Bisphenol A ataupun BPA adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik polikarbonat dan resin epoksi sejak lebih 40 tahun yang lalu. Plastik polikarbonat digunakan dalam pembuatan bekas makanan termasuk botol susu agar ia keras dan lutsinar manakala resin pula digunakan untuk menyalut bekas besi seperti tin makanan termasuk tin susu formula, penutup botol dan paip air, bagi mengelakkan karat dan meningkatkan jangka hayat makanan di dalam tin itu.
Berdasarkan beberapa kajian yang dijalankan, terutamanya ke atas haiwan, ia telah mendapati bahawa pendedahan kepada BPA dapat memberi kesan buruk kepada kesihatan-terutamanya pada perkembangan otak, sistem reproduktif dan juga menyebabkan barah. Kesannya bukan setakat kepada kanak-kanak kecil, malah kepada bayi sejak dari dalam kandungan lagi.
Susulan daripada penerbitan kajian-kajian itu, pada tahun 2012, Food and Drug Administration (FDA) telah mengharamkan penggunaan BPA di dalam pengeluaran botol susu bayi. Pada bulan Julai 2013, FDA pula mengharamkan penggunaan BPA pada tin susu formula. Sejak daripada itu, banyak syarikat-syarikat pengeluaran barangan bayi juga telah memberhentikan penggunaan BPA di dalam pengeluaran produk mereka seperti cawan minuman ataupun sippy cup.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengharamkan penjualan botol susu jenis polikarbonat (PC) yang mengandung BPA mulai 1 Mac 2012.
Maksud ‘BPA free’
Botol susu ‘BPA free’ adalah botol susu yang bebas dari BPA dan diperbuat daripada bahan plastik selain dari PC seperti Polypropylene (PP), Polyethersulfone (PES), Polyamides (PA), Polyphenylsulfone (PPSU) dan juga kaca.
Ads
Botol susu bebas BPA biasanya boleh dikenalpasti melalui:
Label ‘BPA-free’ yang terdapat pada botol atau pembungkus botol susu
Mempunyai simbol kitar semula nombor ‘5’ bagi botol yang diperbuat daripada polypropylene (PP)
Mempunyai simbol kitar semula nombor ‘7’ dengan perkataan PA bagi botol yang diperbuat daripada polyamide atau perkataan PES bagi botol yang diperbuat daripada polyethersulfone.
Botol susu kaca adalah yang terbaik kerana ia dapat menahan suhu yang panas, lutsinar dan tidak akan mengeluarkan bahan kimia yang membahayakan walaupun dipanaskan. Walaupun botol susu kaca tidak praktikal kerana berat dan mudah pecah, ia boleh bertahan seumur hidup sekiranya dijaga, disimpan dan dibasuh dengan rapi.
Jenis produk yang sering mengandungi BPA selain botol susu bayi.
Selain daripada botol susu bayi, BPA juga boleh terkandung di dalam produk lain seperti peralatan sukan (topi keledar, goggle), botol air plastik, peralatan perubatan (kateter, tiub, pengedap gigi ataupun dental sealant) dan juga lapisan dalam tin makanan dan minuman. Peralatan bayi dan kanak-kanak seperti cawan minuman (sippy cup), tin susu formula, plastik pemegang pada puting tiruan dan permainan pun boleh mengandungi BPA.
Ads
Penggunaan BPA pada botol susu telah diharamkan pada tahun 2012, jadi, botol susu lama yang dikeluarkan sebelum tahun 2012 juga mungkin mengandungi BPA.
Bagaimana BPA boleh masuk ke dalam tubuh manusia, apakah kesannya?
Punca utama pendedahan kepada BPA adalah melalui pemakanan and minuman.
Kanak-kanak boleh terdedah kepada BPA secara langsung apabila makan atau minum daripada bekas yang diperbuat daripada BPA.
Bayi di dalam kandungan dan bayi yang diberi susu ibu juga secara tidak langsung boleh terdedah kepada BPA. Ini adalah apabila ibu mengandung atau menyusu badan makan atau minum dari bekas yang diperbuat daripada BPA. BPA didapati terkandung di dalam air ketuban dan juga susu badan.
Kadar BPA yang larut keluar dari plastik adalah lebih tinggi jika suhu adalah panas, contohnya apabila makanan dalam bekas plastik atau susu di dalam botol susu dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro. Kajian yang dijalankan di University of Cincinnati menunjukkan BPA boleh larut keluar sebanyak 55 kali ganda lebih cepat apabila bekas dipanaskan. Kandungan BPA yang larut keluar juga bergantung kepada jenis makanan (lebih pada makanan berlemak, masin atau berasid) dan jangkamasa kontak makanan kepada bekas itu.
Ads
Apa yang mengejutkan adalah berdasarkan kajian oleh CDC, pengambilan BPA yang tertinggi adalah di kalangan bayi dan kanak-kanak. Ini adalah membimbangkan kerana di peringkat awal usia, organ kanak-kanak sedang berkembang dan kesan yang buruk boleh memberi komplikasi jangka masa panjang kepada mereka. Badan kanak-kanak juga kurang efisien untuk menghapuskan bahan-bahan merbahaya dari sistem badan mereka.
Apakah kesan BPA terhadap tubuh manusia?
Hormon: BPA menyerupai atau boleh mengganggu tindakan satu hormon yang dinamakan Estrogen, iaitu satu hormon yang membantu dalam pembentukan sistem reproduktif atau seksual sejak kanak-kanak lagi. Kajian menunjukkan ia boleh menyebabkan waktu akil baligh kanak kanak perempuan menjadi lebih awal. Ia juga dapat mengurangkan tahap kesuburan dan mengurangkan kadar kejayaan rawatan IVF. Di samping itu, bagi lelaki, ia dapat mengurangkan kualiti sperma.
Otak: Ia memberi kesan negatif kepada perkembangan otak yang boleh mengakibatkan masalah pembelajaran, ingatan dan juga tingkahlaku seperti ADHD.
Kanser: Kajian ke atas haiwan telah menunjukkan ia dapat meningkatkan risiko untuk mendapat kanser prostat dan hati dan juga mengurangkan respon kimotherapi terhadap sel kanser
Penyakit Jantung dan kencing manis: Satu kajian besar diterbitkan di dalam Journal of American Medical Association pada tahun 2008 menunjukkan golongan dewasa yang mengandungi kandungan BPA yang tinggi di dalam badan mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mendapat kencing manis atau masalah jantung.
Lain-lain: Ia dapat meningkatkan risiko obesiti, mengganggu sistem imuniti dan saraf.
Cara kurangkan pendedahan pada BPA
Mungkin kita rasa sukar atau tidak mampu untuk mengelak dari pengambilan BPA secara sepenuhnya kerana banyak produk yang mengandungi BPA. Akan tetapi, kita boleh mempraktikkan beberapa langkah yang disyorkan oleh FDA bagi mengurangkan pendedahan sebanyak yang mungkin, lebih-lebih lagi bagi anak-anak kecil, ibu mengandung dan juga ibu yang menyusu badan.
Beli barang bayi yang dinyatakan sebagai ‘BPA-free’ ataupun tanpa BPA. Kebanyakan botol susu, cawan minuman dan barangan kanak-kanak lain akan dinyatakan sama ada ia ‘BPA-free’ apabila mengiklankan produk mereka.
Elakkan dari menggunakan bekas plastik dalam penyediaan dan penyimpanan makanan, dan juga apabila makan. Gunakan alternatif lain seperti bekas kaca, porcelin atau besi tahan karat yang tidak mengandungi BPA.
Perhatikan kod kitar semula di bawas bekas untuk mengenalpasti jenis plastik yang digunakan. Betas plastik yang mengandungi BPA biasanya adalah lutsinar dan keras, dan diletakkan simbol ‘7’ ataupun huruf ‘PC’ di tepi simbol kitar semula. Elakkan juga penggunaan plastik dengan kod kitar semula ‘3’ (phthalates) dan juga ‘6’ (styrene) yang juga mempunyai bahan kimia yang boleh memberi kesan buruk kepada perkembangan kanak kanak.
Jangan sama sekali menggunakan bekas plastik apabila memanaskan makanan. Suhu yang panas akan melarut keluar BPA dari bekas ke dalam makanan. Lebih baik jika menggunakan bekas kaca atau stoneware. Jangan panaskan susu formula atau susu ibu yang diletakkan dalam plastik atau botol susu di dalam ketuhar gelombang mikro. Air yang panas mendidih juga tidak sesuai untuk dituang terus ke dalam botol susu plastik apabila membancuh susu.
Elakkan membasuh bekas plastik, botol susu, cawan minuman (Sippy cup) di dalam mesin basuh pinggan mangkuk. Air panas yang digunakan oleh mesin itu akan melarut keluar BPA. Basuh dengan tangan dan span atau berus lembut di dalam sinki seperti biasa.
Jangan guna bekas plastik yang retak, bercalar, kusam atau sumbing kerana bukan sahaja BPA boleh larut keluar sekiranya ia mengandungi BPA, ia juga boleh mengandungi kuman di celah-celah dinding bekas itu. Tukar botol susu setiap 6 bulan.
Adalah lebih baik sekiranya makan makanan segar (fresh) atau sejuk beku (frozen) daripada makan makanan dalam tin. Salutan dalam tin itu boleh mengandungi BPA
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ada ibu lepas bersalin secara pembedahan caesarean tak mandi langsung berhari-hari. Katanya takut luka pembedahan basah kena air. Nanti lambat baik.
Betul ke tak boleh mandi? Habis tu takkan nak biar badan berbau busuk berhari-hari tak mandi. Macam mana nak cepat sembuh bila badan sendiri pun berlengas dan tak selesa.
Siapa kata tak boleh mandi langsung. Mungkin ia mitos yang selama ini dimomokkan oleh orang dulu-dulu atau juga cerita pengalaman orang lain yang luka pembedahannya lambat sembuh disebabkan kerap terkena air.
Menurut Jururawat Terlatih, Bel Nawhen, ibu yang melahirkan anak secara pembedahan caesarean boleh mandi cuma ada beberapa syarat yang mesti dipatuhi bagi mengelakkan luka lambat sembuh.
Bila boleh mandi selepas caesarean section?
1) Selepas boleh bangun.
(Immediately selepas bius spinal telah lengkap) tapi janganlah beria mandi. Cukup bersihkan diri dan pastikan dressing tidak basah kuyup.
** Jika dressing basah, beritahu nurse awal-awal.
2) Selepas tiub kencing telah di cabut.
Ada sesetengah wad, mereka akan menguruskan ibu dahulu seperti menukar pad dan membenarkan ibu untuk ambulasi keesokan harinya selepas tiub kencing dicabut.
3) Selepas Wound Inspection.
Kebiasaannya pemeriksaan luka (Wound Inspection) akan dilakukan keesokan harinya. Anda boleh mandi selepas itu jika anda bimbang dressing basah.
• Anda perlu ambulasi seawal mungkin bagi mengelakkan deep vein thrombosis (darah beku berkumpul dengan lebih banyak di bahagian kaki) – Jika tidak dirawat, ia akan pecah lalu berlaku pulmonary embolism (salur darah ke paru-paru tersumbat akibat darah beku itu)
• Jika sakit di kawasan pembedahan, ampu kawasan luka dengan bantal.
• Jika batuk atau bersin (cara sama seperti di atas)
• Pakai seluar dalam sedikit besar atas pusat agar tidak memberikan tekanan ke bahagian luka.
• KERINGKAN luka selepas mandi atau berpeluh yang banyak.
• ELAKKAN sembelit, kerana sembelit akan menyebabkan tekanan dikawasan luka lalu menyebabkan kesakitan.
• Makan makanan tinggi protein bagi menggalakkan penyembukan luka dan pertumbuhan tisu baru.
Notakaki:
Menjaga kebersihan diri merupakan suruhan agama. Pembedahan bukan alasan untuk tidak mandi atau culas menjaga kebersihan diri.
Darah beku pada paru-paru atau pulmonary embolism ialah salah satu punca kematian wanita selepas bersalin di Malaysia. Ia boleh dicegah awal, 12 kategori ini perlu sentiasa waspada.
Kita kerap kali mendengar kematian wanita selepas bersalin akibat sesak nafas. Sesak nafas, mungkin asbab kematian yang kelihatan umum tetapi ia berkemungkinan besar disebabkan oleh Pulmonary Embolism atau ringkasnya disebut PE. Ia sepatutnya diberikan perhatian serius di kalangan ibu selepas bersalin!
12 KEADAAN IBU BOLEH MENINGKATKAN RISIKO PULMONARY EMBOLISM
Hampir semua ibu yang hamil dan bersalin mempunyai risiko untuk mengalami pulmonary embolism kerana darah ketika ini lebih pekat daripada kebiasaannya.
Namun begitu, risiko anda untuk mendapat pulmonary embolism semasa dan selepas bersalin menjadi lebih tinggi sekiranya anda mempunyai keadaan ini;
Ibu mempunyai berat badan melebihi 80kg atau BMI lebih 30kg/m2.
Bersalin menerusi pembedahan.
Ibu berumur lebih daripada 35 tahun.
Ibu yang melahirkan kandungan kembar.
Mengalami masalah air ketuban banyak atau polihidramnios.
Ibu yang mengalami dehidrasi atau kurang air dalam badan.
Ibu yang pernah mendapat penyakit darah beku sebelum dan semasa mengandung atau pada kandungan terdahulu.
Tumpah darah semasa bersalin (melebihi satu liter).
Mendapat transfusi darah semasa mengandung atau selepas bersalin.
Penyakit yang menyebabkan darah menjadi likat seperti thrombophilia, protein S deficiency, anti phospholipid syndrome.
Ibu melalui pembedahan semasa mengandungatau selepas bersalin seperti pembedahan appendisitis, pembedahan untuk patah tulang atau apa-apa pembedahan yang dilakukan semasa bersalin atau selepas bersalin.
Ibu hidap penyakit pra eklampsia (darah tinggi yang menyebabkan air kencing mengeluarkan protein) semasa hamil dan berterusan selepas bersalin.
SALAH SATU PUNCA KEMATIAN WANITA SELEPAS BERSALIN
Menurut Dr Dharmini Veerakumaran, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pantai Hospital Ipoh, pulmonary embolism ialah keadaan di mana kehadiran darah beku secara tiba-tiba di dalam saluran darah ke paru-paru.
Ia merupakan salah satu punca utama yang menyebabkan kematian wanita hamil dan selepas bersalin iaitu dalam masa kira-kira enam minggu selepas bersalin. Selain darah tinggi dan tumpah darah, Pulmonary Embolism ialah antara penyumbang tertinggi kematian wanita selepas bersalin di Malaysia.
Darah wanita hamil adalah lebih pekat daripada biasa. Pembesaran bayi dalam akan menekan saluran darah utama yang terdapat pada badan ibu menyebabkan aliran darah menjadi kurang lancar. Ini akan menyebabkan darah beku akan terbentuk di saluran darah pada betis (deep vein thrombosis).
Selain itu, terdapat juga beberapa sebab lain seperti melahirkan melalui pembedahan juga boleh menyebabkan darah beku terbentuk kerana kurangnya pergerakan selepas bersalin.
IBU LEPAS BERSALIN JANGAN TAKUT BERGERAK
Menurut Dr Dharmini, kurangnya pergerakan selepas bersalin sebenarnya meningkatkan risiko terjadinya pulmonary embolism.
“Apabila darah beku berkumpul pada bahagian betis, si ibu akan mengalami bengkak kaki secara tiba-tiba dan berasa sakit pada betis ketika berjalan. Gejala ini perlu diberi rawatan awal. Jika tidak, darah beku pada dalam saluran darah dibahagian kaki si ibu boleh ‘dislodge’ dan bergerak bila-bila masa dan menyangkut di saluran darah yang halus di paru-paru.
“Ini boleh menyebabkan saluran darah di dalam paru-paru tersumbat akibat darah beku ini yang dipanggil pulmonary embolism dan boleh menyebabkan kematian secara tiba- tiba,” kata Dr Dharmini.
5 TANDA AWAL PULMONARY EMBOLISM
Menyedari bahaya pulmonary embolism dan keupayaannya meragut nyawa, para ibu yang dalam tempoh minggu pertama selepas bersalin terutamanya sekali yang berisiko tinggi perlu berwaspada dan peka tanda-tanda awal pulmonary embolism. Antara simptom awal adalah seperti berikut;
Kembang atau bengkak kaki dan sakit pada betis (kebiasaannya sebelah kaki kiri)
Sukar untuk bernafas.
Sakit dada.
Batuk berdarah.
Denyutan nadi yang sangat laju.
Sekiranya anda mempunyai simptom ini, segera dapatkan pemeriksaan di hospital atau klinik berdekatan. Doktor yang merawat biasanya akan menjalankan pemeriksaan kepada anda untuk melihat sama-ada anda berisiko tinggi atau tidak untuk mendapat pulmonary embolism.
Pemeriksaan lanjut seperti ECG (alat untuk memeriksa ritma jantung), X-ray, pemeriksaan darah atau pun CTPA (CT scan untuk melihat saluran darah ke paru-paru) mungkin perlu dilakukan segera.
BOLEHKAH PULMONARY EMBOLISM DIELAKKAN?
Kebanyakan mangsa yang mengalami pulmonary embolism maut sebelum sempat sampai ke hospital. Oleh itu, rujuklah kepada doktor dengan segera terutamanya jika ada mengalami simptom awal. Sekiranya anda tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, anda boleh berusaha untuk mengelakkan pulmonary embolism melalui beberapa langkah.
Minum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi.
Aktif bergerak dan berjalan. Jangan hanya berbaring di katil dan jauhi sifat ‘ibu manja’ yang takut atau malas untuk bergerak!
Menggunakan thrombo embolic deterrent-TED stokin (stokin khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki) pada waktu malam atau semasa menaiki penerbangan jauh.
Suntikan ubat suntikan pencair darah sekiranya dirasakan perlu.
Menurut Dr Dharmini, amalan pantang tradisional yang dilakukan secara sederhana seperti bertungku, bertuam, berdiang, berurut dan mandi air suam semasa dalam pantang amat membantu untuk mengelakkan terjadinya darah beku pada ibu. Walau pun ia baik, ibu perlu mengelakkan ia dilakukan pada bahagian luka caesarean bagi mengelakkan jangkitan kuman dan luka lambat sembuh.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melalui fasa selepas bersalin atau dikenali sebagai berpantang adalah tempoh yang perlu dititikberatkan ibu. Apa sahaja sajian yang diambil si ibu boleh mempengaruhi tahap pemulihan dan sedikit sebanyak mempengaruhi jaundis bayi.
Semasa berpantang, tubuh ibu sedang dalam proses pemulihan akibat dari luka bersalin. Justeru, pemakanan seimbang amat dititikberatkan. Sajian pantang seharusnya berkhasiat membantu ibu dalam proses penyembuhan luka. Selain itu, ada juga bahan masakan yang perlu dielakkan semasa paras jaundis bayi masih tinggi.
Menurut Dr Amirah Alia Faizul, Pegawai Perubatan Bahagian O&G, ibu perlu tahu mengatur sajian pemakanan seimbang semasa dalam tempoh berpantang bagi membantu penghasilan susu ibu yang berkualiti. Apatah lagi semasa paras jaundis bayi masih tinggi.
ELAK HALIA, KUNYIT & LADA HITAM MASA ANAK JAUNDIS
“Ibu yang menyusukan bayi yang jaundis dinasihatkan terus kan penyusuan dengan kerap. Pastikan bayi menyusu setiap sejam. Ibu tidak digalakkan makan makanan yang bercampur halia, kunyit dan lada hitam semasa bayi jaundis.
“Perlu makan makanan seimbang & minum air yang banyak untuk menghasilkan susu yang berkualiti. Sekiranya bayi jaundis adalah dinasihatkan segera ke klinik untuk rawatan susulan,” kata Dr Amirah.
LUKA EPISIOTOMI CEPAT SEMBUH
Selepas bersalin, luka episiotomi juga memerlukan penjagaan rapi agar cepat sembuh.
Ibu disarankan untuk menjaga kebersihan bahagian alat sulit serta mencuci setiap kali ke tandas. Selain itu ibu perlu memastikan bahagian luka dikeringkan setiap kali buang air kecil atau besar.
“Makan makanan berprotein tinggi seperti ayam, daging, soya, tempe untuk cepatkan proses penyembuhan. Jangan takut untuk bergerak perlahan-lahan untuk memperbaiki aliran darah pada bahagian luka supaya oksigen dan nutrisi cukup untuk penyembuhan. Benang akan larut dlm masa 4 minggu hingga 3 bulan bergantung kepada jenis benang yang digunakan untuk menjahit luka episiotomi.
BERSALIN CAESAREAN ELAKKAN IKAN HARUAN
“Bagi luka caesar ibu perlu mengelakkan makan ikan haruan sebab bimbang organ-organ dalaman akan melekat menyebabkan kesukaran bagi pembedahan caesarean anak pada kelahiran seterusnya.
Bagi penjagaan luka ibu yang bersalin secara pembedahan, Dr Amirah menyarankan agar ibu memperbanyakkan rehat, mengelak dari mengangkat objek berat, mengamalkan pemakanan seimbang untuk menghindari sembelit yang mungkin boleh memburukkan lagi keadaan.
Ibu disarankan untuk sentiasa memeriksa luka dan jahitan. Pastikan tiada tanda-tanda jangkitan seperti kemerahan di sekeliling kulit jahitan, bengkak dan berair. Ibu seharusnya tidak mengabaikan preskripsi ubat tahan sakit yang dibekalkan. Bagi ibu bersalin melalui pembedahan caesarean, menyusukan bayi secara sisi atau football hold (lengan tampung badan bayi) boleh mengelakkan bayi daripada terkena pada luka jahitan.
PERIKSA KESIHATAN DIRI SEBELUM MULA RAWATAN PANTANG
“Bersalin caesarean, ibu perlu memastikan ibu tidak berurut pada kawasan pembedahan. Urutan diluar kawasan abdomen adalah dibolehkan. Ibu juga tidak boleh melakukan urutan sengkak dan bertungku.
“Periksa tekanan darah sebelum melakukan tangas kerana tangas boleh menyebabkan tekanan darah turun mendadak. Pastikan tekanan darah tidak terlalu rendah.
“Sebaik-baiknya rawatan pantang disarankan untuk dimulakan selepas hari ketiga bersalin bagi ibu yang bersalin normal. Ia adalah untuk memastikan badan ibu sudah pulih dari stress semasa melahirkan,” kata Dr Amirah kepada Pa&Ma.
LATIHAN KEGEL & ELAK AKTIVITI BERAT
Dr Amirah juga menasihatkan ibu-ibu yang selepas bersalin tidak terlalu menekan diri dengan melakukan tugas-tugas yang berat. “Dalam fasa berpantang selepas bersalin, ibu yang mengalami perubahan major sewaktu mengandung mengambil masa 6 minggu untuk pulih seperti sedia kala. Dalam tempoh ini ibu memerlukan penjagaan rapi.
“Ibu-ibu dinasihatkan untuk mendapat rehat secukupnya dan mengehadkan aktiviti-aktiviti berat. Masa berpantang ialah masa bondingdengan bayi serta memberi sepenuhnya perhatian keatas kesihatan diri Dan kesihatan bayi. Jangan lupa mengamalkan latihan Kegel untuk menguatkan lantai pelvis yang telah kendur semasa proses kelahiran bayi. Latihan ini dapat mengurangkan risiko rahim jatuh. Dengan usaha yang dilakukan dan ibu kembali sihat seperti sediakala selepas melahirkan dan berpantang,” kata Dr Amirah.
SELIDIK DULU SEBELUM PILIH PERAWAT PANTANG
Ketika ditemui dalam acara All About Confinement anjuran Pa&Ma Moms-To-Be & Casabonda, Dr Amirah turut memberikan panduan bagi ibu-ibu yang ingin mendapatkan perkhidmatan perawatan pantang. Katanya sebelum memilih, terlebih dahulu selidiki latar belakang perubatan perawat bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.
Sebaik-baiknya yang telah mendapatkan kursus yang dianjurkan pihak berwajib dan tidak menggunakan ubat-ubatan serta herba terlarang. Pengetahuan tentang resusitasi awal jika berlaku kejadian seperti pendarahan secara mengejut atau ibu tiba-tiba tidak sedarkan diri amat penting bagi menjamin kelancaran proses berpantang.
Dalam hidup berkeluarga, tak semua perjalanan mudah. Namun bila kasih dan tanggungjawab jadi keutamaan, keindahan tetap menyinar.Begitulah yang boleh kita pelajari daripada pelakon jelita,...