
Sebaik selepas bersalin, rahim ibu perlu mengecut dengan sendirinya agar mengelakkan berlakunya masalah tumpah darah atau kehilangan darah yang berlebihan.
Rahim yang gagal mengecut dengan baik merisikokan nyawa ibu kerana kehilangan banyak darah dan hal ini dipanggil Atonia Uterus atau rahim lambat mengecut.

Apa Itu Atonia Uterus?
Atonia uterus menjadi punca utama masalah tumpah darah selepas bersalin (postpartum hemorrhage/PPH).
Secara mudahnya:
- Selepas bersalin, rahim sepatutnya mengecut semula dengan cepat untuk menutup saluran darah yang terbuka ketika uri tertanggal.
- Bila rahim “malas” nak mengecut atau terlalu lemah, dinding rahim tidak dapat menekan salur darah yang terbuka.
- Akibatnya, darah keluar tanpa henti dan ini boleh berlaku secara tiba-tiba, dalam kuantiti banyak dan mengancam nyawa.
Punca Atonia Uterus Yang Perlu Diketahui
Antara beberapa sebab utama Atonia Uterus termasuklah masalah bayi besar atau kehamilan kembar dimana rahim overstretch dan menjadi lemah untuk mengecut.
Masalah uri yang tertanggal terlalu awal atau tertinggal serpihan juga boleh mengganggu pengecutan rahim. Selain itu proses bersalin yang terlalu panjang atau terlalu cepat juga boleh mengganggu fungsi rahim.
Faktor lain yang turut menyumbang termasuk penggunaan ubat tertentu semasa bersalin, jangkitan rahim, atau sejarah masalah yang sama dalam kehamilan sebelumnya. Semua ini boleh meningkatkan risiko Atonia Uterus jika tidak dipantau dengan baik.

Risiko Bahaya Jika Rahim Tidak Mengecut
Keadaan ini bukan sekadar biasa-biasa. Atonia Uterus boleh menyebabkan kehilangan darah yang sangat banyak dalam masa singkat. Ini boleh membawa kepada:
- Tekanan darah menurun secara mendadak
- Pening atau pengsan
- Kejutan (shock)
- Kematian jika tidak dirawat segera
Sebab itu pemantauan selepas bersalin sangat penting, terutamanya dalam beberapa jam pertama yang merupakan tempoh kritikal bagi ibu.
Tips Bantu Rahim Kecut Dengan Cepat
Lepas bersalin, selain rehatkan badan tapi tetap kena bantu rahim untuk kecut semula secara semula jadi atau dengan bantuan perubatan.
Berikut beberapa cara praktikal dan berkesan:
1. Penyusuan Badan Segera & Kerap
Bila ibu menyusu, hormon oksitosin dilepaskan dan sekaligus bantu rahim mengecut. Lagi kerap menyusu lagi kuat rangsangan oksitosin sekaligus rahim kecut lebih cepat. Ini adalah cara semula jadi terbaik untuk mengurangkan risiko Atonia Uterus.
2. Uterine Massage (Urut Rahim)
Jururawat selalunya akan urut rahim dari luar perut secara bulatan. Walaupun sakit tapi ia sangat membantu. Namun pastikan ia dilakukan oleh yang pakar kerana teknik yang betul sangat penting.
3. Penggunaan Ubat Oksitosik
Doktor akan beri ubat seperti oxytocin atau misoprostol untuk bantu rahim mengecut dan kebiasaannya diberikan sejurus selepas bayi keluar bagi mencegah Atonia Uterus.

4. Jaga Pundi Kencing Kosong
Pundi kencing penuh boleh menekan rahim dan menghalang ia mengecut dengan baik. Pastikan ibu membuang air kecil dengan baik dan teratur. Jangan tahan-tahan kerana ia boleh melambatkan proses pemulihan.
5. Rehat Dengan Posisi Menyusu Yang Betul
Elakkan terlalu banyak gerakan yang boleh mengganggu pengecutan rahim. Menyusu sambil berbaring kadang bantu ibu relaks dan bantu rahim bekerja lebih baik.
6. Pemakanan dan Suplemen
Makan makanan kaya zat besi dan vitamin C untuk membantu pembentukan darah semula. Lebihkan makanan tinggi protein untuk penyembuhan otot rahim dan minum air yang cukup untuk mempercepatkan pemulihan badan.
Kepentingan Pemantauan Selepas Bersalin
Walaupun kebanyakan kes boleh dikawal, Atonia Uterus tetap memerlukan perhatian serius. Pemeriksaan berkala oleh jururawat dan doktor selepas bersalin sangat penting untuk memastikan rahim mengecut dengan baik.
Ibu juga perlu peka dengan tanda-tanda seperti pendarahan yang terlalu banyak, rasa lemah melampau, atau sakit yang tidak normal. Jangan tunggu lama untuk mendapatkan rawatan jika ada sebarang keraguan.
Kesedaran awal boleh menyelamatkan nyawa. Pengetahuan tentang Atonia Uterus membantu ibu lebih bersedia dan bertindak cepat jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





