Tingkah laku anak tak reti duduk diam kadang kala diangap satu masalah bagi sesetengah ibu bapa. Hakikatnya anak berusia bawah enam tahun memang normal tak boleh duduk diam.
“Kenapa ada budak yang elok je duduk diam? Tapi anak saya tidak?” Mungkin ramai ibu ayah tertanya-tanya tentang hal ini.
Sebenarnya anak yang tak reti duduk diam itu sedang belajar banyak perkara tentang dunia sekelilingnya. Terlalu banyak benda menarik yang hendak diteroka menyebabkan mereka teruja.
Asalkan sikap tak reti duduk diam anak anda tidak membahayakan dirinya dan boleh dikawal maka biarkan sahaja dia bermain dalam dunia “thempark” nya.
Penjelasan oleh Puan Maryam Jamadi, Occupational Therapist terkenal ini diharap membantu ibu ayah lebih memahami perkembangan si kecil.
JANGAN HALANG ANAK MAIN DI “THEMEPARK” MEREKA
“Puan, anak saya tak reti duduk diam. Macam mana ya nak atasinya?”
Soalan diatas adalah soalan paling popular ditanya setiap kali Kelas Merangsang Perkembangan Anak 1-3 Tahun di Beyond Home Therapy.
Macam biasa, kalau ada soalan atau kes baru, saya akan tanya dan tanya dan tanya untuk mengetahui punca sebenar supaya dapat bantu mana yang patut.
Cerita peserta minggu lepas:
Ads
Anak nak masuk umur 3 tahun, mula bercakap (perkataan pertama) semasa pada umur 2 tahun. Kini masih ada lagi masalah lewat bercakap kerana masih belum boleh menggabungkan ayat dan kosakata belum banyak.
Tinggal dengan neneknya semasa ibu bekerja, sehari purata 6 jam dengan gadget (ada tab khas untuk anak) + TV terpasang setiap masa sebab anaknya sangat aktif dan susah dikawal. Hanya akan diam dengan gadget.
Yang saya kagum, ibu ini ada bawa anak ke taman dan setiap hari naik turun tangga 5 tingkat. Sudah dinasihat kepada neneknya untuk tidak memberi gadget lagi tetapi keadaan masih sama sehingga sekarang. Masih lagi purata 6 jam sehari dengan gadget. (Yang ini tak nak komen apa-apa, sebab tak berada di tempat sebenar).
Berdasarkan pengalaman saya, buatlah dan pergilah terapi dengan kerap tetapi jika di rumah sendiri atau di rumah penjaga masih lagi dalam persekitaran sama selalunya proses perkembangan anak tetap akan sama. (Melainkan ada isu-isu lain).
Masa ke taman itu masih tak dapat menggantikan masa 6 jam sehari anak duduk setempat dengan gadget. Waktu siang yang sepatutnya anak berlari dan bermain terbazir begitu sahaja di depan gadget menyebabkan waktu lain anak jadi makin tidak terkawal seperti waktu makan, waktu di kenduri, di kereta dan sebagainya.
Jadilah isu “anak tak reti duduk diam”. Kita “bagi” dia duduk diam di bukan waktunya, dia jadi tak duduk diam pada waktu yang tidak sepatutnya.
Jadi, cadangan pertama untuk mana-mana mak ayah yang mengalami masalah yang sama. Sila buang gadget dan biarkan anak tak duduk diam dalam masa seminggu, kalau mana yang ada gadget sendiri dan ada masalah ketagihan gadget sila selesaikan masalah ini.
Ads
ANAK NAMPAK DUNIA TAK SAMA MACAM MAK AYAH NAMPAK
Si kecil nampak dunia sekelilingnya sangat menyeronokkan
Penjagaan anak umur 3 tahun bukan seperti anak 0-12 bulan. Kalau dapat usahakan hantar ke taska atau playschool untuk bermain. Seterusnya, disarankan buat pemeriksaan awal doktor sekiranya ada isu lain seperti ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) supaya intervensi awal dapat dilakukan.
Anak…. Semakin kita minta dia duduk diam sebelum waktunya semakin dia tak reti duduk diam. Dunia ini umpama “themepark” bagi anak, selagi tak puas dan tak main semua jenis permainan selagi itu tak nak duduk diam.
Bagi mereka,
Main air dalam tandas pun dah macam pergi “waterpark”, nak main selagi tak puas tak nak keluar tandas. Main gelongsor umpama main roller coaster. Sepahkan almari baju umpama shopping make-up free di Sephora. Bongkar peti ais umpama pergi kedai emas free.
Dunia persekitaran mereka terlampau kecil menyebabkan nilai semua benda nampak besar berbanding dengan kita mak ayah yang dah tahu betapa besar dunia ini sehinggakan benda kecil pun kita tak perasan.
Semakin kita membesar, semakin kita kurang rasa nilai keseronokan benda sekeliling kita. Kalau dulu dapat satu set mainan masak-masak pun dah happy sangat, sekarang kalau dapat satu set peralatan masak pun tak dapat tandingi keseronokan dahulu.
Ads
Jangan sekat kemahuan mereka untuk explore “Themepark” mereka selagi selamat dan terkawal (dan selagi rajin nak mengemas ).
Selagi mereka tak puas, selagi itu mereka tak reti duduk diam dan bertenang apabila disuruh.
Sampai satu masa mereka dah puas main di themepark-themepark di atas, insyaAllah akan berhenti dengan sendirinya dan boleh bekerjasama untuk mengemas semula. (Selalunya mainan-mainan biasa anak cepat bosan, benda yang tak boleh mainlah dia nak main. Kan?)
Sebab itu, fokus utama setiap kelas anjuran saya adalah nak semua mak ayah fahami fisiologi anak dan tahu kenapa dan kenapa anak macam ini atau macam itu supaya anak tak stress, mak ayah pun tak stress sebab faham.
Semakin kita faham anak, semakin kita tenang menghadapi cabaran parenting anak kecil.
Maryam Jamadi
Occupational Therapist Beyond Home Therapy
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap ibu bapa mahu anaknya membesar menjadi seorang yang genius atau bijak. Sebenarnya kebijaksanaan si kecil boleh dipupuk sejak kecil. Apa yang boleh anda buat untuk merangsang kebijaksanaan si kecil? Ketahui 7 cara mudah untuk diikuti.
Belajar muzik
Belajar bermain alat muzik merupakan cara yang berkesan untuk meningkatkan pembelajaran otak kanan dengan santai dan mudah. Menurut hasil kajian Universiti Toronto, Amerika Syarikat, pelajaran muzik dapat meningkatkan tahap kecerdasan dan prestasi si kecil di sekolah. Semakin lama anak anda belajar bermain muzik, semakin jelas hasilnya boleh dilihat. Oleh itu, dedahkan anak-anak dengan alat muzik atau lagu-lagu yang sesuai sejak kecil untuk kecerdasan otak.
Tingkatkan kesihatan
Beberapa kajian telah membuktikan bahawa tahap kesihatan anak yang tinggi dapat mempengaruhi pelajarannya di sekolah. Kanak-kanak yang sihat akan aktif di sekolah dan meningkatkan keyakinan diri, sentiasa bersemangat dan dapat memupuk sifat kepimpinan dalam diri anak-anak. Justeru, tingkatkan kesihatan anak dengan amalan gaya hidup yang sihat di samping memberikan makanan yang berkhasiat untuk si kecil.
Permainan video
Ramai yang beranggapan permainan video yang banyak didapati dalam gajet boleh memudaratkan si kecil. Namun, permainan video yang sesuai ada sisi baiknya. Yang penting anda bijak memilih permainan yang sesuai dengan usia anak. Asalkan ia boleh meningkatkan kreativiti, melatih cara berfikir dan menguji kebijaksanaan si kecil. Terdapat kajian mendapati anak kecil yang bermain permainan video lebih berkemampuan dalam menyelesaikan masalah dalam pelajaran di sekolah. Jadi, tidak salah untuk memberikan anak-anak bermain dengan gajet selagi anda memantau penggunaannya dan sentiasa kemas kini aplikasi yang ada.
Memupuk rasa ingin tahu
Berikan perhatian terhadap minat anak, mengenalkan dan mengajarkan perkara-perkara baru adalah cara untuk mendidik si kecil anda di rumah mahupun di luar rumah. Contohnya ajak membeli-belah bersama supaya mereka tahu cara penggunaan wang dan lain-lain. Semua ini merupakan cara yang baik sekali gus boleh diguna pakai untuk memupuk rasa ingin tahu anak-anak tentang kehidupan orang dewasa.
5. Membaca
Dalam dunia moden dengan peningkatan teknologi secara meluas, ramai yang mengabaikan pentingnya membaca. Membaca merupakan cara meningkatkan tahap kecerdasan otak seseorang yang paling berkesan. Membacakan anak-anak anda buku cerita yang menarik atau cerita dogeng kegemaran mereka, ajak ke perpustakaan pada hujung minggu atau ke kedai buku untuk menambah koleksi bacaan antara cara terbaik untuk memupuk minat membaca si kecil.
Sarapan pagi
Pastikan si kecil anda mengambil sarapan pagi mereka kerana seorang anak yang bersarapan akan memiliki ingatan yang lebih baik, dapat menumpukan perhatian di sekolah dan dapat belajar lebih cepat. Tidak perlu sarapan yang berat setiap hari, cukup sekadar segelas susu bersama sandwic atau bijirin sarapan yang dapat mengenyangkan. Itu sudah mencukupi bagi memulakan hari dengan penuh bersemangat.
7. Beriadah
Tutup televisyen dan ajaklah anak anda keluar untuk beriadah di taman atau bermain bola dan sebagainya. Galakkan mereka cara hidup yang sihat kerana badan yang sihat membuatkan otak si kecil anda cerdas.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Semua ibu ayah mesti sentiasa mendoakan agar anak-anak mempunyai daya ingatan yang kuat terutama yang sudah masuk ke sekolah. Daya fokus dan ingatan yang kuat membantu anak untuk mudah belajar.
Selain daripada mengamalkan makanan yang boleh menguatkan daya ingatan anak-anak seperti makan kismis, kurma, madu, ikan salmon, telur, kekacang, susu dan yogurt, kita sering disarankan supaya rajin merangsang otak anak.
Rangsangan otak anak melalui aktiviti tertentu juga mampu meningkatkan daya ingatan serta tumpuan anak. Antara aktiviti yang disarankan seperti menari, belajar seni mempertahankan diri, belajar bermain bola dan berenang. Ini kerana aktviti ini membantu untuk meningkatkan fungsi frontal lobe otak.
Frontal lobe bukan setakat kawal emosi, ia juga membantu mengawal pengurusan, membuat keputusan dan memori.
Selain daripada menjaga pemakanan dan melakukan aktiviti, ada amalan yang boleh dilakukan oleh ibu ayah untuk menguatkan daya ingatan anak seperti dikongsi oleh seorang ayah, Mahadi Abdullah dalam videonya.
Semoga dapatlah kita memanfaatkan perkongsian beliau yang diperolehi dari seorang ustaz di sebuah sekolah tahfiz di Senggarang, Batu Pahat Johor.
Menurutnya, dia ada bertanyakan kepada ustaz tersebut apakah amalan yang boleh kita lakukan sebagai ibu bapa untuk bagi anak kita kuat daya ingatan. Jadi inilah yang dikongsikan oleh ustaz tersebut.
Amalan ini elok diamalkan selepas waktu solat dan ajak anak-anak untuk buat sama-sama.
1. Angkat tapak tangan kanan
2. Sebut Ya Qowi yang bermaksud Yang Maha Kuat
3. Kalau boleh baca 11 kali
4. Selepas itu jangan lepaskan tangan dulu tapi berdoalah kepada Allah
“Ya Alllah Ya Tuhanku kuatkan daya ingatanku, kuatkan daya fokusku, kuatkan hafazanku supaya mudah hafal al-Quran, kuatkan daya ketahanan tubuh badanku, kuatkan iman dan takwaku.
5. Selepas itu usap muka dan sebut Amin…
Semoga ibu ayah semua dapat mengamalkan amalan ini dalam usaha membantu anak mempunyai daya ingatan yang kuat dan dipermudahkan belajar terutamanya menghafal al-Quran agar menjadi hamba Allah yang taat serta berjaya dunia akhirat.
Sumber: Brainiq Khalifah
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahukah anda yang pelukan seorang ayah mampu membuatkan anak membesar bijak dan berdikari? Pelukan bukan hanya mampu memberikan rasa selamat tetapi juga mampu memindahkan keberanian dan sikap berdikari pada anak anda.
Pelukan merupakan salah satu bentuk kasih sayang ibu bapa secara sentuhan fizikal pada anak yang sangat mudah dilakukan. Itulah sebabnya kenapa ibu ayah mesti menjadikan pelukan pada anak sebagai sebahagian dari rutin harian.
Hasil kajian yang ditulis dalam buku The Miracle of Hug menunjukkan bahawa pelukan antara ibu bapa dengan anak mampu meningkatkan kecerdasan otak, menrangsang hormon oksitosin yang dapat memberikan perasaan tenang kepada anak, serta dapat memberi kesan yang positif pada perkembangan anaknya.
Selain mampu membuatkan anak bijak dan berdikari, pelukan dari ayah juga membuatkan anak rasa dihargai dan disayangi.
Melihat kepada fakta tersebut boleh kita kaitkan dengan real subject yang ternyata mendapat kesan positif daripada limpahan kasih sayang dan pelukan seorang ayah. Siapa tak kenal dengan Lara Alana, si comel bijak, anak kepada selebriti terkenal Awal Ashaari dan Scha Alyahya.
Sebagai bapa, Awal memang rajin melayan kerenah puteri sulungnya sejak Lara bayi lagi sehingga kini. Macam-macam rangsangan dan aktiviti yang mereka buat bersama telah membuahkan hasil apabila si comel Lara membesar dengan bijak.
Paling seronok melihat telatah ayah dan anak ini yang gemar membuat rakaman video dengan hashtag #kisahlaradandaddy ketika mereka berbual tentang banyak hal sepanjang perjalanan ke sekolah Lara atau semasa mereka berdua menghabiskan masa bersama di rumah atau di mana sahaja.
Nyata sekali dengan menerima limpahan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dari daddynya serta pelukan sepanjang masa, Lara membesar sebagai anak yang berkeyakinan tinggi selain bijak dan pandai berdikari.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.