkan, huh! Kena tegas sikit, kalau dah kata No means No. Jangan bolak balik dalam mengajar tentang displin & adab pada anak anak ye. Lagipun itu sahaja cara untuk ajar anak tentang “Frustration Tolerance”, lama kelamaan nanti anak faham bahawa menangis bukan cara untuk mendapatkan apa yang dia mahu.
Frustration tolerance ni la yang banyak beri manfaat pada kemahiran kemahiran lain seperti :
– Self control
– Urus diri
– Berunding
– Tolak ansur
– Disiplin
– Minta izin
– Minta tolong
– Hormat orang
Dan banyak lagi kemahiran penting penting. Jadi ibu ayah semua, jangan cepat kecut perut bila nampak anak menangis ya. Cool, anak sedang test kita ni tegas atau lemah. Tu je!
Perut pedih masa puasa bukan perkara asing bagi ramai ibu. Sama ada ibu bekerja yang berkejar dari ofis ke dapur, atau suri rumah yang tak pernah “clock out” jaga anak ramai dari pagi sampai malam bulan puasa memang uji fizikal dan emosi.
Sahur siapkan, anak bangun kejut, lepas tu sambung kerja, urus rumah, siapkan baju raya pula. Dalam sibuk-sibuk tu, ada satu benda yang mak-mak selalu diamkan perut mula pedih, ulu hati rasa berangin, kadang sampai rasa nak pitam menjelang petang.
Kita selalu dengar orang kata puasa bagus untuk kesihatan. Betul. Tapi bila pola makan berubah mendadak sahur terlalu awal, skip makan tengah hari, minum kopi kosong waktu sahur sebab nak “celik mata” perut kita boleh ‘memberontak’. Rasa pedih di ulu hati yang orang selalu panggil gastrik tu sebenarnya berpunca daripada perubahan rutin makan dan penghasilan asid dalam perut.
Dan walaupun disebut “pedih ulu hati”, ia langsung tak ada kaitan dengan organ hati kita. Ia lebih kepada masalah dalam perut especially bila asid terkumpul tanpa makanan yang cukup untuk neutralize.
Jadi kalau setiap kali puasa, mak-mak rasa perut mula buat perangai… jangan anggap normal. Perut pedih masa puasa boleh jadi tanda awal gastrik yang makin serius kalau dibiarkan berulang setiap tahun.
Jadi masalah yang mungkin timbul adalah:
GERD berlaku apabila asid yang berada di dalam perut naik ke permukaan dalam esofagus, menyebabkan keradangan pada permukaan ini.
Ia bukan disebabkan kita tidak makan, tetapi disebabkan oleh lingkaran otot pada bagian bawah esofagus, (ia dikenali sebagai Lower Esophageal Sphinchter) tdak berfungsi dengan baik. Ia disebabkan oleh terlalu banyak asid dalam perut (terutama apabila kita makan makanan yang pedas, dan bergula) melimpah naik ke atas memasuki esofagus. Apatah lagi jika kita berbaring dan tidur selepas berbuka atau bersahur, disebabkan lebih mudah untuk asid dalam perut masuk ke esofagus.
Selain itu disebabkan oleh stress, masalah kerunsingan (anxiety disorder), kehamilan, dan obesiti.
Ini menyebabkan pesakit rasa panas dan pedih di bahagian ulu hati sehingga ke bahagian bawah dada. Oleh itu ia dikenali sebagai “heart burn”
Masalah gastritis adalah penyakit yang berkaitan dengan keradangan pada permukaan perut. Ia disebabkan oleh kepekatan asid yang tinggi dalam perut yang menyebabkan asid ini menghakis sel-sel pada lapisan perut.
Biasanya ia disebabkan cara pemakanan kita. Kita suka makan makanan yang pedas, makanan berproses banyak perasa, pewarna dan perasa yang menyebabkan asid dalam bertambah pekat.
Berpuasa tidak menyebabkan masalah ini. Ia mungkin berlaku di permulaan puasa. Tetapi apabila tubuh kita mengenalkan bahawa tiada makanan yang harus dicernakan di dalam perut, maka asid tidak akan dikeluarkan. Itu sebabnya rasa tidak selesa pada perut di minggu pertama puasa sahaja. Masuk minggu ke dua dan keempat, kita tiada masalah untuk berpuasa.
Jika kita masih mengalami masalah ini selepas minggu pertama, cuba semak semula pemakanan kita semasa berbuka dan bersahur. Ini sebenarnya punca pengeluaran asid yang lebih pekat.
Masalah perut yang lebih serius adalah luka pada perut, sama ada betul-betul di dalam perut (gastric ulcer) atau luka pada saluaran usus kecil bersebelahan perut (duodenal ulcer). Rasa pedih perut begini selalunya tidak berkurangan apabila diberikan ubat merawat gastritis yang biasa didapati dari farmasi.
Saya mencadangkan agar jika telah mengambil ubat ini selama seminggu tetapi tidak sembuh dan belum mendapat kelegaan, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan. Pemeriksaan skop (Oesohageal-Gastrtro-Duodenal Scope) akan mengesahkan masalah ini.
Punca utama masalah ini adalah disebabkan oleh jangkitanbakteri Helicobacter Pylori dan pengambilan ubat-ubatan penahan sakit seperti Ibuprofen, Diclofenac dan Aspirin. Luka pada perut boleh menyebabkan pendarahan, dan pesakit boleh muntah darah dan membuang najis yang bercampur darah.
Selain masalah yang berkaitan dengan organ perut, ada beberapa masalah lain yang berkaitan di kawasan ‘ulu hati’ tetapi disebabkan oleh masalah organ yang lain.
Radang pankreas (atau diebut Pankreatitis) juga boleh menyebabkan rasa sakit ulu hati, dan mungkin kita menjangkakan ianya adalah masalah gastritis atau gastic ulcer.
Keradangan pada pankreas ini, sama ada acute pancreatitis dan chronic pancreatitis menyebabkan rasa sakit di bahagian ulu hati sehingga terasa menjalar ke belakang tubuh.
5. Hepatitis
Keradangan organ hati atau hepatitis juga menyebabkan rasa sakit di ulu hati. Selalunya ia menyebabkan rasa sakit sebelah kanan bahagian atas abdomen. Ia akan bertambah sakit apabila kita menarik nafas dalam.
Hepatitis selalunya disebabkan oleh jangkitan virus. Selain rasa sakit bahagian ulu hati, ia boleh menyebabkan rasa demam, terlalu letih dan bahagian mata putih bertukar menjadi kekuningan.
Pundi hempedu adalah pundi berukuran kecil terletak di bahagian bawah hati (liver). Ia menyimpan cecair hempedu, iaitu cecair yang membantu mencerna lemak.
Namun ada kalanya pundi hempedu ini mengalami keradangan akibat jangkitan kuman atau mengandungi banyak batu di dalamnya. Ia menyebabkan rasa sakit pada ulu hati, rasa loya, muntah, demam, dan perubahan warna pada najis.
Jadi bagi mereka yang mengalami masalah rasa sakit ulu hati, telah mendapat rawatan doktor atau mengambil ubatan di farmasi tetapi masih tidak sembuh dalam masa seminggu, datang berjumpa doktor yang merawat semula. Buat pemeriksaan yang lengkap kerana berkemungkinan masalah rasa sakit ulu hati, adalah masalah yang lebih serius.
Seperti saya beritahu, berpuasa bukanlah punca utama masalah rasa sakit ulu hati. Secara amnya rasa sakit ulu hati hati ketika berpuasa mungkin dialami oleh beberapa individu, tetapi selalunya akan berkurangan setelah kita memasuki minggu kedua, ketiga dan keempat berpuasa.
Jika masalah berterusan, buatlah pemeriksaan lengkap. janganlah kita beranggapan ia hanya masalah ‘gastik” saja seperti mana yang selalu kita faham. Ia mungkin masalah yang lebih serius.
Bagi mereka yang mengalami masalah rasa sakit di bahagian ulu hati, saya mencadangkan periksa pola pemakanan kita.
1. Hindari Makanan Pedas, Masam dan Berlemak ketika sahur dan berbuka. Bukan tidak boleh langsung, tetapi berpada-pada (makan dalam kuantiti yang sederhana).
2. Hindari Makanan Karbohidrat Ringkas. Pada waktu sahur dan berbuka, eloklah mengambil makanan yang kaya dengan serat seperti kurma, sayur-sayuran dan buah-buahan. Elakkan makanan yang mengandungi banyak karbohidrat ringkas dan makanan berproses, seperti nasi putih. Boleh tukarkan kepada beras rebus dan beras perang.
3. Minum air secukupya selepas makan, tetapi jangan terlalu banyak. Minum air secukupnya dapat mengurangkan kepekatan asid yang berlebihan. Jika diambil terlalu banyak, boleh menyebabkan masalah penghadaman kerana asid menjadi terlalu cair. Elakkan juga minuman yang terlalu manis (bergula) atau bergas.
4. Jangan Makan Terlalu Kenyang. Apabila makan dalam jumlah banyak, perut akan terpaksa bekerja keras dalam jangka masa yang lebih lama untuk menghadamkan makanan yang diambil. Ini merangsangkan pengeluaran asid yang lebih banyak ke dalam perut. Makan dengan jumlah yang banyak, juga menyebabkan kita menjadi letih dan mengantuk.
5. Hindari Rokok dan Alkohol. Rasa pedih ulu hati boleh disebabkan dari aktiviti merokok dan pengambilan minuman yang berlakohol (sama ada dalah kuantiti yang tinggi atau rendah). Hentikan tabiaat merokok sepanjang Ramadan. Insya Allah akan mudah menghentikannya di luar Ramadan.
6. Menurunkan Berat Badan. Menurunkan berat badan sehingga berat badan yang sepatutnya dapat mengurangkan masalah rasa sakit ulu hati terutamanya masalah GERD. Ini kerana apabila terlalu banyak lemak (terutama lemak vesceral) dalam abdomen, secara tidak langsung memudahkan asid masuk ke dalam esofagus.
7. Mengamalkan minyak zaitun ketika perut kosong sebaik selepas bangun pagi untuk bersahur atau ketika bersahur. Minyak zaitun adalah minyak sihat yang melindungi dan merawat luka dan keradangan pada permukaan dalam perut.
8. Ambil ubat Untuk Meredakan Sakit Ulu Hati. Ubat yang selalu diberikan oleh doktor adalah ubat seperti:
1. Antasid: Berfungsi untuk meneutralkan asid dalam perut.
2. Antagonis Reseptor H-2 (H2RAs): Berfungsi menurunkan kepekatan dan kauntiti asid dalam perut.
3. Penghalang Pump Proton(PPI): berfungsi seperti H2RAs untuk menurunkan kepekatan dan kuantiti asid dalam perut.
Namun begitu jika masih berasa sakit selepas seminggu, saya mencadangkan kembali berjumpa doktor yang bertugas agar pemeriksaan yang lebih lengkap dapat dijalankan.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!