
Bengkak susu sampai demam? Jangan anggap ia perkara biasa! Payudara terasa keras seperti batu, panas dan sakit sehingga hendak disentuh pun boleh membuatkan ibu menjerit kesakitan.
Bagi ibu yang menyusukan bayi, keadaan ini pastinya memberikan pengalaman yang cukup mencabar. Bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan, malah boleh mengganggu rutin penyusuan dan aktiviti harian ibu.
Justeru, penting untuk ibu mengetahui punca, komplikasi serta cara yang betul untuk mengatasi masalah ini agar tidak menjadi semakin serius.
Apakah Itu Bengkak Susu?
Pembengkakan payudara merupakan keadaan yang boleh berlaku selepas bersalin. Ia terjadi apabila badan ibu beralih daripada peringkat awal penyusuan yang bermula semasa kehamilan kepada peringkat pengeluaran susu yang lebih banyak, biasanya beberapa hari selepas bersalin.
Proses ini melibatkan peningkatan aliran darah dan limfa ke payudara, sekali gus meningkatkan jumlah cecair di antara tisu payudara sehingga menyebabkan pembengkakan, kesakitan dan ketidakselesaan.
Kebiasaannya, keadaan ini melibatkan kedua-dua belah payudara yang akan terasa tegang, keras dan sakit.
Pembengkakan payudara selepas bersalin lazimnya bersifat sementara. Gejala boleh menjadi lebih ketara sekitar hari ketiga hingga kelima selepas bersalin dan beransur reda apabila pengeluaran susu mula menyesuaikan diri dengan keperluan bayi.
Ketahui Punca Bengkak Susu Dalam Kalangan Ibu Menyusu

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan pembengkakan payudara. Antaranya termasuklah:
1. Bayi Tidak Melekap Dengan Baik
Sekiranya bayi tidak melekap pada payudara dengan sempurna ketika menyusu, pengaliran susu mungkin menjadi kurang berkesan dan menyebabkan payudara membengkak.
Antara faktor yang boleh menjejaskan keupayaan bayi untuk menyusu termasuklah masalah kesihatan atau keadaan fizikal seperti tongue-tie, bibir sumbing atau lelangit sumbing.
Jika bayi tidak mengalami masalah tersebut, ibu perlu memahami bahawa penyusuan merupakan satu kemahiran yang dipelajari bersama-sama oleh ibu dan bayi dari semasa ke semasa.
2. Bayi Tidak Menyusu Dengan Kerap
Pembengkakan payudara boleh berlaku pada hari-hari awal selepas bersalin apabila ibu dan bayi masih dalam proses menyesuaikan diri dengan rutin penyusuan.
Kebiasaannya, badan ibu mengambil masa untuk menyesuaikan pengeluaran susu dengan keperluan bayi.
Keadaan ini juga boleh berlaku apabila bayi semakin membesar dan kurang kerap menyusu, terutamanya selepas mula diperkenalkan dengan makanan pejal.
3. Jadual Penyusuan Tidak Konsisten
Jadual penyusuan yang tidak konsisten juga boleh menyumbang kepada pembengkakan payudara, terutamanya apabila terdapat jarak yang terlalu lama antara sesi penyusuan.
Bayi yang baru lahir lazimnya perlu menyusu sekitar lapan hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam, bergantung pada keperluan masing-masing.
Komplikasi Bengkak Susu Jika Tidak Ditangani Dengan Betul

Walaupun pembengkakan payudara merupakan keadaan yang lazim dialami oleh ibu selepas bersalin, masalah ini tidak seharusnya dipandang ringan, terutamanya apabila disertai demam.
Mastitis
Keradangan pada tisu payudara boleh menyebabkan mastitis, iaitu keadaan yang membuatkan payudara terasa sakit, bengkak, panas dan kadangkala kemerahan.
Ibu juga mungkin mengalami demam, menggigil, keletihan serta simptom seperti selesema.
Sekiranya mastitis melibatkan jangkitan bakteria, doktor mungkin akan memberikan rawatan antibiotik yang bersesuaian.
Abses Payudara
Mastitis yang tidak pulih atau tidak mendapat rawatan sewajarnya boleh berkembang menjadi abses payudara, iaitu pengumpulan nanah di dalam tisu payudara.
Keadaan ini mungkin memerlukan prosedur perubatan untuk mengeluarkan nanah tersebut.
Masalah Pada Puting Payudara
Puting yang retak atau mengalami kecederaan juga boleh menyebabkan kesakitan ketika menyusu serta meningkatkan risiko jangkitan tertentu.
Sekiranya ibu mengesyaki dirinya atau bayi mengalami jangkitan seriawan atau masalah lain pada puting, dapatkan pemeriksaan doktor bagi mengenal pasti punca sebenar.
Artikel Trending: Jerebu Sangat Berbahaya Kepada Bayi, KKM Beri Amaran Ibu Ayah Jangan Ambil Mudah!
Artikel Trending: Wanita Wajah Cantik Lebih Ramai Anak, Ini Fakta Kajian Saintis Yang Ramai Tak Tahu
Arttikel Trending: Bella & Syed Saddiq Kahwin, Ramai Nak Tahu Status Mahram & Aurat Anak Tiri, No. 7 Paling Ramai Tak Tahu!
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
7 Cara Melegakan Bengkak Susu Yang Boleh Ibu Lakukan

Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk membantu mengurangkan pembengkakan payudara dan memberikan keselesaan kepada ibu.
1. Gunakan Tuam Suam Sebelum Menyusu
Mandi air suam atau menuam payudara sejurus sebelum menyusu atau memerah susu mungkin membantu memberikan keselesaan dan memudahkan pengaliran susu bagi sesetengah ibu.
Bagaimanapun, hadkan penggunaan tuam suam kepada beberapa minit sahaja kerana haba yang berlebihan boleh memburukkan keradangan dan pembengkakan.
2. Gunakan Tuam Sejuk
Tuam sejuk atau pek ais yang dibalut dengan kain bersih boleh digunakan pada payudara untuk membantu melegakan kesakitan dan mengurangkan pembengkakan.
3. Susukan Bayi Mengikut Keperluan
Susukan bayi mengikut keperluannya bagi membantu badan menyesuaikan pengeluaran susu secara semula jadi.
Elakkan menambah sesi penyusuan atau mengepam secara berlebihan semata-mata untuk mengosongkan payudara.
4. Peka Terhadap Isyarat Bayi
Bagi bayi yang baru lahir, sesi penyusuan lazimnya berlaku sekitar lapan hingga 12 kali sehari.
Ibu digalakkan untuk mengenal pasti isyarat awal bayi ingin menyusu dan tidak menunggu sehingga bayi menangis kerana kelaparan.
5. Lakukan Teknik Reverse Pressure Softening (RPS)
Ibu boleh mencuba teknik reverse pressure softening (RPS), iaitu memberikan tekanan lembut menggunakan jari di sekitar areola atau bahagian gelap di sekeliling puting.
Teknik ini membantu mengalihkan pembengkakan buat sementara waktu dari kawasan areola, sekali gus memudahkan bayi melekap pada payudara.
Elakkan mengurut atau menekan payudara dengan kuat kerana tindakan tersebut boleh mencederakan tisu dan memburukkan keradangan.
6. Cuba Posisi Penyusuan Berbeza
Ibu juga boleh mencuba beberapa posisi penyusuan, termasuk menyusukan bayi dalam posisi mengiring atau separa baring.
Pilih posisi yang paling selesa untuk ibu dan membolehkan bayi melekap dengan baik.
7. Selang-selikan Payudara Ketika Menyusu
Ibu boleh menukar giliran payudara yang digunakan terlebih dahulu pada setiap sesi penyusuan.
Biarkan bayi selesai menyusu pada sebelah payudara sebelum menawarkan sebelah lagi sekiranya bayi masih menunjukkan tanda ingin menyusu.
Tempoh penyusuan setiap bayi adalah berbeza dan tidak semestinya perlu mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
Elakkan Mengepam Susu Secara Berlebihan
Antara perkara penting dalam usaha mengelakkan pembengkakan payudara daripada berulang adalah dengan tidak mengepam susu secara berlebihan.
Ramai ibu beranggapan bahawa payudara perlu sentiasa dikosongkan bagi mengatasi masalah pembengkakan.
Hakikatnya, tindakan mengeluarkan susu secara berlebihan boleh merangsang badan untuk menghasilkan lebih banyak susu, sekali gus meningkatkan risiko pembengkakan berulang.
Sekiranya payudara terasa terlalu penuh, ibu boleh menggunakan pam susu atau memerah susu menggunakan tangan dalam kuantiti yang mencukupi sekadar untuk mendapatkan kelegaan.
Dapatkan juga nasihat doktor atau kaunselor laktasi bagi mengetahui kaedah penyusuan dan pemerahan susu yang bersesuaian.
Hampir Dua Bulan Tidak Alami Bengkak Susu, Shafiqcute Kongsi Pengalaman

Dalam pada itu, menerusi perkongsian Shafiq Zulkarnain atau dikenali sebagai Shafiqcute , dia turut berkongsi pengalaman isterinya yang pernah berdepan masalah pembengkakan payudara yang cukup teruk.
Menurutnya, dua kejadian yang pernah berlaku sebelum ini memberikan banyak pengalaman buat mereka suami isteri untuk terus belajar mengenai pengurusan penyusuan.
Menariknya, antara kaedah yang diamalkan oleh isterinya adalah dengan menggunakan beberapa jenis pam susu secara bergilir-gilir.
Alhamdulilah, sejak 2 peristiwa bengkak susu maha dasyat telah berlaku sebelum ni, memberi banyak pengalaman kepada kami untuk belajar dan belajar lagi.
Salah satu tips berkesan utk mmycute la bagi elak bengkak susu ialah bergilir-gilir menggunakan pump susu yang berlainan jenis. Sangat membantu utk mmycute sebenarnya.
Daddy beli kan 3 jenis pump susu untuk mummy cute. Mummy akan bergilir-gilir gunakan setiap satu pump susu. Bagi kami, mode suction berbeza daripada pelbagai jenis pump susu tersebut membantu mengelakkan bengkak susu ni.
Alhamdulilah lepas guna teknik penggiliran ni, sudah hampir 2 bulan mummy dah tak kena bengkak susu. Kalau tak dulu selalu kena ya. Mesti kena la kalau hanya fokus guna 1 pump susu sahaja.
Bagaimanapun, perkongsian tersebut merupakan pengalaman peribadi mereka. Penggunaan beberapa jenis pam susu secara bergilir-gilir bukanlah kaedah pencegahan yang terbukti berkesan untuk semua ibu.
Pemilihan saiz corong pam yang sesuai, tahap sedutan yang selesa serta kekerapan mengepam mengikut keperluan juga penting dalam pengurusan penyusuan.
Jika ibu mengalami demam, menggigil, kemerahan pada payudara atau kesakitan yang semakin teruk, segeralah mendapatkan pemeriksaan doktor. Jangan biarkan keadaan berlarutan sehingga menjejaskan kesihatan ibu.
Sumber: www.pantai.com Mohd Shafiq

sekarang!
