
Apa sebenarnya bentan dari sudut sains? Elok diketahui punca-punca bentan ini supaya tidak terikut pantang larang karut.
Perkataan bentan selalu berlegar dalam masyarakat terutama sekali bagi wanita selepas bersalin dan kanak-kanak berkhatan. Penjelasan ini merungkai apa sebenarnya bentan dari sudut sains.

“Siapa suruh langgar pantang??! Kan dah BENTAN !!”
Bentan sering dikaitkan dengan wanita selepas bersalin. Bentan juga turut dikaitkan dengan kanak-kanak yang berkhatan. Dalam masyarakat Melayu, bentan dipercayai sebagai akibat melanggar pantang-larang selepas bersalin.
Antara contoh pantang-larang selepas bersalin ialah :
- Berjalan dengan langkah yang kecil.
- Berpantang dari beberapa jenis makanan seperti timun, buah-buahan dan sayuran yang dikatakan sejuk.
- Ikat rambut tinggi-tinggi, tidur menggunakan tujuh bantal
- Tidak keluar rumah selama 40 hari.

Apakah yang dimaksudkan dengan bentan?
Dari aspek perubatan, bentan adalah komplikasi akibat jangkitan kuman yang dialami selepas proses kelahiran bayi.
Antara gejalanya ialah : Demam, badan berasa lemah / seram sejuk, pening, loya, sakit sendi, tumpah darah, keluar cecair berbau busuk dari faraj, sakit pada bahagian peranakan, sakit pada bahagian luka kelahiran dan jantung yang berdegup kencang.
Terdapat pelbagai sumber jangkitan yang boleh berlaku pada wanita semasa proses berpantang:
1) Jangkitan pada luka tempat kelahiran
Ia boleh berlaku pada luka bahagian faraj jika pembedahan secara normal atau menggunakan vacuum atau forceps. Jangkitan juga boleh berlaku pada luka pembedahan bagi kelahiran secara Caesarean.
2) Jangkitan pada payudara (mastitis)
Dalam masyarakat Melayu, ia lebih dikenali sebagai bengkak susu. Ia boleh terjadi akibat saluran susu yang tersumbat atau rekahan pada puting buah dada yang tidak dirawat.
3) Jangkitan pada salur peranakan.
Ia boleh berlaku jika terdapat sisa daripada proses kelahiran (product of conception) yang tertinggal dalam saluran peranakan contohnya bahagian daripada uri. Keadaan ini boleh menyebabkan sakit perut, sakit pada ari-ari dan menyebabkan tumpah darah.

4) Jangkitan pada saluran kencing.
Ini boleh berlaku jika wanita tersebut kurang minum air semasa berpantang. Pengambilan air yang cukup adalah penting untuk proses pelawasan kencing.
Mengikut pantang-larang orang-orang lama, wanita berpantang perlu menghadkan pengambilan air bagi mengelakkan muka menjadi sembap atau kaki bengkak. Tetapi, perlu diingatkan di sini, jika terdapat simptom muka, badan atau kaki menjadi sembap, wanita tersebut perlu diperiksa untuk penyakit darah tinggi. Tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan sawan atau stroke.
Selain itu, jangkitan pada saluran kencing boleh berlaku jika penjagaan kebersihan faraj diabaikan. Faraj perlu kerap dibersihkan dan kerap menukar tuala wanita.
5) Jangkitan salur pernafasan
Ini boleh berlaku sebagai komplikasi dari prosedur bius (anaesthesia) semasa pembedahan Caesarean. Antara simptomnya ialah batuk, sesak nafas, pernafasan kencang atau sakit dada.

6) Sebab-sebab lain yang tidak berkaitan dengan kelahiran
Jangkitan juga boleh berlaku pada bahagian tubuh yang lain, yang tidak terlibat semasa proses kelahiran. Contohnya akibat gusi bengkak, jangkitan dalam telinga dan cengkam kuku yang bernanah.
Sebagai peringatan utama , bentan adalah salah satu cara tubuh berkomunikasi untuk meminta bantuan dan rawatan . Ia tidak perlu diabaikan atau hanya dipandang mudah sebagai “akibat melanggar pantang”. Dapatkan rawatan dari klinik dan hospital berhampiran dengan segera!
Sumber: rootofscience.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu Bersalin Czer Cuba 4 Posisi Tidur Ini, Tak Risau Sakit Tempat Jahitan!

Susahnya nak tidur! Nak bergerak rasa sakit pada bahagian jahitan perut. Jadi posisi bagaimana yang sesuai untuk ibu bersalin czer?
Sebenarnya tidak ada jawapan tepat untuk menentukan posisi tidur yang menyelesakan buat ibu. Ia memerlukan sesi try and error untuk mendapatkan kedudukan yang membolehkan anda berehat tanpa berasa sakit.

Amat penting untuk berhati-hati semasa mengubah posisi dan memastikan anda tidak menekan atau terlalu memaksa diri untuk duduk atau bangun daripada katil.
Matlamat utama adalah untuk membolehkan anda berehat dengan selesa dan mengurangkan sebarang tekanan pada bekas pembedahan.
Jangan lupa untuk meletakkan si comel sedang tidur dalam katil yang berdekatan bagi membantu meredakan kebimbangan anda. Dalam masa sama, ia membolehkan mereka tidur dengan selamat dalam pemerhatian anda.
Tidur terlentang
Umumnya, posisi tidur terlentang semasa mengandung sangat tidak disarankan, khususnya semasa kehamilan berusia 20 minggu ke atas. Namun, posisi ini amat disyorkan buat ibu yang sedang pulih daripada czer.
Ia meletakkan sedikit tekanan dan ketegangan pada luka pembedahan dan memastikan badan diselaraskan dalam kedudukan neutral.
Untuk menjadikan kedudukan ini lebih selesa, anda boleh menambah bantal, selimut atau tuala yang digulungkan di bawah lutut atau lengan.
Walau bagaimanapun, dalam posisi ini, anda perlu lebih berhati-hati tentang cara bangun daripada katil.
Elakkan daripada terus duduk secara menegak. Sebaliknya gunakan kaedah 3-langkah ‘log roll’ ini:
Sebelum mengalihkan kaki daripada katil, tukar posisi terlentang kepada mengiring ke sisi sepenuhnya anda dengan lutut dibengkokkan.
Dengan menggunakan lengan, perlahan-lahan tolak badan ke dalam posisi duduk — pastikan perut anda sentiasa santai semasa bergerak.
Pastikan anda berada dalam kedudukan duduk tegak sepenuhnya sebelum berdiri. Anda juga perlu menggunakan kaedah 3-langkah ‘log roll’ secara terbalik untuk berbaring di atas katil.

Terlentang condong 45 darjah
Dalam senario ini, anda menggunakan bantal sokongan yang mencukupi untuk membolehkan diri condong 45 darjah di atas katil.
Ia mungkin posisi pelik jika anda tidak biasa tidur dengan cara ini. Tetapi kalian mungkin akan mendapati posisi ini agak menyelesakan semasa tempoh pemulihan.
Di samping itu, ia adalah satu keadaan biasa untuk ibu baharu mengalami apnea tidur obstruktif selepas bersalin. Namun keadaan ini lebih cenderung terjadi buat mereka yang menjalani pembedahan czer.
Tidur dalam posisi condong akan mengurangkan tekanan pada luka pembedahan dan memastikan saluran pernafasan terbuka dan tidak terhalang.
Tidur duduk menegak
Pernah tak anda tertidur di depan televisyen semasa menonton rancangan kegemaran? Kedudukan ini, walaupun mungkin tidak selesa seperti berbaring di atas katil, boleh menjadi satu pilihan posisi tidur selepas bersalin pembedahan, terutamanya pada beberapa hari pertama.
Dapatkan beberapa bantal sokongan yang gebu untuk menjadikan posisi tidur menegak ini menjadi selesa.
Bagi mereka yang melakukan penyusuan eksklusif, tidur menegak memudahkan kalian menyusukan si kecil, khususnya jika sesi penyusuan menjadi lebih kerap pada waktu malam.
Namun harus diingat bahawa posisi ini bukan penyelesaian jangka panjang. Sebaiknya selepas tempoh dua minggu, anda disarankan untuk tidur di atas katil seperti biasa.

Mengiring
Bagi sesetengah individu, selain tidur terlentang, posisi mengiring adalah kedudukan kedua paling menyelesakan.
Buat mereka yang menjalani pembedahan perut, ini adalah pilihan terbaik kerana ia tidak memberikan sebarang tekanan tambahan pada parut pembedahan. Di samping itu, ia juga memudahkan anda untuk naik dan turun katil.
Secara khususnya, anda harus fokus untuk tidur mengiring ke kiri kerana ini memberikan aliran darah optimum dan memudahkan penghadaman.
Anda mungkin memerlukan badan atau alat bantuan sokongan lain seperti bantal untuk memberikan keselesaan dan sokongan yang betul pada bahagian perut dan pinggul.
Biar apa pun teknik tidur yang ibu pilih, pastikan ibu deep sleep dan tidur yang berkualiti tanpa gangguan. Bila cukup tidur, badan jadi lagi segar dan bertenaga. Lagi cepat pulih!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kaki Bengkak Waktu Hamil? Doktor Jelaskan Punca & Cara Atasinya!

Kaki bengkak semasa mengandung kerap berlaku ke atas ibu hamil. Ia adalah perkara normal yang disebabkan oleh perubahan hormon yang mendadak semasa mengandung.
Masalah bengkak kaki menyebabkan ramai ibu hamil berasa tidak selesa dan menyukarkan pergerakan harian mereka.
Bengkak kaki akan bermula dari buku lali, betis dan menular naik ke paras paha. Bagaimanapun jika bengkak ini berlarutan dan turut melibatkan seluruh tubuh badan maka ia perlu dirujuk kepada doktor kerana bimbang disebabkan penyakit lain.
Bagaimana terjadi kaki bengkak?
Menurut Dr Mardiana Kipli, Pakar Obstetrik & Ginekologi seperti dikongsi dalam The Malaysian Medical Gazzete situasi ini kebiasaannya terjadi selepas usia kandungan mencecah 20 minggu.
Waktu ini, janin yang membesar akan menekan salur ‘inferior vena cava’ (salur darah untuk membawa darah dari seluruh badan kembali ke jantung).
Ini menyebabkan perjalanan darah kurang lancar serta berkumpul pada kedua-dua belah kaki.
Perkara ini mengakibatkan perubahan tekanan di dalam salur pembuluh darah menyebabkan cecair badan akan tertapis keluar daripada salur darah dan berkumpul di celah-celah tisu badan.
Oleh itu, kedua-dua belah kaki akan mula membengkak dan selalunya ianya tidak menyebabkan kesakitan. Semakin banyak air tertapis keluar dari saluran darah, semakin besarlah bengkak pada kaki.
Tips kurangkan bengkak kedua-dua belah kaki

- Minum air yang mencukupi. Kebanyakan pesakit takut untuk minum air kerana beranggapan air yang banyak akan menyebabkan kaki lebih membengkak. Badan kita akan mengalami dehidrasi yang teruk kerana air di dalam salur darah sudahpun keluar. Dehidrasi dalam saluran darah akan menyebabkan darah menjadi lebih pekat dan pembekuan darah senang terjadi. Hal ini akan mengundang kepada masalah lain seperti deep vein thrombosis.
- Meninggikan kaki semasa baring. Letakkan bantal di bawah kaki supaya aras kaki menjadi lebih tinggi dari pada paras jantung. Tarikan graviti boleh mengurangkan pengumpulan air pada kaki. Amalkan pada waktu malam.
- Baring mengiring di sebelah kiri badan. Dengan mengamalkan posisi ini, janin tidak akan menekan salur inferior vena cava dan pengaliran darah ke jantung akan lebih lancar.
- Aktif bergerak. Anggapan bahawa kaki akan lebih membengkak jika banyak bergerak adalah tidak benar. Pergerakan aktif adalah lebih baik untuk ibu hamil kerana pengaliran darah akan lebih lancar. Secara tidak langsung, ia boleh mengelakkan pembentukan darah beku pada salur darah kaki.
- Compression stockings. Stokin ini tidak sama seperti stokin harian yang biasa kita guna. Stokin ini direka khas untuk membantu melancarkan pengaliran darah pada kaki. Ia mempunyai keregangan tersendiri dan perlu diukur dengan tepat daripada aras paha hingga ke tapak kaki. Setiap bahagian stokin ini mempunyai tekanan dan keregangan yang berlainan. Compression stocking ini digalakkan penggunaannya pada waktu malam semasa tidur untuk disesuaikan dengan pengaliran darah menjadi perlahan semasa baring.
- Pakai kasut yang selesa. Sila gunakan kasut yang longgar dan bertapak rata untuk mengelakkan tekanan pada kaki yang boleh menyebabkan kesakitan.
- Merendam kaki. Setakat ini, tidak banyak bukti menyokong bahawa amalan merendam kaki boleh mengurangkan bengkak pada kaki. Namun begitu, kebanyakan pesakit berasa lebih selesa apabila kaki mereka direndam di dalam air sejuk. Amalan ini juga boleh mengurangkan lenguh pada tapak kaki.

Adakah bengkak kaki ini boleh disebabkan oleh penyakit?
Ya. Sekiranya bengkak ini semakin teruk sehingga ke paras pinggang, muka, di celah-celah jari dan bahagian kelamin, ini mungkin sesuatu yang abnormal. Hal ini perlu dipantau dengan lebih serius.
Apa yang membimbangkan, perkara ini boleh disebabkan oleh penyakit ‘pre-eclampsia’ atau tekanan darah tinggi semasa mengandung yang menyebabkan protein dikumuh keluar melalui air kencing.
Hal ini perlu diperiksa dengan teliti oleh klinik-klinik kesihatan untuk memastikan tekanan darah anda normal.
Sekiranya simptom seperti sakit kepala, pedih di hulu hati, mata kabur dan muntah yang teruk berlaku, sila dapatkan perhatian doktor dengan segera.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bayi Lembik & Biru, Ibu Kritikal Hilang Darah Hampir 1 liter. Situasi Cemas Prolonged Labor!

Situasi cemas ini berlaku beberapa minit selepas bersalin. Kepakaran dan sistem yang cekap amat genting dan boleh menyelamatkan nyawa bayi dan ibu.
Pengalaman yang diceritakan oleh Dr Mohd Syamirulah Rahim ini boleh dijadikan panduan kepada ibu bapa supaya merancang kelahiran bayi dengan lebih tepat. Kepakaran dan sistem yang cekap amat diperlukan dalam proses kelahiran bayi kerana situasi cemas adakalanya tidak boleh dijangkakan.
Berikut ialah pengalaman beliau sendiri yang berhadapan dengan situasi cemas ini. Semoga kisah cemas antara hidup dan mati ini boleh dijadikan iktibar kepada semua.

Ibu prolonged labor, jantung bayi lemah
Saya teringat sebuah kejadian yang berlaku, ketika saya seorang HO pediatrik tahun lepas. Ketika itu, saya dipanggil untuk attend sebuah kes, ibu prolonged labor dan jantung bayi kelihatan lemah. Namun kelahiran vaginal adalah imminent (bayi dah kat bawah sangat, tak sempat untuk push for ceaser. Ada possibility untuk bayi dilahirkan secara forcep atau vacuum.
Saya ketika itu berada di NICU, sedang attend seorang bayi bersama MO. Apabila menerima panggilan tersebut, saya kurang jelas kerana HO O&G terketar-ketar dan kalut, cemas agaknya.
“Apa? Vaccuum? OS full?” sahut saya. Terdengar perkataan-perkataan itu, MO saya menepuk bahu saya kuat.
“Syamirul! Pi, pi cepat, jangan tunggu!”
Saya lantas meletakkan gagang telefon, berlari ke luar. Hospital kami sedang menjalani pembinaan/pengubahsuaian, bangunan NICU dan labor room terletak agak jauh sekitar 150-200 meter.
Saya pun berlari menuju ke motosikal saya yang diparking berhampiran.
“Kamu nak pergi mana Syamirul?!” rupanya MO tadi pun ikut sekali. Agaknya beliau sendiri cemas, khuatirkan kes itu.
“Naik motor doktor, cepat sikit sampai!” MO itu pun, melompat naik ke motosikal saya, lantas saya memecut tanpa kami berhelmet menuju ke bangunan yang menempatkan labor room.
Selesai menongkatkan motor kami berlari menaiki tangga menuju ke labor room yang terletak di tingkat satu. Sesampainya kami, saya segera mempersiapkan warmer, mempersiapkan set intubation, setup oxygen dan suction. MO saya menuju ke ibu bersalin tersebut, anticipating anything that could happened to the baby.

Bayi tiada tangisan masa lahir. Skor Apgar 3
Tak sampai seminit, “baby out!” Laung MO OnG menandakan bayi sudah dilahirkan. Namun tiada tangisan kedengaran. Apgar 3. Bayi biru lembik itu segera dibawa ke warmer, memang minta maaf sangat2 tak sempat nak skin-to-skin. Apatah lagi delayed cord clamping yg korang nak n banggakan sangat tu.
“Ok rilek syamirul, kamu dry and warm, stimulate dulu, saya bagi oxygen n buat suction.” Arah MO tersebut, tenang. Saya mengelap2 sambil menggosok-gosok belakang bayi, sesekali menjentik tapak kaki. Prosedur standard, memang itulah SOP dalam kes sebegini.
Cukup seminit, “Syamirul, check heart rate!” Saya segera memegang pangkal tali pusat bayi sambil mata menjeling ke jarum jam dinding. “Less than 100, dr!” Respons saya. “Prepare PPV!”

3 minit sangat mendebarkan!
Saya mencapai alat PPV lalu diberikan kepada MO saya. PPV, singkatan kepada positive pressure ventilation. Dalam kes ini, bayi berkemungkinan menelan terlalu banyak air ketuban didalam paru-parunya sehingga menyebabkan ia tak dapat kembang. Sebab itu bayi tidak menangis, malah tanpa oksigen, menyebabkan jantung semakin lemah. Bayi dalam keadaan secondary apnea.
Alat PPV akan menolak udara/oxygen masuk, untuk mengembangkan paru-paru bayi. Itulah sebabnya, bayi menangis sangat penting. Tangisan bayi yang baru lahir, menandakan paru-parunya kembang.
Jika bayi tidak menangis, maksudnya paru-paru tidak dapat kembang, maksudnya bayi tidak mendapat oksigen. Dan sebagaimana semua manusia, kalau tak ada oksigen menandakan maut.
PPV diberikan selama 30 saat. Kedengaran bayi mula mengeluarkan tangisan. Saya memeriksa kembali heart rate bayi. “HR more than 100, dr!” Saya memberitahu MO. “alhamdulillah..” Kedengaran suara beliau perlahan..tatkala peluh kelihatan berlinangan di alis mata. Saya menjentik tapak kaki bayi, seraya bayi menangis kuat, melegakan semua staf dan doktor yang ternanti-nanti, termasuklah sang ibu yang kepenatan.
Semua peristiwa ini, berlaku tak sampai tempoh 3 minit selepas bayi keluar. 3 minit yang singkat, namun sangat mendebarkan dan merenggut jantung hati kami.
Selesai kami memeriksa bayi tersebut, MO saya perlu beredar untuk attend kes lain pula di NICU. Tinggal saya, menyiapkan laporan di kaunter berdekatan. Bayi sudah selesa dibalut dan diletakkan dibawah warmer, manakala sang ibu pula baru selesai mengeluarkan plasenta/uri.
Ibu bleeding tanpa henti, tekanan darah hanya 80/40
Saya sangka, tamatlah sudah episod yang mencemaskan pada petang itu. Rupanya…
“Doktor…” panggil jururawat yang sedang memeriksa sang ibu. MO O&G segera mendapatkan beliau.
“Bleeding tak berhenti lagi, doktor,” ujar jururawat berkenaan. MO tersebut segera mengambil alih. Gauze demi gauze, pad demi pad diberi. Soaked with blood.
“Panggil specialist!” MO tersebut mengarah. Tak sampai lima minit specialist ditelefon, beliau sampai dan mengambil alih tempat MO tadi, iaitu didepan kangkangan ibu tersebut. Agaknya ini yang dikatakan “doktor memperkosa secara terhormat.” yang sering disebut-sebut.
“Repeat BP!” Order specialist tersebut. Mesin memeriksa tekanan darah ditekan.
Bacaan adalah, 80/40.

Red alert, ibu alami postpartum hemorrhage
“RED ALERT, CEPAT!!” Jerit specialist berkenaan, mengejutkan semua staf.
Red Alert, adalah “kod khas” yang diaktifkan dalam keadaan tertentu yang boleh mengancam nyawa ibu. Ada banyak perkara yang berlaku apabila Red Alert diaktifkan.
Pertamanya, semua staf dan doktor yg berada di situ, akan drop everything they’re doing, untuk attend ibu berkenaan. HO O&G yang cuma ada dua orang ketika itu, kalut dengan seorang cuba set large bore branulla, seorang lagi mencari-cari borang crossmatch dan transfusi darah pesakit.
Saya, walaupun HO Pediatrik yang cuma kebetulan berada di situ, the most responsible thing to do at that time adalah menolong. Saya tak boleh buat taktau, mengatakan “tu bukan patient aku”. Tidak. Saya mengapai gagang telefon, mendail operator.
“Operator saya Dr Syamirul di labor room, specialist Dr XXX activate Red Alert, Team
B, postpartum hemorrhage. ” saya bercakap dengan lantang dan jelas. “Faham, doktor, red alert activate at labor room, team b, postpartum hemorrhage.” Balas operator, mengulang kod saya.
Apa yang berlaku sebenarnya? Operator, akan menghubungi pasukan Team B, yang terdiri daripada : Ketua Jabatan O&G, Ketua Jabatan Anaesthesia, Pakar OnG oncall, Pakar Anaesth oncall, MO O&G oncall, MO anaesth oncall, MO medical oncall, serta Ketua Jururawat oncall.
Kesemua individu ini akan ditelefon oleh operator, dan dimaklumkan bahawa sekarang ini, ada satu kes postpartum hemorrhage (PPH) sedang berlaku di Labor Room. Kesemua individu berkenaan, dimana pun mereka berada, akan drop everything they’re doing and rush to the hospital immediately.

Ibu kritikal hilang darah hampir 1 liter!
Ibu tersebut, dalam keadaan kritikal kerana pendarahan tidak berhenti. Blood loss sudah hampir mencapai 1000ml, kehilangan darah menyebabkan tekanan darahnya jatuh dengan sangat pantas. Dua perkara yang SANGAT urgent sekarang ini – menggantikan jumlah darah yang hilang, dan kedua, mencari punca pendarahan dan menghentikannya. Pesakit di ambang maut!
Saya turut membantu, mengisi borang-borang yang berkaitan. Datang seorang lelaki, yang saya sangkakan suami ibu berkenaan. “Encik suami ya, encik tunggu di luar dulu ya, nanti kami terangkan apa yang sedang berlaku”, ujar saya.
Sepukk..saya disekeh kepala. Rakan saya membisik di telinga saya, “hang gila ka apa, tu specialist anaesth tuh!” Terkejut saya. “Eh sori-sori doktor, tak perasan tadi!”
Manakan tidak, beliau datang cuma dalam keadaan berbaju pagoda dan berselipar!
Tak sampai 10 minit keadaan ibu akhirnya stabil
Tak sampai 10 minit berlalu, tekanan darah ibu tersebut dapat distabilkan. Pendarahan dihentikan dengan Bakri Balloon, namun punca pendarahan masih belum dijumpai. Pakar-pakar yang ada ketika itu membuat keputusan untuk menolak ibu itu ke bilik bedah, untuk prosedur EUA (examination under anaesthesia). Segera consent diambil, OT ditempah, stretcher ditolak masuk.
Tak sampai beberapa minit, beliau sudah ditolak ke pintu wad menuju ke bilik bedah.
Total keseluruhan masa dari tempoh specialist tadi mengaktifkan Red Alert, sehingga pesakit ditolak ke bilik bedah, tak sampai 15 minit.
Dan alhamdulillah, ibu tersebut dapat diselamatkan. Begitu juga anak yang dilahirkan, sihat walafiat dan selamat discaj dari NICU.
Quite a happy ending, despite a dramatic scene.
***
Pengalaman di atas adalah benar-benar berlaku dan dialami saya, wallahi, cuma saya tukar sedikit latar dan watak yang ada bagi melindungi identiti-identiti mereka yang terlibat, termasuk pesakit.
Ada pihak yang berkata, doktor suka “menakut-nakutkan” pesakit. Masalahnya, peristiwa ini memang benar-benar berlaku. Menakutkan? Memang la, ingat kami para doktor tak takut ke ketika kejadian itu? Doktor pakar dah pucat lesi. Pakar anaesth sampai tak tukar baju, kalut nak mai.
Kami bukan buat cerita, this incident, can happened to anyone. It has, and it will.
Prologed labor boleh dialami oleh sesiapa sahaha
Prolonged labor, siapa-siapa ibu pun boleh mengalaminya. Saya terkejut apabila ada “birth companion” atau so-called “birth educator” ini berkata, “fail to progress is fail to be patient.”
Malah ada yang saya jumpa di Facebook ini, menghasut ibu muda mengatakan “bayi bila dilahirkan, normal lah kalau tak menangis, bayangkan suasana yang tenang, bayi tidur selesa di atas badan ibu, skin-to-skin contact.”
Sungguh, apahal? (Really, wth?) Katanya birth educator, tetapi takkan lah tak pernah belajar NRP (neonatal resuscitation program)? Tahu tak primary apnea, secondary apnea? Takde masalah kalau tak tahu, tetapi apa hak anda untuk mengatakan macam-macam benda yang kamu tak tahu, menghasut orang awam?
Cuba bayangkan jika ia berlaku di rumah
Yes, anda nak homebirth. Itu pilihan anda. Tapi dengan syarat, anda faham what you signed for. Saya cerita pengalaman saya kat atas, agar anda boleh bandingkan bagaimana agaknya jika anda di tempat ibu tersebut, tetapi situasinya di rumah.
Adakah akan ada doktor pediatrik segera attend bayi anda yang lahir dengan Apgar 3, untuk initiate resuscitation?
Adakah akan ada orang untuk detect pendarahan, alat untuk check tekanan darah?
Apakah adanya blood bank untuk segera menggantikan darah anda yang hilang?
Anda yakin ke, kalau terjadi perkara2 Red Alert, anda boleh sampai ke hospital dalam tempoh 15 minit?
Ibu perlu realistik
Sorry saya bukan menakut-nakutkan. Tetapi saya minta anda realistik. Saya realistik, kerana perkara ini pernah berlaku di hadapan mata saya.
Saya realistik kerana perkara ini, pernah berlaku kepada arwah Army Karmila, yang meninggal dunia tahun lepas kerana postpartum hemorrhage.
Bayangkan, birth educator yang berada di tempat kejadian, ketika ditanya keadaan arwah yang kelihatan lemah dan uri masih belum keluar setelah tiga jam berlalu, beliau menjawab “tak apa, itu biasa.”
Situasi ini boleh terjadi kepada siapa sahaja

This, can happen to anyone. It has, and it will happened again. If it happened in the hospital, then you will get all the help you need. If it happened elsewhere, apa yang ada, itu jelah bantuan yang anda ada. Walaupun yang ada ketika itu hanyalah seorang doula yang cuba CPR melalui arahan dari telefon.
Saya, tak minta banyak. All i am asking for, is be realistik. Kerana itulah juga yang kami sedang lakukan, di pihak kami.
Anda mahu gentlebirth, we are trying to provide that, realistically.
Kalau anda pegi hospital mcm kat sini yang katil dipisahkan each other by curtain je, macam mana kami nak tunaikan permintaan anda nak suami temankan. Suami anda masuk, terselak sikit langsir tu, dah ternampak XXX bini orang lain. Macam mana kami nak tolong?
Tapi itu tak bermaksud kami tak cuba nak ubah. Bangunan baru hospital tempat saya bertugas, sedang dibina dengan wad NICU dan labor room sebelah menyebelah, tak perlu lagi ho naik motor sebab nak cepat. InshaAllah, akan ada delivery suite juga.

Tak pernah saja-saja nak episiotomi
Anda takmau episiotomy, ok of course we will try to fulfill your decision. Kami tak pernah saja2 nak episiotomy, melainkan hanya jika ada indication. Tapi kalau kangkang pun takmau luas, nurse suruh kekalkan punggung diatas katil tapi anda duk angkat-angkat juga, maka memanglah anda berisiko untuk “koyak rabak”. Kalau terkoyak straight terus ke dubur, sebulan anda berak pedih. Kalau koyak sampai ke saraf meneran..seumur hidup anda berak tak payah meneran. Kami nak elakkan benda tu, sebab tu dalam keadaan macam ni, memang kami terpaksa episiotomy.
Mahu ibu & bayi selamat
Nak bersalin dalam posisi yang anda suka? Boleh, takde masalah, kami akan cuba beri. Tapi dah kalau labor chair kami pun saiznya macam tu je, kalau anda nak freestyle mahu jatuh tertungging, patah tulang hidung, kami juga yang kena. Nak beli labor chair besar2 mahal2, kami bukannya ada bajet lebih, charge bersalin seringgit pun ada orang merungut dengan servis kami. Charge lebih2 lagi la banyak kena kondem.
Ada yang kita boleh tolak ansur, kita tolak ansur. After all, at the end of day, saya percaya semua kita hanya mahukan dua benda sahaja:
Anda selamat.
Bayi anda selamat.
Let’s work together, and meet each other halfway. Kami cuba sedaya upaya untuk jadi realistik, dan anda pun cuba sedaya upaya untuk realistik.
Sumber: Mohd Syamirulah Rahim
[Cerpen ini turut dimuatkan didalam novel H.O, penulis Dr. Mohd Syamirulah Rahim, terbitan White Coat Publications]
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


