Cara Bercakap Dengan Anak Perlu Betul, Ada Kesannya Pada Perkembangan Anak!

Share

Ramai ibu ayah suka bercakap dengan anak sejak kecil kerana tahu ia penting untuk perkembangan bahasa dan emosi mereka. Namun sebenarnya ada cara bercakap dengan anak yang betul supaya si kecil lebih mudah faham, cepat belajar bercakap dan lebih yakin untuk berkomunikasi.

Menurut perkongsian Dr Redza Zainol, cara ibu ayah bercakap dengan anak memainkan peranan besar dalam membantu perkembangan bahasa si kecil. Bukan sekadar bercakap banyak, tetapi bagaimana komunikasi itu berlaku setiap hari.

Cara Bercakap Dengan Anak Perlu Guna Perkataan Mudah

Antara tips yang dikongsikan ialah ibu ayah perlu mulakan dengan perkataan yang pendek dan mudah supaya anak senang faham dan ikut. Elakkan ayat terlalu panjang kerana anak perlukan masa untuk memproses apa yang didengar.

Contohnya, gunakan ayat mudah seperti “adik nak susu?” atau “jom mandi” berbanding ayat yang terlalu panjang dan kompleks. Pendekatan ini membantu anak mengenal perkataan asas dengan lebih cepat.

Kedudukan Mata Penting Ketika Bercakap

Selain itu, kedudukan mata juga penting ketika bercakap dengan anak. Pastikan mata ibu ayah separas dengan mata anak supaya mereka dapat melihat pergerakan mulut ketika perkataan disebut.

Cara ini membantu anak memahami bunyi dan sebutan dengan lebih jelas. Apabila anak dapat melihat ekspresi muka dan pergerakan bibir, mereka lebih mudah meniru cara sebutan yang betul.

Dalam masa sama, kekalkan pandangan mata dan sentiasa senyum ketika bercakap dengan anak. Komunikasi yang mesra dan penuh emosi positif membuatkan anak rasa selamat dan lebih seronok untuk berinteraksi.

Beri Masa Anak Memproses Perkataan

Ibu ayah juga disarankan memberi masa kepada anak untuk memproses perkataan yang disebut. Jangan terlalu cepat mengulang atau menjawab bagi pihak anak.

Kadangkala anak memerlukan sedikit masa untuk memahami dan memberi respon. Jika ibu ayah terlalu cepat membantu, anak mungkin kurang peluang untuk belajar berfikir dan menyusun perkataan sendiri.

Sabar ketika bercakap dengan anak sangat penting kerana setiap anak mempunyai kadar perkembangan yang berbeza. Ada anak cepat memberi respon dan ada juga yang memerlukan lebih masa.

Ekspresi Muka Membantu Anak Lebih Fokus

Dr Redza turut berkongsi bahawa ekspresi muka sangat membantu ketika bercakap dengan anak. Ibu ayah boleh menggunakan mimik muka seperti membesarkan mata atau menaikkan kening untuk menambahkan elemen emosi dalam komunikasi.

Anak lebih mudah tertarik dan fokus apabila melihat reaksi wajah yang jelas. Mereka juga belajar memahami emosi melalui ekspresi muka ibu ayah ketika berkomunikasi.

Selain itu, penggunaan nada suara yang ceria dan mesra membantu anak lebih tertarik untuk mendengar. Komunikasi yang menyeronokkan membuatkan mereka lebih aktif untuk belajar bercakap.

Gunakan Nada Suara Dan Sebutan Yang Jelas

Nada suara juga memainkan peranan penting. Gunakan suara yang sedikit high pitch dan berirama kerana ia lebih menarik perhatian anak kecil.

Cara ini membantu mereka memberi fokus kepada perkataan yang disebut. Anak kecil biasanya lebih mudah tertarik kepada nada suara yang lembut, ceria dan jelas.

Selain itu, gunakan sebutan yang jelas supaya anak dapat mendengar dan meniru perkataan dengan betul. Sebutan yang tepat membantu perkembangan bahasa mereka menjadi lebih baik.

Gunakan Perkataan Sebenar Ketika Bercakap Dengan Anak

Dr Redza juga mengingatkan ibu ayah supaya menggunakan perkataan sebenar ketika bercakap dengan anak. Contohnya, sebut “kucing” dan bukannya “meow”.

Anak perlu belajar nama objek yang sebenar supaya mereka dapat membina kosa kata dengan lebih baik. Penggunaan perkataan yang tepat membantu anak memahami maksud sesuatu objek dan meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.

Setiap anak berkembang pada kadar berbeza, namun komunikasi yang konsisten dan positif daripada ibu ayah sangat membantu perkembangan bahasa serta emosi mereka sejak kecil.

Kadangkala perkara paling mudah seperti senyum, pandang mata anak dan bercakap dengan penuh kasih sayang memberi kesan besar dalam dunia si kecil. Cara bercakap dengan anak yang betul bukan sahaja membantu mereka cepat bercakap, malah membina keyakinan diri dan hubungan emosi yang lebih rapat dengan ibu ayah.

Baca lagi: Harga Terkini Kos Bersalin Hospital Kerajaan, Dari Kelas 1 Hingga Kelas 3/ 

Penting Mak Ayah Belajar Teknik Heimlich Maneuver, Boleh Selamatkan Nyawa Anak/ 

Sumber: Dr Redza Zainol 

Published by
SRM