
Besar sungguh pengorbanan seorang ibu. Demi melihat anak-anak membesar dengan sempurna, penat lelah sendiri sanggup diketepikan. Begitulah juga pengorbanan seorang ibu tunggal. Biarpun terpaksa membanting tulang mencari rezeki, asalkan segala keperluan anak dapat dipenuhi.
Jika kebanyakan orang memanfaatkan hujung minggu untuk berehat selepas lima hari bekerja, berbeza pula dengan wanita ini yang memilih untuk mencari pendapatan tambahan demi masa depan anak-anaknya.
Itulah kisah inspirasi seorang ibu tunggal, Nurdiyana Zulkefli, 32, yang bekerja tetap sebagai eksekutif sokongan jualan, namun sanggup mengambil upah mencuci pinggan pada hujung minggu demi membesarkan tiga anaknya yang masing-masing berusia dua, lima dan tujuh tahun.

Tak Kisah Buat Apa Pun, Asalkan Rezeki Halal
Berkongsi kisahnya, Nurdiyana berkata, dia mula mengambil upah sebagai pencuci pinggan di gerai milik rakannya sejak tiga bulan lalu.
Keperluan membayar komitmen bulanan seperti rumah, motosikal dan perbelanjaan anak-anak mendorongnya untuk mencari pekerjaan sambilan memandangkan gaji daripada pekerjaan tetap tidak mencukupi selepas segala komitmen dan hutang dilangsaikan.
“Menyedari kemampuan diri, saya cuba cari kerja dan tak kisah buat apa pun selagi halal kerana waktu sekolah, saya pernah bekerja di sebuah restoran makanan segera kerana tak nak bergantung dengan emak juga ayah.
“Kebetulan, ada seorang rakan cari pencuci pinggan di gerainya, jadi saya cuba mohon dan awalnya dia terkejut.
“Rezeki saya apabila diterima bekerja dan syukur kerana diberi peluang untuk menambah pendapatan,” katanya berkongsi.
Tak Mahu Jadi Beban Kepada Ibu Bapa
Malah, ibu kepada tiga cahaya mata ini mengakui sudah terbiasa bekerja sejak di bangku sekolah lagi. Apa yang lebih utama baginya adalah untuk berdikari tanpa terlalu membebankan keluarga, khususnya kedua-dua ibu bapanya.
Di sebalik kesibukan mencari rezeki untuk anak-anak, terselit juga hasrat seorang anak yang mahu membalas jasa insan yang telah membesarkannya.
“Saya sudah biasa bekerja sejak di bangku sekolah lagi jadi tak ada masalah nak buat kerja apa pun selagi daripada sumber rezeki yang halal.
“Niat saya nak tambah pendapatan menyara anak selain bantu emak dengan ayah kerana tak nak jadi beban sesiapa,” kongsinya.

Raih Upah RM60 Sehari, Hujung Minggu Dimanfaatkan Sebaiknya
Bercerita lanjut, Nurdiyana berkata, rutin kerja sambilannya bermula seawal jam 6.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada setiap Sabtu dan Ahad.
Walaupun terpaksa mengorbankan waktu rehat pada hujung minggu, peluang menambah pendapatan itu amat disyukurinya.
“Saya dapat gaji harian iaitu RM60 sehari dan kawan sebagai pemilik gerai juga tak berkira, malah sangat baik kerana beri saya makan juga.
“Buat masa ini, saya tinggalkan anak di bawah jagaan emak dan ayah atau individu terdekat untuk membantu mereka buat sementara,” katanya.
Bukan mudah bagi seorang ibu tunggal untuk membahagikan masa antara pekerjaan dan keluarga. Dalam usaha mencari rezeki tambahan, sokongan daripada insan terdekat juga amat bermakna.
Ibu Tunggal Mahu Langsaikan Hutang & Penuhi Permintaan Anak
Bagi Nurdiyana, pekerjaan sebagai pencuci pinggan bukanlah sesuatu yang memalukan. Sebaliknya, setiap usaha yang dilakukan merupakan ikhtiar seorang ibu untuk memberikan kehidupan yang lebih selesa buat tiga anaknya yang sedang membesar.
Meskipun bekas suaminya turut menyediakan keperluan anak-anak, Nurdiyana mahu berusaha menambah pendapatan agar dapat memenuhi keperluan dan menghargai keinginan kecil mereka.
“Bekas suami ada beri keperluan anak…cuma saya bersyukur sejak buat dua pekerjaan, saya dapat belikan juga apa yang anak hajatkan.
“Nak cari kerja sambilan lain itu tidak kerana okey saja bekerja sebagai pencuci pinggan walaupun ada yang tak percaya bila saya cakap buat kerja berkenaan,” katanya.
Di Sebalik Penat Seorang Ibu, Ada Harapan Buat Anak-Anak
Sesungguhnya, bukan mudah menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar.
Kisah Nurdiyana membuktikan bahawa kemuliaan seseorang bukan terletak pada jenis pekerjaan atau besar mana pendapatannya, tetapi pada kejujuran dan kesungguhannya dalam mencari rezeki.
Ketabahan ibu tunggal ini juga boleh dijadikan inspirasi buat mereka yang sedang berusaha memperbaiki kehidupan keluarga. Setiap pekerjaan yang dilakukan dengan jujur dan ikhlas wajar dihormati.
Tiada apa yang perlu dimalukan dalam mencari rezeki halal. Namun, dalam kesungguhan membahagiakan anak-anak, para ibu juga jangan lupa menjaga kesihatan dan memberikan ruang untuk diri sendiri berehat.
Semoga setiap usaha Nurdiyana dipermudahkan, dilimpahkan rezeki yang berkat dan suatu hari nanti, anak-anaknya memahami betapa besarnya kasih serta pengorbanan ibu mereka.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: Harian Metro & @nurdiyanazulkefli

sekarang!
