Batuk berkahak, demam suhu tinggi, lemah & nafas laju. Mama papa tolong jangan ambil mudah dan lengahkan masa mendapatkan rawatan!

Radang paru-paru atau pneumonia boleh menyerang sesiapa sahaja pada pelbagai peringkat usia. Kanak-kanak juga tidak terkecuali. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kematian sebanyak 920,936 orang kanak-kanak bawah lima tahun di seluruh dunia pada tahun 2015.

Menurut Dr. Foo Chee Hoe, Pakar Pediatrik, Pantai Hospital Ampang, pneumonia adalah sejenis jangkitan kuman pada paru-paru yang boleh terjadi pada semua peringkat usia. Jangkitan terjadi pada pundi-pundi udara di dalam paru-paru. Mujurlah penyakit ini boleh dielakkan dan dirawat. Atas sebab ini, anda perlu peka dan sentiasa keadaan si manja.

ELAK JANGKITAN DI TEMPAT AWAM

Pneumonia disebabkan oleh kuman virus atau bakteria. Antara kuman-kuman yang biasa dijumpai pada pesakit yang dijangkiti pneumonia ialah virus Respiratory Syncitial Virus, Influenza, Adenovirus dan bakteria seperti pneumococcal dan mycoplasma pneumoniae. Kuman ini disebar melalui pelbagai cara seperti berikut;

  1. Kanak-kanak menghidu udara yang telah dijangkiti kuman penyebab pneumonia atau bakteria tertentu.
  2. Kanak-kanak mengalami jangkitan pada sistem pernafasan seperti selesema.
  3. Kanak-kanak mengalami komplikasi akibat penyakit lain seperti cacar air atau campak.

Kemungkinan terjadinya jangkitan pneumonia lebih tinggi di tempat awam dan tadika di mana kanak-kanak yang banyak bergaul bersama. Daya tahan badan kanak-kanak yang lemah juga memudahkah mereka diserang oleh kuman penyebab jangkitan pneumonia ini.

SIMPTOM PNEUMONIA 

Pneumonia menunjukkan simptom apabila menyerang si kecil. Semasa jangkitan kuman pneumonia, salur pernafasan dan tisu-tisu peparu akan mengalami keradangan. Ekoran daripada itu, kanak-kanak akan mengalami simptom-simptom seperti berikut;

  • Batuk berkahak.
  • Hilang selera makan.
  • Bernafas laju.
  • Berdehit atau wheezing semasa bernafas.
  • Ada sesetengah kanak-kanak akan mengalami keletihan.
  • Ada di kalangan mereka turut mengadu sakit perut berdekatan tulang rusuk.
  • Sesak nafas. Namun bagi kanak-kanak yang berumur lebih daripada tiga tahun, mereka berkemungkinan tidak mengalami sesak nafas walaupun dijangkit pneumonia.

Simptom-simptom ini dikenalpasti oleh doktor selepas pemeriksaan doktor. Diagnosis boleh diperkukuhkan melalui ujian X-ray dada, ujian darah, ujian cecair kahak,lendir tekak dan hidung.

AWAS! NAFAS LAJU TANDA SERIUS

Demam, batuk dan susah nafas adalah tanda utama bagi pneumonia. Jangan ambil ringan dan berlengah untuk mendapatkan rawatan segera bagi menyelamatkan nyawa si manja.

Tanda-tanda pneumonia yang serius ialah kadar pernafasan yang sangat laju, keadaan si kecil yang amat lemah dan demam yang dialami bersuhu tinggi. Walau pun sesetengah kanak-kanak yang dijangkiti pneumonia masih aktif dan tidak mengalami kerumitan bernafas dan kelihatan tidak kritikal, jangan ambil mudah. Anak anda tetap memerlukan rawatan hospital untuk memastikan pesakit sembuh secepat mungkin.

RAWATAN PNEUMONIA

Doktor selalunya akan mengamalkan strategi ini sebagai rawatan utama pesakit pneumonia kanak-kanak ialah termasuk;

  1. Menghapuskan kuman yang menyebabkan jangkitan ini dengan menggunakan ubat antibiotik yang sesuai.
  2. Menolong pesakit yang kurang selera mendapat hidrasi yang mencukupi, yang hilang selera makan akan diberikan intravenous drip.
  3. Membantu mereka yang sesak nafas untuk mendapatkan bekalan oksigen yang mencukupi.

Mama dan papa perlu difahami bahawa pesakit jangkitan pneumonia biasanya akan batuk teruk, tetapi ubat batuk bukanlah ubat utama. Menghentikan batuk bukan strategi utama dalam rawatan kerana batuk adalah cara badan untuk membuang kahak yang mengandungi kuman.

DAPATKAN RAWATAN SEGERA, JANGAN BERLENGAH

Anda boleh membantu anak dengan sentiasa peka kepada perubahan anak dan tanda-tanda yang menunjukkan anak mungkin dihinggapi penyakit ini. Bertindak awal dengan membawa anak jumpa doktor boleh membolehkan pesakit sembuh lebih awal dan elakkan komplikasi yang tidak diingini.

Bantu anak untuk memastikan mereka mengambil ubat-ubatan mengikut dos dan arahan doktor. Selain itu, kanak-kanak yang menghidapi pneumonia kerap kali akan hilang selera makan. Pujuk mereka untuk makan dan minum bagi memastikan air dalam tubuh yang mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi.

CARA ELAK PNEUMONIA

Pneumonia walaupun kerap berlaku dan doktor mempunyai ilmu untuk merawatnya, ia masih sejenis penyakit yang serius dan berpotensi membawa maut. Mencegah lebih baik daripada merawat.

  1. Pastikan anda tidak culas memastikan si kecil mengambil vaksin! Vaksin pneumoccoccal dan influenza boleh mencegah jangkitan kedua-dua kuman ini yang boleh menyebabkan pneumonia.
  2. Menjaga kebersihan tangan supaya tidak tercemar dengan kuman bakteria dan virus. Ajar anak anda untuk mengamalkan amalan membasuh tangan setiap kali sebelum makan, minum dan selepas menyentuh kemudahan awam.
  3. Hindari anak daripada punca asap daripada rokok dan tempat memasak.
  4. Menguatkan imuniti badan anak dengan mempertingkatkan nutrien dalam diet anak. Ini kerana kanak-kanak yang tidak mendapat cukup zat boleh melemahkan sistem imunisasi sekali gus meletakkan mereka sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti pneumonia.

Tinggalkan Komen