Ads

Budak 12 Tahun Meninggal Dunia Selepas Minum Susu Kocak Coklat, Mesin Pengisar Tak Dicuci Jadi Punca!

Siapa sangka, hanya kerana menikmati segelas susu kocak coklat yang dibeli di sebuah kafe, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun akhirnya kehilangan nyawa akibat reaksi alahan yang serius.

Lebih menyedihkan, tragedi yang menimpa Mia Shay St Hilaire di London, England ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya aspek kebersihan dan keselamatan makanan diberikan perhatian sewajarnya.

Kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami reaksi alahan melampau atau anafilaksis akibat meminum susu kocak yang tercemar dengan sisa kacang hazel daripada minuman pelanggan sebelumnya.

Apa yang mengejutkan, siasatan mendapati mesin pengisar yang digunakan untuk menyediakan minuman tersebut tidak dibersihkan terlebih dahulu, sekali gus menyebabkan berlakunya pencemaran silang bahan makanan.

Kejadian ini menjadi peringatan penting buat ibu ayah, khususnya yang mempunyai anak dengan sejarah alahan makanan. Kadangkala, makanan atau minuman yang kelihatan selamat sebenarnya masih boleh mengandungi bahan pencetus alahan tanpa disedari.

Budak 12 Tahun Meninggal Dunia Selepas Minum Susu Kocak Coklat, Mesin Pengisar Tak Dicuci Jadi Punca!

Minum Susu Kocak Coklat, Tidak Sangka Mengundang Maut

Memetik laporan BBC, kejadian berlaku pada Ogos 2023 ketika Mia mengunjungi Pop Inn Cafe di Southwark Park Road, London bersama ibu saudara dan kakaknya.

Ketika itu, Mia yang diketahui mempunyai alahan terhadap kacang hazel telah menikmati susu kocak berperisa Twix yang dibeli di premis berkenaan.

Bagaimanapun, tidak lama selepas meminum minuman tersebut, Mia mula menunjukkan tanda-tanda reaksi alahan yang serius.

Keadaannya semakin merosot dengan pantas sebelum kanak-kanak malang itu rebah ketika berada di rumah ibu saudaranya.

Mia kemudian dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Namun, segala usaha menyelamatkannya tidak berhasil apabila dia disahkan meninggal dunia akibat komplikasi reaksi alahan tersebut.

Pemergian Mia pada usia yang terlalu muda pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh ahli keluarganya.

Ads

Budak 12 Tahun Meninggal Dunia Selepas Minum Susu Kocak Coklat, Mesin Pengisar Tak Dicuci Jadi Punca!

Mesin Pengisar Tidak Dicuci, Sisa Kacang Hazel Cemarkan Minuman

Hasil inkues kematian Mia di Mahkamah Koroner Inner South London pada 8 Oktober 2026 mendedahkan punca sebenar bagaimana minuman yang dibelinya boleh mencetuskan reaksi alahan sehingga meragut nyawa.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pengendali kafe, Baris Yucel menggunakan mesin pengisar yang sama untuk menyediakan susu kocak Mia tanpa membersihkannya terlebih dahulu.

Difahamkan, mesin tersebut sebelum itu digunakan untuk menyediakan minuman yang mengandungi kacang hazel.

Akibatnya, sisa bahan berkenaan masih tertinggal pada peralatan dan mencemarkan susu kocak Twix yang disediakan untuk Mia.

Walaupun minuman yang dipesan tidak sepatutnya mengandungi kacang hazel, pencemaran silang tersebut sudah cukup untuk mencetuskan reaksi alahan serius kepada kanak-kanak berkenaan.

Pengendali Kafe Didenda RM97,255

Susulan tragedi itu, Majlis Perbandaran Southwark mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali kafe berkenaan atas kegagalan mematuhi peraturan keselamatan makanan.

Ads

Yucel mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan berkaitan keselamatan makanan, termasuk kegagalan menyediakan maklumat alergen kepada pelanggan serta tidak mengambil langkah mencukupi untuk mencegah pencemaran silang.

Beliau turut didapati menghidangkan minuman yang mengandungi bahan pencetus alahan yang tidak sepatutnya terdapat dalam produk tersebut.

Pada Januari 2025, Yucel dikenakan denda sebanyak 18,000 paun sterling (kira-kira RM97,255) selain diperintahkan menjalani 100 jam khidmat masyarakat.

Kes ini kembali mendapat perhatian selepas inkues pada 8 Oktober 2026 memperincikan bagaimana kegagalan membersihkan peralatan penyediaan minuman telah menyumbang kepada kematian Mia.

Keluarganya turut menggesa agar prosedur pengurusan alergen di premis makanan diperkukuh supaya tragedi seumpama ini tidak berulang.

Budak 12 Tahun Meninggal Dunia Selepas Minum Susu Kocak Coklat, Mesin Pengisar Tak Dicuci Jadi Punca!

Ibu Ayah Perlu Peka, Alahan Makanan Bukan Perkara Kecil

Kejadian yang menimpa Mia membuktikan bahawa alahan makanan tidak boleh dipandang ringan, terutama apabila melibatkan kanak-kanak yang mempunyai sejarah alahan serius.

Ads

Anafilaksis merupakan reaksi alahan yang boleh berlaku secara mendadak dan berpotensi mengancam nyawa sekiranya tidak menerima rawatan segera.

Antara tanda yang perlu diberikan perhatian termasuk kesukaran bernafas, bengkak pada lidah atau tekak, suara menjadi serak, pening, muntah serta rebah secara tiba-tiba.

Bagi ibu ayah yang mempunyai anak dengan alahan makanan, beberapa langkah keselamatan penting perlu diamalkan:

  • Maklumkan alahan anak kepada pengendali makanan setiap kali membeli makanan atau minuman di luar.
  • Tanya tentang penggunaan peralatan yang sama, terutama mesin pengisar, alat memasak dan perkakas penyediaan makanan.
  • Semak kandungan makanan dan minuman termasuk sos, topping serta bahan tambahan yang mungkin mengandungi alergen.
  • Pastikan anak memahami makanan yang perlu dielakkan mengikut tahap umur dan kemampuan mereka.
  • Sediakan pelan tindakan kecemasan alahan dan pastikan ubat kecemasan seperti auto-penyuntik adrenalin dibawa sekiranya dipreskripsikan oleh doktor.

Sekiranya anak menunjukkan tanda anafilaksis, berikan auto-penyuntik adrenalin dengan segera jika tersedia dan hubungi 999 untuk mendapatkan bantuan kecemasan. Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius.

Sesungguhnya, pemergian Mia menjadi pengajaran besar bahawa kebersihan peralatan dan pematuhan prosedur keselamatan makanan bukan sekadar perkara rutin.

Bagi individu yang mempunyai alahan serius, sedikit sisa bahan makanan yang tidak dibersihkan dengan sempurna juga boleh membawa akibat yang amat buruk.

Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan! 

Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!

Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out

Sumber: BBC / Agensi & Sinar Harian

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Untuk Papa Mama

“Isteri Saya Dah Suruh Angkat Dia!” Syed Saddiq Dukung Bella Astillah,...

Syed Saddiq dukung Bella Astillah dalam video sweet bersama keluarga. Aksi itu buat ramai suami berdebar apabila isteri mula minta layanan sama!