Ads

Bayi 8 Bulan Tercekik Bubur Nasi, Ibu Kongsi Detik Cemas Yang Jadi Pengajaran

Setiap kali anak mula makan, memang ibu ayah teruja melihat si kecil mencuba tekstur makanan baharu. Daripada makanan yang dikisar halus, perlahan-lahan ibu ayah mula memperkenalkan makanan yang lebih bertekstur mengikut usia dan kemampuan anak.

Namun dalam keterujaan itu, ada satu perkara penting yang tidak boleh dipandang ringan, iaitu risiko bayi tercekik bubur nasi atau makanan lain ketika makan. Perkara ini boleh berlaku dengan sangat pantas, malah dalam beberapa saat sahaja.

Itulah detik cemas yang dikongsikan seorang ibu di Threads, Aini A.A., apabila bayinya yang berusia lapan bulan dikatakan tercekik bubur nasi ketika makan.

Bayi Tercekik Bubur Nasi Berlaku Ketika Suapan Terakhir

Menurut perkongsian ibu tersebut, anaknya sebelum ini sudah mula mencuba bubur nasi yang tidak dikisar terlalu halus. Pada hari sebelumnya, semuanya berjalan lancar. Namun kejadian tidak dijangka berlaku ketika suapan terakhir.

Katanya, bayi itu sedang mengunyah sebelum tiba-tiba bersin. Pada awalnya keadaan masih kelihatan biasa. Tetapi apabila bayi mahu menelan dan seolah-olah mahu bersin sekali lagi, ibunya mula sedar ada sesuatu yang tidak kena.

Bayi tersebut tiba-tiba kelihatan menggelupur dan wajahnya menjadi pucat. Dalam keadaan panik, si ibu segera menepuk belakang anaknya dan cuba melakukan bantuan kecemasan.

Baby tercekik bubur nasi tadi. Ya Allah. Dia dah 8 bulan jadi dah try tak blend halus betul2. Semalam ok. Harini dah habis dah. Last suap dia kunyah pastu bersin.1st bersin ok. Lps tu dia nak telan tiba2 nak bersin lg. Tgk bersin dia tak lepas dan dia tiba2 mengglupur. Tepuk2 belakang tgk dia pucat. Angkat dari kerusi cuba heimlich tp tak berani kuat2 sbb dia pernah operate jantung. Tp tiba dia mcm tak respon

Lebih mencemaskan, ibu ini berkongsi bahawa anaknya pernah menjalani pembedahan jantung, menyebabkan dia tidak berani memberi tekanan terlalu kuat. Namun apabila bayi seakan tidak memberi respons, si ibu akhirnya memberi satu tepukan yang lebih kuat pada bahagian belakang.

Alhamdulillah, selepas itu bayi tersebut kembali bernafas dan warna wajahnya mula pulih. Namun sebagai seorang ibu, detik itu benar-benar membuatkan dirinya menggigil dan trauma.

Menurut Aini, kejadian itu berlaku terlalu pantas, sekitar 15 saat sahaja. Selepas keadaan kembali stabil, dia segera menghubungi jiran yang juga seorang doktor untuk mendapatkan bantuan dan nasihat.

Ads

kita bagi gak satu blow kuat then Alhamdulillah terus nampak dia bernafas & muka merah balik tp dia mcm terkejut/blank mungkin sebab maknya pukul dia rasa. Nak drive ketar tangan. Kitanya ppd. Terus contact jiran doctor minta tlg.Alhamdulillah sekarang dah aktif balik. Spo pun ok.Sekarang tgh monitor. Semoga tak ada apa2 amin.Semua td jadi dlm 15 saat je. Allah. Mak2 yg tgh excited nak bg anak makan please belajar heimlich & bezakan tercekik betul dgn gag reflex please

Syukur, bayinya kembali aktif dan bacaan oksigen juga dilaporkan berada dalam keadaan baik. Namun si ibu tetap memantau keadaan anaknya bagi memastikan tiada perkara yang membimbangkan selepas kejadian tersebut.

Bayi 8 Bulan Tercekik Bubur Nasi, Ibu Kongsi Detik Cemas Yang Jadi Pengajaran

Ramai Ibu Ayah Tersentuh Dengan Perkongsian Ini

Perkongsian Aini mendapat perhatian ramai ibu ayah kerana ia sangat dekat dengan situasi harian di rumah. Ramai yang mengakui kejadian seperti ini boleh berlaku tanpa diduga, terutama ketika anak baru belajar makan makanan bertekstur.

Lebih penting, perkongsian ini membuka mata ramai ibu ayah supaya tidak hanya fokus kepada jenis makanan bayi, tetapi juga perlu tahu cara bertindak jika bayi tercekik bubur nasi atau makanan lain.

Dalam perkongsiannya, Aini turut menitipkan pesanan kepada ibu ayah yang sedang teruja memperkenalkan makanan kepada anak supaya belajar teknik bantuan kecemasan untuk bayi tercekik dan memahami perbezaan antara tercekik sebenar dengan gag reflex.

Ads

Perbezaan Antara Tercekik Dan Gag Reflex

Ramai ibu ayah baru mudah panik apabila anak tersedak, batuk atau seperti mahu muntah ketika makan. Dalam sesetengah keadaan, ia mungkin gag reflex, iaitu tindak balas semula jadi badan apabila makanan terlalu hampir ke bahagian belakang mulut.

Biasanya, bayi yang mengalami gag reflex masih boleh batuk, mengeluarkan bunyi, menangis atau bernafas. Ia boleh nampak menakutkan, tetapi saluran pernafasan masih tidak tersumbat sepenuhnya.

Namun jika bayi benar-benar tercekik, situasinya jauh lebih serius. Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah bayi tidak boleh menangis atau batuk dengan kuat, sukar bernafas, kelihatan panik, muka berubah pucat atau kebiruan, serta tubuh menjadi lemah atau tidak responsif.

Dalam keadaan begini, ibu ayah perlu bertindak segera dan mendapatkan bantuan kecemasan.

Panduan Pertolongan Cemas Untuk Bayi Tercekik

Menurut panduan NHS, bagi bayi bawah satu tahun yang tercekik, ibu ayah boleh memberikan sehingga lima tepukan belakang dengan menyokong kepala serta leher bayi. Jika objek masih tidak keluar dan bayi masih sedar, chest thrusts boleh dilakukan kepada bayi bawah satu tahun.

Ads

St John Ambulance turut menasihatkan supaya tidak memasukkan jari secara membuta tuli ke dalam mulut bayi kerana tindakan itu boleh menolak objek lebih jauh ke dalam saluran pernafasan.

Ibu Ayah Perlu Belajar Pertolongan Cemas

Kejadian ini menjadi peringatan besar bahawa ilmu pertolongan cemas bukan sekadar untuk petugas kesihatan, tetapi sangat penting untuk ibu ayah, penjaga, pengasuh dan sesiapa sahaja yang menjaga anak kecil.

Belajar teknik yang betul boleh membantu ibu ayah bertindak dengan lebih tenang jika berlaku kecemasan. Dalam masa yang sama, sekiranya anak pernah mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti pembedahan jantung, masalah pernafasan atau keadaan perubatan lain, ibu ayah sebaiknya mendapatkan nasihat doktor tentang langkah kecemasan yang sesuai.

Apa yang berlaku kepada Aini dan bayinya bukan untuk menakutkan ibu ayah, tetapi sebagai peringatan supaya kita lebih bersedia. Anak kecil memang sedang belajar makan, mengunyah dan menelan, jadi pemantauan ketika waktu makan sangat penting.

Pastikan bayi makan dalam posisi duduk yang sesuai, tidak dibiarkan makan seorang diri, dan makanan disediakan mengikut tekstur serta kemampuan anak. Paling penting, jangan tunggu berlaku kecemasan baru mahu belajar bantuan kecemasan.

Kadang-kadang, ilmu yang dipelajari hari ini boleh menjadi penyelamat nyawa anak pada saat yang tidak disangka.

Sumber: ainiaa.aaa

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Untuk Papa Mama

Kurang zat besi

IQ Anak Boleh Turun Tanpa Sedar Kalau Kurang Zat Besi!

Zat besi anak penting untuk perkembangan otak, pembelajaran dan tumbesaran yang sihat. Ketahui tanda kekurangan zat besi, risiko Iron Deficiency Anemia (IDA), makanan terbaik serta cara meningkatkan penyerapan zat besi.