Bayi Sebenarnya Boleh Mengingati Sesuatu – Ini Sebabnya Ia Penting

Ramai ibu bapa beranggapan bayi masih terlalu kecil untuk mengingati apa-apa. Tapi kajian sains terkini membuktikan sebaliknya. Bayi sebenarnya boleh membentuk memori seawal usia beberapa bulan sahaja.

Walaupun kita mungkin tidak akan mengingati apa yang berlaku ketika masih bayi, otak mereka sebenarnya sudah mula menyimpan kenangan terutama sekali kenangan yang melibatkan emosi, sentuhan dan hubungan dengan orang sekeliling.

Otak Bayi Sudah Mula Membentuk Memori

Dalam satu kajian, sekumpulan saintis menggunakan mesin imbasan otak (fMRI) untuk melihat bagaimana otak bayi bertindak balas terhadap gambar-gambar yang mereka pernah lihat. Mereka menunjukkan beberapa gambar kepada bayi berusia antara 4 hingga 24 bulan, kemudian memaparkan semula gambar yang sama bersama gambar baru. Apa yang menarik, apabila bayi melihat gambar yang dikenali, bahagian otak mereka yang dipanggil “hippocampus” menjadi aktif. Bahagian otak ini sangat penting dalam proses menyimpan dan mengenang semula sesuatu pengalaman.

Ads

Ini menunjukkan bahawa walaupun bayi belum pandai bercakap atau bergerak dengan aktif, otak mereka sudah mula berfungsi untuk mengenal dan menyimpan maklumat.

Kenapa Memori Awal Ini Sangat Penting?

Memori awal bayi memainkan peranan yang besar dalam pembentukan perkembangan emosi dan sosial mereka. Contohnya, apabila seorang ibu atau ayah memberi pelukan hangat atau menyanyi kepada bayi secara konsisten, bayi akan mula rasa selamat dan tenang. Walaupun mereka mungkin tidak ingat secara jelas apa yang berlaku, perasaan selamat itu akan tertanam dalam memori mereka.

Ads

Selain itu, memori membantu bayi belajar mengenal orang sekeliling, tempat mereka biasa berada, dan rutin harian seperti waktu tidur atau mandi. Rutin ini memberi struktur yang membuatkan mereka rasa yakin dan mudah menyesuaikan diri apabila mereka membesar nanti.

Peranan Ibu Bapa dalam Membina Memori Bayi

Sebagai ibu bapa, kita sebenarnya memainkan peranan penting dalam membantu bayi membina memori yang positif. Setiap sentuhan lembut, suara yang menenangkan, atau tindak balas kita apabila mereka menangis semuanya meninggalkan kesan kepada perkembangan otak mereka.

Ads

Contohnya, bila kita memeluk bayi selepas dia menangis, bayi belajar bahawa dia akan dilindungi dan disayangi. Bila kita membaca buku cerita sebelum tidur setiap malam, mereka mula mengenal suara, bahasa dan irama, ini semua membantu dalam perkembangan memori dan bahasa mereka nanti.

Apa Yang Ibu Bapa Boleh Lakukan?

Berikut beberapa amalan mudah yang boleh membantu bayi membina memori sejak awal:

  • Peluk dan sentuh bayi dengan penuh kasih sayang – Sentuhan fizikal memberi rasa tenang dan selamat.

  • Bercakap dan menyanyi kepada bayi setiap hari – Walaupun mereka belum faham, suara anda membantu merangsang perkembangan otak.

  • Pastikan ada rutin harian yang tetap – Seperti waktu tidur, mandi, atau makan yang konsisten setiap hari.

  • Beri perhatian bila mereka menangis atau merengek – Respons kita membentuk keyakinan mereka terhadap dunia sekeliling.

Walaupun kita mungkin tidak mengingati apa-apa dari usia bayi, memori tetap terbentuk sejak awal. Otak bayi sebenarnya sangat aktif dalam menyimpan pengalaman terutama yang berkaitan dengan kasih sayang, emosi dan hubungan dengan orang tersayang. Apa yang kita lakukan hari ini sebagai ibu bapa, walaupun nampak kecil, sebenarnya sedang membina asas yang kukuh untuk perkembangan anak kita pada masa depan.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI