
Ramai ibu bapa hari ini semakin terbuka berkongsi tentang perjalanan membesarkan anak autisme. Di sebalik senyuman dan perkembangan kecil yang diraikan setiap hari, ada satu perkara yang jarang orang nampak iaitu pengorbanan besar dari segi masa, tenaga dan kewangan.
Autisme bukan sekadar tentang terapi atau sesi pembelajaran semata-mata. Ia adalah perjalanan jangka panjang yang memerlukan komitmen seluruh keluarga. Ada ibu bapa yang sanggup mengubah gaya hidup, mengurangkan kehendak sendiri malah bekerja lebih keras demi memastikan anak mendapat intervensi terbaik sejak kecil.
Anak Autisme Memerlukan Sokongan Berterusan
Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) ialah gangguan perkembangan yang mempengaruhi cara seseorang berkomunikasi, berinteraksi dan memahami dunia sekeliling. Setiap anak autisme adalah berbeza. Ada yang boleh bercakap dengan baik tetapi sukar memahami emosi orang lain, ada juga yang mengalami kelewatan pertuturan, sensitif terhadap bunyi dan sukar menyesuaikan diri dalam situasi tertentu.
Pakar sering menekankan bahawa intervensi awal sangat penting kerana perkembangan otak kanak-kanak berlaku dengan cepat pada usia kecil. Sebab itulah ramai ibu bapa berusaha menghantar anak ke terapi seawal mungkin walaupun kosnya tinggi. Mereka percaya setiap usaha kecil hari ini mampu membantu anak menjadi lebih berdikari pada masa depan.
Kos Terapi Anak Autisme Cecah Ribuan Ringgit
Perkongsian seorang bapa di Threads baru-baru ini membuka mata ramai tentang realiti sebenar kos terapi anak autisme di Malaysia. Menurutnya, ini antara perbelanjaan bulanan yang perlu ditanggung untuk anak tersayang:
Kos Terapi Autism
- Sekolah harian : RM2680
- Weekly therapy autism gym centre : RM2021
- Brain therapy : RM1500
- Aktiviti luar mingguan : RM200
- Ubat dan vitamin tambahan : RM50
Jumlah keseluruhan sekitar RM6400 hingga RM7000 sebulan.
Beliau turut menjelaskan bahawa itu belum termasuk terapi tambahan seperti speech therapy dan lain-lain rawatan sokongan yang mungkin diperlukan mengikut keadaan anak.
Namun paling menyentuh hati apabila beliau berkata:
“Doakan kami sekeluarga dipermudahkannya ya”

Perjalanan Membesarkan Anak Autisme Bukan Mudah
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa lain yang turut melalui perjalanan sama. Ada yang berkongsi mereka hanya mampu menghantar anak ke occupational therapy beberapa kali sebulan kerana kekangan kewangan. Ada juga yang berharap dimurahkan rezeki agar anak mereka dapat memulakan terapi lebih konsisten.
Dalam masa sama, ramai memberikan sokongan moral dan mengingatkan bahawa perkembangan anak autisme bukan hanya bergantung kepada terapi luar semata-mata. Aktiviti bersama keluarga, rutin di rumah dan perhatian ibu bapa juga memainkan peranan yang sangat besar dalam perkembangan mereka.
Hakikatnya, setiap keluarga mempunyai kemampuan berbeza. Ada yang mampu menyediakan pelbagai terapi intensif, ada juga yang hanya mampu melakukan sedikit demi sedikit. Tetapi itu tidak bermaksud kasih sayang mereka kurang.
Antaranya komen adalah
“4K+ sebulan untuk sekolah sahaja. Alhamdulillah, kami ikhlas. Sebab results pun tremendous, tak terasa amount tu.”
Malah siapa sangka, artis terkenal Shila Hamzah turut meninggalkan komen ringkas tapi penuh makna bahawa bersetuju dengan perkongsian belanja pembelajaran anak autisme.
“Benar…”- Artis Shila Amzah

Masyarakat Perlu Lebih Memahami Anak Autisme
Masyarakat juga perlu memahami bahawa anak autisme bukan “kurang bijak” atau beban kepada keluarga. Ramai anak autisme mempunyai kelebihan tersendiri seperti daya ingatan yang kuat, kreativiti tinggi dan fokus mendalam terhadap sesuatu perkara. Apa yang mereka perlukan ialah peluang, sokongan dan persekitaran yang memahami keadaan mereka.
Kesedaran tentang autisme perlu diperluaskan supaya ibu bapa tidak terus berasa sendirian dalam perjuangan ini. Mereka bukan mencari simpati, tetapi mereka mahu masyarakat memahami bahawa membesarkan anak istimewa memerlukan sokongan yang besar dari pelbagai aspek.
Jangan mudah menilai jika ada ibu bapa yang terlalu berjimat, bekerja tanpa henti atau kelihatan penat sepanjang masa. Mungkin mereka sedang berusaha memberikan yang terbaik buat anak mereka.
Apa yang paling penting, setiap perkembangan kecil anak autisme adalah kemenangan besar buat keluarga mereka. Dan di sebalik setiap kejayaan itu, ada pengorbanan, doa dan kasih sayang yang tidak semua orang nampak.
Sumber: izzadyusliza
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!







