Pemakanan memainkan peranan yang penting untuk perkembangan janin dalam kandungan. Disebabkan itulah ibu hamil disarankan untuk mengambil makanan yang sihat dan segar sepanjang mengandung.
Menurut perkongsian Dr Mazliana Mazlan, elakkan sama sekali mengambil makanan segera dan makanan proses lain. Ini panduan pemakanan untuk ibu hamil.
Sedih bila tengok ibu mengandung makan Maggi di klinik. Apa ibu makan dan minum, ia sangat mempengaruhi anak dalam dalam kandungan. Bukan semata-mata genetik.
Usaha jaga imun anak, bukan bermula bila anak umur 6 bulan, tetapi sejak ibu mengandung lagi. Saya terpaksa tulis.
Eczema dan asthma, antara penyakit yang sangat menaik peratusannya di zaman moden berbanding zaman dahulu.
Sebagaimana modennya pemakanan kita zaman sekarang, begitu juga ia seiring dengan kemerosotan imuniti anak-anak kita semua.
Imuniti anak yang lahir, dipengaruhi sejak dari dalam kandungan ibu, dan seterusnya di usia pertama kelahiran anak. Usus ibu yang sihat, penting untuk imun anak yang kuat.
Kajian dibuat kepada 2000 orang ibu mengandung yang amalkan pengambilan prebiotik dan probiotik di akhir kehamilan, dapat mengurangkan risiko eczema pada anak yang dilahirkan. Menarik kan.
Ads
Saya share 7 tips diet ibu mengandung untuk kurangkan risiko alahan pada bayi. Korang boleh cuba.
1. Kembali pada hidangan fitrah/asal/tradisional/segar. Atau bahasa mudah real food.
2. Elakkan makanan minuman yang diproses. Apa sahaja dalam pek/plastik/kotak/tin, yang tarikh luput sehingga 2 atau 3 tahun, elakkan.
3. Elakkan aditif berlebihan. Pek makanan yang ada lebih dari 5 bahan ramuan dan tidak difahami, kita cancel.
4. Elakkan gula tambahan. Ini musuh dalam selimut untuk usus kita semua.
Ads
5. Ganti susu moden tinggi proses UHT, low fat dan sebagainya, kepada susu segar kambing, ini paling baik.
6. Ganti tepung gandum moden GMO tinggi sisa racun kepada tepung lebih baik, organik, gluten free, sourdough, tepung spelt (kurang kandungan gluten).
7. Seimbangkan pengambilan makanan lauk pauk, sayur dan buah-buahan. Semua tips ini, sebagai baja buat bakteria di tanah (usus ibu mengandung), untuk hasilkan tanaman (bayi) yang sihat, insyaAllah.
Ini dipanggil Maternal-Fetal Gut Microbiota Axis. Kaitan antara sihatnya pembiakan bakteria di usus ibu mengandung dengan imuniti anak yang bakal dilahirkan.
Ads
Makanan minuman yang ibu ambil, mungkin bukan punca utama alahan anak, tetapi sedikit sebanyak, ia juga menyumbang. Kita usaha sama-sama ya.
Pesanan ini untuk semua, termasuk diri saya sendiri, yang juga sebagai seorang ibu.
Untuk ibu yang masih struggle jaga makan minum anak eczema dan asthma, korang tak keseorangan tau. Teruskan usaha cari jalan penyembuhan buat anak. Allah nilai setiap letih dan penat korang.
Jika anda adalah seorang wanita yang sedang hamil, bagaimanakah posisi tidur ibu hamil yang anda amalkan? Anda tahu tak apa posisi tidur ketika hamil yang selamat?
Adakah anda dapat tidur yang cukup? Ada kajian mendapati sebenarnya… terdapat kesan tentang posisi tidur ketika hamil dan bayi! Apakah kesan yang dinyatakan tersebut?
Posisi tidur ibu hamil: Apa kepentingan tidur bagi wanita hamil?
Tidur sewaktu hamil adalah satu komponen penting bagi mengekalkan kesihatan ibu dan anak. Itu betapa pentingnya tidur bagi wanita hamil. Akan tetapi, banyak komplikasi yang sering dikaitkan dengan masalah kurang tidur sewaktu tempoh kehamilan seperti praeklampsia dan diabetes gestasi.
Walau bagaimanapun, kurang tidur sebenarnya sering menjadi masalah buat ibu hamil terutamanya ketika di trimester ketiga. Kajian yang dijalankan di China pada tahun 2017 mendapati 23.9% wanita daripada 2,345 subjek mengalami masalah sukar untuk tidur.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi kenapa wanita sukar tidur ketika hamil. Antaranya seperti:
Terlebih tidur: Bagus ke?
Jika ibu mengandung berisiko mendapat komplikasi akibat kurang tidur, adakah ini bermakna mereka perlu melelapkan diri sepanjang hari?Jawapannya, tidak. Kajian pada tahun 2013 menunjukkan mereka yang terlebih tidur (lebih 9 jam sehari) berisiko tinggi mendapat komplikasi kardiovaskular.
Rawatan bagi masalah sukar tidur penting untuk kesihatan bayi dan ibu pada paras yang optimum dalam jangka masa panjang.
Hubungan antara sukar tidur ketika hamil dan trimester kehamilan
Jika dilihat pada pola keletihan di kalangan wanita hamil, mereka seringkali mengalami kelesuan pada trimester pertama dan trimester ketiga. Trimester pertama kerana ia dikaitkan dengan perubahan hormon mendadak. Ini mengakibatkan terjadinya simptom kelesuan kesan loya, muntah dan hilang selera makan.
Bagaimana pula dengan trimester ketiga?
Semakin meningkat tempoh kehamilan mereka, semakin sukar untuk mereka dapat tidur selama 8 hingga 9 jam. Ini seringkali disebabkan masalah keresahan, takut dengan proses bersalin dan susah jumpa posisi tidur ketika hamil yang selesa. Terutamanya jika mereka sudah biasa tidur meniarap.
Terdapat kajian menunjukkan ibu yang tidur kurang 6 jam sehari akan mengalami proses bersalin yang lebih lama. Ini sekali gus meningkatkan kebarangkalian berlakunya pemilihan prosedur C-Section.
Posisi tidur ketika hamil dan berat badan bayi
Sekumpulan saintis Universiti Auckland, Australia mendapati wanita hamil yang tidur telentang semasa trimester ketiga, cenderung melahirkan bayi dengan berat badan yang rendah.
Berat bayi yang dilahirkan oleh ibu hamil tidur telentang berpurata sebanyak 3.41 kg. Berat ini kekurangan 144 gram berbanding berat bayi yang dilahirkan oleh ibu hamil yang tidur dengan posisi berlainan seperti tidur mengiring.
Posisi tidur terlentang: Adakah ia posisi tidur semasa hamil yang selamat?
Berbaring atau tidur terlentang dipercayai boleh menyebabkan perut yang sarat memampatkan vena cava, iaitu salur vena besar yang mengembalikan darah dari kepala dan seluruh badan ke jantung, dan aorta.
Ini mengurangkan kadar pembuangan karbon dioksida dan pengambilan oksigen oleh sel darah merah untuk dibekalkan ke seluruh badan, termasuklah janin. Rahim wanita yang sarat juga boleh menghimpit organ lain, menyebabkan mereka sukar untuk tidur. Ini akan menjejaskan kualiti tidur serta kebolehan untuk kekal terlelap di sepanjang malam.
Posisi tidur secara mengiring merupakan posisi yang ideal untuk ibu mengandung. Ia dapat memberikan tahap keselesaan yang optimum kepada si ibu, selain melancarkan aliran darah ke uri untuk tumbesaran janin.
Cuba letakkan bantal di bawah badan atau tinggikan aras kepala katil ketika tidur kepada posisi 45 darjah atau mana-mana yang anda selesa. Ia boleh melegakan simptom pedih ulu hati atau kesukaran untuk bernafas kesan himpitan rahim pada otot diafragma.
Oleh itu, bagi wanita hamil terutamanya bagi mereka yang berada pada trimester ketiga, cubalah untuk tidur dalam posisi tidur ketika hamil yang lain, selain terlentang.
Anda boleh mengiring ke kanan atau ke kiri untuk mengurangkan beban di atas saluran vena dan tulang belakang badan anda. Kami juga percaya tidur di bahagian sisi adalah lebih selesa berbanding tidur telentang bagi ibu yang sedang hamil.
Cuba biasakan diri tidur dalam posisi tersebut dari trimester pertama. Jika masalah sukar tidur atau simptom yang mengganggu menjadi semakin teruk, dapatkan rujukan doktor untuk rawatan selanjutnya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak akhir-akhir ini ramai ibu hamil dan menyusukan tertanya-tanya adakah selamat bagi mereka untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 bagi melindungi diri daripada virus berkenaan. Ada juga yang menyatakan kegusaran akan kesan sampingan yang mungkin boleh membahayakan kesihatan diri, kandungan serta anak yang disusukan? Sejauh manakah keselamatan penggunaan vaksin ini terhadap golongan di atas?
Menurut portal JKJAV, maklumat yang diperolehi daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS), Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan
(FDA) Amerika Syarikat, Persekutuan Antarabangsa Ginekologi dan Obstetrik (FIGO), Kolej Diraja Obstetrik dan Ginekologi (RCOG), Kolej Obstetrik dan Ginekologi Amerika (ACOG) telah mengesahkan kebaikan mengambil vaksinasi semasa hamil.
Namun mungkin ada lagi diantara golongan ini yang masih risau untuk mengambil vaksin Covid-19. Ibu hamil sebenarnya digesa untuk mengambil vaksin yang dicadangkan demi melindungi diri dan kehamilan. Untuk penjelasan lebih lanjut, ikuti kupasan yang sampaikan oleh Dr. Premitha Damodaran, Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL).
Ibu hamil digesa supaya mendapatkan vaksin dalam tempoh antara Minggu 14 dan Minggu 33 kehamilan kerana dengan pengalaman lebih daripada 25 tahun, beliau sendiri mengakui belum pernah melalui pandemik yang serius seperti COVID-19.
Pfizer Pilihan Vaksin Yang Sesuai Untuk Ibu Hamil & Menyusu
Sejak akhir-akhir ini terdapat desas-desus dalam kalangan ibu hamil yang terlalu takut untuk mendapatkan vaksin COVID-19. Walaupun Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan, Yang Berhormat Saudara Khairy Jamaluddin telah membuat pengumuman tentang vaksin Pfizer sebagai pilihan vaksin yang sesuai untuk golongan ibu hamil dan menyusukan, Dr. Premitha masih menerima pelbagai soalan daripada pesakitnya tentang keselamatan vaksin tersebut terhadap kandungan mereka.
“Apabila seorang wanita hamil, tubuhnya mengalami perubahan drastik untuk disesuaikan dengan kesihatan dan keselamatan bayi dalam kandungannya. Tahap imuniti si ibu menurun dan si ibu mudah terdedah pada pelbagai jenis penyakit,”
“Secara umumnya, seorang ibu hamil digalakkan untuk mengambil vaksin influenza dan Tdap untuk melindungi dirinya daripada influenza, kancing gigi, difteria dan batuk kokol (whooping cough)”.
Batuk kokol adalah sejenis penyakit mudah berjangkit yang boleh meningkatkan risiko kematian dalam kalangan bayi baharu lahir.
Menurut Dr. Premitha, vaksin batuk kokol yang juga dikenali sebagai pertussis itu lazimnya diberikan kepada bayi selepas 3 bulan kelahiran. Oleh itu, si ibu perlu diberikan vaksin Tdap untuk memastikan antibodi yang dibina dalam badan boleh disalurkan kepada bayi untuk memberikan perlindungan jangka pendek sementara menantikan vaksinasi tersebut.
“Sebenarnya, golongan ibu sudah lama menerima vaksin sepanjang kandungan untuk menjamin kelahiran bayi yang sihat dan terlindung daripada penyakit. Buat masa ini, kita perlu memastikan ibu-ibu ini mendapatkan vaksin COVID-19 kerana penyakit tersebut telah terbukti lebih berbahaya berbanding penyakit lain,”
“Dalam kes positif COVID-19 yang melibatkan ibu hamil, kategori klinikal penyakit tersebut boleh bertambah serius dalam masa singkat berbanding individu lain. Sekiranya mereka yang tidak hamil masih boleh dikuarantinkan di rumah bagi Kategori 1 atau 2, keadaan ibu hamil boleh melarat dengan cepat kerana rahim ibu yang mengembang mengikut tempoh kehamilannya khususnya selepas memasuki bulan ke-4 memberi impak terhadap paru-paru si ibu. Sebab itu, ibu hamil yang disahkan positif sering kali ditahan di hospital untuk perhatian lanjut sehingga betul-betul sembuh”.
“Sebagai Perunding Perbidanan & Sakit Puan, antara tanggungjawab kami adalah untuk memastikan semua ibu menikmati pengalaman kehamilan yang mudah dan menggembirakan. Namun, sejak pandemik ini melanda, kami perlu bekerja lebih keras supaya ibu-ibu ini dapat melahirkan bayi mereka dengan selamat,” tambahnya.
Kesan Sampingan Selepas Vaksin
Kesan selepas vaksinasi seperti rasa lenguh, pening kepala, mual dan demam boleh dirawat dan tidak mendatangkan mudarat kepada ibu dan bayi kerana kesan tersebut akan hilang dalam masa terdekat. Sekiranya perlu, doktor akan memberikan ubat paracetamol untuk ibu hamil menangani kesan sampingan tersebut.
“Jangan keliru kesan ini dengan kesan alahan. Alahan boleh mengakibatkan serangan kejutan (anaphylactic shock) sehingga muka bengkak dan sukar bernafas,” katanya. “Kita perlu cuba bertahan dengan rasa kurang selesa selepas divaksinkan kerana dalam tempoh hamil, kesihatan ibu adalah yang paling mustahak. Tanpa ibu yang sihat dan bebas penyakit, bagaimana bayi yang sihat dapat dilahirkan?”
Dapatkan Nasihat Doktor
“Terbaharu, kita sudah selesai Fasa Satu Program Imunisasi Kebangsaan yang melibatkan antara 80 hingga 90% kakitangan kesihatan seluruh negara. Kini, hospital adalah antara tempat paling selamat untuk anda. Oleh itu, jangan takut untuk datang ke hospital dan berbincang dengan doktor anda tentang sebarang isu melibatkan kehamilan dan vaksin COVID-19,”
“Malah, kakitangan kesihatan yang hamil juga digalakkan untuk mengambil vaksin. Sehingga kini, mereka juga tidak mengalami apa-apa isu berkaitan COVID-19 sepanjang kehamilan mereka. Para ibu perlu mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber sahih dan tidak mudah terpedaya oleh sebaran di Media Sosial kerana setiap kehamilan adalah unik. Sebab itu ibu-ibu perlu mendapatkan nasihat daripada doktor tentang menghadapi kehamilan sepanjang tempoh pandemik”. jelas Dr. Premitha.
Penjagaan Selepas Kelahiran
Dr. Premitha menasihatkan golongan suami untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam menjaga keselamatan isteri mereka yang sedang hamil. Para suami perlu mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar bekerja, membeli barang keperluan rumah dan melaksanakan tugas lain sebelum kembali ke rumah untuk bertemu keluarga mereka.
Penjagaan selepas kelahiran juga amat penting. “Walaupun kakitangan kesihatan boleh menawarkan suasana yang selamat untuk ibu dan bayi di hospital, cabaran sebenar adalah apabila si ibu dan bayi pulang ke rumah,”
“Kami faham ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan amat teruja untuk menyambut ketibaan ‘orang baharu’ dalam keluarga, tetapi dalam tempoh pandemik ini sebaiknya elakkan kedatangan pelawat yang mahu menyentuh bayi anda. Walaupun mereka nampak sihat pada mata kasarnya, sukar untuk kita membezakan individu sihat dengan individu yang tidak menunjukkan sebarang simptom COVID-19”.
Dengan ribuan kes baharu yang dicatatkan dalam negara setiap hari, Dr. Premitha berharap ibu hamil dan menyusukan akan terus mengikut SOP yang digariskan dan memilih untuk divaksinkan.
Ada gambar anak minum susu yang cute-cute? Jom share dengan Pa&Ma dan anda mungkin berpeluang memenangi hamper barangan bernilai RM100. Muat naik gambar anak anda di SINI
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu hamil jangan pandang ringan jika ada masalah kencing kotor. Tahukah anda bahawa kencing kotor jika tidak dirawat boleh membahayakan serta menyebabkan kematian kepada ibu hamil?
Perubahan hormon yang berlaku ketika hamil bukan sahaja boleh memberikan kesan positif kepada janin untuk membesar, ia juga boleh menyebabkan kekuatan otot salur ureter dan pundi kencing bertambah renggang. Keadaa inilah yang menyebabkan ibu hamil lebih berisiko mengalami masalah kencing kotor.
Apabila rahim mula membesar, ia berupaya untuk menyekat lebih banyak air kencing. Ditambah pula dengan kelemahan otot pundi kencing untuk menolak air kencing keluar, ia boleh menyebabkan berlakunya jangkitan kuman.
Faktor-faktor lain seperti peningkatan tahap keasidan air kencing dan gula yang terdapat di dalamnya berikutan perubahan hormon yang berlaku menjadikan wanita hamil mudah untuk didiagnosis dengan masalah kencing kotor.
Tanpa rawatan, jangkitan tersebut boleh menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan keradangan pada organ buah pinggang. Apabila sudah sampai ke tahap itu, kuman yang terdapat pada sistem salur kencing wanita hamil mudah untuk bergerak masuk ke dalam aliran darah.
Mungkin ramai bakal ibu yang merungut tatkala doktor meminta mereka memberikan sampel air kencing semasa temu janji rutin. Mana tidaknya, ramai ibu mengandung yang lain beratur untuk memberikan sampel air kencing dan anda sangat yakin bahawa anda tidak ada masalah kencing kotor.
Jika masalah kencing kotor tidak dirawat dengan segera, ia boleh mengundang bahaya dan juga kematian. Jadi, adakah anda enggan menjalani ujian air kencing seperti yang dipinta oleh doktor hanya kerana anda rasa prosedur tersebut menyusahkan?
Ketahuilah bahawa kencing kotor tidak selalunya didiagnosis pada mereka yang mempunyai air kencing yang keruh atau berkeladak. Mereka yang mempunyai masalah UTI kebiasaannya akan mengalami simptom seperti:
*Rasa terbakar sewaktu kencing *Darah di dalam air kencing *Air kencing keruh *Kerap ke bilik air untuk kencing walaupun hanya sedikit urin yang keluar *Tidak dapat menahan kencing
Jika seseorang itu mengalami jangkitan pada buah pinggang, antara simptom yang akan dialami adalah:
*Demam *Loya *Muntah *Sejuk menggigil *Sakit pada bahagian belakang badan, di bawah rusuk
Ambil langkah berjaga-jaga
Ujian saringan yang dilakukan oleh doktor merupakan satu keperluan bagi mengelakkan berlakunya komplikasi kencing kotor seperti jangkitan buah pinggang. Jika anda disahkan positif jangkitan, terapi antibiotik akan diberikan secara serta merta bagi merawat keadaan tersebut.
Doktor akan menentukan jenis antibiotik yang selamat dimakan oleh anda mengikut kepada keperluan semasa. Jika anda hamil, sudah semestinya antibiotik yang diberikan tidak akan menyebabkan komplikasi kepada anda mahupun anak di dalam kandungan.
Bagaimana pula dengan mereka yang tidak dijangkiti? Anda boleh mencuba tip berikut:
*Minum air mengikut kadar saranan harian (6-8 gelas) atau seperti yang dipreskripsikan oleh doktor anda.
*Jangan bertangguh untuk membuang air kecil. Perbuatan tersebut boleh menyebabkan lebih banyak bakteria membiak di dalam pundi kencing.
*Selepas membuang air kecil, pastikan anda mengelap kemaluan dari depan ke belakang.
*Tindakan ini boleh meminimumkan risiko bakteria untuk merebak dari kawasan punggung ke bahagian intim.
*Pakai pakaian dalam yang longgar dan diperbuat daripada kapas.
*Tukar tuala wanita atau seluar dalam dengan lebih kerap.
*Elakkan daripada mengambil minuman bergula atau berkafein.
Kencing kotor lazim dialami wanita
Apabila kita berbicara tentang kencing kotor, pasti anda akan terbayangkan air kencing keruh umpama air teh dan berkeladak. Hakikatnya, bukan semua individu yang mengalami masalah kencing kotor dapat didiagnosis daripada rupa air kencing mereka.
Jangkitan kuman pada saluran kencing (UTI) merupakan masalah kesihatan yang lazim dialami oleh golongan wanita. Pada kebanyakan kes, jangkitan ini disebabkan oleh bakteria, namun ada juga yang disebabkan oleh kulat atau virus meskipun ia jarang berlaku.
Saluran kencing melibatkan organ buah pinggang, salur ureter (menghubungkan buah pinggang ke pundi kencing), pundi kencing dan salur urethra (saluran yang membawa keluar air kencing).
Kebanyakan UTI yang berlaku hanya melibatkan salur urethra dan pundi kencing. Jika jangkitan tersebut berlaku pada organ buah pinggang atau salur ureter, kebiasaannya individu tersebut akan mengalami simptom yang lebih teruk.
Terdapat beberapa sebab mengapa kencing kotor lazim berlaku pada wanita berbanding dengan lelaki:
*Salur urethra wanita lebih pendek berbanding dengan lelaki.
*Kedudukan salur urethra wanita yang berdekatan dengan vagina dan anu, memudahkan kuman merebak.
*Penggunaan pelbagai jenis produk kontraseptif seperti spermisida (pembunuh sperma) menyebabkan populasi bakteria baik pada faraj berubah.
*Wanita menopaus mengalami perubahan hormon.
Kencing kotor semasa mengandung lazim dialami oleh wanita hamil. Pemeriksaan awal oleh doktor penting bagi memastikan komplikasi kencing kotor dapat dielakkan.
Jika anda mengalami gejala seperti yang tersenarai di atas, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan daripada doktor.
Imun ibu hamil mengalami perubahan semula jadi sepanjang kehamilan. Ketahui punca sistem imun menjadi lemah, risiko jangkitan serta cara berkesan untuk menguatkan daya tahan badan ibu dan melindungi kandungan.