
Bila gigi pertama bayi mula tumbuh, itu tanda si kecil sedang melalui satu lagi tahap perkembangan yang penting! Walaupun saat ini sangat menggembirakan, ia juga boleh jadi mencabar kerana bayi mungkin rasa tidak selesa atau mudah meragam. Jom kita fahami apa sebenarnya berlaku semasa proses ini dan bagaimana ibu bapa boleh bantu bayi lebih tenang dan selesa.

Bila Gigi Pertama Mula Tumbuh?
Kebanyakan bayi mula tumbuh gigi pertama sekitar umur 6 bulan, tapi ada juga yang seawal 4 bulan atau lambat sedikit hingga umur 12 bulan. Gigi pertama yang muncul biasanya adalah dua batang gigi bawah di tengah (gigi insisor tengah bawah).
Tanda-Tanda Bayi Sedang Tumbuh Gigi:
Kerap mengigit atau menggigit jari/mainan
Air liur meleleh lebih dari biasa
Suka menggosok atau menarik telinga
Gusi nampak bengkak atau kemerahan
Lebih mudah meragam atau tidak selesa
Kadang-kadang demam ringan (tetapi bukan demam tinggi)
Cara Legakan Gusi Bayi Yang Sakit:
Teether Sejuk
Simpan teether di peti sejuk (bukan peti beku) dan beri bayi gigit — ia bantu kurangkan bengkak dan sakit.Urut Gusi Dengan Jari Bersih
Gosok perlahan gusi bayi menggunakan jari yang bersih untuk beri kelegaan sementara.Lap Air Liur Berlebihan
Selalu lap air liur yang meleleh untuk elak ruam di dagu atau leher.Tuala Sejuk
Boleh beri bayi gigit tuala kecil yang dibasahkan dan disejukkan — selamat & menenangkan.Elak Guna Gel Gigi Tanpa Nasihat Doktor
Jangan guna sebarang produk sapuan yang mengandungi bahan kebas (numbing agents) tanpa nasihat doktor.
Walaupun gigi masih belum tumbuh sepenuhnya, kebersihan mulut tetap penting. Bersihkan gusi bayi setiap hari menggunakan kain lembut yang dibasahkan. Bila gigi pertama muncul, mulakan memberus gigi dengan berus gigi bayi dan air bersih — tanpa ubat gigi dahulu. Elakkan bayi tidur sambil menyusu botol kerana ia boleh menyebabkan kerosakan gigi awal (early childhood caries). Penjagaan awal ini bantu biasakan si kecil dengan rutin kebersihan mulut sejak bayi lagi.
Tumbuh gigi adalah proses semula jadi dalam perkembangan bayi — walaupun kadangkala mencabar, ia akan berlalu. Dengan sokongan, perhatian, dan kesabaran ibu bapa, si manja akan kembali ceria dan tersenyum manis dengan sebatang gigi comel yang pertama!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Barut, Bedung, Sedu & Hair Band Sinonim Dengan Bayi? Doktor Terangkan Bila Keperluannya

Kita sebagai ibu bapa teruja untuk pakaikan barut, hair band untuk anak. Tapi tak ramai yang tahu tentang kesan dan bila penggunaan barut, bedung, sedu dan hair band sehingga menyebabkan bayi tidak selesa. Ikuti perkongsian Doktor Erna;

BARUT, BEDUNG, SEDU DAN HAIR BAND
Ramai yang masih marah bila saya berkongsi tentang hal hal kesihatan wanita dan kanak kanak.
Tak apa, kita tak perlu bersetuju semua benda, kan? Saya sampaikan melalui ilmu saya sebagai seorang doktor sahaja
Tentang hal bedung;
Ada yang kata, di hospital juga bayi terus dibedung sejurus selepas lahir. Adalah itu juga salah?
Ok puan puan sekalian, adakah saya menyebut perkataan salah di dalam posting saya? Tak ada kan? Saya kata bukan keperluan.
Puan puan perlu faham. Bayi selepas dilahirkan terdedah kepada risiko untuk mendapat hypothermia iaitu di mana suhu badan adalah rendah dari yang normal. Nama pun baru dilahirkan kan. Jadi, sebab itu kita bersihkan dia, pakaikan dia baju dan bedung dia. Untuk elak berlakunya hypothermia.
Dan salah satu cara lain adalah dengan mendekatkan badan bayi tanpa apa apa baju dengan badan ibu sejurus selepas bersalin. Selain untuk mengeratkan ikatan ibu dan anak,teknik ini juga memberikan haba kepada bayi.
Selepas 24 jam, biasanya suhu badan bayi sudah normal. Jadi, di negara kita yang beriklim tropika ini, bila siang atau ada masa malam malam dengan suhu yang panas dan kering, tak perlu bedung pun tidak mengapa.
Sudah ramai rasanya doktor doktor dan pakar pakar kata yang angin tidak boleh memasuki badan manusia melalui kulit. Angin apa yang dimaksudkan oleh tuan tuan dan puan puan? Angin bayu? Angin kus kus? Oksigen? Angin apa?
Perut bayi menjadi kembung disebabkan oleh banyak faktor;
Contoh, tidak sendawakan bayi selepas menyusu, menyusu terlalu banyak, tidak cukup susu, bagi puting menyebabkan bayi hisap angin. Sebab itu, bila bayi kembung, kita cuba sendawakan dan belai lembut bahagian abdomennya.
Ok, boleh faham kan?
Bayi akan merengek bila mereka tidak selesa. Boleh jadi lapar, panas,sejuk, gatal badan, pampers penuh, berak, kencing atau mengantuk. Masa inilah peranan anda sebagai ibu bapa bermula. Ambil tahu apa yang buatkan bayi anda tidak selesa.
Sama seperti meletakkan tisu basah di dahi bila bayi sedu;
Adakah ianya perlu?
Tak perlu pun sebenarnya.
Sedu berlaku apabila bayi menyusu dalam keadaan tergesa gesa atau tidak hadam dengan betul atau terus melakukan aktiviti selepas menyusu atau tidak sendawakan dengan betul.
Cara yang boleh digunakan untuk hilangkan sedu adalah dengan memasukkan jari ke dalam mulut bayi atau sendawakan bayi. Biasanya sedu akan hilang dengan sendirinya.
Jika sedu berterusan sehingga berjam jam, bawa bayi anda berjumpa doktor.
Bolehkah bagi gripe water pada bayi?
Ingat, bayi di bawah 6 bulan tidak boleh diberi apa apa selain susu samada susu badan atau susu formula.
Tiada kajian spesifik mengatakan gripe water boleh menyembuhkan kembung dan sakit gigi. Jadi, berhati hatilah ya.
Tentang barut;
Untuk pengetuhuan anda, perut bayi dan kanak kanak memang sedikit buncit. Itu adalah anatomi normal mereka. Jadi, tak perlu risau.
Yang perlu risau adalah jika perut mereka keras, mereka menangis kerana sakit, mereka tidak selesa, ada peruhan pada najis mereka dan mereka tidak sihat. Jika ada ini semua, bawa berjumpa doktor.
Bayi perlu menyusu dengan kerap untuk membesar.
Tak perlulah pakaikan mereka barut. Bahagian abdomen mereka memerlukan ruang yang selesa selepas menyusu.
Janganlah pakaikan barut sehingga ke dada. Anda sendiri tidak selesa jika perlu pakai korset sehingga ke dada. Paling lama anda boleh pakai pun cuma beberapa jam sahaja.
Perhatikan dada anda sendiri semasa anda bernafas. Dada anda akan turun dan naik kerana itulah fisiologi badan kita. Sama seperti bayi, malah mereka lebih memerlukan suasana yang selesa, untuk bernafas, semasa makan, semasa berheat, semasa tidur dan semasa membuat aktiviti.
Sebab itu barut bukanlah satu keperluan pun. Biarlah bayi anda selesa.
Ada yang kata pakai barut untuk sukat susu bayi?
Peliknya dengan ajaran merapu sebegini. Bagaimana anda boleh terpedaya semudah ini?
Sukat susu bayi dengan barut? Lawak kan? Untuk apa sukat?
Bayi memang perlukan susu sebagai makanan dan minuman dia.
Bila saya cakap, bagi lah susu ibu sepenuhnya. Itukan sunnah.
Tapi tak ada pula saya kata bagi susu formula tu haram. Hadui.
Ada pula yang kata alah dekat hospital pun misi sumbat susu formula juga.
Hurm. Inilah dia masalah orang kita.
Faham tak mahu, hentam sahaja melulu.
Jika si ibu sudah berusaha sehabis baik untuk beri susu badan namun susu masih sedikit dan bayi, asyik merengek, takkan anda mahu kami membiarkan sahaja bayi anda.
Lagi lagi bayi kepada ibu yang ada kencing manis semasa mengandung, memang mempunyai risiko hypoglycemia iaitu paras gula dalam darah rendah. Ini adalah bahaya kerana ianya boleh membawa maut.
Boleh faham kan? Insha Allah boleh
Dan lagi satu, saya mahu menegur dengan penggunaan hair band;
Ramai yang suka beli hair band yang berwarna warni. Hati hati. Pastikan ianya tidak ketat.
Bagaimana nak tahu? Lepas anda cabut, tiada bekas atau tanda getah hair band tersebut.
Kepala bayi juga membesar sepanjang dia membesar. Jadi, berhati hatilah ya.
Sebelum kita melakukan sesuatu pada anak anak kita, fikir dahulu, perlu atau tidak, selesa atau tidak untuk dia. Saya tidak pula kata eh jangan pakaiiii, harommmm ni
Saya betulkan berkaitan dengan kesihatan kerana itu bidang saya. Jika anda tidak mahu bersetuju, tidak apa. Itu anak awak, amanah awak.
Semua mahukan yang terbaik untuk anak anak mereka kan? Asalkan tidak memudaratkan bayi, tak apa. Tapi jika sesuatu amalan itu memudaratkan,kenapa masih mahu mengikut?
Ya, masalah kita adalah suka percaya bila dengar,
Eh, orang dulu kata kan
Eh, aku baca kat group tu kan
Eh itu, eh ini. Kan?
Janganlah mudah sangat tertipu ya.
Jadilah ibu bapa yang bijak bestari. Untuk mendapatkan anak anak yang bijak, anda sebagai ibu dan bapa perlu bijak juga. Ajar ilmu yang betul, bukan bagi supplemen untuk bijak pandai ya. Kalau dengan menelan supplemen boleh pandai dan sihat, maka tak adalah orang tak bijak dan orang sakit di muka bumi ini
Nota kaki : Iman tanpa ilmu bagaikan lentera di tangan bayi. Namun ilmu tanpa iman, bagaikan lentera di tangan pencuri. (Buya Hamka)
Sumber: Dr. Erna Nadia
Tak suka permusuhan, setiap amalan perlu ada penerangannya
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bayi & Ibu Sama-Sama Mengantuk & Mudah Terlelap Ketika Menyusu, Apa Puncanya?

Bayi dan ibu sama-sama mengantuk dan mudah terlelap ketika menyusu, ini adalah puncanya.
Ramai ibu berasa bersalah kerana menyusu bayi mereka untuk keselesaan atau semasa mereka tidur. Menyusukan bayi untuk tidur dan untuk keselesaan bukan perkara yang buruk untuk dilakukan sebenarnya, ia adalah perkara biasa, sihat dan sesuai perkembangan bayi. Kebanyakan bayi menyusu untuk tidur dan bangun 1 hingga 3 kali pada waktu malam untuk tahun pertama atau lebih.

Sesetengah bayi tidak perlukan penyusuan untuk tidur tidur sebaliknya diajar menggunakan peralatan seperti buaian, tepukan dodoi atau teknik tidur sendiri yang membiarkan bayi tertidur sendiri selepas mengantuk. Namun jika diberi pilihan, bayi tentunya lebih suka menyusu untuk tidur di dalam dakapan ibunya.
MENGANDUNGI HORMON MENYEBABKAN MENGANTUK
Penyusuan susu ibu sememangnya memberikan keselesaan dan membantu bayi untuk tidur. Ia menenangkan dan juga dapat membantu si anakmengatasi tekanan dengan lebih baik apabila tidak menyusu. Susu mengandungi hormon cholecystokinin (CCK) yang dirembeskan semasa penyusuan yang mengakibatkan rasa mengantuk pada kedua ibu dan bayi.

MEMBANTU MEMBENTUK JAM BIOLOGI
Di samping itu, susu ibu juga mengandungi hormon yang menyebabkan mengantuk, asid amino dan nukleotida yang kepekatannya lebih tinggi pada waktu malam. Ini sebenarnya juga membantu bayi-bayi membentuk jam biologi 24 jam (circadian rhythms) mereka sendiri. Jadi jika anda tidak mahu bayi meragam malam, susukan mereka dengan susu ibu.
DAPATKAN POSISI YANG SELESA
Jika bayi selesa dengan cara menyusu untuk tidur, anda perlu mendapatkan cara yang sesuai untuk menyusukannya dengan baik. Pastikan posisi menyusu sambil berbaring selesa dan sesuai serta yang tidak menyebabkan sakit belakang. Anda perlu memastikan agar tidak tertidur sehingga tertindih bayi!

BAYI BOLEH DITENANGKAN DENGAN PENYUSUSAN
Penyusuan susu ibu tidak sekadar untuk mengenyangkan. Ia juga salah satu cara untuk menenangkan bayi. Ini adalah antara sebab kenapa bayi menyusu untuk keselesaan, ketika dia jelas tidak lapar. Adakah ini tidak normal? Penyusuan untuk menenangkan adalah normal. Sekiranya bayi tidak selesa menyusu, dia perlu menghisap di tangannya atau puting palsu. Payudara adalah diibaratkan puting pertama yang diperkenalkan kepada bayi. Jadi mama jangan takut untuk menggunakannya kepada bayi.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu Kena Prank! Scan Girl, Keluar Boy. Terpaksalah Pakai Baju Pink Dalam Pantang

Pasti ibu-ibu yang dah ada anak lelaki berderet tetap nak juga seorang anak perempuan. Begitu juga bagi pasangan yang ada semua anak perempuan teringin juga seorang anak lelaki kan? Tapi semua ni orang kata rezeki. Andai kata dapat alhamdulillah, jika memang dah tertulis rezeki dapat semua lelaki atau perempuan, tetap terima dengan berlapang dada.
Cumanya kisah yang dikongsikan oleh Puan Noor Rabi Atul Adawiyah ini mencuit hati apabila bayi yang lahir lelaki sedangkan masa scan beberapa kali doktor beritahu perempuan. Malah semua baju dan kelengkapan juga dibeli warna pink.

17.9.2020: Hari ni genap 37w 7d. Hati semakin berdebar menanti saat nak melahirkan satu nyawa. Cakap kat husband, janganlah bersalin lagi sebab 19hb & 20hb family dia nak buat makan-makan kat rumah mak. Hahah sempat lah fikir nak makan sedap sebelum bersalin. Hari ni juga Ibu makan nanas masak sebiji sebab memang nak jadikan natural inducer.
38w 2d: Berlalu tarikh 19hb & 20hb tu. Ibu dapat join family mertua makan-makan dan santai-santai kat rumah. Masa ni perut dah mula kerap mengeras dan rasa menekan dibahagian bawah tapi, Ibu masih boleh enjoy lagi, tak rasa sakit pun.
Ibu beli lagi 2 biji nanas. Potong sesiap letak dalam bekas simpan dalam peti. Seharian makan nanas sampai habis sebekas.
21.9.2020: Hari ni 38w 4d, perut mengeras semakin kuat dan kerap tapi, tak konsisten. Masih sakit biasa-biasa je.
22.9.2020: Hari ni 38w 5d. Kalau ikutkan masa Deeniy dulu waktu ni dia dah selamat melihat dunia. Siang ni perut Ibu masih mengeras macam semalam cuma tang pinggang pun dah mula rasa sakit dan rasa seperti kepala baby menolak bahagian bawah. Ibu cakap dengan husband, mungkin hari ni atau esok Ibu bersalin ni.
Ibu tanya husband “Deeniy nanti macamana? Mesti dia menangis nanti time Ibu tinggalkan dia”, sebab dia manja dengan Ibu, nak tidur mesti pegang tangan Ibu. Husband cakap jangan risau, inshaaAllah Deeniy ok nanti, mak boleh jagakan dia.

5.40pm masa Ibu nak mandi, ada lendir coklat dekat pantyliner. Masa ni husband keluar ambil Aisy balik sekolah. Ibu call just bagitahu dia, dah ada tanda ni. Cuma masa ni contraction tak kerap dan tak konsisten pun. Husband sampai rumah, dia tanya nak pergi hospital sekarang ke? Ibu cakap nanti dulu. Time ni jalan tengah sesak teruk sebab orang balik kerja kan. Plus Ibu pun tak rasa macam sakit nak bersalin pun. Sakitnya mild je. Ibu bancuh raspberry leaf tea 2 uncang sekali minum dan start guna labor blend massage kaki, tangan, pingggang, bawah perut dan sedut baunya dalam-dalam. Tenang je rasa.
8.40pm Ibu tengah kemas dapur, time nak basuh pinggan tiba-tiba Ibu rasa ada leaking. Jernih, suam dan tak ada bau. Sah air ketuban. Terus cakap dengan husband, “jom sesiap pergi hospital”. Siapkan barang anak-anak dan hantar kat rumah mak. Deeniy tak menangis masa ni sebab dia seronok nak main kat rumah mak dengan Abang Aisy. Tapi, Anaqi yang menangis. Ibu tak fikir dah pasal dorang masa ni sebab nak tenang-tenang je.
9.20pm gerak ke HTAR. Time ni pun jalan masih lagi jammed. Husband drive slow-slow je. Sepanjang drive tu dia keep tanya, “ok tak?”. Ibu ok je, memang tak ada rasa sakit contraction yang kuat dan tak rasa sakit sangat pun.
10.30pm lebih kurang sampai hospital. Register. Nurse buat saringan. Timbang berat 62kg. Ibu tukar baju pink.
11pm doctor buat VE baru 3cm. Lepas tu buat scan. Doctor cakap, “Puan kita admit ward dulu ya sebab lambat lagi nak bersalin ni mungkin lagi 1-2jam baru bersalin”. Ibu baring atas katil tunggu nurse bawa ke ward. Ibu tenang-tenang baring sambil apply labor blend tu, tunggu nurse siapkan file admission, doctor pasang branula, cucuk branula lagi sakit daripada sakit contraction. Perut Ibu mengeras makin kuat tapi, dua tiga kali je tak kerap pun dan tak sakit sangat. Sampai Ibu dok fikir mana contraction yang betul-betul sakit dan konsisten ni . Mulut tak berhenti zikir dan baca doa Nabi Yunus.
11.15pm masa tunggu nurse, tetiba Ibu rasa macam nak meneran. Ibu beritahu nurse. Nurse buat VE dah 7cm. Kelam kabut nurse tolak stretcher nak bawa terus ke labor room, tak payah admit ward.
Sampai labor room, Ibu pindah katil nak bersalin. Selesakan posisi. Ibu cakap nurse, “saya rasa nak teran ni”. Bidan cakap,”eh kejap-kejap air ketuban tak pecah lagi”. “Ok Puan saya dah pecahkan air ketuban, Puan push bila rasa nak push dan tarik nafas dalam-dalam ya.
Bila sampai rasa nak push tu Ibu tarik nafas paling dalam dan push sambil ucap “Allahuakhbar!”.

Alhamdulillah tepat 11.23 pm keluar satu nyawa yang Ibu nanti-nantikan.
Ibu dah excited nak tengok ‘baby girl’. Bidan angkat baby dan tunjuk, “Puan tengok baby, Puan nampak tak baby apa?” Ibu nampak seketul bebird. Terus Ibu cakap, “Eh, kenapa boy?”
Ya baby Puan boy ya. Ibu terus gelak, sambil skin to skin dengan baby, tangan Ibu raba-raba kemaluan baby sebab nak confirmkan betul ke boy. Ya Allah Ibu kena prank ke? Mana ‘baby girl’ Ibu.
Bidan cakap kena jahit sikit sebab baby keluar kepala sekali dengan tangan so, tersangkut sikit. 1st degree tear. Tak sabar betul tangan dia nak keluar minta tolong ya.

Bidan cakap dah bius so, tak sakit kena jahit. Embah dia! Sakit wei terasa dijahit hidup-hidup setiap lapisan tu. Terasa cangkuk jarum macam mata kail tu. Dan time tu jugalah bidan tu nak ajar sorang nurse tu cara jahit tapi, sebab Ibu asyik cakap sakit terus dia sambung jahit tak jadi nak terus ajar nurse tu. Terangkat-angkat punggung time dia menjahit tu. Sumpah sakit sangat. Contraction dan teran baby tak sakit tapi, dijahit yang sakit.
23.9.2020/2.20am baru Ibu dibawa ke wad. Ibu salin baju dan pampers baby. Serba pink uolls! Pukul 3.40 baru husband dapat iqamat kan baby tu pun dekat depan entrance ward, tak dapat jumpa Ibu. Nurse hantar semula baby kat Ibu. Nurse tanya. “Eh baby boy kan Puan? Saya ingatkan salah baby tadi sebab baby pakai warna pink”. Ibu sengih je.
Lepas bersalin tu Ibu tak dapat tidur sebab masih fikirkan jantina baby. Kenapakah? Mengapakah?

4am doktor datang cek baby. Doktor pula tanya, “eh baby boy ke girl ni?” Ibu jawab, “i kena prank dengan baby”. Doktor terus ketawa. Tak apa i faham u, kecil lagi tak apa pakai pink.
Suami dah sampai rumah, dia call Ibu. “Sayang anak kita lelaki lagi”, Ibu jawab tulah, “Ibu dah excited nak tengok princess”. Husband cakap, “tak apa, tetap anak kita kan”. Ibu rasa sebak sikit. Tapi, tetap redha dan sayang baby ni.

Doktor cakap baby kena cek darah setiap 4 jam untuk pantau gula dalam darah sebab Ibu ada GDM. Ibu pun sama kena cek. Alhamdulillah setiap kali cek bacaan gula semua normal.
Nurse suruh breastfeed baby tapi, Ibu sedih sebab susu tak keluar sikit pun. Tapi, Ibu cakap dengan nurse “tak apa saya akan cuba juga, nanti baby suck sampai susu keluar juga”. Walaupun Ibu tahu memang tak ada susu yang keluar, Ibu paksa juga baby hisap sekerap mungkin. Ibu tengok ibu-ibu lain dalam ward tu yang tengah seronok breastfeed baby, Ibu sedih. Tapi, Ibu tak give up.
5.30pm Dah boleh discharge dan 8.30pm Alhamdulillah sampai rumah. Malam tu baby kerap menangis mungkin sebab lapar susu, Ibu tetap yakin susu akan keluar. Alhamdulillah akhirnya ada susu keluar walaupun sikitttttt je. Keesokkan hari baru susu mula keluar banyak sikit.

Bermulalah episod ibu berpantang dengan pinky boy. AISY HAQQ nama diberi untuk putera keempat Ibu. Yang bermaksud KEHIDUPAN YANG BENAR.

Sekarang alhamdulillah si comel ibu ni dah pun membesar dengan sihat. Senyuman Aisy Haqq tu buat semua orang cair dan geram. Moga terus membesar menjadi anak yang soleh.

❤ AISY HAQQ BIN HASNIZAM
❤ 22 SEPT 2020 / 2323PM
❤ 3.07KG / 48CM
Kredit: Noor Rabi Atul Adawiyah
Ada gambar anak minum susu yang cute-cute? Jom share dengan Pa&Ma dan anda mungkin berpeluang memenangi hamper barangan bernilai RM100. Muat naik gambar anak anda di SINI

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


