
Berapa jam anak perlu tidur sehari? Jam 10 malam masih belum tidur. Jam 11 malam masih menonton video. Malah, ada anak yang dibawa keluar makan sehingga lewat malam walaupun perlu bangun awal untuk ke sekolah pada keesokan harinya.
Keadaan ini mungkin dianggap perkara biasa, terutama apabila anak masih kelihatan aktif dan ceria. Namun, tubuh mereka sebenarnya boleh mula mengumpul “hutang tidur” apabila waktu rehat yang diperlukan tidak mencukupi.
Hutang tidur bukan sekadar menyebabkan anak mengantuk pada waktu pagi. Jika berlaku secara berterusan, kekurangan tidur boleh mempengaruhi tumpuan, pembelajaran, emosi, tingkah laku dan kesihatan fizikal anak.
Berapa jam anak perlu tidur sehari? Soalan ini sering ditanya oleh ibu bapa kerana keperluan tidur berubah mengikut usia. Memastikan anak mendapat tempoh tidur yang mencukupi merupakan antara langkah paling mudah untuk menyokong perkembangan fizikal dan mental mereka.
Menurut infografik yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia, berikut ialah jumlah tidur yang disarankan mengikut peringkat usia.
Memerlukan 12 hingga 16 jam tidur sehari, termasuk tidur siang.
Memerlukan 11 hingga 14 jam tidur sehari, termasuk tidur siang.
Memerlukan 10 hingga 13 jam tidur sehari, termasuk tidur siang.
Memerlukan 9 hingga 12 jam tidur sehari.
Memerlukan 8 hingga 10 jam tidur sehari.
Cadangan ini selaras dengan garis panduan yang diterbitkan oleh American Academy of Sleep Medicine. Jumlah tersebut merujuk kepada keseluruhan tempoh tidur dalam masa 24 jam. Bagi bayi dan kanak-kanak bawah lima tahun, jumlah itu termasuk waktu tidur siang.
Ibu ayah boleh membantu anak mendapatkan tidur yang lebih berkualiti dengan menetapkan waktu tidur dan bangun yang konsisten setiap hari, termasuk pada hujung minggu.
Hentikan penggunaan telefon, tablet, televisyen dan permainan video sekurang-kurangnya satu jam sebelum waktu tidur. Gantikan dengan aktiviti yang lebih menenangkan seperti membaca buku, berbual atau mendengar cerita.
Pastikan juga bilik tidur berada dalam keadaan gelap, tenang, selesa dan tidak terlalu panas. Elakkan memberikan makanan berat atau minuman berkafein kepada anak menjelang waktu tidur.
Rutin malam yang konsisten membantu tubuh mengenali isyarat bahawa sudah tiba masanya untuk berehat. Lama-kelamaan, anak akan lebih mudah tidur tanpa perlu dipaksa.
Tidur merupakan waktu penting untuk otak memproses maklumat, mengukuhkan pembelajaran dan menyusun memori yang diterima sepanjang hari.
Apabila anak tidak cukup tidur, mereka mungkin boleh duduk berjam-jam di dalam kelas tetapi sukar memberikan perhatian, lambat memahami arahan dan mudah terlupa perkara yang baru dipelajari.
Justeru, jangan terus memarahi atau menganggap anak malas apabila prestasi sekolahnya mula merosot. Ada kemungkinan otaknya terlalu letih untuk menerima dan memproses pelajaran dengan baik.
Tidur yang mencukupi secara konsisten dikaitkan dengan tahap perhatian, pembelajaran, memori, tingkah laku dan kawalan emosi yang lebih baik dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.
Kurang tidur tidak semestinya menyebabkan anak kelihatan mengantuk sahaja. Ada anak yang menjadi lebih sensitif, mudah marah, meragam, melawan arahan atau sukar menenangkan diri.
Sesetengah kanak-kanak pula kelihatan semakin aktif, bising, agresif dan sukar duduk diam apabila terlalu letih. Ibu ayah mungkin menyangka anak masih mempunyai banyak tenaga sedangkan tubuhnya sebenarnya sedang berusaha melawan rasa mengantuk.
Oleh itu, sebelum melabel anak sebagai “nakal”, perhatikan semula rutin tidurnya. Tingkah laku yang mencabar boleh menjadi salah satu petanda anak tidak mendapat rehat yang mencukupi.
Tidur turut memainkan peranan dalam pengawalan selera makan dan penggunaan tenaga oleh tubuh.
Apabila waktu tidur terganggu, anak mungkin menjadi lebih mudah lapar, kerap mencari makanan atau memilih makanan tinggi gula dan kalori. Pada masa yang sama, rasa letih boleh menyebabkan mereka kurang berminat untuk bergerak dan melakukan aktiviti fizikal.
Jika keadaan ini berterusan, risiko berat badan berlebihan boleh meningkat. Kajian turut mengaitkan tidur yang mencukupi dengan risiko obesiti yang lebih rendah dalam kalangan kanak-kanak.
Jangan tunggu sehingga berat badan anak meningkat sebelum mula mengawal waktu tidurnya. Tidur yang berkualiti merupakan sebahagian daripada gaya hidup sihat yang perlu dibentuk sejak kecil.
Ketika tidur, tubuh anak menjalankan pelbagai proses pemulihan yang penting. Tidur menyokong pertumbuhan, pembaikan sel dan tisu serta membantu sistem imun berfungsi dengan lebih baik.
Anak yang cukup tidur biasanya lebih bersedia untuk menjalani aktiviti pada keesokan hari. Mereka lebih cergas, mudah memberi perhatian ketika belajar serta mempunyai kawalan emosi yang lebih baik.
Sebaliknya, anak yang mengantuk boleh menjadi kurang peka, lambat bertindak balas dan lebih mudah melakukan kesilapan ketika belajar atau bermain. Oleh itu, memastikan anak mendapat tidur yang mencukupi setiap hari merupakan pelaburan terbaik untuk kesihatan dan perkembangan mereka pada masa hadapan.
Baca lagi: Extra Joss Tak Sesuai Untuk Anak, Ganggu Degupan Jantung!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!
Sumber: Public Health Malaysia