Rezeki guru-guru yang mendidik anak-anak seperti anak sendiri. Sebagai tanda menghargai pengorbanan guru, sepasang suami isteri menghadiahkan gelang emas kepada 10 orang cikgu anak lelakinya yang berada di Tahun 1 bersempena sambutan Hari Guru pada hari ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh wanita yang dikenali sebagai Nurashikin Din di laman TikToknya, dia bersama suami membawa anak lelakinya yang berusia tujuh tahun membeli hadiah tersebut di sebuah kedai emas terkemuka.
“Hadiah hari guru 2024 dari Hafiy Hadeef untuk mualim & mualimah ❤️. 10 orang guru nya.
“Special thanks to Ammar tolong bungkuskan hadiah hari guru hafiy cantik-cantik,” tulisnya menerusi kapsyen.
Tindakan kedua ibu bapa ini pastinya dipuji ramai kerana tidak berkira dengan guru-guru yang banyak menyumbangkan tenaga dan usaha dalam mendidik anak mereka.
Ads
Meninjau diruangan komen, rata-rata wargamaya begitu kagum malah menyifatkan ia sebagai hadiah paling bermakna buat guru-guru.
Sehingga kini, video tersebut telah meraih lebih 800,000 tontonan dan mendapat lebih 67,000 tanda suka daripada wargamaya.
Pelbagai hadiah menarik menanti anda selain boleh berhimpun bersama ratusan ekor kucing Oyen comel di sini. Apa lagi daftar sekarang dan jadi sebahagian peserta kami.
“Bayangkan, percutian impian bertukar trauma. anak pengsan di atas Salji. Perkongsian seorang ibu, Syira Charms, di Facebook begitu meruntun jiwa apabila anak tersayang mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti di salji semasa bercuti di Switzerland.
Inilah yang dilaluinya oleh ibu ini. Ada hari-hari tertentu dalam hidup seorang ibu hati rasa digenggam kuat sampai nafas sendiri pun terasa berat. Lama dia pendam, lama dia cuba kuatkan hati sebelum berani nak buka cerita sebenar.
Hari ini, selepas berbulan-bulan, barulah seorang ibu bernama Syira Charms ada kekuatan menceritakan semula detik hitam yang hampir meragut nyawa anaknya ketika bercuti di Switzerland pada bulan Jun lalu.
Ikuti perkongsian ibu ini penuh dengan luahan hati. Semoga ia menjadi pengajaran buat semua.
Bayangkan percutian impian bertukar jadi detik paling menakutkan untuk seorang ibu di Switzerland. Anak pengsan selepas terpelanting atas lantai salji keras dan hanya helikopter yang boleh selamatkan!
Hari ini barulah mommy ada kekuatan utk berkongsi kisah trauma kami di Switzerland pada Jun yg lepas.
Hari yang cerah 7 Jun 2025, kegembiraan anak-anak menyambut rancangan ke Jungfrau, Top of Europe, sangat terasa seawal jam 6.30 pagi. Mereka begitu teruja untuk bermain salji dan snowtube, aktiviti yang paling dinanti-nantikan oleh semua anak. Kami menggunakan Swiss Pass untuk bergerak ke stesen kereta api menuju Jungfrau, tiba di sana pada jam 1 tengah hari. Sebelum meneruskan perjalanan ke puncak, anak-anak meminta untuk menikmati snowtube terlebih dahulu.
Setibanya di kawasan snowtubing, salji renyai-renyai turun seakan menyambut kehadiran kami. Suasana nyaman, angin tidak terlalu kuat dan kami sekeluarga selesa bermain salji. Si kecil, Ahmed, ketawa tak berhenti sambil memegang salji. Kami membeli tiket masuk ke park dan setiap orang diberi masa setengah jam untuk bermain. Namun, kami perhatikan tidak ada pekerja di bahagian bawah slide, hanya pekerja di bahagian tiket dan pemberi tube sahaja. Tiada arahan jelas untuk giliran turun, jadi kami turun bersama lima orang sekaligus. Semuanya berjalan lancar ketika itu.
Pada cubaan kedua, kelajuan tube berbeza. Mommy, Safiyah, daddy dan Ahmed sampai ke bawah lebih awal. Fayyadh, Hannah dan Aisyah tertinggal di tengah. Kejadian tragis berlaku apabila tube Fayyadh bertembung dengan tube mommy dan Safiyah. Tube
Fayyadh meluncur laju dan slide agak curam, menyebabkan Fayyadh tercampak keluar daripada tube, terus jatuh di atas lantai salji yg keras, kepala sblh kanannya terhentak ke lantai dan terus pengsan. Fayyadh ketika itu sedang merakam suasana menggunakan telefon mommy. Safiyah, Hannah dan Aisyah pun terpelanting juga. Tu dengar anak yg menangis kat situ. Paling mommy syukur, Ahmed terselamat
Dua pelancong Korea yang baru turun segera membantu membawa Fayyadh ke sisi. Mommy memeriksa Fayyadh, menepuk mukanya dalam keadaan cemas, @nik gerila non stop panggil Fayyadh. Pekerja di atas turun membawa walkie talkie lebih kurang 10 minit kemudian. Fayyadh mulai sedar, mengerang kesakitan, dan menyatakan dia merasa gelap seketika, kemungkinan akibat pengsan. Kepala Fayyadh bengkak di sebelah kanan. Mereka segera membawanya ke pondok tiket kecil untuk menunggu pasukan kecemasan.
Pihak snowtubing menganggap kecederaan kepala Fayyadh adalah serius. Mereka letakkan ais di kepala Fayyadh dan bertanya keadaannya berulang kali. Setelah mendapat arahan, mereka perlu membawa Fayyadh ke bilik medical service sekitar 10 minit dari situ untuk pemeriksaan lanjut. Mommy terpaksa berpisah seketika daripada suami dan anak-anak lain bagi menemani Fayyadh ke pemeriksaan perubatan. Medical officer bertindak cekap. Beliau segera menyatakan Fayyadh perlu dibawa ke Hospital Kanak-kanak di Bern melalui helikopter kerana hospital di Interlaken adalah utk org dewasa.. Mommy sangat risau melihat bengkak di kepala Fayyadh walaupun sudah sedikit surut. Mommy bersedia naik train dua jam ke Bern, namun medical officer menegaskan helikopter sedang dalam perjalanan. Hati mommy berdebar. Demi keselamatan anak, mommy gagahkan diri menaiki helikopter bersama seorang doktor kanak-kanak, juruterbang dan pembantu.
Perjalanan mengambil 30 minit ke Inselspital Bern. Setibanya di sana, Fayyadh dikendalikan pantas di jabatan kecemasan. Pilot dan pembantu malah membantu urusan pendaftaran Fayyadh. Selepas 30 minit, Fayyadh mendapat wad dan dipantau setiap setengah jam oleh jururawat dan doktor selama 4 jam untuk memastikan tiada tanda-tanda komplikasi serius seperti muntah atau sakit kepala teruk.
Mommy sendiri berjalan mencari kedai halal untuk bungkus makanan. Suami dan anak-anak yang lain terpaksa kembali ke Interlaken menyebabkan mommy dan Fayyadh berdua sahaja di Bern. Fokus mommy hanya kepada kesihatan anak, tidak memikirkan diri sendiri atau hal lain.
Setelah doctor membuat pemeriksaan menyeluruh, Fayyadh dibenarkan balik. Mommy sangat bersyukur. Pesanan doktor agar terus pantau Fayyadh untuk 48 jam seterusnya. Jam 8 malam, mommy dan Fayyadh menaiki bas ke Bern Train Station untuk pulang ke Interlaken.
Banyak pengajaran dikutip dari insiden ini, keselamatan semasa bermain, pentingnya pengurusan kritikal, dan rasa syukur atas sokongan padu pihak Jungfrau dan orang ramai. Tidak terucap rasa terima kasih mommy dan keluarga kepada mereka yang membantu sepenuhnya.
✔ Keselamatan di kawasan permainan bukit/salji mesti diambil serius
✔ Jangan anggap semua park di luar negara selamat 100%
✔ Pengurusan krisis sangat penting
✔ Insurans perjalanan bukan pilihan ia wajib
✔ Sentiasa peka, walaupun momen itu nampak menyeronokkan
Seorang kanak-kanak berusia 19 bulan disahkan oleh doktor menghidap kanser ovari tahap tiga pada Rabu lalu.
Kanak-kanak itu, Daneen Auni Riksi kini sedang menjalani rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) dan bakal menjalani rawatan kimoterapi dalam masa terdekat.
Menurut ibunya, Fallarystia Sintom, 25, semuanya bermula selepas tangisan berpanjangan Daneen selain sukar membuang air besar yang dialaminya.
Ujarnya lagi, dia mengakui agak terkejut dan sedih dengan ujian yang dihadapi sebaik mengetahui anak bongsunya itu yang belum pun berusia dua tahun disahkan menghidap kanser tersebut.
“Saya sangat tidak sangka sebab kanser ovari jarang kita dengar dihidap pada usia begini, biasanya kena pada usia 40 tahun ke atas atau sudah datang haid.
“Doktor ketika ini sedang meneliti kes anak saya sebab jarang ditemui. Sebaik saja dimaklumkan, saya sedih sebab anak saya masih kecil lagi sudah dibuang ovari sebelah kanan,” katanya berkongsi.
Kembung perut dan sembelit sejak Ogos lalu
Ditanya lanjut bagaimana mula dikesan mengenai kanser tersebut, Fallarystia mengatakan anaknya mengalami kembung perut dan sembelit sejak Ogos lalu.
“Anak saya tidak selesa dan memandangkan dia belum pandai bercakap, dia hanya menangis apabila mengalami sakit bahagian perut. Selain itu, perutnya juga kembung dan agak sukar untuk membuang air besar.
“Malah dia juga sudah tidak aktif seperti sebelum ini dan tidak mahu berjalan sebaliknya hanya mahu didukung. Kami mula membuat pemeriksaan di Hospital Kota Marudu namun belum dapat dikesan mengenai sakitnya.
“Kemudian, satu hari bacaan darah anak saya jatuh mendadak dan menyebabkan dia terus dirujuk ke HWKKS pada 28 September lalu dan disitu barulah dapat dikesan ada ketumbuhan serta mengalami pendarahan.
“Bagi mengeluarkan ketumbuhan sebesar 13.50 sentimeter tersebut, anak saya perlu dibedah segera. Pada Rabu lalu, selepas pembedahan dilakukan barulah doktor mengesahkan anak saya menghidap kanser ovari,” katanya sebak.
Dia dan suaminya yang bekerja di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat bergantung harap kepada Allah dan juga usaha daripada pihak hospital.
“Buat masa ini, anak saya dalam tempoh penyembuhan selepas dibedah untuk membuang ketumbuhan tersebut. Jadi selepas itu barulah dia boleh memulakan rawatan kimoterapi.
“Doktor berpesan bahawa sakit anak saya ini ada ubat, maksudnya kimoterapi. Selagi ada ubat maksudnya ada harapan dan dalam masa sama saya juga berdoa supaya diberikan kesembuhan kepada anak saya,” katanya.
Sehubungan itu, Riksi berkata, untuk menampung kos perbelanjaan dan rawatan beliau memohon sumbangan ikhlas daripada orang ramai bagi meringankan beban keluarganya itu.
Dulu, ia mungkin dianggap luar biasa apabila ibu bapa Melayu memilih untuk menghantar anak ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Namun hari ini, pendaftaran murid Melayu di SJKC bukan lagi sesuatu yang asing, malah semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Perubahan ini mencetuskan pelbagai perbincangan dalam kalangan ibu bapa dan penggiat pendidikan. Apakah faktor sebenar yang mendorong ibu bapa membuat keputusan besar ini, sedangkan mereka sedar cabaran bahasa dan persekitaran yang berbeza?
Hakikatnya, semakin ramai keluarga melihat aliran ini sebagai satu strategi pendidikan jangka panjang yang berbaloi untuk masa depan anak-anak.
Dalam dunia global hari ini, China muncul sebagai antara kuasa ekonomi terbesar dunia. Justeru, penguasaan bahasa Mandarin tidak lagi dilihat sebagai kelebihan tambahan, sebaliknya satu kemahiran penting untuk peluang kerjaya dan perniagaan pada masa hadapan.
Ramai ibu bapa berpendapat mempelajari Mandarin sejak kecil jauh lebih mudah dan berkesan. Bagi mereka, menghantar murid Melayu di SJKC merupakan satu pelaburan jangka panjang yang boleh membuka lebih banyak peluang rezeki apabila anak dewasa kelak.
SJKC sememangnya dikenali dengan sistem disiplin yang tegas serta tugasan akademik yang konsisten. Pada peringkat awal, ada ibu bapa yang bimbang anak-anak akan tertekan, namun realitinya ramai melihat perubahan positif dalam sikap dan cara anak mengurus masa.
Anak-anak dilatih supaya lebih berdisiplin, rajin dan tidak mudah berputus asa. Nilai ketahanan diri ini dianggap sangat penting dalam membentuk karakter anak sejak usia muda.
Satu lagi sebab utama peningkatan murid Melayu di SJKC ialah kekuatan aliran ini dalam subjek teras seperti Matematik dan Sains. Silibus yang tersusun serta latihan berterusan membantu murid memahami konsep dengan lebih mendalam.
Bagi ibu bapa yang melihat potensi anak dalam bidang STEM, SJKC dianggap mampu memberikan asas akademik yang lebih mantap untuk melangkah ke peringkat pendidikan lebih tinggi.
Kebanyakan SJKC menerima sokongan padu daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta alumni. Hasilnya, kemudahan sekolah sentiasa dinaik taraf seperti dewan serbaguna berhawa dingin, bilik darjah pintar dan persekitaran pembelajaran yang selesa.
Fasiliti yang baik ini menjadi tarikan utama kepada ibu bapa yang mahukan suasana sekolah selamat dan kondusif untuk perkembangan anak-anak.
Menariknya, banyak SJKC kini semakin peka terhadap keperluan murid bukan Cina. Penyediaan kantin mesra halal serta kelas Fardu Ain atau Pendidikan Islam diuruskan dengan lebih tersusun.
Perkara ini memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa walaupun memilih aliran berbeza, aspek agama dan budaya anak tetap terpelihara.
Akhirnya, keputusan menghantar murid Melayu di SJKC bukan sekadar soal bahasa atau disiplin semata-mata. Ia adalah satu keputusan besar yang dibuat berdasarkan perancangan pendidikan jangka panjang dan persediaan masa depan anak.
Bagi ramai ibu bapa, yang paling penting ialah memastikan anak-anak mendapat peluang terbaik untuk berkembang, bersaing dan berjaya dalam dunia yang semakin mencabar.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ekzema anak berkait dengan asma dan resdung ibu bapa melalui fenomena Atopic March, satu perjalanan alahan yang boleh bermula sejak bayi jika tidak dikawal awal.