Jaguh paralimpik kebanggaan negara, Datuk Abdul Latif Romly, kini sedang meniti detik paling indah dalam hidupnya apabila beliau bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh isterinya, Datin Nurul Nabila Farhana Musaidi, menerusi satu hantaran manis di media sosial. Dengan kapsyen penuh kasih sayang, “Love, mommy & daddy,” Nabila turut memuat naik foto romantik bersama suami berlatar pemandangan pantai yang menenangkan.
Baby Bump Jadi Tanda Bahagia
Apa yang paling mencuri perhatian tentunya apabila Nabila tampil manis dalam dress putih yang menampakkan ‘baby bump’, tanda bahawa pasangan ini kini sedang menantikan kehadiran si kecil yang bakal menyerikan rumah tangga mereka.
Ads
Perkongsian tersebut pantas mendapat perhatian ramai. Ruangan komen dipenuhi dengan ucapan tahniah dan doa daripada rakan-rakan selebriti, peminat serta rakyat Malaysia yang turut tumpang gembira dengan berita kehamilan itu. Ramai mendoakan agar proses kehamilan Nabila dipermudahkan dan segalanya berjalan lancar sehingga tiba saat melahirkan nanti.
Dua Tahun Berumah Tangga, Kini Menyambut Berita Paling Bermakna
Untuk info, Datuk Abdul Latif Romly dan Datin Nabila mendirikan rumah tangga pada 13 Disember 2022. Sepanjang tempoh perkahwinan, pasangan ini sering menjadi perhatian ramai kerana sikap mereka yang merendah diri, penyayang dan romantik.
Kini, selepas hampir dua tahun bergelar suami isteri, rezeki paling indah hadir apabila mereka bakal menyambut zuriat pertama — anugerah yang dinanti-nantikan setiap pasangan yang berumahtangga.
Ads
Dari Jaguh Negara ke Dunia Keibubapaan
Datuk Abdul Latif Romly bukan hanya wira negara di arena sukan, malah kini bersedia memikul tanggungjawab besar sebagai seorang ayah. Pastinya pengalaman baharu ini bakal memberikan makna tersendiri buatnya, melengkapkan kehidupan rumah tangga mereka dengan kasih sayang seorang anak.
Ramai peminat menyifatkan kehadiran cahaya mata pertama ini sebagai rezeki selepas kejayaan demi kejayaan yang dikecapi Datuk Abdul Latif Romly di pentas dunia. Malah, ramai yang tidak sabar menantikan detik beliau menimang bayi sulung yang pastinya menjadi pelengkap kebahagiaan keluarga kecil mereka.
Majalah Pa&Ma mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat Datuk Abdul Latif Romly dan Datin Nurul Nabila Farhana atas berita kehamilan ini. Semoga segalanya dipermudahkan dan bayi yang bakal lahir nanti menjadi penyejuk mata serta penyeri hidup buat kedua-duanya. 🌸💖
Mengapa wanita hamil mengidam? Bila waktu hamil mulalah teringin untuk makan pelbagai jenis makanan. Soalnya apa itu istilah mengidam?
“Mengidam” adalah satu pengalaman yang biasa dialami oleh kebanyakan wanita hamil atau mengandung. Mengidam boleh diterjemahkan sebagai keinginan yang tinggi terhadap sesuatu jenis makanan yang dirasai ketika mengandung.
Apa yang mengejutkan, bukan hanya makanan yang diidamkan tetapi juga bahan bukan makanan seperti kapur dan kepingan cat atau tanah.
Pun begitu mengidam makanan yang manis dan masin serta berempah atau yang tinggi kandungan lemak, merupakan subjek yang paling popular.
Mengidam dialami mengikut waktu atau dalam tempoh kehamilan yang berbeza di antara seseorang wanita. Terdapat juga keadaan di mana seseorang wanita mengandung memilih untuk makan sesuatu yang sememangnya tidak akan dimakan pada hari-hari biasa jika tidak mengandung. Begitu pun, mengidam semasa mengandung tidak berlaku kepada semua wanita hamil.
Apa sebab mengidam?
Sebenarnya, penyebab berlakunya mengidam atau penolakan sesuatu jenis makanan semasa mengandung masih tidak diketahui. Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan sebagai punca berlakunya mengidam.
Menurut Siobhan Dolan, ada yang berpendapat mengidam atau penolakan semasa kehamilan sebenarnya merupakan satu faktor perlindungan, walaupun tiada data saintifik yang mencukupi untuk menyokong teori ini.
Perkara seperti peningkatan keperluan kalori serta zat makanan (nutrien) semasa kehamilan dan keperluan untuk pertumbuhan atau pembentukan janin merupakan alasan mengapa keadaan ini berlaku.
Walau bagaimanapun, ada sesetengah saintis atau penyelidik menyatakan perubahan hormon semasa mengandung turut memberi kesan kepada deria bau. Ini secara tidak langsung memberi kesan dalam pemilihan dan pengambilan makanan.
Mengidam sesuatu jenis makanan semasa mengandung turut dikaitkan sebagai petanda berlakunya kekurangan zat makanan atau nutrien. Sebagai contoh, seseorang wanita hamil yang mengidam susu atau produk tenusu seperti keju menunjukkan kekurangan kalsium. Manakala mengidam makanan manis seperti coklat menandakan peningkatan keperluan kalori atau kekurangan vitamin B.
Bahaya ke?
Mengidam sesuatu makanan dan memakan makanan tersebut secara berlebihan dan tiada kepelbagaian (monotonous diet – makan satu makanan sahaja) adalah tidak baik dan boleh menjejaskan kesihatan wanita mengandung serta kandungannya.
Walau bagaimanapun, mengidam bukanlah suatu kesalahan dan tidak membahayakan jika dapat mengawalnya. Walau sekuat mana anda mengidam sesuatu makanan, pastikan anda berfikiran waras. Fikirkan kesihatan anda dan bayi dalam kandungan.
Senarai di bawah merupakan makanan yang perlu diambil perhatian dan elakkan memakannya semasa anda hamil:
* Makanan laut termasuk ikan, telur dan produk hasil daging/ayam yang mentah atau tidak dimasak secara sempurna
* Susu dan produk tenusu seperti keju yang tidak dipasteur (unpasteurised milk)
* Alkohol
* Sayuran berakar yang tidak dibasuh bersih
Perlu elak
Sekali lagi dinyatakan, adalah tidak salah untuk anda mengidam semasa mengandung dan pada masa yang sama, masih dapat membekalkan segala nutrien yang diperlukan oleh anda dan bayi dalam kandungan.
Walau bagaimanapun, pastikan anda tidak mengambil makanan tersebut secara berlebihan. Sebagai contoh, sekiranya anda mengidam untuk makan coklat, pastikan anda hanya makan 1 kepingan atau potongan kecil sahaja dan bukannya keseluruhan kepingan coklat.
Pengambilan makanan yang tinggi kalori terutamanya yang tinggi kandungan gula dan lemak atau minyak boleh menyebabkan peningkatan berat badan yang berlebihan secara mendadak.
Pertambahan berat badan yang berlebihan akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit diabetes semasa mengandung dan masalah tekanan darah tinggi.
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda lakukan sekiranya anda mengidam sesuatu jenis makanan:
* Makan makanan yang seimbang dan pilih makanan yang kurang lemak serta tinggi serat seperti produk bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran serta kekacang.
* Sekiranya anda makan secara sihat setiap hari, sesekali anda mengidam makanan yang kurang berkhasiat dan diambil dalam jumlah yang sedikit tidak menjejaskan keperluan zat yang diperlukan oleh bayi dalam kandungan.
* Makan secara kerap dan boleh makan enam kali dalam sehari dalam jumlah yang sedikit tetapi mengenyangkan. Ini bagi membantu mengelakkan penurunan paras gula dalam darah sehingga sukar untuk mengawal keinginan untuk makan.
* Alihkan perhatian dengan keluar berjalan, bersembang, membaca atau menjauhi dapur anda atau kedai.
* Beri tumpuan kepada makanan yang rendah kandungan kalorinya. Sekiranya ingin makan ais krim, pilih ais krim yang diperbuat daripada yogurt rendah lemak yang disejuk beku atau sorbet.
* Sekiranya mengidam untuk makan kerepek kentang (bergoreng), pilih yang dibakar atau dipanggang dan kurang garam.
Walau apa pun makanan yang anda inginkan atau mengidam, yang penting ia diambil secara sederhana. Jangan berlebih-lebih.
Kehamilan bukan sekadar perjalanan seorang ibu, tetapi turut melibatkan peranan besar seorang suami. Setiap perubahan fizikal dan emosi yang dialami isteri sepanjang tempoh ini memerlukan sokongan berterusan, termasuk dari segi pemakanan dan kesihatan. Itulah yang dikongsikan oleh seorang lelaki apabila dia berusaha membantu meningkatkan paras hemoglobin (Hb) isterinya yang menurun sepanjang kehamilan.
Menurut suami berkenaan, mereka mula benar-benar mengambil serius soal pemakanan apabila melihat reaksi jururawat di klinik kesihatan yang jelas terkejut dengan bacaan Hb isterinya. Saat itu menjadi titik tolak untuk mereka mencari solusi yang mudah, selamat dan sesuai untuk ibu mengandung.
“Bila jururawat tengok bacaan Hb, muka dia berubah. Dari situ kami terus tanya apa yang boleh bantu naikkan Hb secara semula jadi,” kongsinya.
Paras Hb yang rendah semasa kehamilan bukan perkara kecil. Hemoglobin berfungsi membawa oksigen ke seluruh badan ibu dan bayi. Jika bacaan Hb terlalu rendah, ibu hamil berisiko mengalami keletihan melampau, pening kepala, sesak nafas serta komplikasi ketika bersalin.
Disebabkan itu, pasangan ini mengambil pendekatan proaktif dengan mendapatkan nasihat terus daripada jururawat serta melakukan sedikit kajian sendiri mengenai pemakanan yang sesuai untuk ibu hamil.
Hasil perbincangan bersama jururawat, mereka diperkenalkan dengan satu tip pemakanan yang ringkas tetapi konsisten, iaitu pengambilan kurma dan pati delima sebagai rutin harian.
Kedua-dua bahan ini dikenali sebagai sumber semula jadi yang kaya dengan nutrien penting, terutamanya zat besi dan antioksidan, yang membantu menyokong pembentukan sel darah merah.
Apa yang menarik, rutin yang diamalkan sangat mudah dan tidak membebankan ibu hamil, terutama bagi mereka yang mudah loya atau kurang selera makan.
Rutin harian yang diamalkan:
Pagi: Satu sudu pati delima bersama tiga biji kurma Malam: Satu sudu pati delima
Kurma dijadikan snek harian, manakala pati delima diambil secara konsisten mengikut saranan jururawat. Menurut suami tersebut, perubahan positif mula dapat dilihat selepas beberapa minggu mengamalkan rutin ini.
“Pati delima memang nampak membantu. Isteri pun tak cepat letih dan lebih bertenaga,” katanya.
Kombinasi kurma dan pati delima ini dikatakan sangat sesuai untuk ibu hamil yang kurang mengambil sayur dalam diet harian. Bagi sesetengah wanita mengandung, sayur boleh menyebabkan loya atau hilang selera makan.
Dalam situasi ini, pengambilan makanan alternatif yang berkhasiat dapat membantu melengkapkan keperluan nutrien, khususnya zat besi yang penting untuk pembentukan sel darah merah.
Antara manfaat utama pengambilan kurma dan pati delima semasa hamil termasuklah membantu meningkatkan paras Hb secara semula jadi kerana kandungan zat besi dan vitamin C, mengurangkan risiko anemia serta menyokong tahap tenaga harian ibu.
Selain itu, nutrien yang mencukupi turut menyokong perkembangan bayi dalam kandungan, termasuk perkembangan otak dan jantung, menguatkan sistem imun ibu serta melancarkan penghadaman dan mengurangkan masalah sembelit.
Kurma juga sering dikaitkan dengan manfaat ketika bersalin. Beberapa kajian mendapati pengambilan kurma secara konsisten di akhir kehamilan boleh membantu kontraksi yang lebih efisien, tempoh bersalin yang lebih singkat serta risiko koyakan yang lebih rendah.
Perkongsian ini menjadi peringatan bahawa peranan suami bukan sekadar menemani isteri ke klinik, tetapi turut memainkan peranan penting dalam memastikan pemakanan dan kesihatan isteri terjaga sepanjang kehamilan.
Kadangkala, usaha kecil seperti menyediakan snek berkhasiat, mengingatkan rutin harian dan memberi sokongan emosi sudah cukup memberi kesan besar kepada kesejahteraan ibu dan bayi dalam kandungan.
Kerana kehamilan adalah perjalanan berdua, sokongan suami adalah kekuatan utama buat seorang ibu.
Ramai yang tahu tahap kecerdasan bayi sudah mula boleh dibentuk sebelum dia lahir. Faktanya, daripada keseluruhan organ janin, bahagian otaknya paling berpengaruh terhadap apa jua tindakan ibu, terutamanya yang melibatkan pemakanan. Atas sebab itulah, ibu hamil sangat perlu menjaga setiap apa yang dimakan.
Selain daripada aspek pemakanan, perkara-perkara lain pun perlu dititikberatkan. Antara langkah yang boleh menjadikan bayi bijak sejak dalam kandungan adalah seperti berikut.
Elakkan persekitaran berbahaya
Jika anda bekerja terutamanya di kilang pembuatan produk tertentu, pastikan diri terdedah kepada bahan kimia dan radiasi. Pendedahan ini boleh memberi kesan perkembangan sel otak bayi di dalam kandungan.
Bersukan ringan
Penyelidikan menunjukkan bahawa aktiviti sukan yang ringan dan sesuai untuk wanita hamil seperti berenang dan berjalan kaki, memberi manfaat pada perkembangan otak janin. Untuk membolehkan bayi anda cerdas, rajin-rajinlah berolahraga selama 30 minit. Tiga kali seminggu sudah mencukupi terutamanya pada waktu cuti hujung minggu.
Jangan mengambil ubat yang tidak perlu
Beberapa ubat umum seperti parasetamol dan ibuprofen selamat diambil oleh ibu hamil. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami sakit, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa juga jenis ubat pun.
Jangan merokok atau mendedahkan diri kepada asap rokok
Amalan merokok boleh membataskan aliran darah ke otak janin yang sedang berkembang. Oleh sebab itu, anda perlu minta suami tidak merokok apabila bersama anda. Malah, ada baiknya jika anda mengambil kesempatan sewaktu hamil ini, untuk membantu suami berhenti merokok untuk selama-lamanya.
Sentiasa perhatikan tekanan darah anda
Jika tekanan darah anda terlalu tinggi, aliran darah kepada bayi melalui plasenta boleh terhalang. Untuk menghindari masalah sebegini, sentiasa jaga pemakanan dan banyakkan bersenam ringan. Jadi, kini anda tahulah sebab mengapa setiap kali pemeriksaan antenatal dijalani, tekanan darah perlu diambil. Semua ini dilakukan semata-mata mahu memantau tekanan darah anda.
Ambil asid folik
Kekurangan asid folik atau vitamin B9 sangat berhubung rapat dengan kesan pelbagai jenis penyakit serius, masalah hiperaktif dan pertumbuhan lainnya kepada anak dalam kandungan. Jadi, ikut saranan doktor untuk mengambil asid folik 400mcg setiap hari bagi membekalkan anda kebaikan asid folak demi menjaga perkembangan otak bayi.
Ambil suplemen minyak ikan
Seperti mana anda disarankan mengambil kalsium bagi memenuhi keperluan tulang, omega -3, DHA, EPA pun sama penting untuk diambil. Ia sangat diperlukan untuk menyokong perkembangan otak bayi. Jadi, jangan lupa untuk ambil suplemen minyak ikan kerana ramai ibu sering mengabaikan pengambilan lemak sihat ini.
Berehat
Ibu yang kerap mengalami masalah tekanan berpanjangan akan menyebabkan sistem imun bayi menjadi lemah. Selain itu, anda perlu tahu tahap hormon stress ibu boleh memasuki jaringan sisten otak bayi. Sudah tentu hal ini boleh mengganggu perkembangan otak bayi.
‘Berjemur’ di pagi hari
Kecacatan mental di kalangan bayi sering dikaitkan dengan kurangnya pengambilan vitamin D sepanjang tempoh kehamilan. Sebagai contoh, di negara empat musim, bayi yang lahir pada musim dingin didapati lebih berisiko untuk menderita skizofrenia pada masa akan datang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak cemerlang matematik bukan ditentukan oleh genetik semata-mata. Ketahui bagaimana aktiviti harian, sokongan ibu bapa dan rangsangan awal sejak usia 3 tahun membantu membina asas matematik yang kukuh.