‘Misi’ bahaya inspirasi Roblox, murid Tahun 2 jadi kapla arah rakan terjun! Itulah kejadian mengejutkan yang mencetuskan kebimbangan ramai ibu bapa apabila seorang murid perempuan sekolah rendah hampir mencederakan diri sendiri kerana terpengaruh dengan permainan dalam talian.

Kisah ini dikongsikan oleh Khairul Ahmad Fitri Suhaimi di Facebook, yang menceritakan pengalaman menimpa anak saudaranya sendiri. Menurutnya, kanak-kanak perempuan itu menerima ugut dan arahan pelik daripada seorang rakan sekelas yang digelar sebagai “kapla”, yang sering memberi tugasan kepada kawan-kawannya seperti dalam satu permainan maya.

Bahaya Roblox: Misi Permainan Arah Murid Terjun Bangunan, Ibu Bapa Wajib Pantau!

Diarah Cium Pelajar Lelaki, Kemudian Terjun Dari Bangunan Sekolah

Dalam perkongsian itu, Khairul menjelaskan bagaimana ‘kapla’ memberikan misi pertama kepada anak saudaranya mencium seorang pelajar lelaki. Namun apabila kanak-kanak itu menolak, dia menerima misi kedua yang jauh lebih berbahaya iaitu terjun dari tingkat satu bangunan sekolah.

Bahaya Roblox: Misi Permainan Arah Murid Terjun Bangunan, Ibu Bapa Wajib Pantau!
Hantan Khairul Ahmad Fitri Suhaimi.

Anak saudaranya menolak dengan berkata, “Kenapa pula aku kena terjun, hang la terjun.”

Tindakan itu membuatkan ‘kapla’ berang lalu mengarahkan seorang lagi rakan sekelas untuk mendukung dan membaling anak saudaranya keluar dari tingkap. Mujurlah rakan tersebut enggan melakukannya kerana bersahabat baik dengannya.

Ads

Lebih menyedihkan, ‘kapla’ kemudian mengeluarkan kata-kata tajam, “Aku bukan sayang hang pun. Kalau hang mati pun biar ja la.”

Bahaya Roblox: Misi Permainan Arah Murid Terjun Bangunan, Ibu Bapa Wajib Pantau!
Hantan Khairul Ahmad Fitri Suhaimi.

Ibu Trauma, Anak Takut Ke Sekolah

Selepas kejadian, keluarga kanak-kanak itu segera memaklumkan perkara tersebut kepada guru kelas dan pihak sekolah. Ibu mangsa kini mengalami anxiety dan vertigo akibat trauma mendengar pengakuan anaknya sendiri. Manakala si kecil itu tidak hadir ke sekolah selama tiga hari kerana masih ketakutan.

Perbualan dengan ibu bapa pelajar lain turut mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama ‘kapla’ memberi misi pelik kepada rakan sekelas. Antara misi lain termasuk mengetuk tangan menggunakan pen atau gunting, serta mencucuk buku hingga koyak – semuanya dipercayai terinspirasi daripada misi dalam permainan Roblox.

Ads

Roblox Nampak Seronok, Tapi Bahayanya Nyata

Permainan Roblox memang popular dalam kalangan kanak-kanak kerana memberi peluang kepada mereka “mencipta dunia sendiri”. Namun, di sebalik keseronokan itu, ada unsur pergaulan tanpa kawalan dan cabaran berisiko yang boleh mempengaruhi anak-anak meniru aksi berbahaya.

Tanpa pengawasan, anak mudah terserap ke dalam dunia maya dan gagal membezakan antara realiti dan fantasi. Sebab itulah, peranan ibu bapa amat penting untuk memantau setiap aktiviti anak ketika bermain.

Ads

Ibu Bapa Wajar Ambil Langkah Pencegahan

Berikut beberapa langkah yang boleh ibu bapa lakukan untuk elak kejadian sebegini:

  • Pantau aktiviti digital anak-anak. Semak jenis permainan, video atau laman yang mereka akses setiap hari.
  • Hadkan masa skrin. Galakkan mereka bermain di luar, membaca atau membantu kerja rumah.
  • Bincang dengan anak secara terbuka. Jangan marah, sebaliknya fahamkan kenapa sesuatu tindakan boleh membahayakan diri.
  • Gunakan kawalan ibu bapa (Parental Control). Saring kandungan yang tidak sesuai dengan umur.
  • Peka dengan perubahan emosi anak. Jika anak mula agresif, takut atau menunjukkan tanda trauma, segera dapatkan bantuan guru atau pakar.

Kisah murid Tahun 2 ini bukan sekadar kisah tular, tetapi peringatan besar buat semua ibu bapa. Dunia digital kini menjadi sebahagian kehidupan anak-anak, dan kita tidak boleh menafikannya. Namun, pengawasan dan bimbingan daripada ibu bapa amat diperlukan supaya mereka tidak hanyut dalam pengaruh dunia maya yang berisiko.

Sebagai ibu bapa, jadilah rakan kepada anak dalam setiap perjalanan mereka termasuk dalam dunia permainan digital. Kerana dalam dunia mereka yang penuh imaginasi, kitalah sempadan yang menentukan mana yang benar dan mana yang bahaya.

BACA LAGI : Roblox Antara Permainan Bakal Dilesenkan Kerajaan Demi Lindungi Anak-Anak Kita

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads